Please! Please! Kamu Jangan Nakal.... Wahai Pengarah JAIS


Dato Khusrin, Jangan Nakal! Dr MAZA

Artikel saya ‘Telan Air Ludah Ustaz’ telah meresahkan JAIS. Pengarahnya minta saya buat kenyataan secara jelas atau terbuka di media siapakah tokoh yang dimaksudkan. Tadi JAIS menghantar surat ala ugut-ugutan kerana isu tersebut dan memerintahkan saya hadir untuk merakam perbualan. Jika tidak akan diambil tindakan! Begitulah JAIS. Peguam saya sedang meneliti surat itu di sudut undang-undang.

Dalam artikel saya itu saya menyebut: “Berbagai sumber yang boleh diyakini memaklumkan kepada saya bahawa di Selangor ada seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air liurnya untuk keberkatan. Upacara itu pula dibuat di masjid. Apa tidaknya, beliau ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan. Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau! Ada banyak perkara yang boleh ditanya. Demikian mudah nama Ahlus Sunnah dipergunakan dan tidak pula dikenakan tindakan oleh JAIS”.

Beberapa orang telah menghubungi saya dan memaklumkan mereka sudah pun menelefon dan memberikan maklumat kepada JAIS tentang hal tersebut. Namun Pengarah JAIS terus sahaja menyatakan kepada media mereka tiada maklumat. Memang menghairankan. Mereka mahu saya membuat kenyataan rasmi. Peguam-peguam saya seakan boleh menghidu sesuatu. Jika kenyataan rasmi dibuat, penasihat-penasihat undang-undang saya bimbang secara teknikal ‘episod’ perundangan yang lain akan dimulakan dan akhirnya kes tersebut mungkin tidak ke mana, kes baru akan ditimbulkan. Itu nasihat mereka, ‘jangan terperangkap, artikel saya umum dan tugas JAIS mencari fakta, bukan bermusuh dengan mereka yang mendedahkan kesalahan itu secara umum’, nasihat mereka.

Padahal jika kita lihat entah berapa ramai penceramah tanpa tauliah ditahan walaupun bercerita di tempat yang tertutup. Siapakah yang beri maklumat? Adakah dia perlu hadir untuk sessi rakaman perbualan kerana memberi maklumat? Adakah JAIS ada rakaman pemberi maklumat maklumat sehingga membolehkan mereka bertindak kepada Dr Abdullah Yasin, saya dan lain-lain.

Sedangkan ceramah-ceramah tersebut bukan di masjid dan belum tentu boleh dikatagorikan sebagai ceramah agama. Kes-kes skodeng pasangan untuk tangkap khalwat, siapa pemberi maklumat? Adakah JAIS bertindak setelah mereka datang memberi maklumat yang dirakam? Tidakkah kebanyakan hanya melalui panggilan telefon? JAIS jangan double-standard. Firman Allah (maksudnya) :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).

Saya sudah lama tidak menyebut nama Datuk Khusrin (DK). Dengar pun dah jarang. Kali terakhir saya dengar kawan saya seorang YB yang dah berubah parti memberitahu dia jumpa DK dan bertanya: “Enta ni yang dok sibuk orang itu orang ini tiada tauliah ni, enta lulusan mana?”. Saya diam sahaja mendengar ceritanya. Cuma saya tanya dia kata apa?. Kata dia: “Masam kerut muka”. Saya malas nak sebut nama DK. Tapi ini mungkin sudah melampau. Saya mengelakkan sebut nama Khusrin atas beberapa sebab.

Pertama, saya hanya tahu beliau dari jauh. Banyak email dan maklumat ‘siapa beliau’ yang dihantar kepada saya. Saya tidak ambil pusing sangat kerana itu masalah terlalu peribadi.

