UMNO Berbohong 756 Ahli PAS Masuk UMNO di DUN Kubu Gajah

PAS Kawasan Larut menuduh Umno berbohong apabila mendakwa 756 ahli PAS di DUN Kubu Gajah, keluar parti beramai-ramai menyertai Umno.

Yang dipertuanya, Dr Mohd Dhari Othman berkata ia merupaan satu lagi pembohongan, bertujuan meredakan kerisauan Umno bahagian Larut yang berdepan dengan kemerosotan sokongan pengundi di situ.

Satu berita yang disiarkan dalam Utusan Online pada 4 September kelmarin melaporkan 756 ahli PAS cawangan Kampung Bagan Baru dalam DUN Kubu Gajah, telah keluar beramai-ramai kerana tidak yakin lagi kepada parti itu.

"Saya menyangkal sama sekali dakwaan ini," kata Dr Mohd Dhari dalam satu kenyataan hari ini.

"Tidak ada tindakan keluar beramai-ramai ahli PAS di DUN Kubu Gajah ini. Mat Arop Samad bukan timbalan ketua cawangan Bagan Baru. Malah tidak pun wujud Cawangan PAS Bagan Baru," tegasnya.

Dr Mohd Dhari berkata, dakwaan itu sengaja diada-adakan oleh Umno, khususnya ADUN Kubu Gajah, Raja Datuk Ahmad Zainuddin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abd. Kadir.

Katanya, Mat Arop adalah salah seorang daripada kira-kira 30 orang yang keluar Umno Cawangan Bagan Baru - yang menjadi kubu kuat Umno di DUN Kubu Gajah - setelah BN gagal membentuk kerajaan negeri di Perak selepas pilihan raya umum 2008.

Dr Mohd Dhari mendakwa, bekas ahli-ahli Umno ini telah memohon untuk menjadi ahli PAS.

Malah katanya, dakwaan Mat Arop bahawa dia telah menjadi ahli PASs selama 22 tahun juga satu pembohongan.

"Mat Arop baru saja menjadi ahli PAS, tidak sampai dua tahun. Dia adalah ahli Umno selama 32 tahun dan mungkin ketua cawangan Umno Kampung Bagan Baru selama 22 tahun.

"PAS Larut mengalu-alukan tindakan Mat Arop keluar PAS kerana dia memang seorang ahli yang bermasalah di Larut

"Ahli-ahli Umno yang keluar masuk parti kerana mencari keuntungan diri sendiri sememangnya tidak diperlukan oleh PAS.

"Walau bagaimanapun, PAS Larut sedang berusaha untuk menubuhkan cawangan Bagan Baru dalam masa yang terdekat," tambah Dr Mohd Dhari.

Lelaki Cina Bagi Tazkirah Ramadhan di Masjid Al Falah, Seksyen 25 S. Alam.. Perkasa Atau UMNO Perlu Ke Buat Laporan Polis?

Malam semalam sempat dengar tazkirah daripada Ann Wan Seng di Masjid Al -Falah , seksyen 25 Shah Alam. Ann Wan Seng seorang aktivis sosial, pendakwah dan juga seorang penulis yang aktif menulis buku . Hampir 30 buku sudah dihasilkannya.

Beliau seorang Cina Muslim yang memeluk Islam hampir 14 tahun yang lalu. Beliau berkata ,"Nak panggil saya muallaf pun tak pa, tapi di Selangor lebih daripada 5 tahun dah tak layak dipanggil muallaf, jangan panggil saya Cina kafir sudahlah."

Antara lain dalam kuliah beliau berkata Islam bukan kepunyaan mutlak orang Melayu, Cina , India atau lain-lain bangsa atas muka bumi ini tapi Islam diturunkan diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia yang berada atas muka bumi ini.

Ketika mengulas isu
ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke dalam surau yang timbulkan kontroversi, Ann Wan Seng berkata , bukan senang orang Cina yang bukan Islam nak hampiri masjid, sekarang bila Teo masuk surau menandakan orang bukan Islam sudah boleh terima Islam. Teo juga sudah minta maaf atas isu yang timbul dan beliau jahil dalam hal ehwal Islam . Yang peliknya kenapa orang Islam terus 'bantai' Teo yang jahil sepatutnya bukan kita dakwa beliau kita berdakwah kepada beliau.

Kata Ann Wan Seng lagi kalau orang bukan Islam tak boleh masuk surau dan masjid bagaimana pula dengan masjid-masjid lain yang boleh dilawati dan dibenarkan masuk kedalam masjid?Nabi Muhammad SAW yang dikasihi buka kota Madinah perkara pertama yang dilakukan Nabi ialah bina masjid supaya jadi tempat untuk semua urusan kehidupan. Ann Wan Seng juga mendakwa orang Cina paling ramai memeluk Islam berbanding kaum lain di Malaysia. Beliau juga berkata pernah memasuki perkampungan orang Asli dan ada orang asli yang berkata, " Saya 5 kali masuk Islam 6 kali masuk Kristian!"

Mengapa umat Islam besarkan perkara yang remeh temeh sedangkan isu murtad yang berlaku di kalangan umat Islam amat membimbangkan yang dah mencecah suku juta . Tidak ada agenda besar pihak berkuasa untuk menangani gejala murtad secara bersungguh-sungguh walaupun Malaysia ada 14 mufti satu jumlah yang paling banyak dalam dunia sedangkan negara lain satu negara satu mufti saja.

