ABIM Rakam Takziah Kepada Keluarga Aminulrasyid Dan Menggesa 8 Tindakan Diambil.. Moga Yang Berkenaan Mengambil Tindakan Segera...


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merakamkan takziah dan simpati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid yang terlibat dalam tragedi yang meragut nyawanya minggu lalu.

Walaupun pihak kerajaan dan polis telah memberikan jaminan bahawa siasatan yang telus akan dibuat secara menyeluruh, Abim berpandangan ada beberapa aspek ketelusan dan ketegasan yang perlu diperkukuhkan bagi menjamin keadilan untuk semua pihak.

Dalam menangani isu ini, Abim berpendirian bahawa ada beberapa perkra penting yang perlu dipertegaskan dalam memastikan isu ini benar benar ditangani dengan telus dan kedaulatan undang-undang dijunjung sepenuhnya.

Dengan ketegasan untuk membersihkan dua nama iaitu membersihkan nama Allahyarham Aminulrasyid daripada gelaran penjenayah serta membersihkan nama serta imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedikit sebanyak tercalar kerana insiden ini, maka Abim menggesa lapan tindakan diambil seperti berikut:-

1. Menyokong permintaan keluarga mangsa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjamin ketelusan, membela kehormatan maruah Allahyarham serta keluarganya, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PDRM yang menjunjung moto perkhidmatan, “Mesra, Cepat dan Betul”.

2. Menggesa semua pihak agar menghentikan segala kenyataan yang berbentuk tuduhan, sindiran serta spekulasi yang boleh mengeruhkan suasana serta menjatuhkan maruah Allahyarham di samping mengguris hati serta perasaan keluarga beliau.

3. Menggesa kerajaan melantik wakil-wakil dari NGO untuk mengganggotai Suruhanjaya yang memantau siasatan polis di dalam kes ini bagi menjamin keadilan dan ketelusan yang sewajarnya bagi mengelakkan isu siasatan ini dipolitikkan.

4. Menggesa lebih ramai saksi-saksi yang menyaksikan tragedi tersebut tampil memberikan kerjasama tanpa sebarang ancaman atau ugutan daripada mana-mana pihak demi mencapai proses keadilan.

5. Abim juga menyeru agar lebih banyak NGO yang berpengaruh dan badan-badan hak kemanusiaan berpartisipasi bagi menggerakakan kesedaran pendidikan hak-hak asasi untuk rakyat Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan di kalangan masyarakat.

6. Menggesa kerajaan agar lebih tegas dalam usaha memperkasa ketelusan dan kepimpinan PDRM dengan usaha untuk membaikpulih imej wibawa dan nama baik PDRM di mata masyarakat.

7. ABbim juga menegaskan agar ibu-bapa khususnya agar lebih bertanggungjawab dan secara serius memantau aktiviti anak masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian lain yang tidak diingini.

8. Abim juga akur dengan beban yang dipikul oleh pihak PDRM untuk menjaga keselamatan negara. Justeru, PDRM perlu mempertingkatkan tahap professionalisme dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berulang kembali di masa akan datang.

1 Malaysia Nak Keluarkan Lesen Judi Untuk Piala Dunia 2010... Islam Hadhari Dah Berkubur


Kerajaan timbang beri lesen judi Piala Dunia

Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya.

- Bernama

Ada 209 pengundi Parlimen Sibu Berusia Lebih 100 tahun? SPR Akan Menyiasat.. Kita Tunggu Dan Lihat Tindakan Lanjut SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyiasat dakwaan sebuah badan pemantau tempatan yang menggelarkan diri sebagai "Pemerhati Pilihan Raya Sibu" (SEW) bahawa terdapat 209 pengundi di kawasan Parlimen Sibu yang berumur melebihi 100 tahun.

Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata pilihan raya kecil Sibu akan menggunakan senarai daftar pemilih tahun 2009 yang dikemas kini pada 9 April lalu.

"Saya tidak tahu senarai (daftar pemilih) mana yang mereka pakai tetapi kami (SPR) akan meneliti (dakwaan itu)," katanya kepada pemberita selepas taklimat media pilihan raya kecil Sibu di Sibu hari ini.

Semalam, SEW satu pertubuhan baru yang diwujudkan sebagai pemerhati bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

Penyelarasnya Wong Meng Chuo berkata SEW yang mempunyai 22 anggota yang akan memantau perjalanan penamaan calon, kempen dan pengundian sepanjang pilihan raya
kecil itu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu akibat barah hati.

SPR menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.

- Bernama

Ada Video: Pemilik Kereta Yang Bergesel Dengan Kenderaan Dipandu Aminulrasyid Tampil Sahkan Kenyataan Azamuddin


Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemilik kenderaan yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, telah bertemu denganya dan menceritakan peristiwa sebelum remaja itu ditembak mati oleh polis pada 26 April.

Kha

lid berkata, ahli perniagaan tersebut tampil menemuinya kelmarin (Selasa) dan meminta pandangannya berhubung tindakan lanjutnya yang patut diambil.

