Jom Kenali Siapa Mufti Perak Yang Licik Dan Kata "Takkan Mufti Nak Berbohong" Tapi Yang Nyata Dia.....

Mufti Perak terus bermain politik. Mengajak PAS bersatu dengan Umno demi menyelamatkan Melayu. Kenyataannya panas dan diperkatakan. Namun, bagi bekas Pengarah Pusat Islam yang intim mengenali Tan Sri Harussani Zakaria sejak menjadi kadhi Pulau Pinang hingga terlantik Mufti Perak, tidak melihat kenyataan itu benar dan serius. Ustaz Ahmad Awang menyifatkan ajakan itu sarat dengan motif politik untuk memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Pelbagai pengalaman pahit dialami PAS Perak yang diterajuinya sebelum ini, berdepan dengan karenah Harussani

Ikuti wawancara TARMIZI MOHD JAM dan INTAN ABDULLAH mengenai beberapa pengamatan dan pendedahan beliau terhadap mufti penuh kontroversi itu

Tan Sri Harussani mendakwa sekarang ini dia bertindak sebagai mediator atau orang tengah nak menyatupadukan Melayu dan Islam antara Umno-PAS. Apa reaksi Ustaz?

USTAZ AHMAD AWANG: Cuma yang menghairankan saya ialah bagaimana dia nak jadi orang tengah, pada hal dia duduk di sebelah sana (Umno). Selama-lamanya dia tak pernah duduk di tengah-tengah, walaupun ada juga pandangan dia yang bercanggah dengan kerajaan Umno-BN. Dia tak setuju (ketika mewakili suara para mufti) dalam isu tertentu seperti isu Sure Heboh TV3, dan murtad. Ada keberanian dia menyatakan pandangan. Tapi kerajaan Umno-BN tidak mempedulikannya. Tetapi, kita dari PAS tetap menyokong pandangan tegas dia itu. Inilah yang saya mahu katakan, PAS tak mengetepikan kesemua pandangan mufti kerana ia merupakan salah satu saluran yang ada dan kita lihat walaupun beliau berpihak kepada kerajaan Umno-BN, tetapi dalam perkara yang ada kepentingan Islam kita sokong dia.

Tidakkah sokongan itu akan mengelirukan rakyat?

Pernah satu ketika, satu rombongan Dewan Ulama PAS Pusat, yang saya uruskan pertemuannya di pejabat Mufti. Dato' Harun Taib ada ikut bersama ulama PAS Perak. Masa itu Harussani tunjuk satu surat yang dikatakan melarang dia berceramah di Selangor sehingga program yang menjemput beliau di UKM dibatalkan. Dikatakan alasan pembatalan itu disebabkan Mufti Perak terlalu 'outspoken' dalam menyatakan pandangan. Pada ketika itu, Tan Sri Hamid Osman jadi Penasihat Agama kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), dia kata apa yang dikatakan Harussani tiada asas. Ini menunjukkan PAS pertahankan Harussani supaya dia tidak rasa keseorangan. Dia pun tahu tindakan penguatkuasa di Kuala Lumpur dan Selangor yang tangkap kes khalwat, tapi PAS yang dokong penguatkuasa. Umno tidak sokong diapun. Tindakan ini tak kelirukan rakyat sebab kita akan sokong atas kepentingan Islam.


Tapi sekarang Harussani mahu memperlihatkan seolah-olah PAS yang tak mahu ke arah perpaduan...

Dia bukan tak tahu. Pernah suatu ketika di Perak dia cakap secara terus dengan saya dalam satu majlis ceramah di Masjid Kuala Kangsar dengan mengungkit tegahan menyampaikan ceramah, kuliah di satu masjid di Ipoh kerana orang kuat Umno di situ menguasai masjid itu sehingga dia sendiri tidak dibenarkan berceramah atau kuliah. Usahkan orang lain, dia pun tak diberi. Semasa Pakatan Rakyat memerintah, sesetengah masjid boleh tukar kepimpinan kariah masjid melainkan masjid itu. Begitulah kekuatan pengaruh dan kuasa Umno. Mufti ini tahu inilah Umno yang menghalang kerja-kerja dakwah Islam. Bermakna, ini satu lagi bukti Umno tak pernah berusaha untuk menegakkan Islam tapi bila Harussani kata hendak menyatukan PAS dan Umno ini, Islam boleh hancur kalau berpecah, cukup tidak logik. Sedangkan dia duduk di sebelah Umno sahaja, bagaimana dia hendak jadi orang tengah.


Tapi... barangkali Harussani ikhlas?

Harussani tahu Umno ini banyak yang tak betul sehingga dia sendiri mengalami tekanannya. Dia ini umpama seorang ayah. Anak sedang berkelahi yang diminta berbaik. Tetapi salah seorang daripadanya dipukul sedangkan seorang lagi dibuat baik dan disayangi. Kemudian diminta berdamai. Mana boleh jadi begitu. Harussani langsung tidak ikut kaedah yang adil. Jadi nampaknya dia hanya nak pastikan Umno terus berkuasa. Tindakan seperti ini, bermula selepas kekalahan Umno di Perak. Bukan sebab Islam dan Melayu. Sebaliknya sebab nak pastikan Umno terus berkuasa. Ini kerana kepercayaan dia kepada Umno yang dirasakan paling layak atas nama isu Melayu, bukannya isu Islam. Dalam satu majlis bersama pelajar di Australia baru-baru ini, dia ada sebut, kalau bukan Melayu muslim, dia tak yakin mereka akan sokong Melayu. Sebab kalau ada saat genting, bukan Melayu muslim ini akan sokong bangsa mereka. Ini memang dia beritahu dalam pertemuan dengan pelajar itu.

