Gambar Terkini Konvensyen Pakatan Rakyat 2 di Kepala Batas, Pulau Pinang

Kaki Imam Dilihat Dalam Mulut Buaya



Seorang penduduk (kanan) melaungkan azan di kawasan imam Sidi Samad dibaham buaya semasa usaha mencari mayat mangsa di Sungai Batang Samarahan, di Kampung Reban, Serian, Sarawak


SAMARAHAN 18 Dis. - ''Itu kaki bapa saya, minta tolong pulangkan," luah Musa Sidi, 40, selepas melihat rahang seekor buaya berukuran panjang kira-kira 5 meter dan lebar 1.5 meter membawa kaki bapanya dalam satu kejadian yang berlaku di Sungai Batang Samarahan di Kampung Reban dekat Serian pagi ini.

Mangsa, Sidi Samad, 66, yang juga imam ketiga Masjid Darul Ihsan kampung berkenaan maut dibaham buaya kira-kira pukul 6.30 pagi ketika sedang menjala udang galah secara bersendirian di sungai berkenaan yang dikenali sebagai habitat reptilia berkenaan.

Musa anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang adiknya mengenai kehilangan bapanya yang tidak pulang-pulang ke rumah pada pukul 10.30 pagi.

Katanya yang baru selesai mengambil bas sekolah yang dipandunya dari bengkel kemudiannya terus bergegas pulang ke rumah dan terus menuju ke lokasi kejadian yang terletak betul-betul di hadapan rumah.

Katanya lagi, pada ketika itu dia bersama dua lagi penduduk melihat seekor buaya sebesar perahu berada kira-kira 30 meter dari tebing sedang timbul dan bergerak mengikuti arus sungai dengan di rahangnya terdapat sesuatu benda yang disahkan kaki bapanya.

''Kali kedua buaya itu timbul di tengah sungai, saya dapati, kedua-dua kaki bapa saya ada di dalam mulut buaya berkenaan.

''Lantas saya memanggil buaya berkenaan dengan harapan haiwan itu akan menyerahkan bapa saya namun buaya itu ia terus hilang dengan mengibas-ngibas ekornya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, penduduk kampung berusaha memburu buaya berkenaan dengan menggunakan perahu. Mereka turut melaungkan azan dan membaca surah Yasin sebagai usaha membantu mengesan Sidi.

Setakat pukul 4 petang ini, usaha mencari imam berkenaan masih diteruskan. Sungai Batang Samarahan juga pernah meragut nyawa kanak-kanak akibat dibaham buaya 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, isteri kepada Sidi, Dayang Salhah Awang Sahrul, 64, memberitahu, suaminya sempat bersarapan pagi dengan hanya meminum kopi bersama tiga yang lain kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum keluar rumah.

Ujarnya yang telah 45 tahun berkahwin, suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu berlaku malah mereka sempat menghadiri majlis kenduri arwah jirannya malam tadi.

''Menyedari suami saya tidak pulang lagi ke rumah, saya bertekad untuk mencarinya bersama anak yang lain namun diberitahu bahawa kakinya ditemui berada di mulut buaya berkenaan," katanya yang redha dengan pemergian suaminya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Supritendan Jamali Umi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.