Hishammuddin: 3 Wanita Disebat Ikut Kaedah Syarak


PUTRAJAYA 17 Feb. – Di sebalik kontroversi hukuman sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, sebenarnya tiga wanita Islam telah selamat menjalani hukuman sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Februari lalu.

Hukuman yang pertama kali dilaksanakan ke atas wanita itu membabitkan antara empat hingga enam sebatan.

Selain itu terdapat empat pesalah lelaki turut dikenakan sebatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka disabitkan di bawah Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Hukuman tersebut dilaksanakan di Penjara Kajang, manakala pesalah wanita di Penjara Wanita Kajang. – Utusan

Anwar Lantik 3 Pakar DNA, Forensik Asing


Pasukan peguam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan tiga pakar asing dalam bidang DNA dan forensik untuk membantu mereka dalam kes tersebut.

Dalam satu kenyataan, peguam Anwar, Sankara Nair berkata beliau akan membawa tiga pakar tersebut ke Mahkamah tinggi Kuala Lumpur esok.

Mereka ialah pakar DNA, Dr Brian Mc Donald dari Sydney Australia, dan pakar forensik - Dr C Damodaran, dari Chennai, India, Dr David Wells dari Melbourne, Australia.

Esok ialah keputusan terhadap permohonan Anwar supaya Hakim yang sedang mendengar kesnya - Datuk Mohamad Zabidin Mohd Dian - menarik diri.

Manakala Mahkamah Rayuan pula telah menetapkan hari ini untuk memutuskan rayuan ketua umum PKR itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Sejak beberapa hari lalu, Malaysia berdepan dengan tekanan dari ahli parlimen Australia yang mendesak supaya digugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Pada masa yang sama, ahli parlimen Amerika pula mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memastikan perbicaraan kes Anwar berjalan secara adil.

Dr Mc Donald adalah seorang ahli patologi dari Universiti Western Australia. Beliau juga merupakan pengarah DNA Consults.

Beliau dipanggil untuk menyediakan Kepakarannya dalam bidang DNA yang dijangka dikemukakan dalam perbicaraan nanti.

Dr Damodaran pula mempunyai 28 tahun pengalaman dalam bidang forensik dan pengalaman mengajar, di samping 36 tahun pengalaman dalam bio-kimia, toksilogi dan forensik.

Sementara itu, Dr Wells merupakan prof madya dalam bidang jenayah di Universiti Melbourne.

Beliau kini merupakan ketua bahagian Perubatan Klinikal Forensik, Institut Perubatan Forensik Victoria.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

TGH Hadi terjun ke laut Selamatkan mangsa lemas


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang memancing pada petang Ahad lalu di Pantai Rusila, Marang bersama dua orang anaknya apabila beliau mendengar jeritan meminta tolong.

Lantas, beliau bersama anaknya berusia 20-an itu, terjun ke laut untuk menyelamatkan seorang lelaki yang nyaris lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Ini diceritakan oleh Herman Shamsudeen, timbalan ketua pemuda PAS Wilayah Persekutuan, yang juga menulis mengenai perlakuan 'hero' Hadi di blognya. Selain sedikit butiran umum mengenai kejadian tersebut, Herman turut memuatkan dua keping gambar yang dirakam oleh seorang individu pada masa itu.

"Saya dapat gambar ini melalui seseorang melalui Facebook (foto). Itu memang gambar (Hadi), susah sikit untuk dikenali sebab dia tidak memakai serban," kata Herman ketika dihubungi.

Salah sebuah foto berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang dikatakan sebagai Hadi -- berbaju kemeja-T, berkain pelikat sambil duduk berlunjur di atas pasir pantai. Di sebelah 'Hadi' itu pula duduk seorang lagi lelaki yang dikatakan sebagai mangsa kejadian tersebut.

Herman bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu yang menghantar gambar berkenaan kepadanya.

Menurut Herman lagi, Hadi, 63, ternyata masih "gagah" dan mampu bertindak pantas semasa menyelamatkan mangsa tersebut.

"Memang tidak disangka, seorang pemimpin yang punyai ramai pengikut sanggup terjun ke laut sendiri tanpa mengharapkan anak-anak buahnya mendahuluinya.

"Selalunya, orang-orang besar dan pemimpin utama akan suruh anak buah mereka terjun untuk selamatkan mangsa," kata Herman dalam tulisannya.
Dalam catatan tambahan dalam tulisan tersebut, beliau juga memohon maaf kerana menyiarkan dua keping foto tersebut.

"Tok Guru pasti marah kalau tahu ana siarkan gambar dan tulis macam nie. Ana minta maaf pada dia.
"Beliau tidak suka perkara ini dibesarkan, tapi itulah hakikat dirinya yang kita kena tahu. Semoga kita dapat mencontohi beliau," katanya.

Pecah Amanah: Kerabat Raja Selangor Mengaku Tidak Bersalah


PETALING JAYA: Seorang kerabat Diraja Selangor, Tengku Mohd Kamil Tengku Shahrudin Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan dana syarikat sejumlah RM1.15 juta antara tahun 2005 dan 2006.