Dia tak percaya India atau Cina Muslim...

Itu yang dia sebut. Taksub keMelayuannya sehingga dalam ucapannya kepada pelajar Malaysia di Adelaide itu, dia menegaskan kalau orang bukan Melayu walaupun dia muslim tidak boleh dipercayai kerana dia mesti menyebelahi bangsa mereka jika berlaku apa-apa situasi. Saya ada bukti tentang kenyataan Harussani dalam isu ini.

Harussani dakwa Ustaz yang jadi punca perpecahan di Perak?

Memang itulah fokus Harussani dengan mendakwa sayalah punca kepada huru-hara yang berlaku di Perak. Dia diwawancara sebuah majalah. Itu dakwaannya terhadap saya. Pada mulanya saya ada fikirkan untuk ambil tindakan undang-undang tetapi peguam kata elok saman majalah tersebut. Bagi saya, apa yang penting adalah nak jawab tuduhan itu, bukanlah saman. Majalah yang siarkan itu memberi kerjasama tetapi tidak menyiarkan keseluruhan temubual saya menjawab tuduhan Harussani itu. Mereka edit semula kenyataan saya bagi mengelakkan seolah-olah mufti itu melakukan kesilapan. Antaranya yang disebutkan ialah sewaktu dalam satu pertemuan PAS di rumah Harussani, kami kononnya minta jasa baik dia agar mohon Tuanku Sultan perkenan untuk membubarkan Dun Perak. Hakikatnya, kami pergi jumpa dia untuk menyampaikan hasrat isteri kepada Dato' Nasaruddin Hashim (Adun Bota-BN yang diculik) yang merayu hendak berjumpa dengan Raja Muda Perak untuk memberitahu suaminya itu seolah-olah seperti diculik. Isterinya dakwa ada dua kereta putih (salah satu kereta polis) kononnya dititah oleh Raja Nazrin yang mahu berjumpanya. Sedangkan apa yang terjadi sebenarnya beliau dilarikan ke Putrajaya. Dia menangis dan dia rakamkan dengan telefon bimbit. Itulah yang hendak ditunjukkan sebagai bukti bahawa suaminya dilarikan. Itu sebenarnya tujuan asal pertemuan PAS dengan Harussani ketika itu. Tetapi dia dakwa dalam temuramah dengan majalah itu, PAS minta jasa baik dia untuk bantu usaha membubarkan Dun Perak.

Apa lagi yang didakyah Harussani dalam cerita itu?

Kata dia dalam wawancara itu, kalau dia ketuk pintu istana dan mohon hal (bubar Dun) itu, nanti Sultan akan tanya dia pulak. "Mufti ni masuk sebelah mana (PAS ke Umno?)". Kemudian saya jawab dakwaan Harussani itu dengan menegaskan PAS tak ada tujuan itu langsung. Malah Harussani memberi alasan kononnya dia waktu itu dah tak ada ruang untuk menyampaikan perkara itu (bubar Dun) kepada Raja Nazrin, kerana dia sekarang (ketika itu) sudah ada jurang dengan Raja Nazrin. Tempat dia dalam kereta Raja Nazrin itu (Harusani satu-satunya orang yang boleh duduk sekali dengan Raja Nazrin dalam kereta) telah diambil oleh orang lain, iaitu Tan Sri Anuar Zaini. Dia anggap Anuar ini sebagai pengganggu. Sebab itu dalam majlis sambutan Jubli Sultan Perak, Harussani kata Anuar Zaini tak mahu bersalam pun dengan dia. Ini yang nak saya tegaskan dolak-dalik dia dalam isu bubar Dun dan isu datang ke rumah dia.

Nampaknya dia terlalu licik, akan ada yang terpedaya dan terperangkap kalau tak kenal betul-betul?

Memang pun. Sekarang ini, orang tengok Harussani sebagai mufti. Orang tak tahu apa yang sedang dibuatnya. Dia benar-benar berbuat sebagai seorang ahli politik. Bila dia rasa dia mufti, dia boleh bercakap lantang mengenai perkara-perkara tertentu. Dia mengeksploitasi kedudukannya sebagai mufti. Hari ini di Perak dia jelajah ke masjid-masjid dan bercakap politik dengan lantang. Sampai pada suatu ketika ada seorang muslimat di sebuah masjid cabar dia letak jawatan bertanding pilihan raya. Sebab cakap politik banyak. Bila mufti bercakap, saya terpaksa menjawab. Tapi dalam kes melibatkan undang-undang dibuat untuk kesalahan agama, tapi dalam perlaksanaan terhalang kerana adanya tekanan pemimpin Umno. Macam isu sebat terhadap Kartika kerana minum arak. Dia Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti tapi di mana dia? Dia tahu kenapa diam?

Adakah Ustaz angggap Harussani telah diperalatkan Umno...

Memanglah dia tidak layak untuk menjadi orang tengah. Sebab itu, hari ini orang hentam dia, dengan pelbagai gelaran. Saya tak pernah sokong kata-kata orang pada dia. Saya pun simpati. Tetapi kita tidak boleh kata apa-apa. Selama ini ulama PAS juga dikutuk. Kenapa Umno boleh kutuk pemimpin PAS kerana Dr Mahathir kata mereka ini bukan ulama tetapi orang politik yang peralatkan Islam. Itu alasan bagi mewajarkan Umno kutuk pemimpin PAS. Dulu orang tidak kutuk mufti tertentu, tetapi bila hari ini ada mufti mengulangkan politik mesti dielak di masjid kerana ia diibaratkan sebagai kain serban kena disangkutkan di pagar masjid. Tapi semua dah terbalik. Sekarang dia yang bawa fahaman politik ke dalam masjid dengan menghnetam PAS dalam ceramah dan kuliahnya. Jadi dia dah jadi ahli politik.
Sekarang dia kutuk PAS jadi sudah tentu dia dilihat sebagai wakil Umno, proksi Umno dengan jawatan itu. Maknanya wajarlah orang mengutuk dia. Kalau orang Umno pernah mengutuk ulama PAS sebagai orang politik jadi sekarang Harussani sudah jadi ulama politik. Sebab dia bercakap terus-terang di dalam masjid sampai ke luar negeri hentam PAS.