Kedua, saya keberatan menyebut namanya kerana sebagai seorang yang tahu bahasa Arab, perkataan khusrin bermaksud ‘satu kerugian’. Sesiapa yang baca Surah al-‘Asr, dengan sendirinya tahu maksud tersebut. Saya lebih selesa sebut ‘Pengarah JAIS’ sahaja. Sahabat-sahabat ada yang bergurau kata mereka ‘kalau ada Asri tentu lepas itu Khusrin’. Mereka barangkali merujuk kepada Surah al-‘Asr yang menyebut perkataan ‘Asr dan khusrin. Ya, biarlah itu nama beliau. Rugi atau untung pilihan beliau sendiri! Cuma jangan bertindak merugikan diri di dunia dan di akhirat. Jawatan akan berakhir, tidak menongkat langit. Sikap yang jujur atau sebaliknya dicatat malaikat dan manusia sehingga selepas mati. Artikel ini pun akan dikenang. Setiap pemimpin akan bertanggungjawab di akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w:

“Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apapun, saya percaya pihak DK ini telah ada maklumat. Pelik, mengapa beliau masih tidak mahu siasat dan menyatakan tiada siapa beri maklumat. Saya di Penang tahu. Ramai sahabat-sahabat penceramah yang saya tanya mereka pun beritahu mereka dengar hal yang sama. Sepatutnya JAIS berterima kasih kerana ada pihak yang cuba hentikan satu perbuatan yang penuh kebodohan. Bukan kerja saya untuk pergi buat siasatan. Saya sudah buat pendedahan tanpa nama dan tempat, maka kerja JAISlah setelah diberi maklumat untuk bertindak berdasarkan maklumat orang ramai. Adakah JAIS pun akan mencari pengadu dan menghukum mereka?!

Ya Khusrin, anta khatir.. bukan sedikit perkara yang orang adu kepada saya. Baru satu yang saya sebut. Ini pun ada lagi satu rakaman yang mungkin DK terpaksa menjawab juga nanti. Satu penilaian adil perlu dibuat. Ada lagi beberapa bahan yang telah sampai, saya beritahu pengirim-pengirim tersebut, isu-isu peribadi itu bukan kegemaran saya. Isu-isu yang seperti itu mungkin hanya saya boleh kata secara umum “jangan nakal-nakal”. DK mungkin faham apa maksud saya di sini. Saya mahu isu yang membabitkan kepentingan umat.

Akhirnya saya nasihat DK dan JAIS akan kita semua merenung perkataan Saidina Ali bin Abi Talib:

“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).

Datuk Khusrin, gunakan kuasa dengan baik, jangan double standard dan ‘jangan nakal’!

Ambilan: DR MAZA

Mutu Perkhidmatan E-Idaman Perlu DiPertingkatkan - Belum Memenuhi Piawaian Yang DiKehendaki: Exco




ALOR SETAR: Kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan kerja pembersihan longkang yang dijalankan syarikat Environment Idaman (E-Idaman) di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata pihaknya masih mengharapkan supaya kerja pembersihan longkang, khususnya di kawasan bandar dipertingkatkan bagi mengelak kejadian banjir kilat jika berlaku hujan lebat.

“Kebersihan bandar bukan saja dilihat dari aspek sampah sarap, tetapi turut diperhatikan melalui kebersihan longkang dan sistem perparitan. "Kita berharap E-Idaman meningkatkan tahap kebersihan longkang, terutama di bandar raya ini yang belum mencapai tahap memuaskan,” katanya.

Phahrolrazi bagaimanapun berkata, kerajaan berpuas hati dengan dua aspek lain iaitu kutipan sampah dan perkhidmatan memotong rumput yang juga diuruskan E-Idaman.

“Kita mendapat maklum balas penduduk yang rata-ratanya berpuas hati dengan mutu perkhidmatan diberikan syarikat itu.

“Walaupun ada juga aduan yang diterima berhubung ketidakpuasan hati daripada pengguna, namun ia hanya sebilangan kecil dan sudah diselesaikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama E-Idaman,” katanya.
Sementara itu, Pengarah E-Idaman, Azmanuddin Haq Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa peka dengan aduan diterima dan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin.

“Kita sentiasa mematuhi perjanjian pengurusan yang ditandatangani bersama PBT dalam menjalankan setiap aktiviti pembersihan ditugaskan.

“Jika sebelum ini PBT mengutip sampah di sesuatu lokasi seminggu tiga kali, kita juga akan melakukan perkara sama seperti yang mereka lakukan.

