Bayi-Bayi Yang Dibuang Mungkin Bayi Pesta Tahun Baru



Oleh: ZULKIFLI YAHAYA





Betullah seperti kajian yang dibuat, bahawa kadar kelahiran bayi luar nikah biasanya meningkat dalam bulan 9 atau hari-hari sekitarnya, setiap tahun. Bayi ini dihasilkan dari seks bebas yang dilakukan oleh remaja yang terencat akhlaknya pada malam tahun baru.


Dalam kalendar tahunan aktiviti hedonisme di Malaysia, kegiatan berseronok suka yang paling hangat berlaku mengikut ranking berikut:

1. Malam tahun baru
2. Hari Valentine
3. Malam Merdeka (31 Ogos)

Sekarang hampir setiap hari terdapat laporan bayi dibuang di mana-mana. Kemuncaknya akan berlaku dalam bulan 9 dan 10. Apa yang dilaporkan dalam media hanyalah ‘tips of the iceberg’. Pelbagai ulasan yang dibuat oleh pelbagai pihak bagaimana menangani isu buang bayi ini, tapi hampir kesemuanya jugak adalah strategi jangka panjang.

Daripada semua ulasan yang dibuat itu, hanya satu sahaja pandangan yang boleh diterima pakai iaitu: ‘Kita kembali menjadikan Islam sebagai cara hidup dan laksanakan hukum Allah kerana hikmah pelaksanaannya ialah terdapat nakalamminallah (pencegahan dari Allah.’

Betul dan tepat sekali! Cuma soalnya perkara tersebut tidak boleh dilaksanakan besok, minggu depan, bulan depan, tahun depan… abad depan pun belum tentu. Sementara kita menunggu hukum hudud dilaksanakan atau Islam diamalkan oleh majoriti rakyat negara ini, bayi-bayi yang sudah sempurna sifat yang berada dalam perut perempuan tanpa suami akan terbit bila-bila masa sahaja. Bayi-bayi itu akan dibuang bila-bila masa sahaja. Tidakkah kita semua cemas?

Tamsilannya mudah saja. Sebuah asrama pelajar sedang mula terbakar. Maka para penghuninya mesti dikerahkan keluar selamatkan nyawa terlebih dahulu. Panggil bomba datang memadam. Bukan masanya lagi warden asrama bermesyuarat bagaimana memberi latihan kecemasan menghadapi kebakaran atau mengelak kebakaran dari berlaku. Memang perkara itu adalah asas dan sangat penting, tapi menyelamatkan dari dan harta benda sewaktu rumah sedang terbakar menjadi lebih penting ketika itu. Memadamkan kebakaran lagi penting.

Besok, lusa, tulat, tungging akan ada bayi dibuang dalam tong sampah, dimamah anjing. Dihurung semut. Come on brader, tak kan nak tengok saja dengan mata putih.

Maka di sini saya ada cadangan mengatasi jangka singkat:
1. Buat spot check terhadap semua pelajar sekolah, periksa perut pelajar perempuan. Panjangkan juga ke asrama kilang, IPT dll. Adakan ujian mengandung dan sebagainya.
2. Adakan kempen ‘Jangan Buang Bayi’ lebih serius dengan menyedarkan seluruh rakyat jelata bahawa banyak bayi luar nikah dalam perut tunggu masa saja untuk dibuang.

Pelan mengatasi jangka sederhana:
1. Gerakan besar-besaran banteras bahan lucah dalam apa bentuk jua
2. Lancarkan kempen ‘Sama-sama Menyahkan Video Lucah’ atau singkatannya SAMY VELU
3. Kerap adakan operasi cegah maksiat
4. Dan lain-lain.

Pelan lebih panjang sikit:
1. Pesatkan kerja dakwah untuk mentarbiah masyarakat supaya mengamalkan cara hidup Islam (PAS jangan dok kira ceramah politik isu semasa saja, giatkan kerja dakwah)
2. Giatkan kempen banteras budaya hedonisme

Pelan lebih panjang lagi:
1. Laksanakan hukum Allah SWT dalam pemerintahan (kena bagi dekat yang mau buat laa)

Ini bukanlah dokumen berasaskan penyelidikan tetapi menulis sekadar apa yang terlintas di fikiran. Mungkin ada cadangan lebih baik. Yang paling penting saya nak habag ialah kita kena sedag situasi yang ada ketika ini. Sedang dan bertindak, jangan tunggu lagi.