Umat Islam juga menjadi penentang kepada pelaksanaan hukum hudud sedangkan hukum hudud adalah hukum Allah. Umat Islam juga pertikai hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Syariah tapi tidak pertikai pesalah syariah yang melakukan maksiat dengan menganggap hukuman mahkamah syariah sebagai zalim dan langgar hak-hak asasi manusia!

Benarkah Dakwaan Skandal Kewangan RM3juta Melibatkan Pengawai Kewangan Kerajaan Negeri Selangor? Kita Tunggu...


Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 5 Sept - Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Selangor menyerahkan memorandum Jumaat lalu bagi mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan skandal kewangan yang melibatkan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Arif Abd Rahman.

Timbalan Ketua Dapsy Selangor, Cheong Siow Foon berkata tujuan pihaknya menyerahkan memorandum tersebut ialah bagi mendapatkan respons Menteri Besar mengenai dakwaan skandal kewangan tersebut yang dikatakan membabitkan penyelewengan sebanyak RM3 juta.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin bagi pihak Menteri Besar.

Menurut Siow Foon, sebuah blog yang dikenali sebagai skandalselangor.blogspot.com mendakwa Mohd Arif telah melakukan penyelewengan dan salahguna kuasa dengan membelakangkan peraturan kerajaan negeri yang sedia ada.

Kata beliau, Pegawai Kewangan Negeri berkenaan telah membuat pelantikan kontraktor secara terus tanpa melalui kerajaan negeri dan tindakan tersebut adalah bertentangan dengan surat pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor.

Tambah Siow Foon, kontraktor yang dilantik dalam satu projek penyelengaraan parit dan longkang di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga tidak mendaftar di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor di mana langkah tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kontraktor lain yang berdaftar.

Beliau berkata pihak Dapsy telah menerima satu dokumen kerajaan negeri bertarikh 9 Julai 2010 beberapa minggu lepas.

Dokumen tersebut diterima daripada beberapa kontraktor yang mendakwa mereka telah dianiaya oleh kerajaan negeri Selangor.

"Ia berkenaan projek penyelenggaraan parit dan longkang di kawasan MPSJ yang melibatkan kos berjumlah RM3 juta di bawah peruntukan Marris dan membabitkan peruntukan sebanyak 27 syarikat yang masing-masing akan memperolehi lebih RM100,000 untuk tempoh setahun.

"Sekali tengok macam surat biasa dan tidak ada apa-apa isu berbangkit tetapi apabila pihak kami menyiasat lebih lanjut, ianya ternyata menyerlahkan penyelewengan dan salahguna kuasa melibatkan pentadbiran kewangan tertinggi kerajaan negeri Selangor dan MPSJ yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah kerajaan yang diwar-warkan sebagai telus dan berintergriti," katanya dalam sidang media selepas itu.

Beliau berkata surat tersebut menyerlahkan sikap rakus dan berkuasanya seorang Pegawai Kewangan Negeri sehingga keputusan boleh dibuat oleh beliau sendiri dengan membelakangkan peraturan yang ada.

"Mungkin juga Datuk Arif masih mengelamun teringat kerajaan yang lama (BN) yang pernah memberi beliau kuasa penuh untuk menyusun senarai kontraktor peribadi yang beliau rasa 'layak' dan mampu memberi pulangan lumayan entah kepada siapa," tegas Siow Foon.

Justeru, Dapsy Selangor mahu kerajaan negeri bersikap telus dengan menyiasat dakwaan ini dan memberikan penjelasan terhadap persoalan yang dikemukakannya di dalam memorandum berkenaan.

Antara lain, Dapsy Selangor mahu penjelasan mengenai apakah sebenarnya prosedur pelantikan kontraktor tersebut, siapakah yang bertanggungjawab memilih senarai kontraktor dan adakah Pegawai Kewangan Negeri berkuasa penuh meluluskan permohonan tersebut tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak terlebih dahulu.

"Menteri Besar perlu memberi penjelasan mengenai skandal pegawai yang terlibat supaya kerajaan negeri bersikap telus dan dedahkan perkara ini untuk pengetahuan rakyat.

"Tan Sri Khalid perlu peka mengenai penyelewengan yang berlaku dan menganggap ianya sebagai satu isu penting kepada kerajaan negeri," jelas beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri harus menyiasat skandal terbabit untuk memastikan kebenarannya agar kerajaan negeri tidak akan dipersalahkan nanti sekaligus bagi memastikan imej dan reputasi kakitangan kerajaan negeri sentiasa bersih.

"Kerjasama daripada kerajaan negeri untuk menjalankan penyiasatan dan tindakan oleh Tan Sri Khalid sendiri amatlah di hargai supaya Selangor bebas daripada rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan," katanya.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Selangor juga telah menyerahkan memorandum berhubung skandal ini kepada Menteri Besar pada Julai lalu.

Namun, sehingga kini tiada sebarang jawapan susulan diperolehi daripada pihak kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan selanjutnya, Faekah berkata memorandum itu akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk diambil tindakan.

"Biar Tan Sri adakan pendengaran daripada pihak yang didakwa. Kita perlu dapatkan penjelasan mengenai dakwaan tersebut sebelum membuat sebarang tindakan lanjut," jelas Faekah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.