“Dia asalnya tidak mahu campur. Dia takut direman,” katanya yang enggan mendedahkan indentiti pihak terbabit buat masa ini.

Bagaimanapun, selepas dinasihatkan, Khalid menambah, pemilik kenderaan tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.

Pada
27 April lalu - sehari selepas insiden kematian Aminulrasyid, Khalid (kiri) dilaporkan telah mendedahkan butiran kandungan laporan polis saksi utama kes itu, Azamuddin Omar, yang berada dalam kereta bersama arwah, pada malam kejadian tersebut.

Dalam aduanya, Azamuddin antaranya mendakwa kenderaan yang dipandu arwah telah bergesel dengan sebuah kereta, menyebabkan beliau dikejar oleh tiga penunggang motosikal, dipercayai rakan kepada pemilik kenderaan itu.

Menurut aduan itu lagi, ketika melarikan diri, mereka telah memotong sebuah kereta polis yang kemudiannya turut mengejar mereka. Azamuddin juga dilaporkan mendakwa, tembakan terhadap Aminulrasyid dilepaskan selepas kejadian tersebut.

Bercaka
p dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, beliau difahamkam seorang penunggang motosikal tersebut turut membuat laporan polis sejurus selepas kejadian tersebut, juga di IPD yang sama.

Menurut Khalid lagi, pemilik kereta tersebut memberitahunya, pada malam kejadian tersebut, keretanya digunakan oleh seorang rakannya dan keluar minum di seksyen 7 bersama tiga penunggang motosikal terbabit.

Tambahnya, kedua-dua laporan tersebut bertepatan dengan apa yang diceritakan oleh Azamuddin dalam laporan polis dan sidang medianya sebelum ini.

Menjawab soalan, Khalid berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit tidak menyaksikan peristiwa ketika Aminulrasyid ditembak, laporan tersebut didakwa dapat membuktikan “konsisten dan tepatnya” versi yang diceritakan kembali oleh Azamuddin.

“Kalau di bahagian awalnya (cerita itu) tepat, takkanlah di akhirnya tidak betul?” soalnya kembali.

S
ehubungan itu, Khalid mempersoalkan kenapa “laporan yang telah berada dalam simpanan polis” itu tidak didedahkan kepada umum ketika kerajaan menjamin satu siasatan yang telus akan dilaksanakan dalam kes itu.

“Ketelusan bukannya bermaksud telus terhadap jawatankuasa (pemantau) sahaja, tetapi juga kena telus kepada rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Khalid juga menyuarakan kebimbingannya terhadap perkembangan siasatan kes Aminulrasyid di mana Azamuddin telah tiga kali dipanggil memberikan keterangan oleh pihak polis.

Beliau berkata, tindakan itu – terakhir petang semalam – dikhuatiri boleh mendorongnya tersilap membuat kenyataan dan tidak konsisten memberikan jawapan.

"Berapa kali dia (Azamuddin) perlu menceritakan perkara ini? Apa tujuan dia diminta menceritakan perkara yang sama berulang-ulang kali?" soal Khalid.

Ketua Pembangkang DUN PP akan Diseret Ke Jawatankuasa Hak Isu 13 Mei

Dewan undangan negeri Pulau Pinang kecoh hari ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (bawah) memberi amaran bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika rakyat hilang keyakinan dengan pihak berkuasa dan sistem sedia ada.


Mengulas bidasan orang ramai berhubung kematian remaja 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis, Azhar menyoal sama ada rakyat mahu tentera mengambil alih negara memandangkan polis didakwa tidak lagi berkesan.

Kenyataan itu menyaksikan beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dan menuntut Azhar menarik semula kenyataannya itu.

Azhar enggan berbuat demikian.

Justeru, usul mengheretnya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kelakukannya itu diluluskan di DUN hari ini.

Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata yang "menghasut supaya memberontak dan menimbulkan niat jahat serta perasaan bermusuh-musuhan antara kaum."

Jaminan TNB Projek CAR Tak Roboh Sekolah Dan Rumah Ibadat

Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menjalankan kerja ukur sukat pembinaan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sg Terentang, Rawang.

Menurut kenyataan TNB, kerja ukur sukat itu bagi menentukan lokasi tapak menara dan juga struktur rumah/bangunan yang terbabit dengan pembinaan tapak menara.

"Dijangkakan hanya lebih kurang 10 struktur sahaja yang perlu dirobohkan bagi pembinaan monopole berkenaan. Tiada bangunan sekolah dan rumah ibadat perlu dirobohkan dalam proses ini," menurut kenyataan itu.

Projek CAR ini telah tertangguh hampir tiga tahun selepas mendapat bantahan penduduk Kg Sg Terentang yang terbabit dan kes ini dibicarakan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 November 2009, Mahkamah Persekutuan memutuskan projek CAR boleh diteruskan dan turut memutuskan TNB membayar pampasan kepada penduduk berkenaan.