Kelantan Dah Laksanakan 12 Kes Hukuman Sebat Syariah


KOTA BAHARU 19 Ogos - Pihak berkuasa agama Islam Kelantan telah mengenakan hukuman sebat ke atas 12 pesalah jenayah syariah selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah diperkenalkan di negeri itu pada 1986.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad berkata, hukuman sebat yang pertama dilaksanakan di Penjara Pengkalan Chepa pada 25 Jan 1987 yang melibatkan pesalah mukaddimah zina dengan dikenakan tiga sebatan.

"Sejak itu Mahkamah Syariah menjatuhi hukuman sebat ke atas 12 kes, termasuk dua kes digugurkan,” katanya dalam kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Hukuman Sebat Syariah sempena Majlis Sambutan Hari Hududullah peringkat negeri 2010 di sini, hari ini.

Dalam kertas kerja bertajuk “Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah; Realiti Pelaksanaan” Daud berkata setakat ini tiada kes liwat dilaporkan di negeri ini.

- Bernama

Permit Akhbar Roket Di Perbaharui






KUALA LUMPUR, 19 Ogos: DAP hari ini menerima surat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa permit Roket Bahasa Inggeris dan China telah diluluskan, kata Setiausaha Publisitinya, Tony Phua.

Menurut Tony, pihaknya akan membuat bayaran sebanyak RM50 segera kepada KDN untuk membolehkan permit itu dikeluarkan.

Nasib Roket sama sahaja dengan Harakah iaitu hanya boleh dijual kepada ahli DAP sahaja di samping boleh dijual di pejabat urusan dan markas DAP sahaja.

Dengan kelulusan ini, hanya tinggal permit Suara Keadilan sahaja yang masih belum diluluskan oleh KDN.

Sebelum ini, KDN memberikan pelbagai amaran dan surat tunjuk sebab ekoran tindakan Harakah, Suara Keadilan dan Roket terus diterbitkan walaupun permit masing-masing belum diperbaharui oleh mereka.

Namun, selepas surat-surat itu dibalas, hanya Harakah yang mendapat permit dan diikuti dengan Roket hari ini.

Polis Siasat MP PJ Utara Kemungkinan Hantar Sendiri Peluru M16, Polis Ambil Sample DNA

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini hadir ke balai polis Mutiara Damansara sekali lagi untuk siasatan berhubung ugutan dan kiriman peluru yang diterimanya sebelum ini.

Pua yang berada selama kira-kira 45 minit di balai tersebut berkata, siasatan itu bagi memastikan bahawa kiriman itu tidak dihantar oleh dirinya sendiri.

Bercakap kepada pemberita selepas keluar daripada balai polis tersebut, Pua berkata beliau dan pembantunya perlu memberikan sampel DNA kepada polis untuk membantu siasatan.

Polis juga meminta untuk mengambil cap jari pembantunya, yang bertanggungjawab membuka kiriman tersebut, kata Pua.

Katanya, cap jari itu akan diambil di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya, manakala sampel DNA kedua-dua mereka akan diambil di Pusat Kesihatan Universiti Malaya di Petaling Jaya.

Sampel DNA

Pua menjelaskan, polis meminta sampel DNA itu kerana mengesyaki suspek yang bertanggungjawab menghantar kiriman tersebut telah menggunakan air liur untuk melekatkan setem.

Tambahnya, sampel tersebut bagi membolehkan polis mengasingkan DNA beliau dan pembantunya daripada DNA sampel lain yang ditemui pada bungkusan tersebut.

Pua juga berkata beliau juga telah merujuk peguam Gobind Singh Deo yang memaklumkan bahawa proses untuk mengambil sampel tersebut adalah prosedur biasa siasatan polis.

Katanya lagi, beliau hanya diberitahu untuk ke IPD Petaling Jaya dan ke hospital berkenaan dalam pertemuannya dengan seorang pegawai penyiasat di balai polis tersebut sebelum ini.

"Tempoh itu lama sebab saya terpaksa menunggu," katanya lagi dan menjelaskan tiada apa-apa keterangan lanjut diambil daripadanya.