Sebelum ini Umno kata politik tak boleh masuk ke dalam masjid. Senario sekarang menunjukkan Umno jilat kembali ludah mereka?

Ya, malahan Umno pun arahkan mufti itu turun untuk memperkuatkan kawasan majoriti kaum Melayu di Perak seperti Lenggong. Jadi sekarang ini latar belakang mufti telah tercemar dan tercalar.

Ada banyak kenyataan Mufti Perak yang boleh disifatkan berbohong? Boleh Ustaz sahkan...

Itu perkara lain, tetapi ia juga berkaitan. Soal dia dengan Dato' Hasan Ali ini saya tidak mahu campurlah. Tapi saya ingin tegaskan PAS Perak sangat mengenali kerenah Harussani sejak 8 Mac 2008 sampailah ke hari ini. Apa yang dia buat, walaupun PAS cuba mendekatinya, tapi semua tak kena. Contohnya Pemuda PAS Perak bertemunya untuk bertukar pandangan, tapi menurut Pemuda, pendirian dia lebih cenderung kepada perkauman Melayu juga. PAS bukanlah menjauhinya. Hal ini mungkin tidak diketahui pemimpin PAS yang lain secara mendalam. Mungkin orang Selangor ingat dia mufti yang sudah lama (lebih 25 tahun berkhidmat), banyak pengalaman tetapi dia (Hassan Ali) kata tidak perolehi apa-apa daripada Harussani. Jadi, dia langsung tak ada kelayakan untuk jadi orang tengah dalam isu penyatuan PAS-Umno. Apa yang nak ditegaskan kepada Harussani, kalau dia berhasrat sangat nak jadikan Kerajaan Perak dikuasai oleh Melayu, dengan membawa PAS bergabung dengan Umno, maka rampasan kuasa yang berlaku pada Februari 2009 sudah mencapai tujuannya kerana kerajaan Umno-BN yang ada sekarang ini hanya ada seorang Adun yang bukan Islam. 30 lagi Melayu, 27 Umno dan tiga yang lompat parti.


Maksud Ustaz, niat Harussani ajak PAS atas nama Melayu sudah pun tercapai kerana Melayu solid dalam Kerajaan Perak sekarang?

Iya. Kini ada 95 peratus kuasa Melayu. Tolak speaker dan timbalannya, masih ada lagi 30 Melayu. Maknanya 95 peratus kerajaan Melayu ini dia boleh tumpu. Wahai mufti macam mana melalui kerajaan yang masih ada tempoh satu atau dua tahun ini, diangkat Islam di negeri Perak. Pertingkatkan kerja dakwah, masjid dimakmurkan, sekolah agama diperkuatkan. Mufti patut ambil berat dalam isu tanah dan sekolah agama. Dia dakwa, dia sebagai Exco tak boleh buat apa-apa jika kerajaan bagi tanah kepada orang Cina baru-baru ini. Di situ pun kenyataannya telah mengelirukan orang ramai. Ini kerana jawatan mufti itu tak duduk dalam mesyuarat Exco tapi tarafnya saja sama dengan jawatan Exco Kerajaan Negeri. Gaji, elaun dan sebagainya sama, tapi dia tak duduk di dalam mesyuarat. Apa yang dia hendak buat sekarang kerana kerajaan Melayu 95 peratus. Melayu telah ada. Tapi mufti janganlah beriya-iya sangat dalam urusan yang tidak berkaitan dengannya, macam kata MB Kedah, Ustaz Azizan (Abdul Razak), mufti janganlah duk ambik kerja orang lain. Ada profesional dan bidang tugas masing-masing.

Sebagai Mufti Perak, apa yang Ustaz mahu Harussani lakukan?

Pertama sekali, mufti itu kena pastikan kerja Islam dalam negeri itu. Raja sebagai Ketua Agama Islam di sesebuah negeri. Dalam hal ini, kerja mufti bukan hanya upacara baca doa sahaja. Tugasnya ialah mengIslamkan Istana itu. Jangan Melayukan Istana sebab ada adat istiadat Istana Melayu masih bercanggah dengan akidah Islam. Tapi Melayu ini kena ikut Islam kerana Raja Ketua Agama. Harussani sudah lebih 25 tahun jadi mufti takkan tak tahu tentang adat istiadat yang boleh dan tidak boleh ubah? Maknanya mufti wajib mengadakan kuliah pengajian agama setiap minggu di Istana untuk Raja dan ahli keluarga sahaja. Secara eksklusif. Barulah mereka boleh faham. Sekarang ini siapa yang mengajar warga Istana? Ini tugas mufti daripada atas, kerana rakyat mengikut agama pemimpin atasan mereka. Tapi kenapa mufti tak buat? Dan dia kena ajak ulama-ulama PAS mengerjakan kerja-kerja Islam ini.

Kalau Ustaz yang diajak, adakah Ustaz bersedia?