Menurut TNB, jumlah keseluruhan pampasan adalah sebanyak RM10.4 juta sebagaimana diputuskan pihak berkuasa negeri Selangor.

Projek ini telah siap hampir 100 peratus iaitu sepanjang 59 kilometer kecuali satu kilometer di Kampung Sg Terentang yang membabitkan pembinaan lima menara monopole.

Apabila siap kelak, projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Pada 17 Mac lalu, lebih 200 orang berhimpun di jalan masuk menuju Kampung Sg Terentang, Rawang dalam usaha terakhir mereka menghalang TNB daripada menyambung semula kerja-kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di kampung mereka.

Penduduk mengepung semua tiga jalan utama ke kampung itu sambil menyanyikan lagu-lagu untuk menaikkan semangat mereka.

Mereka juga membawa sepanduk yang tertera tulisan “TNB zalim” dan TNB keluar dari sini”.

Bagaimanapun bantahan berkenaan berakhir selepas campur tangan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin.

YB Dr Hamdan @ Sapa2 Tolong Tengok Sat Pasaipa Kat Merbok Kui Banyak Tempat Karoake...


MAI KOT MANA KARAOKE DI MERBOK.............

Sedikit maklumat tambahan berkaitan pusat karaoke tersebut. memang banyak di Merbok, tapi belum sampai tahap tari menari. Walau bagaimanapun, kita akan kupas isu ni sikit. tak payah ambik gambaq kot...pakat tau dah tempat tu...

a)Tempat baru yang di kesan, di persimpangan Hutan Rekreasi Tupah, kedai baru yang di buat. Kat sini kalau pi tengok, polis pun join sekali. pompuan berumur "rugget" pun ada. mai naik motor besaq. dari mana mai pun tak tau. Tapi polis semeling pun join sekali. sampai pukui 2,3 pagi. karoke lagu 60 an, ala-ala pop yeh yeh. budak uitm kadang-kadang ada join sekali. di ketahui pemilik kedai adalah ahli pekida. lani dah banyak kedai naik kat situ. kedai buah, runcit dan laksa. status tanah... tidak di ketahui...

b)kedai makan kak long tomyam. dekat dengan car wash. jalan utama ke tupah. berhadapan dengan kem polis hutan, bersebelahan dengan kasut bundle. kedai baru 4 tahun di buat. pintu kedai sah melambangkan 3 warna. hijau, merah dan kuning. ahli kuat pekida. kedai ini menawarkan karaoke. satu lagu..satu ringgit. tapi kadang-kadang buka, kadang-kadang tutup. karaoke kadang-kadang ada. sejauh mana mengganggu ketenteraman orang berdekatan tidak di ketahui...

c)kedai makan bersebelahan aimnst university, semeling. bernama adilla restoran (kalau tak silapp). kedai ni dengar kata "vouge" sikit. karoke sampai ke pagi. macam-macam jenis orang ada. tua ada..muda ada... dia punya speaker... wowwwwww. dengar kata dah byk komplen, tapi tuan kedai guna kabel besaq. tak tau la setakat mana kebenarannya. kadang-kadang di sertai oleh pelajar aimst sekali, oversea tu...

d)kedai makan di restoran sungai batu besi. menyediakan mini karoke. disini dah lama wujud. dulu beka swakil rakyat dato` arzmi hamid karoke sini kalau dia masuk batu besi. karoke disini agak terpencil, dimana dikelilingi ru,mah kampung. kerap tutup awai. orang kata kalau lewat, orang sebelah kedai kacau. baguih la tu...


e) karoke tanjung dawai. depa kata penyanyi tetap kiah rock ada situ. kat sini nak kata apa tak tau. dah klama menapak kat situ. kat tepi pantai...kedai hujung sekali...banyak orang pi situ nak minum ngan karoke jek. yang ni pasai ada pompuan tu dok gedik sikit la kat depan. tapi orang tengok tak berkenan pun...

f) karoke depan uitm. ada 3 buah kedai siam, pattani di depan uitm. dengar kata untung. tapi waktu uitm cuti, tokak jari la depa ni. sini susah nak faham. kejap ada karoke..kejap takde. ntah mana satu tak tau. dulu kerap ada karoke..lepas tu ramai orang bising..dia tutup. angkut semua sub-woofer. pastu ada balik..pasti takder pulak. kejap ader..kejap x der. mcm chipsmore....

g)karoke singkiaq. yang bukan karoke. ni jamming. dah lama ada. dengar kata jalan ke dusun singkiaq. jalan penghulu kassim. rumah sebelah kiri. ada geng-geng muda main gitar and drum tiap malam. yang tak tau depa main untuk apa. independent kot. kalau bising sangat...konpom kena halau dengan tuan rumah...

h)geng gendut tali kecapi....bunyi gendang silat setiap petang dan malam. di kawasan kg belau. bunyi sampai pukui 12 malam. yang ni dengar kata bukan karoke. yang ni latihan gendang silat. selalu di jemput je rumah kenduri. tiada aktiviti sosial. ini dengar kata semangat orang lama nak bangunkan semula gendang melayu...

yang tu makluman setakat la. so...kalau ada apa-apa makluman lain. bagitau sat. tapi setakat yang diketahui, tiada lagi laporanm aktiviti sosial karoke. cvuma bunyi bising. tetapi kalu ada tanda-tanda yang boleh mandatangkan kesan negatif... bleh tutup mot karoke yang x der pekdeh tue. tapi kalau yang ada kebel kuat...tak tau la lagu mana...