Mengulas lanjut, Pua juga melahirkan kekesalan kerana sehingga kini tidak ada pemimpin tertinggi negara dan pihak polis yang tampil ke hadapan bagi mengutuk tindakan menghantar kiriman tersebut.

PM, IGP membisu

"Lebih kurang satu minggu saya buat laporan polis atas kes peluru hidup yang saya terima tapi sampai sekarang ketua polis negara dan perdana menteri tidak keluarkan kenyataan untuk kutuk tindakan ini,

"Orang yang buat perkara ini akan rasa lebih bersemangat untuk buat lagi (tindakan sama) dalam masa akan datang," katanya lagi.

Pada 11 Ogos lalu, sebuah bungkusan dialamatkan ke pejabat Pua di Damansara dari Tangkak. Ia dibuka oleh pembantu khas di pejabatnya dan beliau menjumpai sebutir peluru hidup bagi senapang M-16 dan sepucuk surat ugutan.

Surat berkenaan berbunyi: "Lu banyak berani?

"Sekarang lu mau apa?

"Jalan sekarang mau tengok depan, belakang, kiri, kanan bawah dan atas.

"Apa pasal?

"Lu punya keluarga, rumah, pejabat, kereta - WHT ....004, wa sudah tau.

"Sendiri mau ingat. Lu fikirlah sendiri."

Pembantunya itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara kira-kira dua jam selepas itu.

Dakwaan Timb Menteri Terlibat Dengan Dalang Pelacuran : Arjunan buat laporan polis dakwa terima ugutan bunuh

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), M S Arjunan hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh menerusi satu panggilan telefon, petang semalam.

Setiausaha PKR Ipoh-Barat itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Arjunan berkata beliau membuat laporan polis itu kerana khuatir terjadi sebarang perkara yang tidak diingini terhadap diri dan anggota keluarganya.

Beliau mendakwa menerima panggilan berkenaan 3.39 petang semalam dari seorang lelaki berbangsa India yang tidak dikenali yang memaki serta mengugut untuk membunuhnya dan keluarganya.

Sabtu lalu, Arjunan membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahterana Bandar, Datuk M Saravanan mendakwa timbalan menteri itu terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan gangsterisme di Brickfields.

Beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya itu namun ia diberikan kepada peguamnya untuk didedahkan setelah kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata selagi Arjunan tidak kemukakan bukti yang dimiliknya, selagi itu juga polis tidak dapat teruskan siasatan.
Justeru, katanya tidak ada alasan untuk polis memanggil atau merekodkan keterangan timbalan menteri berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan turut melahirkan rasa kesal dengan sikap Arjunan yang enggan memberi kerjasama dan menyembunyikan bukti berkenaan dakwaannya terhadap timbalan menteri itu.

Beliau berkata sikap Arjunan hanya akan melewatkan proses siasatan yang sedang dilakukan.

- BERNAMA

Anak DS Anwar Ibrahim Penderhaka : Zahid Hamidi

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, sebagai penderhaka kepada negara kerana mengeluarkan kenyataan palsu mengenai aset pertahanan negara di luar negara, lapor Berita Harian Online.

“Kenyataan itu amat jijik, tidak bermaruah dan beretika yang bertujuan memburukkan imej negara di mata dunia,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama penduduk di masjid jamek, Sungai Keli Hutan Melintang, dekat Bagan Datoh, malam semalam.

Beliau mengulas tuduhan Nurul Izzah dalam temubual bersama akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu kononnya kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman, masih tidak boleh menyelam selain mendakwa aset canggih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sebagai usang dan terpakai.

Berikutan kenyataan itu, panglima tentera laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dilaporkan berkata ketua sel pasukan kapal selam TLDM, kapten Abdul Rahman Ayub, membuat laporan polis berhubung pembohongan wakil rakyat PKR itu di balai polis Hulu Kelang.

Ahmad Zahid berkata, beliau kesal dengan kenyataan palsu berkenaan dan menegaskan seseorang ahli parlimen sepatutnya mempunyai tata etika dan bercakap sesuatu yang benar mengenai negara ketika berada di negara luar.

“Tetapi cara beliau (Nurul Izzah) memburuk-burukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mempunyai agenda politiknya tersendiri.