Tengku Mohd Kamil, 61, yang merupakan salah seorang pengarah syarikat pembinaan Aneka Melur Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan menggunakan 16 cek.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di D216, Blok D, Tingkat 2, Kelana Square, Petaling Jaya. Tengku Mohd Kamil menghadapi pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya S.Devanandan mencadangkan agar jaminan ditetapkan pada RM150,000 dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata, jaminan tersebut adalah munasabah memandangkan jumlah yang terlibat di dalam kes itu adalah tinggi dan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Devanandan juga memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaaan akan memanggil 12 orang saksi.

Peguam Tengku Mohd Kamil, Md Yunus Shariff berkata, jaminan itu terlalu tinggi dan meminta jaminan dikurangkan kepada RM30,000 memandangkan anak guamnya masih menyara dua anaknya yang masih belajar di luar negeri.

Hakim Rozina Ayob meletakkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga meminta Md Yunus mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Imigresen sama ada Tengku Mohd Kamil mempunyai pasport yang lain.

Rozina menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 17 Mei depan. Tengku Mohd Kamil membayar jaminan itu

Penyokong UMNO BN & NGO Anjurkan Demonstrasi


KUALA LUMPUR 17 Feb [1.20 pm] - Kira-kira 500 individu yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun dan berarak secara aman di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng di sini hari ini. Kesemua mereka terdiri daripada ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO, MIC dan beberapa NGO dilihat berhimpun di sebuah restoran di jalan tersebut kira-kira pukul 9 pagi sebelum berarak ke pejabat suruhanjaya tinggi itu 45 minit kemudian. Perhimpunan secara aman itu bagi mendesak kerajaan Australia supaya tidak masuk campur dengan kes fitnah liwat Anwar Ibrahim.




Dr Asri: Hentikan Perarakan Semua Upacara Agama


Sebarang perarakan sambutan keagamaan menggunakan jalan raya boleh dianggap mengganggu ketenteraman awam dan menyusahkan pengguna beragama lain yang tidak terlibat dalam upacara itu.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata, perarakan ini bukan amalan pada zaman Rasulullah dan mencadangkan sebarang bentuk perarakan menggunakan jalan raya perlu dihenti.

"Saya mencadangkan semua bentuk perarakan yang menggunakan jalan raya awam dan hendaklah dihentikan. Termasuk Deepavali, Thaipusam ataupun Maulidur Rasul.

"Jalan raya ini ialah digunakan orang kerana ada urusan tertentu dan bukan semua agama berkongsi dengan kita. Bila kita guna jalan raya lain dari tujuan pengangkutan, mahu berarak, ia mungkin mengganggu urusan orang.

"Ia mengganggu pengguna yang mahu ke suatu tempat, melawat orang sakit, membazir minyak orang ramai dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Selangor bagi mengulas berhubung isu perarakan Maulidur Rasul yang menjadi kontroversi, baru-baru ini.

Asri berkata, perarakan seumpama itu juga tidak pernah disuruh oleh Rasulullah sehingga mengganggu urusan orang lain.

Beliau juga mencadangkan supaya sambutan keagamaan selepas ini hanya dilakukan di rumah ibadat masing-masing.

Katanya, jika sambutan Maulidur Rasul tidak membuat amalan baru yang tiada dalam Islam, maka ia tidak dianggap salah kerana ia bukan wajib dan bukan sunnah.

"Jika sambutan itu tidak mencetuskan apa-apa reka bentuk ibadat yang baru, umpamanya tak ada sembahyang khusus Maulidur Rasul, bacaan khusus Maulidur Rasul, maka tidak dianggap mengada-adakan ibadat baru dalam Islam.

"Jika sambutan itu sekadar untuk menceritakan tentang sirah, menceritakan tentang perjuangan dan seumpamanya, dengan kadar-kadar itu tidak menjadi masalahlah," katanya.

Keputusan Rayuan DSAI - DITOLAK


Mahkamah Rayuan hari ini akan membuat keputusan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam utama Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah supaya membenarkan rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepi dan membatalkan tuduhan konspirasi kedua.



