|
|
BIARPUN diasak beberapa kali dengan persoalan hadiah yang bakal diberikan buat isteri kesayangan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-32 pada 11 Januari lalu, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hanya tersenyum sahaja. Berulang kali jua dia memberitahu bahawa sememangnya tidak punya hadiah istimewa buat sang isteri, Datuk Siti Nurhaliza. Kalau pun ada dalam senarai fikirannya, pasti ahli perniagaan ini tidak mahu membocorkan perkara tersebut ke ''telinga'' media.
''Biarlah saya dan isteri sahaja yang tahu apa hadiahnya. Sebab sekarang ini pun dia belum pasti apa hadiah yang dia inginkan. Saya pula tak kisah dengan keinginan dia," katanya jujur.
Bercerita tentang keinginan penyanyi penyanyi nombor satu negara itu untuk memiliki komputer riba jenama Apple Macbook Pro sebagai pemberian kenang-kenangan sempena hari ulang tahunnya, sekali lagi lelaki yang dikenali dengan gelaran Datuk K ini tersenyum.
Beliau bercerita, isterinya pernah menanyakan tentang komputer riba mana yang sesuai dimiliki tetapi tidak pula dinyatakan jenamanya. Namun bagi Khalid, subjek tersebut bukan persoalan utama. Asalkan dia gembira dan senang dengan pemberian suaminya.
Katanya, Siti gemar andai diberi hadiah yang boleh dimanfaat untuk kegunaan harian. Tidak kira berapa harganya asalkan berguna dalam urusan kerjayanya.
Meskipun begitu, lelaki yang segak memakai kemeja berwarna hijau sedondon dengan isterinya itu juga tidak hairan seandainya isu hadiah dijadikan persoalan utama setiap kali isterinya menyambut ulang tahun.
''Tidak semestinya saya memberi hadiah pada majlis hari jadi Siti sahaja. Sebab selalunya, pemberian hadiah bertujuan untuk menggembirakan hati orang yang kita sayang. Jadi bila-bila sahaja saya boleh memberi hadiah kepadanya
''Semuanya bergantung kepada keadaan. Pada hari-hari biasa pun, walau tanpa sebarang acara, saya pasti memberikan hadiah kepadanya.
''Tidak kira sama ada murah atau mahal, secara kejutan atau tidak, itu tidak penting. Janji pemberian itu ikhlas," bicaranya menyelak sedikit cerita rumah tangga bersama penyanyi Jerat Percintaan itu.
Tambahnya lagi, harga untuk sesuatu barangan hari ulang tahun isterinya itu bukan satu pengukur kepada rasa cintanya terhadap Siti.
''Saya tidak rasa kesusutan nilai sesuatu pemberian buat Siti pada sambutan hari ulang tahun lalu boleh disamakan dengan pengurangan nilai kasih sayang saya terhadap dia. Orang kat luar boleh cakap apa sahaja. Kalau nak tahu, ia semakin mekar dan berkembang.
''Tak adil bukan kalau kita meletakkan sesuatu material sebagai bahan pengukur rumah tangga. Semua orang pun tak nak macam begitu bukan," soalnya.
Datuk K sebelum ini pernah menghadiahkan Siti sebuah kereta Mercedes berwarna hitam selepas mengahwini Presiden produk kecantikan SimplySiti itu pada 21 Ogos 2006. Selain itu, Siti juga pernah menerima seutas jam tangan Richart Millre yang ditempah khas berharga RM200,000 dan sebuah beg tangan berjenama berharga RM40,000.
Ditanya dengan persoalan sama ada dia merasa terganggu dengan desakan media yang mahu mengorek pemberian hadiahnya kepada penyanyi yang menerima lebih 100 anugerah tempatan dan antarabangsa itu, Khalid kembali tersenyum.
Secara ringkas, lelaki berkumis ini berkata: ''Saya tidak marah sebab anda semua melakukan tugas masing-masing."
Dalam perkembangan lain, Khalid punya rancangan untuk bercuti bersama isterinya bulan depan. Ke mana destinasi mereka, tidak diberitahu kerana semuanya bergantung kepada jadual aktiviti seni Juara Bintang HMI anjuran RTM tahun 1995 ini.
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto NOOR ASREKUIZAIREY SALIM