DENGAR KATA PEMUDA KOT MERBOK ADA.... TUNGGU PA LAGI..WAKTU NI LA KOT. PASTU PBT YANG ADA...LEH BUAT PANTAU. JANGAN TENGOK JA. SAT GI RANG KATA KAT HANGPA. KEDAI ROTI CANAI KAT DEPAN TAMAN BUJANG FASA 4 HANGPA PI TOLAK DENGAN PEKHOE, YANG KAROKE HANGPA TINGGAI. SAPA NAK JAWAB NIE,...

Ambilan dari Blog Nie..http://burungmerbok.blogspot.com/

Pemantau Pilihanraya Sibu (SEW) Tetap Memantau di Sibu Walaupun SPR Tidak Lulus Badan Ini... SPR Patut Bagi Laa...

Sebuah kumpulan pemantau pilihan raya tempatan, Sibu Election Watch (SEW) menolak dakwaan bahawa mereka menerima dana luar negara dan prejudis terhadap kerajaan Barisan Nasional.

Sehubungan itu, meskipun mendapat halangan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan itu bertekad untuk memantau perjalanan pilihan raya kecil parlimen Sibu.

Bercakap kepada pemberita di Sibu, penyelaras SEW yang baru ditubuhkan, Wong Meng Chuo (kiri) berkata mereka akan memantau dari luar pusat mengundi kerana gagal mendapatkan kelulusan daripada SPR.

"Walaupun SPR berkata tidak perlu bagi orang ramai memantau mereka, namun kita akan tetap memerhatikan mereka.

"Mereka tiada kuasa untuk menghalang kita,” katanya sambil menambah bahawa mereka hanya melaksanakan hak perlembagaan mereka.

Beliau juga membidas timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung kenyataannya bahawa suruhanjaya itu tidak memerlukan sebarang badan pemantau, termasuk Malaysians for Free Elections (Mafrel).

"Jika mana-mana pertubuhan kerajaan mendakwa mereka tidak perlu dipantau, ini bermakna mereka akan bertindak secara arbitrari,” katanya.

Penyelaras Rangkaian Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MEO-Net) Ong Boon Keong, yang juga hadir pada sidang media itu secara sinis menyindir dan menyoal sama ada SPR cuba menyembunyikan sesuatu dengan menghalang kumpulan pemantau.

Katanya pasukan penguatkuasaan yang dianggotai SPR pemerhati daripada parti-parti politik adalah tidak memadai kerana mereka adalah pihak yang mempunyai kepentingan.

Kedua-dua Wong dan Ong adalah ahli Mafrel yang status rasminya sebagai pemantau digugurkan oleh SPR bulan lalu.

20 Das Tembakan Ke Arah Aminulrasyid, Forum Diberitahu



Forum keadilan untuk adik Aminulrasyid (Bahagian Pertama)


Adakah keadaan terlampau ekstrem sehingga polis perlu menggunakan senjata api untuk menembak mati adik Aminulrasyid?

"Kita tengok, jumpa parang dalam bonnet (dakwaan polis), apa bahayanya? Saya tak nampak apa bahaya, kecuali kalau parang itu diayunkan (wave) pada polis. Tapi kalau diayunkan pada polis, (itu pun) dalam kereta sahaja. Melainkan (ayunan parang) dalam keadaan bertentang muka (confronted, face to face)."

"Kalau dalam keadaan pertentangan yang bersemuka pun, polis masih boleh tembak pada kaki (Aminul). Why must you kill (Mengapa kamu membunuh)?"

Demikianlah kupasan dan pertikaian yang dilontar oleh pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Raja Badrol Hisham terhadap polis, ketika mengulas isu adik Aminulrasyid, remaja berusia 14 tahun yang ditembak mati oleh polis, pada awal pagi 26, April.

Berbekalkan dokumen perundangan seperti Kanun Prosedur Jenayah, Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan sebagainya, pensyarah UIAM ini mengupas bagaimana cara yang sewajarnya untuk mengendalikan kes arwah Aminulrasyid, seandainya polis mengikut lunas undang-undang.

Syarat tangkapan tanpa waran

Raja Badrol Hisham bermula dengan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah, yang menyatakan tiga cara tangkapan polis, iaitu menyentuh tubuh badan, mengurung badan orang yang ditangkap dan ketiganya, orang yang ingin ditangkap menyerah diri.