3.00 pm: Semua sudah berada dan bersedia untuk pendengaran keputusan
3.07 pm: Hakim membacakan keputusannya...
3.15 pm: Peguam pembela telah menyatakan dengan tegas bhawa pertuduhan adalah bersifat opresif dan menyalahgunakan proses mahkamah.
3.20 pm: Hakim membuat penelitian ke atas fakta-fakta yang diberikan oleh kedua-dua pihak
3.25 pm: Daripsda kes-kes yang disebutkan oleh hakim, ia menjurus seperti rayuan Anwar akan ditolak
3.28 pm: Kes-kes yang dibacakan oleh hakim menunjukkan hakim tidak mempunyai kuasa untuk menolak pendakwaan
3.35 pm: Kami telah membuat pertimbangan yang teliti terhadap rayuan, kami dapati Laporan HKL tidak konklusif tetapi "corrobotive" (menyokong)
3.37 pm: Pihak pembela tidak dapat menunjukkan pertuduhan ke atasnya bersifat opresif dan menyalahgunakan proses mahkamah. ( Semakin jelas keputusannya..)
3.38 pm: Rayuan ditolak. Peguam pembela, Karpal Singh memohon penangguhan keputusan untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
3.40 pm: Hakim menyatakan permohonan yang teratur oleh pembela belum dilakukan. Karpal menghujjahkan sebab mengapa penangguhan perlu diberikan.
3.43 pm: Pihak pendakwa bersetuju dengan pihak mahkamah bahawa permohonan hendaklah difailkan terlebih dahulu.
3.45 pm : Karpal berhujjah, di dalam kes ini semua jenis halangan diletakkan di pihak pembela
3.45 pm: Mahkamah berhenti 15 minit untuk para hakim berbincang di dalam kamar. Karpal telah merayu supaya prosiding kes ditangguhkan sehingga rayuan dibawa ke Mahkamah Persekutuan
4.00 pm: Para hakim belum keluar dari kamar

4.02 pm Permohonan Karpal DITOLAK. Permohonan yang teratur hendaklah difailkan terlebih dahulu.

Ambilan: http://greenboc.blogspot.com

NUTP : Kursus BTN Untuk Guru Nikmati Anjakan Gaji


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Biro Tatanegara (BTN) segera mengadakan kursus kenegaraan kepada para guru bagi sesi 2010 untuk membolehkan mereka menikmati anjakan gaji.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng mendakwa, beliau dimaklumkan oleh Kementerian Pelajaran bahawa tiada lagi kursus BTN dianjurkan khusus untuk para guru selepas kali terakhir ia diadakan pada penghujung tahun lalu kerana kekurangan peruntukan.

NUTP mahu pihak berkenaan mengkaji semula penganjuran kursus berkenaan demi menjaga kebajikan guru di negara ini yang mahukan pengesahan jawatan.

"Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana satu daripada syarat untuk disahkan dalam jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.

"Kumpulan guru yang lulus PTK Aras 4 juga tidak dapat menikmati anjakan gaji kerana mereka tidak diberi peluang menghadiri kursus itu sedangkan pengesahan jawatan adalah amat penting kepada mereka," dakwanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. -

Boleh RM5,000 Sehari: Jual Keropok Lekor


KUALA TERENGANU: Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina sejak Ahad lepas sehingga semalam membawa tuah kepada pengusaha keropok lekor Losong apabila kebanyakan mereka berjaya meraih hasil jualan sehingga RM5,000 sehari.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Losong (PPKL), Suhaimi Ali berkata, jualan semasa musim cuti baru-baru ini amat menggalakkan dengan kedatangan pelanggan yang tidak kunjung habis.

"Berbanding semasa wabak taun tiga bulan lepas, kami nak dapat RM1,000 sehari pun susah, namun alhamdulillah, semasa cuti Tahun Baru Cina ini pengunjung sentiasa penuh di gerai-gerai keropok kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Suhaimi yang juga memiliki gerai keropok "Warisan Losong" berkata, dianggarkan setiap pengunjung terutama dari luar Terengganu membelanjakan lebih RM100 untuk membeli keropok bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga sebagai buah tangan kepada saudara mara serta rakan.

Menurutnya, dia mengupah seramai 12 orang pekerja dan menggunakan 500 kilogram ikan segar untuk menghasilkan keropok lekor setiap hari bagi menampung permintaan semasa musim cuti itu.

"Saya buka gerai daripada pukul 9.30 pagi hingga 9 malam dan kami menerima pengunjung tidak putus-putus," katanya.

Suhaimi berkata, orang ramai kini kembali meminati keropok lekor Terengganu selepas negeri itu tidak lagi dikaitkan dengan dengan wabak taun, sekali gus membuka lembaran baru kepada pengusaha-pengusaha keropok di negeri tersebut.

Selain di Losong, tinjuan Bernama di beberapa kawasan yang juga terkenal dengan keropok lekor seperti di Seberang Takir, Batu Rakit dan Pulau Kerengga sehingga petang semalam sesak dengan pembeli keropok dari luar Terengganu yang mengambil kesempatan membelinya sebagai buah tangan.

Seorang pembeli Haryati Ismail, 32, dari Selayang, Selangor berkata, dia membelanjakan RM75 untuk membeli keropok lekor yang dipesan rakan sepejabat selepas mengetahui dia sekeluarga akan bercuti di negeri itu.

"Keropok lekor Terengganu istimewa dan rasa lebih sedap kerana menggunakan lebih banyak ikan segar berbanding keropok lekor yang biasa kita makan di pasar-pasar malam yang ada di Selangor," katanya ketika ditemui. - BERNAMA

Kes qazaf Anwar ditangguh hingga 10 Mac


Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan tetapkan 10 Mac untuk mendengar hujah tiga responden dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung permohonan ketua umum PKR itu untuk mendakwa bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Hakim Mohd Shukor Sabudin menetapkan demikian selepas mendengar hujah peguam kedua belah di mahkamah pagi ini.

