Syed Husin Ali Saman Utusan RM10 juta

Timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali hari ini memfailkan saman RM10 juta terhadap Utusan Melayu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Syed Husin, yang baru-baru ini dilantik sebagai senator oleh kerajaan negeri Selangor juga menamakan, pengarang akhbar milik Umno itu, Mohd Hassan Mohd Noor dan bekas pemimpin PKR Zamil Ibrahim sebagai defendan.

Dalam kenyataannya, Syed Husin mendakwa artikel pada 6 Mac, Utusan Malaysia yang berjudul 'RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis' adalah berunsur fitnah.

Artikel berkenaan yang dipetik berdasarkan sebuah blog mendakwa Syed Hussein telah dibeli oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dibayar RM500,000 bagi membubarkan Parti Rakyat Malaysia, yang mana beliau adalah presiden dan kemudiannya menyertai PKR.

Syed Husin mendakwa Zamil pada atau sebelum 6 Mac berckap kepada seorang wartawan Utusan Malaysia, dan artikel berkenaan membayangkan timbalan presiden PKR itu bersalah dengan kegiatan rasuah.

Beliau juga mendakwa artikel berkenaan membawa maksud bahawa dia telah melakukan kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman penjara.

Artikel itu juga dikata mengambarkan seolah-olah Syed Husin seorang hiprokit dan tidak layak menjadi ahli politik, menikam rakan-rakan parti, tidak berprinsip dan tidak layat memegang jawatan timbalan presiden PKR.

Dia juga mendakwa penerbitan artikel itu telah memburukkan nama baik, kredit dan reputasinya.

Kerajaan Negeri Mahu Setiap Rakyat Miliki Rumah Sendiri

Bagi mempastikan keselesaan hidup rakyat, kerajaan berusaha menyelesaikan masalah perumahan dan akan berusaha supaya semua rakyat dapat memiliki rumah sendiri.



Demikian diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan YB Dato’ Ir Haji Phahrolrazi Md. Zawawi kepada wartawan Warta Darul Aman.



Katanya, keperluan rumah hari ini semakin meningkat berdasarkan jumlah yang mendaftar di Bahagian Perumahan mencecah 23 ribu pemohon.

“Jumlah ini adalah permohonan untuk rumah kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah jenis ini dibina oleh GLC dan pihak swasta serta dibina di kawasan-kawasan ikut permintaan,” katanya.

Kerajaan menggalakkan pihak pemaju perumahan membina rumah mampu milik yang berharga RM150 ribu ke bawah seperti yang dibuat oleh Syarikat Seri Temin di Bandar Sejahtera di Pokok Sena. Rumah tersebut habis dijual di hari pelancaran lagi.

Manakala di Sungai Petani dan Kulim, katanya, bekalan rumah mampu milik ini sudah berlebihan yang telah diluluskan.



Selain itu pembangunan perumahan di daerah-daerah adalah mengikut permintaan dan kategori yang diperlukan ialah rumah mampu milik kerana rakyat golongan sederhana mampu membelinya.



“Kalau atas permintaan untuk rumah mahal tidak begitu banyak, permintaan mungkin datang dari pemaju yang mahu menjual kepada pembeli dari luar negeri Kedah. Ini berlaku di Bandar-bandar besar seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim,” katanya.



Menurut beliau lagi, mengikut perancangan perumahan tahun 2020 nanti, 60 peratus penduduk Kedah akan tinggal dalam taman-taman perumahan sementara 40 peratus tinggal di kampung tradisional atau kampung baru.



“Ini kerana generasi baru akan datang tidak ada tanah untuk membina rumah sendiri tetapi mereka ada pekerjaan dengan gaji bulanan untuk buat pinjaman membeli rumah. Mereka tidak mampu membeli tanah kerana tanah kampung bergeran besar tidak boleh buat pinjaman untuk tujuan ini.