“Namun kadang-kala ia bergantung kepada budi bicara kami sekiranya mendapati ada tempat yang memerlukan pungutan yang kerap, ia akan dipertimbangkan walaupun tidak termaktub dalam perjanjian,” katanya.

Beliau juga menjelaskan aspek kebersihan longkang akan turut dipertingkatkan bagi memastikan saluran itu tidak tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat.

Parlimen Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon

Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.

Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.

Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.
Menangi iPod Shuffl

MIC Syok Sakan...Pertengahan Tahun Depan Samy Mahu Letak Jawatan... Boleh Percaya La Kot...


Samy Vellu lepas jawatan Presiden dalam 14 bulan

KUALA LUMPUR, 16 April — Datuk Seri S. Samy Vellu, presiden MIC paling lama memberikan tarikh baru untuk berundur dari jawatan itu iaitu dalam tempoh 14 bulan lagi.

Justeru, Samy Vellu (gambar) mengesahkan bahawa timbalannya Datuk G. Palanivel akan menggantikan beliau untuk mengepalai MIC.

“Beliau akan jadi Presiden dalam tempoh 13 atau 14 bulan lagi.

“Apabila beliau jadi Presiden, beliau boleh pilih siapa calon disukainya untuk bertanding dan berpeluang memilih kawasan yang baik untuk dirinya sendiri,” kata beliau dipetik akhbar-akhbar tempatan hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan Palanivel akan diberikan jawatan senator dan timbalan menteri selepas tidak dipilih semula sebagai calon Hulu Selangor.

Samy Vellu berkongsi pendiriannya ini pada hari Palanivel sah digugurkan dari tiket bertanding kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil ini.

Samy Vellu dan Palanivel merupakan antara enam calon MIC kalah dalam pilihan raya umum 2008.

Palanivel, wakil rakyat Hulu Selangor sejak 1990 tetapi tewas dua tahun lalu digantikan oleh Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan untuk membawa cabaran BN.

Palanivel menang kerusi timbalan presiden MIC pada tahun 2007 dengan restu Samy Vellu dan sekali lagi September lalu.

Samy Vellu disebut-sebut akan meninggalkan parti dalam tempoh setahun sejak pemilihan tahun lalu. Malah laporan awal tahun lalu menyebut beliau akan melepaskan jawatan itu sebaik selepas pemilihan September lalu.

Beliau juga dikatakan akan pergi bercuti awal tahun ini untuk memberi peluang kepada Palanivel tetapi menangguhkannya atas alasan masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan.

Palanivel juga merupakan Pengerusi MIC Selangor, Ketua MIC Bahagian Hulu Selangor dan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor.

Dalam pada itu, Samy Vellu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka pemilihan Kamalanathan sebagai calon Barisan Nasional dan yakin Ketua Penerangan MIC itu akan mampu meraih sokongan pengundi.

Presiden MIC itu berkata, keputusan menamakan Kamalanathan diperakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan parti itu menghormatinya.

“Kamalanathan calon yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu memandangkan beliau berpendidikan tinggi dan juga fasih dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Tamil.

“Beliau turut terbabit dalam banyak aktiviti sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan selama bertahun-tahun dan ini akan memberi beliau peluang mendapatkan pendekatan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,” katanya.

“Saya hanya boleh mencadangkan seorang calon namun keputusan muktamad terletak dalam tangan Perdana Menteri,” katanya.

Mengenai keputusannya sebelum ini untuk meletakkan Palanivel sebagai calon sebelum ini, Samy Vellu memberitahu beliau sebenarnya telah menghantar dua nama kepada Perdana Menteri.

“Antara dua nama itu, Perdana Menteri memilih Kamalanathan. Kita sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri ketika perbincangan semalam dan hari ini.

“Palanivel juga ada beberapa tugas lain untuk dilaksanakan dan beliau boleh jadi calon untuk pilihan raya lain. Sebaik sahaja Perdana Menteri pulang, akan ada perbincangan terus MIC dengannya. Saya yakin, semua hal berbangkit akan selesai,” kata bekas Menteri Kerja Raya ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.