Tiga responden yang dinamakan dalam permohonannya Anwar ialah ketua pendakwa syarie, Shamsuddin Hussain; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Kesemua responden tersebut diwakili tiga peguam, termasuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Anwar pula diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar Aniah Kamaruzaman.

Anwar memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Anwar, 62, berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Ketiga-tiga responden tersebut dinamakan dalam permohonan Anwar kepada Mahkamah Syariah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah dan relif supaya mahkamah mendakwa Mohd Saiful atas kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41, Akta Jenayah Syariah 1997 dan/atau hukum Syarak dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Anwar juga memohon mahkamah memastikan agar responden kedua dan ketiga, tidak menghalang dan/atau mempengaruhi responden pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful.

Selain itu, Anwar juga meminta supaya kos permohonan dijadikan kos dalam kausa; relif-relif lain yang mahkamah fikirkan perlu; dan kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

SEKADAR UNTUK TERSENYUM....

ADA KA MOTOR MACAM NI DI MALAYSIA

KM PP: RM100 Setahun Kepada Setiap Warga Emas


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan tahunan sebanyak RM100 kepada setiap warga emas di negeri itu untuk meringankan beban kehidupan golongan tersebut.

Beliau berkata langkah kerajaan negeri berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional yang gagal menyediakan bantuan menyebabkan golongan warga emas dipinggirkan.

"Kegagalan BN di Pulau Pinang telah lama menyusahkan rakyat dan semasa BN mentadbir kerajaan negeri, mereka dapat banyak peruntukan tetapi sedikit pun tidak disalurkan kepada rakyat miskin.

"Saya dan kerajaan negeri tidak mampulah memberi jumlah yang banyak, tetapi kita cuba membantu rakyat yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban mereka. Rakyat perlu ingat BN tidak pernah memberi bantuan sebegini," katanya pada Sambutan Tahun Baru Cina di Padang tembak, Air Hitam, Pulau Pinang petang tadi.

Turut hadir Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Ketua Menteri I dan II, Mansor Othman dan Dr P. Ramasamy.

Menurut Lim apabila Pulau Pinang mendapat keuntungan lebih melalui pelaburan yang dilaburkan, kerajaan negeri akan sentiasa berkongsi keuntungan tersebut bersama rakyat dan bukannya mengaut keuntungan untuk diri sendiri.

"Setiap pelaburan yang dilakukan kerajaan negeri adalah untuk kebaikan bersama rakyat dan bukannya diberikan kepada kuncu-kuncu tertentu seperti pihak BN.

"Kita tidak akan mengikut cara kotor BN yang memberi keuntungan hanya kepada pemipin-pemimpin mereka melalui pelaburan yang dilakukan dan kita sentiasa bersama rakyat mencari keuntungan membangunkan negeri lebih maju untuk generasi akan datang," tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Tambah Lim walaupun kerajaan menghadapi banyak tekanan masa kini namun ia masih mampu melalui cabaran tersebut hasil sokongan padu rakyat kepada Pakatan Rakyat.

"Rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India perlu juga bijak membuat keputusan memilih pemimpin kawasan mereka kerana jika tersalah memilih pemimpin buruk padahnya seperti yang banyak berlaku hari ini" kata Lim.

