Kejadian yang berlaku awal pagi itu menyebabkan keadaan pekan itu menjadi sesak kerana dipenuhi orang ramai yang ingin menyaksikan kejadian berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata, pihaknya percaya kejadian yang berlaku sebelum waktu subuh itu berpunca dari perselisihan faham.
“Hasil siasatan mendapati, sekitar jam 7.45 pagi, pemilik dihubungi oleh salah seorang ahli masjid dengan menyatakan gerai miliknya disimbah cat merah dan digantung kepala babi.
“Menurut pemilik gerai, tiga bulan sebelum kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dengan menyatakan dia tidak berpuas hati dan kurang senang terhadap perniagaan yang dijalankan dan percaya kejadian itu berpunca daripada ugutan panggilan telefon yang diterima,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi tempat kejadian.
Hasil kejadian itu, pemilik bersama anaknya membuat laporan di Balai Polis Sungai Bakap bagi mengelak perkara yang tidak diingini terus berlaku.
Turut hadir pada tinjauan terhadap kes terbabit ialah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat.
Ayub berkata, pihaknya juga berharap perbuatan berkenaan tidak terus dilakukan oleh mana-mana pihak dan pasukan polis akan membanteras masalah itu dengan segera.
“Perkara ini bukanlah merupakan satu isu perkauman yang melibatkan agama seperti mana dihebahkan oleh semua pihak.
“Kita sedia maklum, kejadian ini berlaku berhampiran masjid dan isu babi adalah perkara sensitif bagi Islam. Justeru, diminta pihak tidak bertanggungjawab itu tidak akan mengulangi perkara sama kerana ia akan menimbulkan suasana tegang antara satu sama lain.
Menurutnya, jualan pemilik gerai berkenaan begitu laris di pekan ini dan pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa perbuatan itu juga adalah daripada perasaan iri hati.
“Nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi pemilik pada tiga bulan lalu merupakan nombor telefon awam dan pihak polis juga memberi amaran keras kepada mana-mana kegiatan kongsi gelap supaya tidak mengambil alih tugas polis yang ingin menjaga keselamatan peniaga.
“Diharap, mana-mana peniaga atau orang ramai yang mengalami serta melihat kes ugutan, dapat melaporkan segera kepada pihak polis,” katanya.
Pemilik juga dimaklumkan bahawa dia tidak mempunyai masalah kewangan dan tidak terlibat dengan mana-mana pinjaman.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang melibatkan unsur ugutan dan ancaman.