VIDEO HOT: YB Kalabakan Hentam Zahrain Di Dewan Rakyat

'KPN tiada ijazah undang-undang': Sivarasa (Tipu Juga Ka)



Sivarasa: 'KPN tiada ijazah undang-undang'

Satu laporan polis dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh peguam Anwar, R Sivarasa, Musa, pegawai penyiasat dalam kes itu memberitahu mahkamah ketika itu bahawa dia mempunyai ijazah sarjana muda dalam undang-undang.

Bagaimanapun, dalam satu lagi perbicaraan yang membabitkan kes rasuah bekas Pengarah Sisatan Jenayah Perdagangan, Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff pada tahun 2009, Musa memberitahu mahkamah dia memiliki “diploma dalam undang-undang dan pengajian pengurusan”.

“KPN telah memberikan kenyataan palsu dengan mengatakan dia memiliki ijazah undang-undang ketika disoal balas dalam kes Anwar, sedangkan hakikatnya dia hanya mempunyai diploma dalam undang-undang,” kata Sivarasa ketika dihubungi.

Majlis Syura Ulama': Nik Aziz antara dilantik semula



KUALA LUMPUR, 24 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, antara yang turut dilantik semula ke Majlis Syura dalam mesyuarat pertamanya malam tadi adalah Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya tidak tahu secara rasmi siapa dilantik semalam, cuma saya difahamkan Tuan Guru Nik Aziz juga dilantik menjadi Ahli Majlis Syura," kata Mahfuz kepada media hari ini.

Mahfuz menjawab soalan para wartawan ekoran laporan Harakahdaily tentang mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak malam tadi.

Malam tadi Majlis Syura Ulama PAS mengadakan mesyuarat pertama mereka untuk sessi baru. Ia dipengerusikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Antara anggota mesyuarat malam tadi adalah empat wakil Jawatankuasa PAS Pusat, empat wakil Dewan Ulama dan dua wakil bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Wakil JK Pusat adalah Abdul Hadi sendiri, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Wakil Dewan Ulamak adalah ketuanya, Datuk Harun Taib, timbalan Datuk Ahmad Yaakub, naibnya Datuk Dr Mahfudz Mohamad dan Ustaz Nik Zawawi Salleh.

Wakil Dewan Pemuda adalah ketuanya Nashruddin Hassan dan Ustaz Zaharudin Muhamad. Dewan Muslimat belum memutuskan wakil mereka tetapi menghantar lima nama untuk dipilih.

Menurut Mahfuz, beliau difahamkan, dalam mesyuarat semalam mesyuarat berbincang untuk melantik lima orang ahli syura di kalangan sesiapa sahaja ahli PAS yang tidak semestinya dari Jawatankuasa PAS Pusat atau siapa-siapa yang difikirkan layak untuk menduduki majlis syura.

"Jadi semalam mereka bermesyuarat, saya difahamkan mereka hanya melantik lima orang sahaja tetapi belum melantik siapa Mursyidul Am," kata Mahfuz.

Selepas ini, kata Mahfuz mereka akan bermesyuarat semula bersama lima yang baru dilantik bagi melantik siapa Mursyidul Am di kalangan mererka.

"Ini peruntukan perlembagaan, sama ada melantik orang lama atau orang baru saya tidak tahu, boleh melantik orang baru sebagai Mursyidul Am tetapi itu belum diputuskan," katanya.

"Mereka tidak boleh memilih saya jadi Mursyidul Am," kata Mahfuz bergurau dengan wartawan.

Selangor dedah surat SPR kepada umum : P’raya PBT


Harakahdaily
SHAH ALAM, 24 Mac: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menyiarkan kepada umum surat yang dihantar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Menteri Besar berhubung cadangan untuk mengadakan pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu bagi membolehkan orang ramai memahami isu tersebut secara mendalam.

Tegasnya, surat SPR itu bukan noktah akhir kerana kerajaan negeri akan terus berusaha mencari jalan atau kemungkinan lain yang membolehkan pilihan raya PBT diadakan.

“Kita membincangkan isu ini dalam Mesyuarat Exco hari ini dan memutuskan jalan terbaik ialah dengan mencari pilihan lain dari sudut yang berbeza.