Tazkirah: Solat Tahajjud & Kelebihannya


Solat 5 waktu adalah solat bagi orang-orang mukmin dan solat Tahajud pula adalah solat untuk orang-orang soleh. menurut satu hadith;
Rasulullah SAW bersabda;
“Jika tidak kerana memberatkan umatKu, nescaya aku wajibkan Tahajud ke atas mereka”"
Kelebihan Tahajud;
Jika dilakukan solat Tahajud ini dengan cara istiqamaha maka Allah s.w.t akan memberi 3 ganjaran;
1. 1. Dapat lidah yang hikmah
2. 2. Diangkat kedarjat wali
3. 3. Lepas dari kesakitan ketika sakaratul maut
Selain itu juga;
1. * Doa-doa akan diperkenankan
2. * 2 rakaat tahajud lebih baik dari dunia dan seisinya
3. * Allah akan menunjukkan mahligai disyurga semasa sakaratul maut mendapat lampu atau cahaya dalam kubur
4. * Dapat naik kuda emas bagi suami isteri yang saling membangunkan antara satu sama lain untuk tahajud
5. * Jika kita selalu panggil orang ke masjid maka diwaktu malam Allah akan panggil kita untuk tahajud
6. * Mendekatkan kita dengan Allah dan menjauhkan kita daripada membuat dosa
Solat Tahajud (Sejarah)
Dari segi sejarahnya, sembahyang tahajud mula disyariatkan tidak lama selepas Nabi s.a.w mendapat wahyu pertama di gua Hira’. Ia dinyatakan Allah dalam surah ai-Muzammil (yang berselimut), yang diturunkan ketika Nabi s.a.w menggeletar di dalam selimut selepas baginda s.a.w mendapat wahyu pertama itu.
Menurut Penolong Pengarah Kajian Fatwa Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Abdul Aziz Che Kob, “Pada awalnya, sembahyang sunat tahajud hukumnya fardhu kepada Nabi. Bagaimanapun, apabila turun ayat ke-20 surah yang sama (kira-kira setahun selepas turunnya ayat pertama) Allah menjelaskan bahawa sembahyang Tahajud adalah sunat dan afdalnya ditunaikan pada sepertiga malam”. Walaupun hukumnya adalah sunat , namun bagi Nabi, bersembahyang tahajud tetap dianggap sebagai suatu kewajipan. “Ia menjadi rutin kepada hidup Nabi”, ujar beliau.
Mengenai rakaat, Abdul Aziz memberitahu, Nabi akan bersembahyang malam, termasuk tahajud, sekurang-kurangnya sebelas rakaat. Namun demikian tidak ada surah-surah tertentu yang ditetapkan supaya dibaca selepas al-Fatihah. “Selain membaca surah-surah panjang dalam al-Quran, hingga dihabiskan satu juzuk dalam satu rakaat, Nabi juga membaca surah lazim yang pendek.. Jadi para ulama sependapat lagi bahawa bagi memudahkan masyarakat menunaikan tahajud, kita boleh membaca surah-surah lazim”.
Dari segi sejarah juga diceritakan bahawa Nabi kerap bersembahyang malam hingga kakinya menggigil dan bengkak akibat terlalu lama berdiri. Bagi menjelaskan lagi keberkesanan sembahyang tahajud, Abdul Aziz membawa dua kejadian sebagai iktibar. Ia dengan jelas menunjukkan betapa pentingnya sembahyang tahajud dalam mendekatkan diri dengan Allah, membina kekuatan rohani dan keyakinan diri umat islam.
“Dalam satu peperangan, Kahalifah Umar r.a diselubungi tanda tanya kerana selepas seminggu bertempur dengan kaum musyrikin, tentera islm masih belum mendapat kemenangan. Perkara itu membinggungkannya kerana pada kebiasaannya tentera islam tidak perlu menunggu masa sebegitu lama untuk mengalahkan musuh. Malam itu, Kahalifah Umar melawat ke khemah-khemah tenteranya sedang kyusuk sembahyang tahajud, kecuali sebuah yang mana penghuninya sedang nyenyak tidur. pada keesokkan harinya kahlifah membuat keputusan yang amat mengejutkan. Beliau menyingkir semua penghuni khemah terbabit (yang tidak bersembahyang tahajud) daripada menyertai perang kerana katanya “mereka tidk mempuyai rohani yang kuat”. Akhirnya walaupun jumlah semakin berkurangan, tentera islam telah berjaya menumpaskan musuh”, kata Abdul Aziz.
Beliau juga memberitahu, salah satu faktor panglima islam terkenal, Sallehuddin al-ayubi berjaya menawan kembali Istanbul adalah kerana cuma mengambil panglima-panglima yang bersembahyang tahajud sahaja untuk mengemudi perang.”
Solat Tahajud (Fadhilat)
Sembahyang Tahajud Membawa Kepada Limpahan Rezeki. Sembahyang tahajud iaitu sembahyang sunat dua rakaat, merupakan di antara pelbagai shalat sunat yang disyariatkan oleh Allah. Ia ditunaikan apabila seseorang itu terjaga daripada tidur sementara waktu yang paling sesuai melakukannya adalah di antara sepertiga malam iaitu kira-kira dari pukul 2:30 pagi hingga menjelang subuh. “Kalau nak sembahyang sebelum tidur, iaitu selepas sembahyang isyak pun boleh, tapi lebih eloklah pada sepertiga malam kerana waktu itulah yang paling sesuai untuk seseorang itu membersihkan jiwa serta mendekatkan diri dengan Allah” kata Ustaz Muhd Shafie, setiausaha penasihat syariah sebuah syarikat makanan antarabangsa.