Saya cabar Mufti Perak dalam hal ini. Saya nak tawarkan diri untuk kerja-kerja dakwah ini tanpa bayaran satu sen pun. Saya boleh sampaikan kuliah di Istana, kalau mereka (pihak istana) setuju. Harussani mungkin sampai mati jadi akan Mufti Perak, selagi Tuanku setuju. Sebab kontraknya tidak terikat dengan prosedur kerajaan selagi dia hendak jadi mufti. Tetapi ambil tugas ini. Barulah nampak peranan mufti sebagai Penasihat Agama kepada Raja selain mengeluarkan fatwa. Kalau setakat menjawab soal jawab di radio televisyen, ustaz yang bukan mufti boleh buat.

Itu kalau di Istana, tapi dengan Umno macam mana pula?

Pada saya, Harussani tidak berani bercakap benar bila berdepan dengan Ketua Umno sebab dia sendiri mendokong Umno. Kita mahu mufti kembali menjalankan tugasnya seperti menjalankan kerja dakwah, dan usaha-usaha lain. Jangan sebut PAS-Umno dalam masjid. Tapi apa yang benar kita cakap benar sebagai mana dalam al-Quran. Berapa kerat orang Umno yang hendak berdakwah tanpa dibayar gaji? Takkan di Perak tak ada ulama yang duduk dalam Umno? Tapi mana ada yang suka rela mengajar di masjid? Sebab orang Umno budaya mereka begitu. Kita perlu perlihatkan bahawa kuasa Umno halang ceramah di masjid.

Kenyataan Ahmad Maslan yang dakwa dia akan satukan juga PAS dengan Umno berdasarkan dengan senario yang dimulakan Harussani sarat dengan motif. Ia satu usaha memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?

Memang saya lihat Umno cukup gembira dengan peranan mufti ini sebab dia tahu mufti ini amat menyerlahkan apa yang dihasratkan oleh Umno. Sebab Umno tidak akan mengajak PAS untuk sama-sama bergabung melainkan untuk menghadapi masalah dalaman Umno. Saya jangkakan pilihan raya umum akan datang, Umno kalah teruk. Sebab itu mereka bersungguh untuk satukan PAS dengan Umno.

Soalnya kenapa baru sekarang nak ajak bersatu?

Itu betul. Sebelum ini mana ada Umno pernah ajak PAS. Kalau dia menang besar seperti tahun 2004, mana ada Umno ajak PAS bersatu. Tapi tahun 1999, dia kalah sikit, dia mula tuduh PAS khianati Melayu. Umno hari ini seronok, media arus perdana membesar-besarkan perkara ini. Tinjauan Sinar Harian di Melaka, menampakkan perpaduan Melayu PAS-Umno. Rakyat di sana menyokong kerana kalau tidak sokong Melayu akan rugi. Dan sasaran kajian itu adalah orang Umno.

Tidakkan kalau PAS tolak, PAS akan dicap sebagai degil dan anti perpaduan?

Itulah akhirnya. Umno akan buat kesimpulan bahawa PAS ini merupakan parti yang paling degil dan tidak mahu berpakat untuk kebaikan Islam dan untuk Melayu. PAS akan dituduh lebih senang berkawan orang bukan Islam dengan parti KeADILan yang dipimpin penyokong Yahudi. Sekarang Umno main serampang tiga mata dalam serangannya. Kalau terhadap PAS, serangannya dalam agenda perpaduan dengan Lokman Nor Adam bercakap, tapi tak laku. Selepas Mufti Perak barulah rakyat memperkatakannya. Kemudian mereka serang Anwar Ibrahim dengan mendakwa sebagai agen Yahudi. Umno serang DAP melalui kerajaan Pulau Pinang, seolah-olah anti Melayu. Serang semua matlamatnya untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Untuk lemahkan PAS dengan mengatakan wujudnya puak yang inginkan penyatuan Umno-PAS, dan pemimpin PAS bukan Tok Guru Nik Aziz sahaja. Seolah-olah kaitkan yang tidak mahu berpakat adalah Tok Guru Nik Aziz sahaja. Sedangkan yang lain ada yang nak pakat dengan Umno.

Apa yang patut PAS lakukan?

Dalam hal ini pemimpin PAS mesti tegaskan, bahawa ini adalah keputusan parti. Tidak akan mendokong bersama Umno selama Umno tidak memberi ruang kepada Islam, berdasarkan pengalaman lalu. Saya ingin bertanya kepada mufti, kenapa dia menyerang saya dengan menyatakan saya ini keras sangat dengan menyatakan PAS tak mahu berpakat dengan Umno. Walhal dalam kepimpinan PAS, saya aktif hanya dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini. Tetapi saya telah memahami hal dalaman Umno ini, jauh lebih lama dari itu ketika dalam kerajaan.

Apa yang berlaku dalam kerajaan, berdasarkan pengamatan Ustaz melihat kecenderunagn Umno terhadap Islam?

Semasa di Jabatan Perdana Menteri (JPM), saya menjadi orang pertama pegawai tinggi di Pusat Islam, yang setaraf dengan Ketua Pengarah Jakim sekarang. Saya melihat semasa menjalankan kerja-kerja dakwah, dengan memahami PAS yang ada di dalam kerajaan Perikatan kemudian BN, tiada masalah sepatutnya. Walaupun pegawai terhad kepada berbagai sasaran. Semasa penganjuran Bulan Dakwah anjuran Pusat Islam, pemimpin Umno seperti wan mokhtar, Yusof Nor, Hamid Othman tidak mahu serta, tak nak berceramah. Yang menyampaikan pengisian pada ketika itu adalah pemimpin PAS seperti arwah Ustaz Fadzil Noor. Apa yang berlaku ialah puak-puak Umno ini nampak ia seperti kempen PAS, hasilnya saya mendapat notis 24 jam dipindahkan.

Ustaz dituduh PAS? Kerana ligat anjurkan dakwah?

