Jaminan TNB Projek CAR Tak Roboh Sekolah Dan Rumah Ibadat

Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menjalankan kerja ukur sukat pembinaan Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Kampung Sg Terentang, Rawang.

Menurut kenyataan TNB, kerja ukur sukat itu bagi menentukan lokasi tapak menara dan juga struktur rumah/bangunan yang terbabit dengan pembinaan tapak menara.

"Dijangkakan hanya lebih kurang 10 struktur sahaja yang perlu dirobohkan bagi pembinaan monopole berkenaan. Tiada bangunan sekolah dan rumah ibadat perlu dirobohkan dalam proses ini," menurut kenyataan itu.

Projek CAR ini telah tertangguh hampir tiga tahun selepas mendapat bantahan penduduk Kg Sg Terentang yang terbabit dan kes ini dibicarakan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 November 2009, Mahkamah Persekutuan memutuskan projek CAR boleh diteruskan dan turut memutuskan TNB membayar pampasan kepada penduduk berkenaan.

Menurut TNB, jumlah keseluruhan pampasan adalah sebanyak RM10.4 juta sebagaimana diputuskan pihak berkuasa negeri Selangor.

Projek ini telah siap hampir 100 peratus iaitu sepanjang 59 kilometer kecuali satu kilometer di Kampung Sg Terentang yang membabitkan pembinaan lima menara monopole.

Apabila siap kelak, projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Pada 17 Mac lalu, lebih 200 orang berhimpun di jalan masuk menuju Kampung Sg Terentang, Rawang dalam usaha terakhir mereka menghalang TNB daripada menyambung semula kerja-kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di kampung mereka.

Penduduk mengepung semua tiga jalan utama ke kampung itu sambil menyanyikan lagu-lagu untuk menaikkan semangat mereka.

Mereka juga membawa sepanduk yang tertera tulisan “TNB zalim” dan TNB keluar dari sini”.

Bagaimanapun bantahan berkenaan berakhir selepas campur tangan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.