Sebagai seorang yang banyak membuat kajian berhubung shalat tahajud, Mohamad memberi penjelasan lanjut mengenai sembahyang itu ringkas tetapi padat. Beliau memberitahu, walaupun sembahyang tahajud dua rakaat sahaja, ia boleh ditunaikan lebih daripada itu mengikut kemampuan masing-masing. Bagaimanapun sebelum sembahyang tahajud, adalah lebih elok jika ia didahului dengan sembahyang sunat mutlak dua rakaat dan di akhiri dengan sembahyang sunat witir (jika tidak sempat menunaikannya sebelum tidur). Mengenai surah yang sepatutnya dibaca selepas al-fatihah, Mohamad memberitahu, tidak ada surah tertentu yang ditetapkan. “tapi biasannya kita baca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan surah al-ikhlas pada rakaat kedua. Surah al-Kafirun itu menurut Nabi fadilatnya mewakili 2/3 daripada al-Quran. Surah al-Ikhlas pula mewakili 1/2 al-Quran”.
Selain untuk meningkatkan keimanan, shalat tahajud disyariatkan Allah kerana ia mempuyai banyak hikmah dan keberkatannya. Allah menetapkan waktunya pada sepertiga malam kerana suasana ketika itu amat hening, paling sesuai untuk beribadah, bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah. Perkaa itu kata Mohamad, ditegaskan oleh Allah dalam surah al-Muzammil ayat 6 yang bermaksud; Sebenarnya sembahyang dan ibadah malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.
“Selepas shalat tahajud, mohonlah ampun kepada Allah”. kata Ustaz Mohamad sambil merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud, “Allah turun (kuasa/perintah) pada tiap-tiap malam langit dunia. wahai malaikat, kamu periksa semua makhluk-makhluk di muka bumi. Sesiapa yang bermohon kepadaKu (di sepertiga malam), maka makbulkan doanya. Sesiapa yang meminta kepada Aku, beri. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku, maka ampunkanlah ia”.
Kesempatan itulah ujarnya, yang perlu di raih oleh setiap muslim. “Jadi gunakan waktu itu untuk bertaubat, hampirkan diri dengan Allah supaya menjadi orang beriman. Orang yang selalu sembahyang malam, hatinya bersih, suci, hubungan dengan Allah cukup kuat, patuh perintah Allah dan dikasihi Allah.
Shalat tahajud mempunyai pelbagai hikmah dan fadilatnya. Fadilat itu, ujar Mohamad, antara lain djelaskan Allah dalam surah al-Israa’ ayat 79 bahawa orang yang bersembahyang tahajud akan dibangkitkanNya (di akhirat) di tempat yang terpuji. Ini dijelaskan lagi dalam hadis Rasullulah s.a.w yang bermaksud;
“Wahai manusia, bayakkanlah memberi salam, beri makan kepada orang susah, sembahyang di tengah malam di waktu orang lain sedang tidur, maka kamu masuk syurga. ”
Janji Allah itu cukup jelas kerana orang yang gemar menunaikan tahajud adalah orang yang cintakan Allah, bersih hatinya dan sentiasa memohon ampun kepada Allah untuk menyucikan dirinya daripada dosa. Mereka akan kembali kepada Allah dalam keadaan mulia dan dimasukkan ke syurga”, tegasnya.
Dengan tingkat keimanan yang tinggi, tambah Mohamad, orang-orang yang gemar bershalat tahajud akan mendapat satu lagi keistimewaan yang diingini oleh semua muslim iaitu diambil nyawanya dalam husnul khotimah (mati beriman). Kerana mereka orang-orang yang mulia, malaikat akan mengambil nyawa mereka dengan memberi salam dahulu. Kemudian barulah di ambil nyawanya di dalam keadaan dia tidak berasa sakit”, ujarnya. Demikian untungnya mereka yang gemar bersembahyang tahajud.
Selain dijanjikan syurga, kata Mohamad, orang yang gemar bersembahyang tahajud juga akan dianugerahi Allah dengan pelbagai rezeki seperti hati yang tenang, ilmu yang banyak, murah rezeki, harta terpelihara, kesihatan yang baik, anak-anak berjaya dalam kerjaya dan dihormati masyarakat. Tegas beliau, kerana besarnya fadilat sembahyang tahajud itulah Nabi s.a.w mengajak umatnya menunaikan ibadah tersebut pada setiap malam, tetapi jika tidak mampu, sekali seminggu, sekali sebulan, sekali setahun atau sekali seumur hidup.
Memandangkan besarnya fadilat sembahyang tahajud, tetapi sukarnya untuk menunaikan sembahyang tersebut, Mohamad memberikan ‘petua’ bagi membolehkan kita melakukannya iaitu;
* Tingkatkan keimanan. Ingatlah, sembahyang ini menjadi sesuatu yang berat melainkan bagi hati yang kyusuk. Untuk dapatkan hati yang kyusuk, perlulah dibina dahulu iman di dalam jiwa. Dan seperti satu rantai, orang yang beriman akan bertambah kuat iman serta keyakinan diri mereka apabila kerap bersembahyang tahajud
* Sebelum tidur, sematkan ke dalam fikiran kita untuk bangun pada sepertiga malam, pukul tiga pagi misalnya untuk sembahyang tahajud. Insyallah pada waktu yang dikehendaki itu kita akan terjaga
* Jadikannya ia suatu kebiasaan. Walau kita tidur lewat macam mana pun, buatlah amalan bangun pada waktu yang dikehendaki untuk sembahyang tahajud.