“Kami percaya dalam sebuah negara yang matang, fungsi sesebuah kerajaan perlu didemokrasikan dan ini baik kerana rakyat mempunyai banyak pilihan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Pada 11 Mac lalu, beliau menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan pandangan mengenai pilihan raya kecil PBT selain meminta SPR mengadakan kajian menyeluruh untuk kepentingan rakyat khususnya di Selangor.

Dalam surat setebal 11 muka surat bertarikh 23 Mac 2010 itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberikan maklumat dari perspektif perundangan dan had batasan berkaitan cadangan mengadakan pilihan raya PBT di negeri ini.

Beliau membuat kesimpulan bahawa SPR dan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya peringkat PBT bagi memilih ahli majlis.

Abdul Aziz juga berkata, SPR tidak boleh menjalankan kajian dan analisis seperti yang diminta Selangor kerana ia bukan bidang kuasa SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya 1957.

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.5 peratus pada 2010: HEBAT TELAHAN BNM




KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia bersedia untuk terus berkembang, disokong permintaan dalam negeri yang bertambah kukuh dan persekitaran luar yang semakin baik, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan 2009.

Tahun lalu, KDNK menguncup 1.7 peratus berikutan kemelesetan ekonomi dunia, yang dianggap bank pusat sebagai “kemerosotan terburuk dalam sejarah moden”.

Ekonomi susut 6.2 peratus pada suku pertama tahun lepas, menjadikan penguncupan pertama berbanding tahun sebelumnya dalam KDNK sebenar sejak suku ketiga 2001. Dalam laporannya yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata, ekonomi Malaysia kembali mencatatkan momentum pertumbuhan pada suku keempat 2009, berkembang sebanyak 4.5 peratus dengan pengukuhan pemintaan dalam negeri dan luar menyumbang kepada pertumbuhan.

Menurut laporan berkenaan, kestabilan ekonomi dalam negeri pada suku kedua dan pemulihan seterusnya pada separuh kedua tahun lalu adalah hasil pakej rangsangan fiskal, dasar monetari yang agresif dan langkah-langkah komprehensif bagi memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan.

"Di samping perbelanjaan awam yang lebih tinggi, langkah-langkah dasar juga membantu memulihkan sentimen sektor swasta, yang bersama-sama dengan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik, menyebabkan pengembangan penggunaan swasta pada separuh kedua tahun lepas," kata laporan itu.

“Tanda-tanda bahawa aktiviti pelaburan swasta mula stabil semakin jelas menjelang akhir tahun 2009. Selain itu permintaan luar negeri menjadi pemangkin pertumbuhan selanjutnya apabila ekonomi global, terutama ekonomi serantau, beransur-ansur pulih,” jelas Bank Negara.
Menurut Bank Negara, dengan sektor awam akan kekal menyokong, pertumbuhan dijangka didorong oleh aktiviti sektor swasta yang lebih besar dan permintaan luar yang kukuh daripada negara-negara serantau.

Asas makro ekonomi yang kukuh, kedudukan kewangan sektor swasta yang baik dan sistem kewangan yang teguh akan menyokong kepada pemulihan yang dipacu sektor swasta, manakala persekitaran monetari yang menyokong, termasuk akses berterusan kepada pembiayaan kompetitif akan kekal untuk mengukuhkan pemulihan dalam aktiviti sektor swasta.

Sumbangan utama kepada pertumbuhan tahun ini akan diperoleh daripada jangkaan pengukuhan dalam permintaan dalam negeri, dipacu terutamanya oleh sektor swasta dengan keadaan dalam negara yang baik termasuk peningkatan dalam pasaran pekerja, pendapatan boleh guna yang bertambah baik dan keyakinan pengguna yang semakin meningkat akan terus menyokong penggunaan swasta.

Menurut Bank Negara, seiring dengan pengukuhan permintaan luar dan peningkatan aktiviti dalam negeri, pelaburan swasta dijangka kembali pulih pada 2010. Tambahan pula, perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh perusahaan awam bukan kewangan dan kepantasan pelaksanaan baki projek di bawah pakej rangsangan kedua, akan terus memperkukuhkan permintaan dalam negara.