“Rumah kampung tradisional tidak boleh buat pinjaman sebab takkan nak gadai satu geran yang besar libatkan harta orang lain. Hasilnya generasi yang kerja makan gaji dengan pendapatan sendiri akan beli rumah dalam taman,” katanya.



Trend ini juga, katanya, bergantung kepada cita rasa generasi akan datang yang suka duduk dalam kawasan perumahan yang ada kemudahan lengkap selain berdekatan dengan bandar dan pusat perniagaan. Ketika ini berlaku transformasi penduduk di mana kampung tradisional dan kampung baru ini akan mengecil dari segi peratus pertambahan penduduk.

Membasmi kemiskinan ditekankan kerajaan dalam merealisasikan cita-cita supaya rakyat hidup selesa. Untuk itu di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan juga Pejabat Daerah menjadi penyelaras kordinator kepada agensi-agensi yang memberi bantuan kepada rakyat terutama golongan miskin tegar. Miskin tegar ini adalah berpendapatan dibawah RM450 dan ketegori miskin pula sebanyak RM 720 seisi keluarga.



“Di peringkat ini pendaftaran dilakukan oleh e-Sinar dan kerajaan menyelaras agensi-agensi yang memberi bantuan supaya yang betul-betul layak sahaja menerima. Ini kerana sekarang ini masing-masing agensi memberi ikut permohonan kepada mereka.



“Jadi kita nak dapat maklumat permohonan yang belum dapat dan berapa agensi yang bagi bantuan. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zakat, Keda, Felcra dan agensi pusat serta Jabatan Pelajaran juga ada bantuan kepada pelajar sekolah. Selain itu bantuan perniagaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.



Ini diselaraskan oleh UPEN melalui pendaftaran e-Sinar di mana sehingga kini sebanyak 7,000 telah didaftarkan dan kemungkinan jumlah pendaftaran akan mencecah 20,000 orang.



Berhubung isu kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pusat, beliau menjelaskan bahawa Negeri sentiasa memberi kerjasama erat kepada Kerajaan Pusat demi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.



Katanya, mesyuarat sentiasa diadakan bagi mempastikan kelancaran projek-projek peruntukan Pusat yang melibatkan agensi kerajaan negeri.

“Seperti projek keretapi ‘double tracking’. Ini projek besar di bawah Kementerian Pengangkutan yang diserah kepada Syarikat Gamuda. Kerajaan Negeri cuma terlibat dalam pengambilan tanah dan masalah sosial seperti pemindahan setinggan, kelulusan pelan bangunan dan jejambat. Kita akan bantu melalui pihak berkuasa tempatan,” katanya.


p/s: Admin pun belum ada rumah sendiri lagi... Moga2 cepat la ada rumah sendiri nanti

'Ceramah jalan terbaik nafikan lompat parti' : SU Pas Kedah

Tindakan PAS Kedah mengerahkan tiga exco PKR dan seorang ADUN DAP - yang dispekulasikan melompat parti - ke majlis ceramah Sabtu ini merupakan sebaik-baik cara bagi menafikan spekulasi itu.

Setiasuaha PAS negeri Senator Muhamad Yusof Husin berkata sekiranya wakil rakyat tersebut tidak tampil memberikan penjelasan, rakyat akan terus bimbang terhadap kesetiaan mereka pada Pakatan Rakyat.

"Masalah ini (lompat parti) boleh diselesaikan secara dalaman (parti). Selagi kita tak buat macam ini (ceramah), keresahan (rakyat) berterusan. Rakyat kata, kenapa kerajaan negeri tak bertindak (mencegahnya)?

"Jadi biar mereka (empat wakil rakyat itu) menjelaskan apa yang didakwa (kepada mereka) pada hari itu, dengan memberi penjelasan dengan penuh ikhlas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

Muhamad Yusof mengulas desas desus bahawa keempat-empat wakil rakyat itu diminta bersumpah supaya setia bersama Pakatan di hadapan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Keempat-empat ADUN tersebut, S Manikumar (Bukit Selambau), Tan Chow Kang (Sidam) dan Lim Soo Nee (Kulim) daripada PKR. Manakala wakil DAP pula Lee Guan Aik (Kota Darulaman).