Menurut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah, tangkapan tanpa waran memerlukan syarat seperti bersandarkan aduan munasabah (reasonable complaint) dan informasi yang credible. Sambil berseloroh mengandaikan dirinya pendakwa raya di mahkamah dalam kes ini, Raja Badrol Hisham (gambar kiri) berkata polis mungkin memberi justifikasi dengan prasyarat ketiga, iaitu "telah wujud syak yang munasabah di mana orang yang nak ditangkap terlibat dengan jenayah".

Jelasnya, perilaku jenayah yang dimaksudkan termasuklah kononnya arwah Aminulrasyid membawa kereta dengan laju, melepasi dua atau tiga lampu trafik, lari dari kereta dan tidak berhenti apabila dikejar polis.

Pensyarah undang-undang ini kemudiannya memetik seksyen 15 (2) Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan polis untuk menggunakan kekerasan ketika mencegah orang itu daripada melarikan diri. Raja Badrol Hisham mengingatkan, sungguhpun undang-undang membenarkan polis menggunakan segala langkah yang perlu untuk melakukan tangkapan, termasuk tembak mati, tetapi ia terikat dengan syaratnya.

"Misteri" parang terjawab

"Tembak sampai mati? Boleh, tetapi mesti jatuh kepada jenayah yang mungkin dilakukan itu ialah satu jenayah yang boleh dihukum mati, sekiranya dia disabitkan salah di mahkamah nanti."

Malah, Raja Badrol Hisham menambah, selain hukuman mati, tembakan sampai mati juga dibenarkan untuk kesalahan jenayah yang mengundang hukuman penjara seumur hidup. Kenyataan ini mungkin menjelaskan mengapa "parang misteri" dikatakan ditemui dalam kereta Aminulrasyid (gambar kanan), kerana hukuman untuk jenayah rompakan bersenjata adalah penjara seumur hidup.

"Bila penjara seumur hidup, boleh ditembak sampai mati," kata Raja Badrol Hisham, sambil mendakwa bahawa tuduhan parang ditemui itu adalah untuk menyelindung polis semata-mata (to cover their back).

Biarpun bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara bahawa "kereta digunakan sebagai senjata", namun Raja Badrol Hisham mempertikaikan, "Apakah bukti cukup?" Berhubung dakwaan ini, beliau mencadangkan agar pakar forensik mengenalpasti sama ada kereta arwah Aminulrasyid berundur, kerana kesan tayar pada jalan akan berbeza jikalau kereta mengundur.

Syarat menggunakan senjata api

Beliau membacakan syarat yang terkandung dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara, ketika polis menggunakan senjata api, iaitu "jika seseorang sedang diserang dengan cara yang boleh mendatangkan perasaan takut, iaitu akibat daripada serangan itu boleh mengakibatkan kematian atau cedera parah"; lantas menjelaskan bagaimana dakwaan bahawa "arwah mengundur keretanya untuk merempuh polis" sebagai justifikasi polis melepaskan tembakan.

Beliau menambah, "menembak orang hanya dengan tujuan untuk mencederakan orang, menjatuhkan orang itu atau menahan kesalahan itu daripada berlaku." Malah, beliau menyambung, "jika keadaan mengizinkan, haruslah ditujukan kepada kaki orang itu."

Bagaimanapun, ketika syarat tersebut diaplikasikan ke dalam kes Aminulrasyid, Raja Badrol Hisham mengakui bahawa polis tidak dapat menembak kaki arwah kerana arwah memandu dalam kereta, tetapi harus dihalakan ke arah roda kereta.

Pensyarah undang-undang ini beberapa kali mempertikaikan, apakah situasi ketika kejadian berlaku begitu "ekstrem" dan merbahaya, sehingga memerlukan polis untuk menembak, malah dikatakan kira-kira 20 peluru ditaburkan ke arah kereta arwah Aminulrasyid?

Rangkaian Command Center

Ketika mengulas kes ini, Raja Badrol Hisham berkata, "Dalam kejar-mengejar ni, dia (polis) akan refer kepada command center. Dapatkan maklumat. Semasa mengejar, kalau dia dapat nombor kereta tu, dia boleh gunakan rangkaian command center. Di setiap daerah (district), dia ada command center daerah. Ada juga command center negeri (state), dan di Bukit Aman dia ada command center nasional."

Dengan kata lain, polis sebenarnya boleh mengenalpasti sama ada kereta yang dikejar itu kereta penjenayah atau tidak kerana mereka dapat akses kepada Jabatan Pengangkutan Jalanraya. Malah, sesetengah kereta rondaan kini dibekalkan dengan kemudahan yang canggih, termasuk komputer untuk mendedahkan polis kepada maklumat yang diperlukan semasa rondaan.

