ENGGAN memperbesarkan isu yang dianggap tidak tahu di mana hujung pangkalnya, Sheera Iskandar lebih senang berdiam diri sekali pun mengakui agak tertekan dengan bermacam-macam dakwaan dilemparkan oleh penerbit drama, A Aida.
Isu potong rambut nyata masih bertebaran selain dakyah penyampai yang suka menokok tambah cerita supaya tampak lebih kontroversi dan panas, membuatkan ramai produser lain takut mengambilnya terbabit dalam produksi mereka.
Tuduhan tamak dan melanggar kontrak antara penambah rencah yang menghangatkan lagi kronologi di sebalik tabir pembikinan musim baru Halimah Jongang hingga anak gadis Aznah Hamid itu sudah tidak menerima tawaran berlakon kebelakangan ini.
Jika selama ini ibunya menjadi jurucakap memperjelas kenyataan A Aida yang tidak putus-putus tampil di TV mahu pun akhbar, Sheera yang enggan memburukkan keadaan pula mula bersuara selepas ditanya bertalu-talu.
“Selama ini pun saya tidak mahu dianggap celupar. Jadi lebih baik berdiam daripada membidas isu yang tiada. Macam dijelaskan ibu saya, ia hanya diluah selepas beberapa bulan penggambaran drama bersiri itu selesai dan disiarkan di TV.
“Kenapa tidak menegur ketika saya berada di lokasi dengan rambut pendek? Sedangkan waktu itu, segala-galanya berjalan lancar. Seperti musim terawal, watak Halimah Jongang memang memakai rambut palsu.
“Jadi, tiada beza kalau saya berambut pendek pun,” katanya selepas sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.
Pada majlis yang bakal berlangsung pada 3 April ini di Arena of Stars Genting Highlands, Sheera atau nama sebenar Tengku Sheera Ilani Tengku Iskandar, 26, diundang sebagai antara penyampai trofi.
Gadis lemah lembut itu hanya tersenyum tatkala diasak satu persatu pertanyaan membabitkan soal perasaannya kini. Gerak badan yang ditunjukkan itu memang sudah untuk menduga sama ada amarah atau sebaliknya.
Namun begitu, Sheera jelas memang tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Apatah lagi untuk mewujudkan persengketaan yang berpanjangan.
Katanya, tidak guna menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marak apatah lagi dia sendiri masih tercari-cari penyebab yang membuatkan produser yang selama ini dihormatinya boleh ‘meletup’ tiba-tiba-selepas beberapa bulan drama bersiri Halimah Jongang siap!
Sebagai anak, yang menyentap kebimbangan adalah perasaan ibunya selepas cerita terbabit masih diperkatakan namun kata-kata perangsang daripada mereka yang mengetahui situasi sebenar menyuntik semangatnya.
“Saya tidak mahu perkara ini berpanjangan. Bukan tidak mahu meminta maaf, saya tidak tahu kesalahan saya. Jika dia tidak berpuashati sedari awal, mengapa menegur perbuatan saya memotong rambut ini sebelum penggambaran bermula.
“Itu yang saya pelik, hanya selepas disiarkan, baru isu ini timbul. Lebih pelik, tiada pula saya dengar mengenai perihal rombakan skrip ketika penggambaran sedang berlangsung. Kenapa tiada seorang pun tampil menegur atau memarahi saya ketika itu,” jelasnya lagi.
Tunggu dan lihat sajaKekecewaan Sheera kini bukan disebabkan tiada tawaran berlakon sebaliknya ‘mulut penyampai’ yang melemparkan pelbagai kisah kurang enak semata-mata mahu memburukkan lagi namanya sekali gus menutup rezekinya di arena lakonan.
Katanya, mujur drama Iparku Diva yang bakal disiarkan di saluran TV berbayar dalam tempoh terdekat itu diterima sebelum kontroversi ini hangat diperkatakan.
“Saya malu keluar ke tempat awam kerana pasti ada yang mengerling. Tapi berkurung di rumah pun membuatkan saya tertekan. Saya cuma tidak mahu memperbesarkan lagi masalah. Tapi sekarang kalau tengok aksesori seperti rambut palsu dan topi, mesti saya teringat watak Halimah Jongang yang hampir membunuh kerjaya saya,” katanya.
Apa pun segala tohmahan diterima dengan hati terbuka malah ia dianggap dugaan hidup yang menguji sejauh mana kesabarannya.
Mengenai tindakan mahkamah yang mahu diambil A Aida Production, katanya dia hanya berserah selain menunggu sebarang perkembangan lanjut.
“Saya hanya tunggu dan lihat saja. Nak melawan balik saya bukan orang senang. Keluarga pun menasihatkan supaya tidak cepat melatah. Lagi pun dunia lakonan ini kecil saja, pusing-pusing jumpa orang sama,” ulasnya lagi yang dilihat hadir ke majlis itu ditemani jejaka bernama Syan.
Seri wajah si gadis menyerlah semula tatkala diaju persoalan mengenai teman barunya. Cukup sekadar menyatakan anak muda berusia 25 tahun itu masih belajar di sebuah universiti, soal melangkah ke fasa seterusnya belum difikirkan lagi.
Tidak berselindung, akuinya jejaka berkenaan adalah teman akrabnya ketika ini dan Syan yang sentiasa menemaninya ke mana-mana acara majlis jika ibunya mempunyai hal lain yang tidak dapat dielakkan.
“Bukan disebabkan serik dengan sejarah putus tunang sebab ia cerita lama. Syan masih belajar, jadi tidak perlu terburu-buru. Jika ada jodoh tak ke mana,” dedahnya mengenai hubungan yang sudah berlangsung selama tiga tahun itu.
INFO: Sheera IskandarDilahirkan di Kelantan pada 18 April 1985.
Anak sulung daripada tiga bersaudara.
Mula menceburi arena lakonan pada usia empat tahun.
Pemegang diploma Pengurusan Perniagaan dari Yayasan Pelajaran MARA
Antara drama Janji Diana, Bintang Di Hati Bintang Di Langit, Mengejar Awan, Jangan Ada Dusta, Pinggiran Hati, Janjiku, Usia, Fatimah Najwa dan Siong.
Mula diperkenalkan di layar perak menerusi filem Bicara Hati.
Filem lakonan KL Menjerit 1, Sembilu 2005, Cinta Yang Satu