Mereka sebelum ini dilapor menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azizan, sekali gus telah menafikan khabar angin mahu keluar parti.

Malah, mereka juga dilapor bersetuju untuk hadir ke majlis tersebut bagi menyatakan pendirian mereka di Kompleks PAS negeri di Kota Sarang Semut, pada 22 Mei, jam 9 malam.

Diminta mengulas bagaimana khabar angin itu muncul, Muhamad Yusof berkata beliau tidak tahu menahu berhubung perkara itu.

Berhubung khabar angin Manikumar, Tan, Lim dan Lee diminta bersumpah taat setia di hadapan Azizan, Muhammad Yusof memberikan jawapan yang sama.

Beliau juga berkata, dalam ceramah Ahad ini, PAS sebagai tunjang utama kerajaan Pakatan di Kedah tidak memberikan apa-apa arahan khusus, sebalik hanya diminta menyatakan pendiriannya.

"Kita tidak tahu apa yang ada isi hati mereka. Kita tidak ada beri arahan apa-apa (untuk ucapan) kepada mereka dan parti," katanya.

Tambahnya, dalam majlis yang dijangka dihadiri ribuan penyokong Pakatan itu, Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim akan turut berucap. Manakala Azizan pula dijadual membuat penggulungan.

Muhamad Yusof itu juga menafikan PAS Kedah 'memaksa' keempat-empat ADUN itu hadir ke majlis tersebut.

"Kita tanya mereka (empat wakil rakyat itu) dulu, bukan kita tak ada hubungan dengan mereka," katanya.

Malaysia Boleh!! Malaysia antara 10 negara paling berdaya saing dunia

  NAJIB bergambar bersama   pemimpin negara yang hadir  pada Forum Ekonomi Islam Sedunia 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Dari kanan  Tun Musa Hitam,    Mohamed Nasheed,   Susilo Bambang Yudhoyono, Sultan Hassanal Bolkiah,   Abdoulaye Wade, Dr Fatmir Sejdiu dan  Sheikh Hasina Wazed.
NAJIB bergambar bersama pemimpin negara yang hadir pada Forum Ekonomi Islam Sedunia 2010 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. Dari kanan Tun Musa Hitam, Mohamed Nasheed, Susilo Bambang Yudhoyono, Sultan Hassanal Bolkiah, Abdoulaye Wade, Dr Fatmir Sejdiu dan Sheikh Hasina Wazed.
Pencapaian hasil pelaksanaan inisiatif berani majukan ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia kini tergolong dalam 10 negara paling berdaya saing dunia dengan menduduki tempat kesembilan, tahun ini berbanding tempat ke-18, tahun lalu.

Mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 yang diterbitkan Institute for Management Development (IMD), semalam, Malaysia mencapai nilai indeks 87.228 tahun ini, meningkat daripada 77.162 tahun lalu.
Ia meletakkan Malaysia sebaris Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Sweden, Kanada, Taiwan dan Norway, sebagai negara paling berdaya saing dunia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pencapaian 10 terbaik dunia adalah hasil pelaksanaan beberapa inisiatif yang inovatif dan berani oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, inisiatif itu turut merangkumi pembangunan sektor swasta yang berdaya tahan, meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang lembap.

“Ini menunjukkan kerjasama awam dan swasta dapat dijadikan asas bagi pertumbuhan yang kukuh, stabil dan menyeluruh pada masa depan," katanya pada sidang media di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF 2010) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa berkata, pencapaian itu turut menggambarkan asas ekonomi negara yang kukuh.
Katanya, pencapaian itu turut diraih hasil daripada peningkatan tahap Kecekapan Kerajaan - satu daripada empat faktor input utama dalam pengkelasan daya saing - dengan Malaysia meningkatkan kedudukannya dari tangga ke-19 tahun lalu kepada kesembilan tahun ini, hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Tiga lagi faktor input utama dalam pengkelasan daya saing adalah Kecekapan Perniagaan, Prestasi Ekonomi dan Infrastruktur.