Ini cukup jelas. Ia menunjukkan Umno tidak mahu dakwah dan Islam. Bila pelajar di London menganjurkan beberapa program dakwah dan Islamik, mereka mendakwa ini dakwah songsang, budak-budak jadi ekstrem. Dr Mahathir dalam zaman PAS duduk dalam BN melalui Perikatan, pada tahun 1976 semasa komunis di Vietnam sedang mengamuk dengan Teori Domino, kononnya komunis akan masuk ke Thailand dan kemudian ke Malaysia. Semasa itu negara kita dilihat bakal menghadapi ancaman komunis semula. Pada masa itu, memang ada beberapa gerakan sehingga ada lapangan terbang dibom, dilihat juga Abim sebagai badan dakwah yang anti kerajaan. Semasa PAS masuk BN, Abim dianggap sebagai pembangkang. Sebab itu pada tahun 1974, Anwar Ibrahim ditahan. Ia menyebabkan Abim dilihat anti kepada percampuran antara PAS-Umno.

Maknanya Umno ini ada sahaja sasarannya yang dilihat tak ngam dengan mereka?

PM masa itu, Tun Hussein Onn pernah minta Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjustifikasikan cadangan kerajaan untuk mengharamkan Abim, ketika itu.

Haramkan Abim? Tak pernah dengar rasanya isu ini....

Ya, ada. Banyak orang tak tahu. Tapi wakil Bukit Aman menyatakan Abim tiada hubungan dengan gerakan bawah tanah dan ektremis dan Kementerian Luar pun buat laporan Abim ada keluar negara dan buat hubungan tetapi sekadar antara NGO dan gerakan Islam lain. Tiada yang menyatakan Abim ini militan. Yang buat laporan semua pegawai bukan Melayu. Tinggal kami sahaja yang Islam dalam komiti itu. Kami buat keputusan menyatakan tiada kewajaran untuk mengharamkan Abim. Sebab tiada bukti menunjukkan mereka ini mengancam keselamatan negara. Kalau ada pun, beberapa pemimpin yang anti-kerajaan. Tapi, Tun Hussein Onn tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan minta ianya disemak semula. Sekiranya Teori Domino ini berlaku, kami bagi hujah, sekian ribu anggota Abim yang berani ini akan mempertahankan negara kerana mereka berpegang kepada agama yang sanggup mati syahid. Kalau Abim diharamkan, Umno-BN bimbang komunis akan memperalatkan mereka untuk menentang kerajaan pula dan ini akan jadi masalah besar kepada keselamatan negara. Akhirnya buat keputusan, tak wajar diharamkan. Abim mesti wujud dalam konteks menghadapi komunis.

Maknanya Abim cuba nak dijadaikan galang ganti lawan komunis jika Teori Domino itu trajedi...

Inilah yang dikatakan kerajaan Umno-BN. Pragmatis. Kisah haramkan Abim ini tak ramai yang tahu. Hatta PAS yang duduk dalam BN pun, tak tahu mengenainya. Saya ketika itu ahli MKN mewakili JPM.

Pada Ustaz, Umno memang tidak mahukan Islam dan hanya pergunakan untuk kepentingan kuasa semata-mata!

Pengalaman saya duduk dalam kerajaan telah puas melihat tindakan Umno yang anti Islam sudah cukup bagi saya. Walaupun saya tak duduk dalam parti politik waktu itu, sehinga akhirnya media Umno cabar Ahmad Awang kalau hendak berpolitik tinggalkan jawatan masuk parti politik dan bertanding. Saya dituduh menggunakan Pusat Islam untuk kepentingan politik PAS. Sedangkan saya hanya menyampaikan Islam, menyebarkan dakwah, ini kewajipan saya. Sampai saya dipindahkan ke Kementerian Pelajaran dan dibekukan sebarang tugasan sehinggalah Anwar masuk kerajaan barulah saya dibenarkan menjalankan beberapa tugas. Inilah bukti Umno tidak bersedia terima Islam dan dakwah pun ditolak. Pada masa itu, Umno ada usul agama dalam Perhimpunan Agung mereka. Tapi usul itu tidak laku. Usul agama selepas PAS ditendang keluar akhirnya menjadi usul hentam PAS.

Tapi yang boleh dilakukan oleh ulama-ulama dalam Umno membetulkan keadaan ini?

Kebanyakan ustaz-ustaz seperti Dasuki Ahmad, Hamid Othman, Yusof Nor, Hamid Zainal Abidin, Abdul Kadir, (semua tu kawan-kawan saya) yang duduk dalam Umno adalah untuk mencari kedudukan. Mereka diperalatkan oleh Umno untuk tujuan kepentingan mereka. Apa yang mereka boleh lakukan? Mereka tak boleh jalankan dan mereka tidak boleh buat apa-apa.

Maknanya, ajakan Mufti Perak ini juga sebahagian dari propaganda Umno; berdasarkan kecenderungan mereka dalam kerajaan yang tak berminat laksanakan Islam...

Begitulah... Mufti Perak kena tahu inilah kerja Umno memperalatkan orang agama jika ada lagi yang minat bercakap Islam. Sebab itu tiada lagi ulama dalam Umno laku pada rakyat. Umno pun tidak terima, mereka seronok bila mufti jadi juara dalam isu ini bagi pihak mereka. Harussani sudah mencabar profesionnya dan Sultan yang dilibatkan mufti ini kepada politik maka ini sudah timbulkan masalah kepada rakyat dan negara. Apa lagi dia bercakap di Australia, dalam usaha satukan Umno PAS-Umno, dia kata Sultan telah bersetuju. Dia telah menyeret Sultan kepada parti politik. Harussani sudah cemarkan jawatannya dan kedudukan Sultan sendiri.