Tidak cukup dengan itu, Raja Badrol Hisham mengingatkan bahawa kejadian tembakan berlaku di kawasan perumahan, di mana itulah kawasan yang sering dironda polis. Beliau berkata, dalam kawasan perumahan, dua kereta yang menutup kedua-dua penghujung jalan sudah memadai untuk menghalang seorang budak daripada melarikan diri.

Tembak mati: "Jimat"

Raja Badrol Hisham berkata, "Daripada itu, mereka (polis) mengambil jalan pintas. Tembak mati lagi senang. Ikut kawan saya yang ada dekat D9 (Jabatan Siasatan Jenayah) itu, quote word dia orang, 'jimat'."

"'So, kita (polis) tutup semua. Jimatkan keadaan'. Untuk mereka (polis), jimat duit rakyat," katanya itu mengundang ketawa hadirin, sebelum beliau melontarkan soalan, "Tapi, bolehkah kita jimat keadilan? Keadilan tidak boleh dikompromi."

Ketika menyimpulkan pembentangannya, Raja Badrol Hisham berkata,"kematian arwah (Aminulrasyid) ini sebenarnya boleh dielakkan, sekiranya pihak polis faham IGSO (Inspector General Standing Order atau Perintah Tetap Ketua Polis Negara) itu sendiri."

Lebih mengejutkan, apabila beliau mendedahkan, "Saya rasa terkilan juga, bila IGSO ini hanya dibekalkan kepada Ketua Polis Daerah. Pegawai-pegawai biasanya tak dapat. Kalau kita nak didik anggota polis ni, tentang kuasa mereka, maka setiap seorang mereka mesti ada IGSO. Dan setiap satu OCPD pun patut ada CPC (Kanun Prosedur Jenayah)."

Beliau berkata sedemikian kepada kira-kira 100 orang yang hadir dalam forum keadilan untuk adik Aminulrasyid, bertemakan "Bersatu pertahan Hak Asasi Rakyat", anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Selain Raja Badrol Hisham, ahli panel yang diundang termasuklah peguam bagi pihak keluarga arwah Aminulrasyid, N.Surendren dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Wong Chin Huat. Moderator forum ini ialah Presiden PKPIM, Mohammad Faisal Abd Aziz. Forum ini dimulakan dengan bacaan puisi berjudul "Jeritan Senja September" oleh sasterawan negara, A. Samad Said.

Forum keadilan untuk adik Aminulrasyid (Bahagian Kedua, tamat)

Segala-galanya bermula dari "kesilapan ringan". Keluar malam, mengambil kereta kakak dan memandu tanpa lesen, bergeser dengan kereta lain... hampir setiap kesilapan itu pernah dilakukan oleh orang biasa. Namun, ia berakhir dengan sesuatu perkara yang serius, apabila tembakan bertalu-talu dilepaskan oleh polis ke arah seorang budak yang usianya belum mencecah 15 tahun.

"You are dealing with a 14-year-old frightened boy, you are not dealing with Bruce Willis in the Die Hard movie! (Anda berdepan dengan seorang budak berusia 14 tahun yang berada dalam ketakutan, anda bukan berdepan dengan Bruce Willis dalam filem Die Hard!)"

Demikianlah luahan daripada peguam keluarga arwah Aminulrasyid, N.Surendren ketika berucap dalam forum keadilan untuk adik Aminulrasyid, bertemakan "Bersatu pertahan Hak Asasi Rakyat", anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Selain N.Surendren, ahli panel yang diundang termasuklah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, Wong Chin Huat dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Raja Badrol Hisham. Moderator forum ini ialah Presiden PKPIM, Mohammad Faisal Abd Aziz. Forum ini dimulakan dengan bacaan puisi berjudul "Jeritan Senja September" oleh sasterawan negara, A. Samad Said (gambar atas, kiri).

Bagai penggambaran filem...

Namun, apa yang berlaku pada awal pagi 26 April cukup mendebarkan, seolah-olah penggambaran filem, sebagaimana yang disifatkan oleh salah seorang saksi kepada N.Surendren. Tembakan dilepaskan bertubi-tubi oleh polis ke arah kereta arwah Aminulrasyid, semasa kejar-mengejar, tanpa amaran oleh polis melalui pembesar suara.

Menurut N.Surendren (gambar kanan), seorang lagi saksi kejadian mendakwa dirinya mendengar bunyi tembakan, dan disusuli bunyi hentaman yang kuat kemudiannya (kereta arwah melanggar tembok), lantas menyangkal dakwaan polis bahawa arwah Aminulrasyid cuba merempuh polis dengan mengundur keretanya ke arah polis. Seandainya mengikut versi polis, maka saksi akan mendengar bunyi hentaman dan kemudian disusuli tembakan.

Malah, peguam yang berpengalaman dalam pembelaan mangsa keganasan polis ini berkata, setiap kali berlakunya kejadian sebegini, pihak polis atau kerajaan akan mengeluarkan kenyataan yang sama (same standard statement), menuduh bahawa senjata seperti parang atau kapak ditemui dalam kereta mangsa tembakan. Beliau juga menyelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abd Jalil yang cuba mengalihkan kesalahan kepada keluarga kerana tuduhan "membiarkan anak keluar lewat malam".