Pemulihan dalam ekonomi global, katanya akan menyediakan dorongan kepada pertumbuhan pada 2010, terutamanya daripada pengembangan yang lebih kukuh dalam ekonomi serantau.

Memandangkan sektor luar yang agak besar dalam ekonomi, pengukuhan permintaan luar akan memberi kesan limpahan yang positif kepada ekonomi yang lebih luas, dari segi pekerjaan, pengeluaran dan sentimen keseluruhan dengan ini menyokong pelaburan dan penggunaan swasta dengan lebih lagi, kata bank pusat itu.

Menurut laporan berkenaan, unjuran pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2010 bagi ekonomi domestik adalah berdasarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi global secara beransur-ansur dan tidak sama, dengan ekonomi dunia masih berdepan dengan beberapa risiko terutama di dalam ekonomi maju.

“Dalam hal ini, permintaan dalam negeri akan menjadi faktor utama dalam memacu pertumbuhan pada 2010. Dalam persekitaran ini, dasar akan kekal menyokong pertumbuhan, terutamanya bagi memastikan aktiviti sektor swasta terus kukuh dan pulih.

Mengenai monetari, dasar monetari akan kekal akomodatif di samping akan terus memberi tumpuan untuk memastikan sektor swasta terutama perusahaan kecil dan sederhana mempunyai akses kepada pembiayaan.

Menurut bank pusat, asas kewangan dan ekonomi Malaysia yang kukuh, meletakkan ekonomi domestik dalam kedudukan yang baik untuk pemulihan yang lebih kukuh memandangkan keadaan dunia yang terus bertambah baik.

Dengan ekonomi terus pulih pada 2010, dasar fiskal akan kekal bersedia ke arah penyediaan asas untuk pemulihan permintaan sektor swasta yang lebih teguh.

Menurut bank pusat itu lagi, perkara utama kepada pemulihan ekonomi mampan ialah pemulihan kukuh pelaburan dan penggunaan swasta.
Oleh itu dasar fiskal diberi keutamaan ke arah meningkatkan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. - Bernama

Adakah Adabku Terpuji? Tuan Ibrahim nasihati penulis blog agar jaga adab




Oleh BASHIR ISHAK

ARAU: Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memperakui peranan media baru seperti blog yang banyak membawa implikasi kepada perubahan lanskap politik tanahair.
Bagaimanapun menurut beliau, selain blog yang banyak memberikan sumbangan kepada PAS, ada juga penulis-penulis blog yang langsung tidak memberikan sumbangan malah menjatuhkan imej parti.

"Penulis blog hendaklah menjaga adab. Ada terdapat penulis blog di kalangan ahli PAS yang lagsung tidak memberikan sumbangan kepada parti. Tulisan mereka merosakkan nama baik parti.

"Parti berterima kasih kepada sumbangan para penulis blog, tapi jadilah penulis blog yang memerikan sumbangan ke arah kebaikan parti," katanya.

Selain itu, beliau turut memberikan amaran kepada pengelola blog agar tidak membuat pautan dengan blog yang tidak bertanggungjawab.

Katanya lagi, penulis blog tidak seharusnya menjadikan blog mereka sebagai elemen yang tidak baik kepada parti.

"Jangan sekali-kali kita 'link' dengan blog-blog yang tidak bertanggungjawab, kita akan tanggung dosa di akhirat kelak. Dalam penulisan blog, ada perkara yang boleh kita dedahkan danada maklumat yang tidak boleh disebarkan dan kena jaga imej parti.

"Saya turut memantau beberapa blog yang dilihat langsung tidak menolong memperkasakan parti malah dilahat seperti membantu memberikan 'bola tanggung' kepada musuh kita," tegasnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda dan Muslimat Kawasan Arau.

Majlis perasmian serentak ini yang diadakan di Balai Islam MADI, Jejawi Dalam dekat sini turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin serta Yang Dipertua PAS Arau, Rus'sele Eizan.

DetikDaily

Seperti Dijangka - SPR: Pilihan raya PBT tak boleh diadakan



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan Selangor kerana seksyen mengenainya dalam Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960 dimansuhkan selepas Akta Kerajaan Tempatan 1976 dikuatkuasakan.