MP Serdang Kecewa Lawatan Ikhlas Ke Surau Al Huda Di Kontroversikan Pihak Tertentu

Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata beliau tidak faham kenapa lawatan 'kontroversinya' ke sebuah surau di Kajang Ahad lalu "dipermainkan-mainkan" kerana beliau berniat ikhlas.

"Lawatan ke surau Al Huda adalah satu lawatan yang mesra, (dan) ikhlas untuk berjumpa dengan penduduk di situ. Mereka menerima kehadiran saya.

"Saya tidak faham mengapa lawatan kecil ini dipermain-mainkan," katanya.

Ketika dihubungi
Malaysiakini Teo menjelaskan hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar surau berkenaan, seperti yang diminta oleh pihak pengurusan rumah ibadat itu.

Beliau juga mendakwa tidak tidak menyentuh langsung soal
politiksebaliknya hanya menerangkan tentang bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor.

"Kebanyakkan mereka tidak mengetahui tentang perkara ini, dan saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan perkara tersebut kepada mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas isu kemasukannya ke dalam ruang solat di surau itu, Teo berkata beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk. Saya
double check sama ada boleh masuk atau pun tidak.

"Saya sudah mendapat keizinan daripada pihak surau untuk masuk ke dalam surau. Muslimin dan muslimat pun, mereka menjemput saya masuk," jelasnya lagi.

***********************************************************

MASJID SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

Oleh Ghafani Awang Teh
Berita Harian,
March 1, 2008


PELANCONGAN keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.

Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.

Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Berdasarkan

pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)

Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.”
Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.

Bagaimanapun bagi menjamin dan memelihara kesucian masjid, pihak pengurusan perlu membuat peraturan sesuai umpamanya dimestikan menutup aurat, tidak meninggikan suara atau membuat bising serta menentukan masa sesuai yang tidak mengganggu umat Islam menunaikan ibadat.

Dari aspek pelancongan, kita dapati Masjidil Haram Makkah dan Masjid Nabawi Madinah di Arab Saudi menjadi tempat kunjungan paling popular di dunia.
Pada musim haji sahaja kira-kira 3 juta umat Islam mengunjungi Makkah dan Madinah.

Menurut Lembaga Pelancongan Arab Saudi menjelang 2020 dijangkakan seramai 45.5 juta orang Islam akan mengunjungi dua tempat suci itu dengan anggaran pendapatan sebanyak SR80 bilion setahun. Perbelanjaan besar umat Islam itu memberi peluang perniagaan yang besar kepada penduduk Arab Saudi.

Walaupun masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita tidak sehebat di Arab Saudi, tetapi ia berpotensi besar untuk menarik pelancong terutama orang bukan Islam menziarahi masjid dan tempat sejarah Islam yang ada di negara kita.

Berdasarkan pemerhatian, perkara yang menjadi daya tarikan pelancong terutama pelancong bukan Islam ketika melawat masjid ialah keindahan menara, seni bina masjid, mihrab, mimbar, hiasan dalaman masjid yang tenang, tempat wuduk, peranan imam, kemerduan suara muazzin, peranan makmum dan cara umat Islam menunaikan sembahyang.

Bagi umat Islam, daya tarikan ini kelihatan perkara biasa, tetapi bagi orang bukan Islam adalah sesuatu yang perlu diketahui secara mendalam kerana nyata suasana ketenangan rumah Allah itu berbeza dengan suasana rumah ibadat agama lain.

Di sebalik kecenderungan besar pelancong bukan Islam terhadap produk pelancongan berasaskan keagamaan ini, maka sewajarnya umat Islam mengambil kesempatan memperluaskan pengetahuan mengenai Islam melalui pelancongan.

Bagaimanapun bukan mudah untuk menarik pelancong datang menziarahi masjid kecuali pihak pengurusan masjid mampu mengambil langkah tertentu seperti menyediakan maklumat berkenaan sejarah penubuhan masjid, persekitaran bersih dan ceria serta kemudahan tandas selesa.

Begitu juga fungsi dalaman masjid, menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan yang selesa, menjalankan promosi luas kepada masyarakat setempat dan perkhidmatan pemandu pelancong selain menyediakan ruangan pameran serta galeri.

Pada masa ini antara masjid yang berpotensi besar menarik pelancong ialah masjid negeri dan Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Terapung Tengku Tengah Zaharah dan Masjid Kristal Jerteh di Terengganu, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Masjid Kampung Laut Kelantan dan Masjid Ulu Melaka, Melaka.

Masjid yang paling berjaya menarik pelancong ialah Masjid Negara. Menurut laporan, Masjid Negara mendapat kunjungan kira-kira 255,800 pelancong asing sepanjang 2007.

Selari dengan usaha memakmurkan masjid ini, maka marilah kita merenungi firman Allah bermaksud: “Bahawasanya yang memakmurkan masjid ialah orang yang beriman kepada Allah, hari Akhirat, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka yang memakmurkan masjid itu mendapat hidayah daripada Allah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Penulis ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tarikh : 23 April 2008
Sumber : Pengarah Bahagian Penerbitan
Editor : PRO JAKIM

Mengapa Waheeda Berpurdah Selepas 2 Hari Berkahwin Dengan Ust Akhil Hayy?


AKHIL Hayy dan Waheeda ketika ditemui di majlis pelancaran program raya Astro, Macam-Macam Ada di Sungai Penchala baru-baru ini.


SELAMA ini hanya kedengaran berita saja yang isteri kepada penyanyi dan pendakwah bebas, Akhil Hayy, Waheeda kini sudah berpurdah.

Foto-fotonya juga diedarkan secara meluas menerusi internet.

Namun, tuan punya badan tidak pula memberi sebarang reaksi, sebaliknya, dia lebih senang berdiam diri.

