Apa lagi yang tidak puas hati sebenarnya? Safee sendiri mengakui tidak peduli dengan laporan-laporan negatif media Britain yang mempersoalkan kredibilitinya kerana dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah ketumpulan jentera penyudah Cardiff bagi jangka masa pendek.
Apa yang penting kata pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim ialah sejauh mana kematangan Safee mengendalikan tekanan sepanjang menjalani latihan di sana, dan soal terpilih atau tidak bukannya terletak di bahu Safee.
“Safee sendiri mengakui tidak peduli dengan apa jua desas-desus negatif termasuk isu permit kerja yang jelas tidak mengganggu konsentrasinya sebagai pemain yang matang di dalam dan di luar padang.
“Apa yang penting ketika ini adalah pengalaman yang berguna sepanjang mengikuti latihan, bukan senang hendak mendapat peluang berlatih bersama pemain-pemain yang hebat di England,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 peratus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.
Syarat permit kerja itu bagaimanapun difahamkan lebih longgar apabila Cardiff ketika ini hanya beraksi pada Liga Kejuaraan England, dan ia jelas tidak sesukar usaha sebuah lagi kelab yang beraksi di Liga Perdana England, Queen Park Rangers (QPR) yang dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Safee.
Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan mengenai pengecualian permit kerja itu sekiranya pemain negara dilihat benar-benar berpotensi untuk beraksi di England.
Dalam pada itu, mengenai pendapat Mackay yang dikatakan enggan ‘bersusah payah’ mendapatkan Safee jika mempunyai pilihan lain seperti mana yang dipetik media tempatan Britain, Zakaria memberitahu, ia cuma pendapat peribadi jurulatih tersebut.
“Safee sendiri memberitahu betapa Mackay begitu tertarik dengan disiplin dan corak permainan beliau sepanjang mengikuti latihan.
“Situasinya sama seperti memohon peluang pekerjaan, walaupun majikan mahukan kita, namun pada masa yang sama majikan lazimnya tidak mahu ambil tahu kesusahan kita sama ada kita datang kerja naik LRT ataupun tidak.
Dalam pada itu, pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee semasa dihubungi juga memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya membantu penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu menyarung jersi The Bluebirds.“Yang penting ialah usaha Safee memikat Mackay, itu yang paling utama. Soal permit kerja itu soal kedua,” katanya.
“Di pihak pengurusan, kami hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Mackay, dan setakat ini ia memang satu perkembangan yang positif.
“Mackay memberitahu kami yang beliau begitu kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan Safee.
“Jika Mackay betul-betul berminat, kami akan berusaha sedaya upaya membantu Safee termasuk meminjamkannya untuk beraksi sekurang-kurangnya setahun di kelab lain di Eropah sebagai salah satu syarat permit kerja.
“Sehingga kini, kita tunggu dan lihat prestasi Safee sehingga sesi ujian pemilihan berakhir sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.