Menurut SPR, kedua-dua negeri tertakluk kepada akta 171 yang menyatakan perlantikan ahli majlis hendaklah dibuat secara lantikan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusoff, berkata pemansuhan seksyen akta berkenaan memberi kesan kepada semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini mengumumkan mahu mengadakan pilihan raya PBT dan meminta SPR menguruskannya.

Saham judi: Ibrahim Ali Akan Saman ( Kita Tunggu Penjelasan MP Machang)

Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali melahirkan rasa terperanjat dan menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bahawa dia mempunyai saham dalam syarikat judi, Ascot Sports sebagai jahat, biadap dan tidak berakhlak.

Dalam SMS yang dihantar hari ini, Ibrahim juga membidas
Malaysiakini kerana menyiarkan laporan itu semalam.

“Saya terperanjat dengan sifat jahat, biadap dan tidak berakhlak langsung tuduhan Saifudin Nasution yang membuat dakwaan saya ada saham saham judi dalam syarikat Ascot Spots kepunyaan Vincent Tan.

“Kenyataannya terbit dalam
Malaysiakini yang ditulis oleh Salhan K Ahmad. Penulis dajal ini wujud atau pun tidak atau guna nama samaran,” tulisnya.

Menurut Ibrahim kenyataan berkenaan bertujuan memburukkan namanya kerana kelantangan beliau memperjuangkan agenda Melayu.

“Saya bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi dan sedia junjung al-Quran bila-bila masa untuk membuktikan saya tidak ada kaitan, tidak ada saham, langsung atau tidak langsung (menguna proxi) dalam yarikat judi Vincent Tan,” tulisnya lagi.

Beliau juga mencabar supaya semakan dibuat dengan Suruhanjaya Sekuriti bagi membuktikan bahawa dakwaan MP Machang itu tidak benar.

Ibrahim juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan akan mengarahkan peguamnya untuk bertindak.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) pernah diwawancara secara eksklusif oleh Malaysiakini dan ditemubual oleh wartawan Salhan sendiri.

-malaysiakini-

Rumah Chegu Bad : AMK Pusat PKR diserang bom petrol

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Rumah ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBad, di Seremban menjadi sasaran serangan bom petrol awal pagi ini — dipercayai perbuatan bermotifkan politik.
Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan teruk kecuali kesan kebakaran di lantai dan dinding luar rumah teresnya yang terletak di Taman Chedang, Seremban.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Rembau berkata beliau sedar rumahnya dibaling dengan botol bom petrol kira-kira 1.30 pagi.
“Kira-kira 1.30 pagi tadi saya terdengar bunyi kaca pecah dan apabila saya dari keluar rumah, saya nampak api di luar rumah dan secara kebetulan jiran saya menggunakan air dari paip luar rumah untuk memadamkan kebakaran,” katanya ketika dihubungi awal pagi.
Turut berada di rumah ketika kejadian ialah isteri dan dua anaknya.Ini kali pertama rumahnya dibaling dengan bom petrol, kata beliau.Keretanya juga mengalami kesan kebakaran tetapi tidak rosak teruk.

“Saya tidak pasti apa punca tindakan pihak yang membaling bom petrol ke atas rumah saya kecuali saya percaya ini dilakukan oleh musuh-musuh politik saya,” kata beliau yang lazimnya lantang menyuarakan isu berkaitan kepimpinan peringkat negeri dan juga pusat.
Bekas calon pilihan raya umum ke-12 bagi kerusi Parlimen Rembau ini membuat laporan polis kira-kira 3 pagi tadi.
“Berdasarkan maklumat diberikan jiran saya, mereka ada lihat dua orang yang menaiki motosikal membaling bom petrol ini,” katanya.TMI

Seleweng Dewan: Adakah Najib Akan Dihadapkan Ke Jawatankuasa Hak


Royalti: Dokumen dakwa Najib bohong diserah kepada Speaker

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyerahkan dokumen yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbohong berhubung isu royalti kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat esok.

Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) dalam satu sidang media pagi ini berkata, beliau telah mengemukakan perkara itu kepada Speaker di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

"Sebentar tadi saya telah bangun dalam dewan dan mengemukakan peraturan mesyuarat 36(12) yang meminta penjelasan daripada yang dipertua dewan dan ahli parlimen yang pada anggapan saya telah melakukan penelewengan fakta pada 4 November tahun 2009." katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurutnya, Perdana Menteri dalam jawapannya berhubung isu royalti tahun lalu menggunakan istilah wang ehsan sedangkan terbukti dalam surat Petronas kepada pegawai kewangan Negeri Terengganu pada tahun 1979, jelas menggunakan bayaran royalti, bukan wang ehsan.

Ujarnya juga, surat Petronas kepada Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menyebut wang royalti.

“Perdana Menteri telah mengunakan perkataan wang ehsan dalam isu tuntutan royalti dan telah menyelewengkan dewan,” katanya.

Menurut Salahudin, dokumen berkaitan sedang disediakan dan dijangka diserahkan kepada Speaker pagi esok.

Pada masa yang sama, Najib diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan berhubung perkara itu.

"Dewan boleh merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan maka tadi saya berdiri dan memberi tempoh selama tujuh hari kepada Perdana Menteri untuk membuat penjelasan," katanya.

Najib ketika perbahasan berhubung isu tuntutan royalti Petroleum Kelantan di Dewan Rakyat pada 4 November lalu menggunakan mendakwa Terenganu hanya diberikan wang ehsan.

Harakahdaily.net/-

Lidah Melayu Dibakar : SIAPA YANG PATUT DISALAHKAN



Bakar Utusan Malaysia
Tindakan Biadap: Mohamad

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan hari ini menyifatkan tindakan orang Melayu membakar akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini sebagai perbuatan paling biadap terhadap bangsanya sendiri.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, akhbar itu merupakan lidah rasmi bangsa Melayu ketika menuntut kemerdekaan dahulu tetapi malangnya, akhbar itu kini dihina oleh orang Melayu sendiri.

"Saya ingin menyatakan terutamanya kepada orang Melayu yang membakar Utusan Malaysia beberapa minggu lalu sedarkah perbuatan ini perbuatan yang paling biadap kepada bangsa Melayu.

"Utusan Malaysia ditubuhkan pada tahun 1937, 73 tahun yang lalu. Inilah lidah rasmi bangsa Melayu (ketika) hendak menuntut kemerdekaan negara ini. Inilah akhbar yang mendidik minda Melayu supaya terus maju, inilah lidah yang menjadi wakil kepada wadah perjuangan Melayu untuk menyatukan Melayu dan membawa Melayu kepada perubahan yang lebih baik dari zaman itu untuk masa-masa akan datang.

"Apakah tergamak orang Melayu menghina satu akhbar yang begitu besar jasanya kepada bangsa Melayu," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Dewan Rakyat hari ini.

Perbahasan Mohamad itu kemudian dicelah beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang turut kecewa dengan tindakan orang Melayu terhadap akhbar arus perdana itu.

"Kita di sini bukan membela siapa, tetapi kita nyatakan yang benar tetap benar, mungkinkah mereka telah dipengaruhi oleh pemimpin bukan Melayu," kata Bung Moktar.

Bung Moktar berkata, akhbar itu juga dilabel sebagai rasis oleh pihak pembangkang kerana sering menyiarkan berita berbentuk provokasi seperti pendedahan pembatalan perarakan sambutan Maulidur Rasul oleh kerajaan Pulau Pinang.

Membahaskan isu lain, Mohamad mahu peruntukan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) nanti lebih banyak berbanding RMK-9 memandangkan lima tahun akan datang, segala harga barangan dan kemudahan akan meningkat naik.

Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan senario wanita tempatan yang berkahwin dan lari bersama lelaki dari Lombok yang semakin menjadi-jadi pada masa kini.