Bagi pelantun lagu Wassini itu, adalah lebih manis jika dia berdiam diri dan memberi tumpuan pada rumah tangga berbanding daripada melayan pertanyaan mereka yang kurang senang dengan personaliti terbarunya itu.

Kata Waheeda, dia tidak pernah mengambil kisah dengan dakwaan kononnya keputusannya berpurdah untuk mengelakkan diri daripada pandangan umum .

Selepas bernikah dengan Akil setahun lalu, Waheeda atau nama sebenarnya Nor Wahidah Abdul Wahab mengambil keputusan untuk berhijrah dari dunia glamor.

Selama tempoh itu juga, dia tidak pernah menghadiri mana-mana majlis yang dihadiri oleh suaminya.

Namun, minggu lalu pada majlis pelancaran program raya Astro, Macam-Macam Ada di Bora Asmara, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, dia muncul menemani suaminya.

Kehadiran tuan empunya badan yang hanya kelihatan sepasang matanya sahaja ternyata mencuri tumpuan ramai yang hadir.

Kelihatan tenang seperti sebelum ini, cerita Waheeda, dia menyangkal segala tuduhan yang kononnya pemakaian purdah atau niqab itu atas sebab ingin melarikan diri dari pandangan orang ramai.

Jelasnya, keputusannya untuk berubah itu atas pilihan sendiri demi lebih kearah kebaikan dan mengikut sunah sebanyak yang mungkin.

Waheeda mula mengenakan niqab dua hari selepas majlis resepsi perkahwinannya di rumah keluarga suaminya di Gopeng, Perak.

Kata Waheeda, hasratnya untuk berniqab sudah lama iaitu sebelum bernikah lagi.

Bagaimanapun, ketika itu, Waheeda mendengar nasihat ibu dan bapanya yang mencadangkan padanya agar tidak berubah secara mengejut.

“Selepas bernikah, saya berbincang dengan suami. Alhamdulillah dia memberi kebenaran untuk niat baik saya itu.

“Saya meminta kebenaran daripada suami untuk mengenakan niqab. Suami saya tidak pernah memaksa tetapi dia suka kerana saya sendiri yang berniat untuk melakukan perubahan. Dakwaan saya cuba lari dari tatapan umum itu tidak benar,” tegas Waheeda.

Sehubungan itu, Waheeda berkali-kali menegaskan, dia tidak pernah ‘lari’ bahkan sering keluar bersiar-siar bersama keluarga.

Yang membezakan hanyalah, Waheeda tidak muncul ke acara-cara hiburan kerana dia merasakan dunia glamor bukan lagi miliknya.

“Seperti yang saya katakan dulu, sebaik saja bergelar isteri saya akan bersara dari dunia hiburan dan tanggungjawab saya adalah untuk suami, keluarga dan Allah.

“Malam ini saya datang pun kerana menuruti permintaan suami yang ingin saya menemaninya,” ujar Waheeda yang cukup bergaya walaupun auratnya dilitupi niqab.

PM Najib Akan Adakan Pilihanraya Umum 13 pada Pertengahan Tahun Depan - Cakap2 Dari Putrajaya

Najib mungkin memanggil pilihanraya umum awal, kalau ikut perbualan terbaru di Putrajaya.
KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Cakap-cakap bahawa Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum ke-13 lebih awal — sekitar enam bulan pertama tahun depan meskipun mandat semasa hanya berakhir Mei 2013.

Presiden Umno itu dipercayai telah mengetengahkan idea tersebut di kalangan pemimpin BN dan percaya sewajarnya mendapatkan mandat baru ketika ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 10.1 peratus pada suku pertama 2010 dan disusuli 8.9 peratus, yang agak rendah, pada suku kedua.

Najib, yang juga Pengerusi BN, mengambil alih kepimpinan kerajaan dan Umno akhir Mac 2009.

The Malaysian Insider difahamkan pegawai-pegawai di ibu pejabat Umno juga sudah mula memikirkan strategi dan langkah ketika parti-parti saingan mereka kelihatan lebih ke depan dalam mendaftar pengundi baru.

Komponen Pakatan Rakyat (PR) telah memikat dua kali ganda pengundi baru berbanding Umno dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kami bimbang proses pendaftaran pengundi oleh orang-orang kami. Ia sangat perlahan,” kata seorang pegawai kepada The Malaysian Insider.

Pagi ini Perdana Menteri akan menghadiri sesi “Townhall BN Youth Lab” di Auditorium DBKL, yang menyaksikan sayap BN itu membentangkan strategi mereka memikat pengundi-pengundi muda.

Pemimpin-pemimpin kanan Umno dilihat menggalak penyokong-penyokong mereka ketika majlis-majlis berbuka puasa agar mengadakan kempen mendaftar pengundi baru.

Pengundi-pengundi baru, berusia antara 21 dan 35 tahun, dijangka menguasai separuh daripada keseluruhan bakal pemilih pada pilihan raya umum ke-13. Kira-kira 7.36 juta atau 49.7 peratus berbanding 40 peratus pada 2008 adalah dalam lingkungan itu.

Pemimpin-pemimpin Umno percaya bahawa tempoh setiap hari atau seminggu yang lewat bermakna lebih banyak pengundi baru akan memihak kepada PR khususnya DAP yang telah mendaftar 32.5 peratus daripada 169,838 pengundi antara Januari dan Jun tahun lalu.

Umno menyusul dengan kejayaannya telah mendaftar 32.3 peratus manakala PAS pula 22.7 peratus sepanjang tempoh yang sama.