"Kedudukan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman sudah beberapa kali saya jelaskan di Parlimen, saya sebut kapal selam itu boleh menyelam, kalau tak mana boleh sampai dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar di Sabah,” katanya kepada
Berita Harian.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata tindakan TLDM membuat laporan polis amat wajar bagi membersihkan nama baik ATM.

Beliau memberi amaran kepada semua ahli parlimen terutama dari parti pembangkang supaya jangan cuba mempolitikkan isu pertahanan negara yang boleh menganggu-gugat keselamatan negara.

"Walaupun ahli
politik mempunyai perbezaan pendapat tetapi janganlah cuba mengeksploitasi perkara yang benar dengan kenyataan berunsur palsu," katanya.

Jom Tukar PRU-13 : Pendapatan isi rumah RM4000.00

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran Pakatan Rakyat adalah supaya setiap isu rumah menikmati pendapatan RM4,000 dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil-alih pentadbiran kerajaan pusat.

"Cadangan polisi ini akan dikemukakan ke majlis pimpinan Pakatan untuk perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Katanya, walaupun pertumbuhan negara pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua yang diumumkan semalam boleh dibanggakan, namun hakikatnya, masih terdapat 2.4 juta keluarga atau 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang RM2,300 sebulan.

Yusof Nor Didesak Dedah Pendapatan Terajui Felda

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Selepas cubaan pertamanya gagal, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah sekali lagi mendesak Tan Sri Mohd Yusof Nor agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Bagaimanapun Sivarasa menegaskan beliau tidak akan membuat pendedahan itu terlebih dahulu, tetapi mahu Yusof sendiri menjelaskan jumlah sebenar pendapatannya.

Sivarasa berkata, Yusof (gambar) sepatutnya mendedahkan ganjaran yang diterima kerana beliau bekerja dengan sebuah agensi ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

“Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat, jadi sebagai seorang pengerusi beliau (Yusof) patut dedahkan pendapatan tahunannya kepada umum terutamanya kepada peneroka.

“Lagipun ia sudah menjadi amalan biasa seorang pengerusi yang bekerja dengan badan berkanun dedahkan pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata pendedahan itu penting kepada peneroka untuk mengetahu ganjaran sebenar yang diterima Yusof selaku pengerusi Felda.

“Jumlah ganjaran yang saya nak tahu termasuk gaji, elaun dan faedah yang diperoleh beliau setiap tahun.

“Saya cuma nak tahu jumlah sebenarnya yang saya pasti bukan hanya saya tapi rakyat lain juga ingin mengetahuinya.

“Jadi saya harap beliau dapat memberikan jumlah tepat tersebut bukan kata jumlah lebih kecil daripada RM2 juta,” katanya.

Pada Sabtu lalu Sivarasa mencabar Yusof agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan juga elaun.

Namun Yusof yang dihubungi The Malaysian Insider menafikan jumlah tersebut dan mengatakan pendapatan tahunannya selaku Pengerusi Felda adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah didakwa Sivarasa.

Yusof bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pendapatan beliau.

“Beliau (Yusof) seolah-olah nampak marah apabila ditanya soal pendapatan tahunannya. Jadi saya minta beliau supaya tidak terlalu sensitif.

“Sebelum ini beliau tuduh kita paksa peneroka bayar RM500 kepada peguam sebagai kos khidmat.

“Tapi kita telah pun menjawab tuduhan itu jadi mengapa beliau juga tidak boleh berikan jawapan kepada soalan yang saya ajukan kepadanya?,” kata Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang.

Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.

Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.

“Jadi saya harap Yusof dapat memberikan jumlah tepat tersebut bukan hanya kata jumlah lebih kecil daripada RM2 juta.

“Saya nak dengar jawapan daripada beliau bukan orang lain. Saya akan terima jumlah yang dikatakan beliau,” tegas Sivarasa lagi.

Tidak logik dakwaan wujud ‘perlembagaan baru’ - Prof Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari menegaskan tidak logik ada pihak mengeluarkan perlembagaan baru kerana dokumen sedemikian tidak boleh dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tanpa melalui proses perundangan sewajarnya.