GTP yang dilancarkan tahun lalu memfokus kepada usaha memperkukuh persekitaran perniagaan, membanteras rasuah, memperbaiki infrastruktur, mempermudah prosedur kerajaan dan mengukuhkan sistem pendidikan.

“Bagi faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan, prestasi Malaysia mengatasi negara maju lain seperti Luxembourg, Switzerland, Kanada, Denmark dan Sweden.

“Kami percaya masih ada bidang di mana lebih banyak usaha perlu dilakukan. Kerajaan harus terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi, membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran persaingan global.

“Paling penting memberi penekanan usaha melahirkan modal insan yang inovatif dan kreatif," katanya.

IMD yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland menerbitkan laporan tahunan IMD World Competitiveness Yearbook sejak 1989 untuk memberi gambaran kedudukan daya saing negara mengikut indeks daya saing.

Bagi tahun ini, 58 negara mengambil bahagian dan IMD melaporkan kedudukan daya saing mengikut empat kategori iaitu kedudukan keseluruhan, kedudukan mengikut saiz penduduk, kedudukan mengikut kekayaan dan kedudukan mengikut rantau ekonomi.

Konsert Dua Alam: 'Tolak Lulus Konsert Tindakan Biasa'




ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menyifatkan tindakannya untuk tidak meluluskan permohonan konsert dua alam ‘Ramli Sarip vs Amy Search’ sebagai tindakan biasa berdasarkan tradisi yang diamalkan kerajaan negeri sejak sekian lama.

Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Phahrolrazi Zawawi, berkata ia adalah jelas seperti mana yang diamalkan kerajaan terdahulu bahawa tidak ada sebarang konsert terbuka membabitkan nyanyian atau muzik moden yang rancak seperti berkonsep rock dianjurkan di Kedah.

Katanya, kerajaan negeri ketika ini bersetuju dengan amalan tradisi yang diamalkan kerajaan terdahulu kerana berpendapat ia tidak sesuai dianjurkan di negeri ini.

“Seperti yang kita maklum, amat jarang atau tidak pernah sama sekali konsert seperti ini dianjurkan di Kedah bukan hanya ketika pemerintahan sekarang malah ketika ia ditadbir Barisan Nasional (BN) dulu juga tidak pernah.

“Ia tidak sesuai kerana Kedah sememangnya terkenal dengan institusi pengajian agama dalam negara ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan sekarang tidak keberatan menerima permohonan pertunjukan nyanyian secara tertutup yang berbentuk nasyid dan lagu-lagu asli.

“Sepanjang yang kita tahu tidak pernah ada konsert terbuka seperti ini di Kedah cuma yang ada hanya konsert irama asli dan nasyid... itupun dibuat secara tertutup di dalam dewan,” katanya.

Inkues Teoh Beng Hock: Permohonan Sidang Video Dengan Pakar Patologi - 11 Jun

Inkues kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock akan mendengar permohonan daripada kerajaan negeri Selangor yang mahu pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand diberi kebenaran memberi keterangan menerusi sidang video.

Koroner, Azmil Muntapha Abas menetapkan 11 Jun ini bagi mendengar permohonan itu sebelum menagguhkan inkues hari ini.

"Mahkamah perlu mengetahui sebab sebenar Pornthip tidak boleh hadir,” katanya.

Pagi tadi, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memberitahu mahkamah bahawa Pornthip tidak dapat hadir bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun, pakar patologi yang bekerja di Bangkok itu menerusi sepucuk surat Isnin lalu berkata beliau bersedia memberi keterangan menerusi sidang video.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili pejabat peguam negara berkata permohonan itu mesti dibuat dengan cara yang teratur dan ia perlu disokong oleh affidavit.