Ambilan: http://pepci09.blogspot.com/

PM & Isteri Bercuti 3 Hari Ke Pulau Langkawi


Mohd Najib Tun Abdul Razak (dua, kiri) meninjau tapak cadangan pengkalan nelayan yang baru di Kampung Sungai Chenang di sini hari ini. Dalam lawatan tidak rasmi ke kampung nelayan itu Najib turut mengumumkan kelulusan peruntukan segera sebanyak RM7 juta bagi pembinaan sebuah jeti baru di kampung tersebut. Turut sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri). - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Percutian peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak ke Pulau Langkawi turut membawa tuah kepada nelayan di Kampung Sungai Chenang apabila mereka "dihadiahkan" kelulusan peruntukan segera sebanyak RM7 juta bagi pembinaan sebuah jeti baru.

Perdana Menteri dalam perjumpaan secara tidak rasmi dengan kira-kira 100 penduduk kampung nelayan tersebut, mengumumkan peruntukan itu setelah melihat sendiri kesukaran bot-bot nelayan keluar masuk dari laut ke kuala sungai berkenaan.

"Dua malam lepas Datuk Jo (Johari Baharom, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) ada minta saya melawat ke kawasan ini kerana sungai ini dikatakan terlalu sempit dan susah bot nak keluar masuk.

"Setelah saya lihat keadaan ini, saya umumkan kelulusan segera peruntukan sebanyak RM7 juta untuk buat jeti baru dan saya berharap dengan pembinaan jeti baru itu, pendapatan nelayan di kawasan ini juga meningkat," katanya pada majlis perjumpaan tersebut.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mengakhiri percutian peribadi selama tiga hari ke sini.

Perdana Menteri berkata beliau juga mahu pencemaran di Sungai Chenang diatasi segera oleh syarikat pembetungan IWK Sdn Bhd.

Katanya, lawatan tidak rasmi beliau ke kampung nelayan itu adalah selaras dengan pendekatan tinjauan mesra yang sering beliau lakukan bagi mengetahui masalah dan untuk mendekati rakyat.

"Menerusi lawatan seumpama ini, saya rasa lebih selesa untuk bertemu rakyat kerana ia dilakukan tanpa sebarang protokol," kata beliau.

Perkampungan nelayan Sungai Chenang turut dilanda tsunami pada akhir 2004.

Sementara itu Pengerusi Komuniti Sumber Perikanan Sungai Chenang, Asri Syaaban ketika ditemui berkata, penduduk di kampung itu sangat terharu dengan kehadiran Perdana Menteri secara mengejut ke kampung mereka.

"Inilah jiwa seorang pemimpin yang benar-benar mahu mendekati rakyat dan kita sangat berbangga dengan Perdana Menteri yang dalam lawatannya terus menyelesaikan masalah nelayan di sini, apabila memberi kelulusan pembinaan sebuah jeti baru," kata beliau.

Doa TGNA diCeramah 'Demonstrasi Melawan Syaitan'

Jangan Tampal Ayat Quran Di Cermin Kereta!!!

Budaya org melayu..!!
Jangan permain ayat Quran pada cermin kenderaan..! !!
Pada masa sekarang dapat kita perhatikan semakin ramai orang Islam memasang tinted film yang tertera ayat-ayat suci al-Quran pada cermin kenderaan mereka tidak kira pada cermin depan atau belakang. Persoalannya di sini ialah, adakah amalan ini digalak atau dilarang di sisi Islam?

Apa yang jelas amalan tersebut buat masa ini nampaknya dipandang remeh dan menjadi ikutan pemilik kenderaan. Adakah mereka sedar bahawa ayat-ayat suci al-Quran sepatutnya perlu dihormati, dan tidak dipergunakan sewenang-wenangnya atau dipasang sesuka hati?

Hasil pemerhatian saya kebelakangan ini mendapati mereka yang berbuat demikian kadang-kadang lupa dan tidak berfikir bahawa mereka telah mencemarkan kesucian ayat-ayat suci al-Quran dengan menjadikannya sebagai alat pelindung cahaya atau panas terik matahari. Nampaknya, ayat-ayat suci al-Quran hanya digunakan untuk tujuan melindungi diri daripada cahaya panas matahari, tetapi tidak dihayati dan dipelajari maksudnya.

Ada ayat al-Quran yang dipasang berkeadaan usang, terkoyak, terhakis dan kotor dimakan hari kerana kenderaan dipandu ke mana sahaja tidak kira waktu dan cuaca. Pemasangan tinted film tersebut juga kini telah dijadikan alat untuk mencari keuntungan oleh peniaga yang berkenaan. Lebih menyedihkan lagi, apabila memerhatikan kenderaan yang mempunyai tinted film dengan ayat-ayat al-Quran pada cermin kenderaannya, tidak mencerminkan identiti dan akhlak orang Islam seperti memandu laju dan berbahaya selain tidak mengikut undang-undang jalan raya.

Ini sudah tentu hanya akan mencemarkan imej Islam di mata masyarakat sahaja.Saya telah mengambil inisiatif untuk bertanyakan persoalan ini kepada pegawai di ruangan soal jawab kemusykilan agama yang disediakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di laman web www.islam.gov.my dan ini adalah jawapan yang telah diberikan mengenai amalan tersebut dan ingin saya kongsi bersama para pembaca.

Jawapan tersebut menyebut, ``Ayat suci al-Quran mesti diletakkan di tempat yang tinggi kedudukannya sebagai penghormatan kepada kalamullah'' .Oleh itu berdosa meletakkan ayat suci di tempat yang tidak sewajarnya seperti di cermin kenderaan dan seumpamanya. Justeru ia merupakan satu ibadah, ayat-ayat al-Quran hendaklah dibaca mengikut adab dan diamalkan ajarannya serta beroleh pahala membacanya, menambah keimanan, menenangkan jiwa dan hati, menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa dan seumpamanya.