Justeru tambah beliau, oleh kerana perlembagaan tidak boleh dipinda atau dimansuh tanpa persetujuan atau proses yang sah, maka soal wujudnya perlembagaan baru tidak timbul sama sekali.

“Ia perlu melibatkan Parlimen, Raja-raja dan Yang Dipertua Sabah dan Sarawak.

“Ini kerana peruntukan-peruntukan tertentu khususnya yang menyentuh kedudukan Raja-raja, Islam, Melayu, bahasa serta negeri-negeri Borneo tidak boleh dipinda dan mansuh tanpa persetujuan atau proses yang melibatkan semua pihak tadi,” kata beliau dalam ulasannya hari ini.

Malah menurut beliau, perlembagaan ialah instrumen yang melahirkan Parlimen, mahkamah dan apa jua institusi di negara ini.

“Jadi, bagaimana ia boleh dibuat oleh pihak-pihak tertentu saja?” soal beliau.

Bagaimanapun beliau yang juga pakar perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa mengakui siapa pun boleh memberi tafsiran, cuma yang boleh dilaksanakan ialah tafsiran mahkamah meskipun tafsiran hakim tidak semestinya betul.

Oleh itu kata Aziz, beliau tidak faham apa yang Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dakwa dan disiarkan oleh beberapa akhbar.

Awal minggu lalu, Harussani mendakwa sudah ada “perlembagaan baru” dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi teras kemakmuran negara selama ini.

Menurut Harussani, perlembagaan baru itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan siapa yang mengeluarkannya.

Pelajat IPT di Melaka Buang Bayi Ke Tong Sampah Hasil Hubungan Terlarang


SEORANG anggota polis memeriksa mayat bayi lelaki (dalam bulatan) yang ditemui di pusat pengumpulan sampah Hospital Melaka semalam. Gambar kecil pula ialah bayi lelaki yang ditemui di Seberang Takir, Kuala Terengganu.


MELAKA - Tembelang sepasang kekasih yang membuang bayi lelaki berusia lima bulan ke dalam tong sampah Hospital Melaka di sini terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan ketika ibu bayi itu mendapatkan rawatan di hospital tersebut kelmarin.

Kejadian pukul 4 petang itu terbongkar apabila kakitangan hospital berasa curiga melihat keadaan wanita tersebut seperti baru bersalin walaupun pada mulanya dia menafikannya.

Selepas didesak, wanita tersebut akhirnya mengaku yang dia baru sahaja melahirkan anak di dalam tandas hospital sebelum membuangnya di dalam tong sampah.

Bagaimanapun, pencuci bangunan kemudian secara tidak sengaja telah memindahkan sampah yang mengandungi bayi tersebut ke dalam tong sampah besar.

Sehubungan itu, polis terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mencari mayat bayi tersebut dengan menyelongkar lebih 20 buah tong sampah sebelum ia ditemui pukul 1.50 petang semalam di pusat pengumpulan sampah hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebaik menerima maklumat, kita telah melancarkan operasi mencari mayat bayi tersebut. Polis bernasib baik kerana menemuinya semula," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka semalam.

EXCO Pemuda MIC Cedera Ditembak

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Exco Pemuda MIC Pusat A. Kalaiarasu cedera ditembak di perut dan tangan kiri ketika sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Datuk Harun, Kajang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Kajang ACP Sakaruddin Che Mood berkata dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Kalaiarasu, 49, ditembak dengan sepucuk pistol automatik oleh seorang lelaki yang memakai topi keledar dengan penutup muka penuh dan jaket hitam.

“Dua tembakan dilepaskan ke arah mangsa dan mengenai badannya. Suspek kemudian melarikan diri menaiki motosikal bersama-sama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejurus kejadian itu, beliau berkata mangsa melarikan diri melalui pintu belakang kedai dan meminta bantuan di Balai Polis Kajang yang terletak kira-kira 200m dari tempat kejadian.

“Mangsa membuat aduan pada anggota di balai polis itu sebelum anggota saya menghantar mangsa ke Hospital Kajang.

“Menurut mangsa, kedua-dua suspek berumur lingkungan 20an dan melarikan diri menaiki motosikal kapcai. Bagaimanapun mangsa tidak dapat mengecam nombor pendaftaran motor itu,” katanya.

Sakaruddin berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan polis akan mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

— Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.