Turut hadir semalam, mangsa keganasan polis, Norizan bt Salleh (baris ketiga dari depan, kedua dari kanan, gambar kiri)yang terkena lima das tembakan polis pada awal pagi 30 Oktober 2009. Tuduhan yang hampir sama turut dilemparkan terhadap ibu tunggal ini, tetapi tiada pendakwaan ke mahkamah setakat ini. Bahkan, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein pernah berjanji untuk menyiasat aduan Norizan, namun belum memperlihatkan hasil siasatannya sehingga hari ini.

Tragedi yang menunggu untuk berlaku

N.Surendren tidak terkejut dengan kejadian arwah Aminulrasyid, apabila memulakan ucapan dengan berkata, "Kes Aminulrasyid ini, adalah satu tragedi yang hanya menunggu masanya (untuk berlaku)."

Beliau menjelaskan, peguam hak asasi manusia, NGO, pembangkang telah berjuang bertahun-tahun, malah berdekad-dekad untuk memastikan pihak polis tidak menyalahkan kuasa ketika menggunakan senjata api, tetapi tidak diendahkan.

N.Surendren mengungkit satu peristiwa yang berlaku sekitar pertengahan tahun 1990-an, apabila bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse tegas mengkritik penembakan sebegitu. Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad (gambar kanan) menyatakan kepada media, "Apakah perasaan Raja Aziz jikalau penjenayah mengajukan pistol pada kepalanya?"

N.Surendren berkata, "Soalnya bukan sama ada penjenayah meletakkan pistol pada kepalanya, tetapi soalnya jika ada penjenayah di sana, apakah cara pihak polis perlu (gunakan) untuk menangkap mereka? Adakah dengan cara menembak sewenang-wenangnya? Bermakna kita tak perlu mahkamah, tak perlu peguam bela, tak perlu DPP, tak perlu hakim... terus sahaja menghukum?"

Keresahan ini turut dikongsi bersama oleh Raja Badrol Hisham yang memperingatkan, "Seorang penjenayah pun ada hak untuk dilindungi dalam perlembagaan. Hanya undang-undang yang boleh mengambil hak itu, termasuk hak nyawa. Hak nyawa (yang dirampas) dalam undang-undang ialah gantung sampai mati, kalau didapati salah. Tetapi apa yang berlaku di sini ialah polis bertindak sebagai hakim."

"Mereka (polis) memutuskan siapa hidup siapa mati," tambah beliau.

Institusi berperangai suka menyeksa

Ketika merumuskan kes keganasan negara, yang berlaku sama ada dalam bentuk pembunuhan di luar hukum atau kematian dalam tahanan, yang mana mangsanya merentasi kaum, Wong Chin Huat menuding jarinya ke arah "institusi yang berperangai suka menyeksa".

"Kalau arwah Aminulrasyid seorang berketurunan India, maka saudara Uthayakumar (pemimpin Hindraf, Setiausaha Agung Parti Hak Asasi Manusia) akan berkata ini adalah institutional racism, kerana 'polis suka tembak orang India'. Tetapi arwah Aminulrasyid bukan orang India, puan Norizan bukan orang India, polis tembak juga, kan?"

"Saya kira itu institutional sadism, perangai suka menyeksa yang sudah bersifat institutional," katanya. Malah, Wong Chin Huat (gambar kiri) menganggap masyarakat Malaysia sebenarnya bermasalah, kerana mempunyai budaya menerima keganasan - menolak hanya seksaan terhadap warga baik, tetapi membutakan diri apabila keganasan berlaku terhadap penjenayah.

Wong Chin Huat kemudiannya mengajak hadirin untuk mengkaji masalah institusi polis, "Masyarakat kita tak kurang orangnya, yang setiap kali institusi negara dikecam kerana melanggar hak asasi manusia, ada orang yang kata, ini adalah ancaman kepada institusi Melayu, kerana institusi polis itu adalah majoritinya Melayu. Institusi kerajaan itu Melayu dan sebagainya..."

"Saya rasa adalah penting bagi kita untuk melihat bahawa kalau kita ada satu institusi yang berperangai suka menyeksa, maka tak kira apa warna kulit kita, apa kepercayaan kita, kita mempunyai peluang yang sama untuk menjadi mangsa," simpulnya.

Siasatan bermula selepas setiap tembakan

Menurut Wong Chin Huat, mereka yang mati dalam tahanan polis atau penjara dari tahun 2002 hingga 2009, mencatat angka 1,704 orang. Malah, statistik juga menunjukkan United Kingdom yang mempunyai populasi hampir satu kali ganda lebih daripada Malaysia, mencatat angka dua orang ditembak mati, berbanding dengan Malaysia, 39 orang yang ditembak mati (menurut rekod NGO), pada tahun 2009. Lebih mengejutkan, tiada rekod tembakan polis yang menyebabkan kematian pada tahun 2007 dan 2008 di UK.