“Umno biasanya akan mendaftar lebih ramai pengundi baru ketika cuti sekolah hujung tahun tetapi kami meraskaan adalah penting kami mendaftar seramai mungkin pengundi yang boleh sepanjang tahun khususnya di kalangan orang muda,” kata seorang pegawai Umno yang tidak mahu namanya dipetik.

Pegawai-pegawai Umno dan BN percaya bahawa perikatan itu akan memperoleh kejayaan yang melegakan jika sebahagian besar pengundi Melayu dan India mengundi mereka.

Mereka menganggarkan bahawa hanya 25 hingga 30 peratus pengundi Cina akan menyokong BN sementara yakin untuk menguasai sekurang-kurangnya 60 peratus sokongan Melayu dan India.

Difahamkan strategi utama ialah memikat pengundi Melayu yang lazimnya merupakan harapan besar Umno dengan sebahagian besar datang dari perkhidmatan awam dan kawasan-kawasan penempatan Felda selain pengundi kawasan luar bandar.

Ini menjelaskan sebab parti itu mengutarakan isu-isu bersifat perkauman. Bagaimanapun ada yang melihat ia akan melemahkan rakan-rakan Umno dalam BN manakala PR pula kelihatan semakin kukuh.

Bagaimanapun Umno yakin dengan sokongan orang Melayu dengan kajian terbaru menunjukkn 55 hingga 57 peratus pengundi Melayu sokong Umno-BN.

Dalam pilihan raya umum sejak 1986, sokongan Melayu hanya jatuh bawah paras 60 peratus ketika pilihan raya umum 1999 dan 2008.

Pegawai-pegawai Umno juga berkata parti itu sudah mengenal pasti calon-calon yang berpotensi untuk pilihan raya umum akan datang seawal tahun ini tetapi ia mengambil berat soal sama ada muka-muka baru boleh diterima di peringkat akar umbi.

“Kami tidak boleh meletakkan calon payung terjun dan sebab itu kami memulakan proses ini awal,” kata pemimpin itu.

Penyelidik Umno juga mendapati bahawa peralihan 10 peratus undi kepada BN akan mengurangkan kerusi PR daripada 77 yang dimiliki sekarang kepada hanya 27.

Pun begitu, di satu pihka yang lain 10 peratus peralihan undi kepada PR pula boleh meningkatkan tapak PR yang terdiri daripada DAP-PAS-PKR untuk menguasai Putrajaya tetapi kemungkinan kurang lima kerusi.

“Ini adalah senario yang menarik tetapi kami mengemaskinikan perkembangan dari semasa ke semasa,” kata beliau.

Difahamkan bahawa keputusan kerajaan untuk membayar imbuhan RM500 sempena Aidilfitri sesuatu yang luar biasa dan kemungkinan lebih banyak insentif akan diberikan khususnya apabila kerajaan mengumumkan Bajet 2011 Oktober ini.

Malah ada yang mendakwa ketiadaan bonus untuk kakitangan awam pada tahun 2007 juga salah satu sebab pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi berhadapan dengan prestasi pilihan raya yang tidak memuaskan dua tahun lalu.

Kerajaan BN mula memberikan bonus kepada kakitangan awam sejak 1993.

Ditanya mengenai keseriusan Umno-BN bersedia menghadapi pilihan raya umum tergempar, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata keputusan pilihan raya DUN Sarawak akan menentukan cepat atau lambat pilihan raya umum Parlimen.

“Saya merasakan pilihan raya tergempar sangat bergantung pada prestasi BN di Sarawak, yang rasa yakin pilihan raya negeri akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri dan November ini,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini ketika dihubungi.

“Jika BN memperlihatkan prestasi yang baik, BN akan menggunakan momentum itu untuk memanggil pilihan raya umum, dan jika prestasi tidak memuaskan, saya yakin ia akan dilewatkan sehingga hujung 2011 atau pada 2012.

“Apapun kesemuanya bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak, yang saya lihat DUN akan dibubarkan sebelum pembentangan Bajet 2011, dan pengundian beberapa minggu kemudian,” katanya lagi.

Bagaimanapun Setiausaha PAS Datuk Mustafa Ali yakin pilihan raya hanya akan dibubarkan selepas Mac depan selepas mandat semasa genap tiga tahun.

Malah beliau kurang optimis Najib akan memanggil pilihan raya umum tahun depan.

“Mengikut perkiraan saya, BN belum bersedia, saya melihat BN ada banyak perkara yang belum diselesaikan... masih jauh lagi,” kata beliau sambil menambah, pilihan raya negeri Sarawak juga tidak mungkin tahun ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Bung Moktar Radin pihaknya merasakan tiada keperluan untuk BN memanggil pilihan raya awal.

“Pada pandangan saya tidak alasan, tidak ada keperluan (untuk mengadakan pilihan raya awal).

“Kalau boleh kami mahu kerajaan meneruskan mandat sekarang, menjalankan projek pembangunan, dan hanya panggil pilihan raya pada 2013,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan ini.

Selain menekankan tiada keperluan, kata Bung Moktar, langkah mengadakan pilihan raya awal juga satu pembaziran berbanding mandat lima tahun yang ada sekarang.

“Tiada apa-apa masalah besar, kerajaan Najib tidak berhadapan dengan apa-apa krisis, tiada masalah dengan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Najib... ekonomi pun OK berdasarkan apa yang diumumkan baru-baru ini,” kata pemimpin dari Sabah ini.

Ketika ditanya sama ada keputusan pentadbiran Najib semalam yang mengumumkan bayaran khas Aidilfitri boleh dianggap sebagai tanda-tanda ke arah pilihan raya awal, Bung Moktar berkata, pembayaran itu dibuat dengan ikhlas untuk “merayakan Aidilfitri” dan bukan bayangan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.