Disebabkan kejahilan masyarakat hari ini dan kurangnya keprihatinan khususnya kepada orang-orang Islam yang tidak menghayati dan merealisasikan tuntutan serta membudayakan ayat suci al-Quran ini,maka dengan sewenang-wenangnya ayat-ayat al-Quran yang tertentu dijadikan bahan pameran, jualan dan hiasan malahan ada sesetengah orang menjadikan sebagai azimat atau tangkal untuk melariskan jualan dan sebagainya.

Ayat- al-Quran yang selalu dipamerkan adalah dalam surah al-Baqarah: ayat 41 dan 174, Ali Imran ayat 199, 77, 187 dan at-Taubah ayat 9, al-Isra'ayat 82.Kesimpulannya, ayat al-Quran hendaklah dibaca, dihafaz, dimuliakan (diagungkan) dan hanya boleh menyentuhnya dalam keadaan berwuduk serta diamalkan ajarannya sebagaimana Allah s.w.t menyebut dalam firman yang bermaksud: Al-Quran adalah merupakan pengubatan (hati) kepada manusia dan membawa rahmat sekalian alam.Saya amat berharap agar perkara ini dapat diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan supaya ayat-ayat suci al-Quran, tidak dijadikan bahan untuk mencari keuntungan dan dipermainkan.

Umat Islam juga perlu sedar, adalah penting untuk kita mempelajari dan menghayati ayat-ayat suci al-Quran, dan mempamerkannya pada cermin kenderaan sahaja tidak cukup untuk melahirkan umat Islam yang sejati.
Ambilan: http://idhamlim.blogspot.com/2010/02/jangan-tampal-ayat-quran-di-cermin.html
Ulasan: RENUNGILAH... SAMA-SAMA BERFIKIR

BOLEH DISAMAN: Kuasa Warden Trafik Sekolah


Warden trafik sekolah menjalankan tugas menjaga keselamatan murid-murid yang mahu melintas di Sekolah Kebangsaan Bohor Mali, Simpang Empat Perlis,

KANGAR 16 Feb. - Jika tidak memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada kanak-kanak melintas di hadapan sekolah, jangan beranggapan sudah terlepas daripada tindakan undang-undang.

Walaupun individu yang meminta pengguna jalan raya itu memberhentikan kereta hanyalah seorang warden trafik sekolah, tetapi kuasa yang mereka miliki boleh menyebabkan pengguna yang ingkar berdepan hukuman saman lalu lintas.

Ini kerana, warden trafik sekolah terlibat boleh menghantar nombor kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut kepada polis trafik untuk tindakan lanjut.

Sehingga kini, Perlis mempunyai 76 warden trafik yang membantu murid-murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menyeberangi jalan di kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar.

Mereka yang bertugas sebagai warden trafik itu kebanyakannya terdiri daripada pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah yang menjalankan tugas berkenaan pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

Warden trafik itu pula berpakaian seragam yang bersarung tangan dan bertopi putih serta menggunakan wisel dan papan tanda 'BERHENTI' yang dibekalkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sewaktu bertugas.

Pemangku Pengarah JKJR Perlis, Mahmud Shahruddin Mustaffa memberitahu, pihaknya menyediakan peralatan berkenaan kepada warden tersebut untuk menolong murid selamat melintas di hadapan sekolah masing-masing.

"Sejak 2007, kami membekalkan pakaian seragam warden trafik untuk 76 sekolah di Perlis. Mereka yang bertugas itu pula bergantung pada pihak sekolah itu sendiri, tetapi lazimnya pengawal keselamatan.

"Perlindungan insurans untuk warden trafik sekolah diuruskan oleh pihak sekolah, terutama melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah berkenaan sendiri," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, 76 sekolah yang mempunyai warden trafik itu terletak di tepi jalan utama yang sentiasa sibuk seperti jalan Kangar-Alor Setar, Kedah; Jalan Kangar-Arau; Jalan Kangar-Padang Besar dan jalan-jalan utama di bandar Kangar, bandar Padang Besar dan bandar Arau sendiri.

"Sehingga kini, JKJR mendapati majoriti pengguna jalan raya mematuhi pandu arah warden trafik sekolah terutama bagi sesi pagi ketika jalan raya sibuk dengan ramai pengguna yang menuju ke tempat kerja.

"Jika ada pemilik kenderaan, seperti penunggang motosikal yang ingkar terhadap arahan warden trafik sekolah itu, dia boleh menghantar nombor motosikal dan keterangan kesalahan kepada polis trafik negeri untuk tindakan lanjut.

"Kesalahan tidak memberhentikan kenderaan seperti yang diminta oleh warden trafik sekolah sama dengan kesalahan melanggar lampu merah di persimpangan jalan yang dilengkapi lampu isyarat," ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.