Keadaan ini berlaku kerana setiap tembakan yang dilepaskan oleh polis di UK, akan disusuli dengan penyiasatan secara automatik, tidak kira tembakan tersebut salah atau betul dari sisi undang-undang. Untuk Wong Chin Huat, kita memerlukan satu mekanisme pemantauan dalam institusi polis, misalnya IPCMC untuk memastikan agar arwah Aminulrasyid menjadi mangsa terakhir.

Pengasingan kuasa

Untuk Wong Chin Huat, kuasa tunggal ke atas institusi polis yang dipusatkan kepada kerajaan persekutuan adalah antara faktor yang menjurus kepada masalah institusi polis hari ini. Sambil mengakui masalah tekanan yang dihadapi polis, beliau menegaskan bahawa kritikan terhadap institusi polis tidak harus dilihat sebagai memusuhi polis secara individu.

Malah, Raja Badrol Hisham (gambar kiri) juga bersetuju dengan pandangan untuk membantu agar institusi polis diperbaiki, setelah berlakunya tragedi hitam sebegini. "Di negeri lain, mereka menggunakan kesilapan atau kesalahan untuk memperbaiki institusi tersebut. Tetapi di Malaysia, kesilapan satu-satu institusi itu cuba diselindungi."

Wong Chin Huat mengupas dari rangka politik, memperlihatkan bagaimana dengan pemusatan kuasa pada kerajaan persekutuan, institusi polis menjadi perkakas politik kepada kerajaan persekutuan. Gambarannya cukup jelas apabila tenaga polis dikerah untuk menjadi perisik (special branch), dan menghalang "perhimpunan haram". Sebaliknya, salah laku polis terus dilindungi kerajaan kerana berkhidmat untuk kepentingan politiknya.

Justeru itu, beliau menyarankan agar kuasa terhadap polis diasingkan (decentralized) antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Dengan kata lain, polis akan mempunyai dua "bos", satu di Putrajaya, dan satu lagi di ibu negeri masing-masing. Keadaaan ini akan menjurus kepada keadaan di mana kerajaan negeri perlu mengambil perhatian, seandainya kerajaan persekutuan enggan mengendahkan aduan rakyat terhadap polis.

- *Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Hubungan Terlarang: Pelajar Tingkatan 4 Melahirkan Bayi .. Budak Felda Lagi....








gambar hiasan








KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Tingkatan Empat melahirkan bayi dalam tandas di Pusat Kesihatan Jerangau, Felda Jerangau, Dungun dekat sini, hari ini.

Difahamkan pelajar itu ke klinik berkenaan pada pukul 11 pagi dengan ditemani jirannya setelah mengadu sakit perut dan sebaik tiba di klinik, remaja terbabit dilaporkan ke tandas dan bersalin di dalam tandas terbabit.

Kejadian yang menggemparkan pesakit di klinik itu disedari oleh orang ramai yang lalu berhampiran tandas terbabit apabila ternampak air bersama darah mengalir keluar daripada tandas berkenaan.

Mereka yang bertindak membuka tandas menemui pelajar berkenaan berlumuran darah dalam keadaan lemah bersama seorang bayi.

Pelajar yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di sekitar Dungun itu kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan bersama bayinya.

Pemangku Ketua Polis Dungun, Asisten Supritendan Alias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

"Pelajar terbabit masih berada dalam keadaan lemah dan buat masa ini, kami belum mendapat kenyataan jelas daripadanya dan bayinya juga kini sedang diberi rawatan," katanya tanpa menyatakan jantina bayi yang dilahirkan pelajar itu. - BERNAMA

Syabas Kerajaan Negeri - Sumbangan Skim Kafalah: 16 Keluarga Miskin Di DUN Alor Mengkudu Dibantu..






















Alor Mengkudu - Skim Kafalah yang disebut di dalam manifesto Pas PRU 12 yang lalu telah dilancarkan berkuatkuasa pada 1 Jan 2010.

Walau bagaimanapun perlaksanaannya sedikit terlewat disebabkan beberapa masalah teknikal.

Skim Kafalah adalah bantuan kewangan sebanyak RM500 yang diberikan kepada waris simati yang terdiri dari keluarga miskin.

Keluarga miskin ditakrifkan sebagai keluarga yang mempunyai pendapatan isirumah kurang dari RM720 sebulan atau pendapatan individu yang kurang dari RM180 sebulan.

Hari ini seramai 16 keluarga telah menerima skim itu yang disampaikan sendiri oleh Yb Dr Ismail Salleh.

Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM2.7 juta setahun untuk membiayai skim ini yang bertujuan untuk meringankan sedikit bebanan yang ditanggung keluarga terbabit akibat kematian ahli keluarga mereka.

Kesemua penerima skim kafalah ini telah melahirkan rasa syukur kerana Kerajaan Negeri mengambil berat tentang kebajikan mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.