"Wanita kita suka sangat kepada lelaki Lombok ini kenapa? Saya dengar orangnya handsome (kacak), lemah-lembut. Kita harus berhati-hati, saya hendak ingatkan kalau perempuan kita berkahwin dengan lelaki Lombok jangan kita ambil tindakan melulu, kalau dah kahwin apakah wajar kita suruh bercerai," katanya. - BERNAMA

RM50 Juta "LUPUS"demi kesejahteraan Rakyat

Oleh: AZMAN AHMAD


Sungai Petani – Kerajaan negeri tidak berniat untuk menaikkan cukai tanah malahan telah bertindak menurunkan cukai tanah yang dinaikkan pada tahun 2007.


”Sebaik sahaja kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan dua tahun lalu, cukai tanah telah diturunkan. Akibat penurunan tersebut kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM50 juta setahun namun ia dilakukan demi kesejahteraan rakyat,” kata YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sewaktu berucap di majlis penyampaian geran tanah di perkarangan Pejabat Daerah Kuala Muda.

Bagaimanapun kerajaan mendapat semula pendapatan dari penebangan balak yang dibuat melalui tender terbuka dan hasil premium pasir, yang keduanya berjumlah RM58 juta.

Menteri Besar mengingatkan pemilik tanah supaya tidak lupa membayar cukai tanah, kerana cukai tanah adalah sebahagian dari hasil negeri. Begitu juga, katanya, bayaran untuk premium tanah perlu dijelaskan sebelum geran boleh dikeluarkan sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

”Ramai yang telah memohon dan diluluskan tapi kerajaan tidak boleh beri geran kerana mereka tidak membayar premium tanah, apabila mereka tidak membayar, kerajaan tertunggak kutipan cukai tanah.

”Mengikut rekod pejabat tanah, tanah tersebut (yang tidak menjelaskan premium) masih belum bertuan, apabila ada permintaan baru, maka permohonan tersebut akan diproses dan apabila dikeluarkan geran, pemohon kedua membayar premium tanah dan dianugerahkan tanah tersebut kepada dia. Maka timbullah bantahan dari pemohon pertama, walhal dia tidak menjelaskan premium dahulu maka tanah itu bukan lagi miliknya,” jelas menteri besar.

Mengenai premis yang dibina di atas tanah kerajaan, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa apabila tiba masanya, kerajaan perlu mengambil tanah tersebut maka kerajaan akan bayar saguhati.

”Ada sesetengah pihak tidak mahu saguhati, mereka mahu pampasan. Inilah yang perlu difahami, pampasan hanya untuk tanah bergeran, tanah hak milik kerajaan jka ada usaha memajukan tanah tersebut, maka kerajaan akan bayar saguhati bukan pampasan,” kata Ustaz Azizan lagi.

Katanya, tidak semua tanah yang dipohon akan diluluskan kerana kerajaan perlu mengambilkira kepentingan tanah tersebut kepada keperluan rakyat yang lebih besar.
Menteri Besar turut menjelaskan kriteria kelulusan tanah anugerah oleh kerajaan.

”Antara syaratnya ialah 10 tahun tidak boleh pindah, selepas 10 tahun, pemilik geran yang dianugerahkan hari ini boleh membuat tukar hak milik ataupun pajak. Sebelum genap 10 tahun, tanah ini dilarang sama sekali dari dipindah milik atau pun di jual. Jika terdapat keperluan yang memerlukan tanah ini dijual, maka kelulusan mesyuarat kerajaan negeri diperlukan

”Jika tanah tersebut terlibat dalam rancangan tanah kerajaan dan pemilik tanah yang tergesa-gesa menukar hakmilik tanah, kerajaan akan menaikkan premium tanah tersebut. Begitu jugak bagi pemilik yang tertunggak cukai tanah, kerajaan akan menaikkan premium tanah tersebut juga.

”Tidak keinggalan juga yang melanggar syarat seperti syarat tanah untuk pertanian tetapi dibina bangunan di atas tanah tersebut, naka premium tanah tersebut juga akan dinaikkan,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut seramai 120 pemohon diberi geran hak milik, di mana tanah paling luas diperolehi ialah 10 ekar dan yang paling kecil setengah ekar.

Turut hadir di majlis tersebut ialah YB. Dr Hamdan Mohamed Khalib, YB. S. Manikumar, YB. Haji Abdullah Jusoh dan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda, Encik Zaid Ahmad.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.