PAS Fokus Strategi Hadapi PRU-13 - Retreat 3 hari di PD

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Dari Kota Baru, pemimpin-pemimpin PAS sedang menuju untuk menghadiri retreat tiga hari di Port Dickson bermula malam ini - bagi menyusun strategi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sesi pemukiman diadakan sebulan selepas PAS mengadakan muktamar tahunan ke-56 di Kota Baru, Kelantan.

Dua minggu lalu rakan mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan retreat di Shah Alam.

“Sesi retreat kali ini memfokus pada persiapan PAS mengadapi pilihan raya umum akan datang... perbincangan ini susulan perbincangan dalam muktamar bulan lalu,” kata Pengarah Pemukiman Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, pihaknya akan membincangkan secara menyeluruh persiapan bagi memperkemaskan jentera parti itu agar dapat menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan kemas.

Ketika ditanya sama ada pertemuan tiga hari ini akan menghasilkan kerangka pelan tindakan menghadapi pilihan raya umum, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen berkata:

“Tidak, tidak. Yang itu kita akan bincang dan hasilkan kemudian.”

Berdasarkan hasil muktamar bulan lalu, The Malaysian Insider difahamkan PAS akan mengeluarkan kerangka strategi itu selepas bulan Ramadan yang bermula Ogos ini.

Muktamar Tahunan PAS Ke-56 bulan telah meluluskan pelan tindakan 15 strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Salah satu strategi ialah mendapatkan sejuta pengundi baru.

Dalam ucapan dasarnya pada muktamar itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menekankan bahawa secara umumnya, semua organisasi parti termasuklah jentera pilihan rayanya perlulah diperkemaskan di semua lapisan peringkat untuk berhadapan dengan pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan pemukiman kali ini hanya memfokus satu agenda iaitu pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusof Rawa memberitahu, pertemuan hujung minggu ini akan memfokus agenda persiapan menghadapi pilihan raya umum.

“Sebahagian besar perbincangan retreat akan memfokus strategi menghadapi pilihan raya dan pendekatan untuk memperkemaskan jentera parti... latihan, modul dan sebagainya.

“Apa pun bila bercakap tentang pilihan raya sudah pasti kita tidak boleh elak daripada membincangkan urusan organisasi yang bersangkutan,” kata beliau.

Mengenai pelan tindak induk atau blueprint menghadapi pengundi-pengundi Melayu dalam realiti semasa, Mujahid juga berkata, aspek itu akan dibincangkan secara menyeluruh kali ini bersama isu-isu lain.

“Kita kena membincangkan sokongan pengundi melibatkan undi masyarakat pelbagai kaum secara bersama... sokongan orang Melayu, Cina dan India,” kata beliau ketika ditanya sama ada PAS akan memfokus ke atas usaha meningkatkan sokongan pengundi Melayu.

Aspek ini juga mendapat perhatian ketika muktmar lalu.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi juga mengesahkan tumpuan kali ini lebih kepada langkah menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya tidak pasti fokus sebenar tetapi saya yakin kami akan membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya umum susulan isu yang diputuskan ketika muktamar,” katanya.

Menurut Nasrudin, Dewan Pemuda PAS akan membentangkan pendekatan tersusun untuk menarik pengundi-pengundi muda yang masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Nasrudin juga berkata pihaknya akan membentangkan program Gempa iaitu gerakan mendaftar pemilih dan ahli baru.

“Kami akan membentangkan kempen Gempa ini di sesi pemukiman ini dan kami juga akan membincangkan secara terperinci pada mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS esok,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.