Azmil berkata inkues juga akan mendengar keterangan daripada dua lagi saksi - ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dan peguam M Manoharan - apabila inkues itu bersambung bulan depan.

Bekas CEO MIED Dihalang Seorang Pemimpin Politik Bercuti Ke Luar Negara

Hasrat bekas ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P Chitirakala untuk bercuti ke India semalam tidak kesampaian apabila pihak Jabatan Imigresan tidak membenarkannya berlepas.

Chitirakala (kiri, berbaju merah), yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan menipu menggunakan tiga keping cek MIED bernilai RM4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu, sepatutnya berlepas ke India dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines pada pukul 6.50 petang semalam.

Chitirakala, 39, memberitahu sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL bahawa beliau telah 'mendaftar masuk' pada jam 4 petang dan semasa menunggu penerbangannya berlepas di dewan menunggu, beliau telah dihampiri oleh seorang pegawai Imigresen yang menyuruhnya mengikut beliau ke pejabat Imigresen.

Selepas menunggu hampir dua jam di pejabat Imigresen, pegawai itu memaklumkan yang seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernama Fikri tidak membenarkannya ke luar negara tanpa memberi sebab.

"Saya (sebelum ini) telah menghubungi Fikri (Pegawai SPRM) bagi meminta nasihat beliau berhubung perjalanan saya ke luar negara, dan diminta supaya menghubungi mereka seminggu sebelum tarikh perjalanan," katanya dan menambah beliau telah pun mendapat kelulusan daripada SPRM untuk ke luar negara.

"Mahkamah (Hakim Azizah Mahamud) telah membenarkan saya untuk membuat perjalanan (domestik dan antarabangsa), malah Pegawai Pendakwa Raya (Kevin Morais) juga telah memberi kebenaran tapi mengapa sekarang saya dihalang daripada melakukan perjalanan ini," katanya.

Chithirakala, yang bebas dengan jaminan RM30,000, mendakwa seorang pemimpin parti politik telah menyebabkan perjalanannya ke India terhalang.

Kes beliau akan disebut semula pada 14 Jun ini.

Sementara itu, SPRM dan Jabatan Imigresen gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini.

- Bernama

Di Angkasapuri Pun Ada Demonstrasi - Polis Bertindak..

Demonstrasi di luar Kompleks Angkasapuri untuk membantah penamatan perkhidmatan penerbit Galeri Mandarin Nasional tv2, Chou Z Lam terpaksa disuraikan, apablia polis mengambil tindakan untuk mengusir mereka. Malah kain rentang yang dibawa oleh peserta perhimpunan juga dirampas oleh polis.



Kira-kira 80 orang menyahut panggilan Kumpulan Media Bertindak 528, WAMI (Writers Alliance For Media Independence) dan CIJ (Centre for Independent Journalism) untuk berkumpul di luar Kompleks Angkasapuri, sebagai bantahan terhadap tindakan RTM memecat penerbitnya, Chou Z Lam.



20 orang tenaga polis dikerah untuk mengawasi perhimpunan tersebut, malah FRU juga tiba di tempat kejadian kemudiannya. Peserta perhimpunan memakai topeng "528, Tak Nak Self-Censorship, Tak Nak Campur Tangan Politik", tetapi dirampas kain rentangnya oleh polis.



Antara slogan yang tertulis pada kad termasuklah, "No Self-Censorship", "No Political Interference", "Bebaskan media", "Tayang Rawang dan Bakun", "Pecat Yap Shy Cuan", "Ibrahim Yahya letak jawatan" dan sebagainya. Bekas penerbit ntv7, Joshua Wong yang meletak jawatan sebagai protes terhadap self-censorship turut hadir untuk memberi sokongan solidaritinya kepada Chou Z Lam.



Sebelum ini, Chou Z Lam menerbitkan rancangan dokumentari yang bertemakan Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik voltan tinggi di Rawang. Beliau mendedahkan bahawa penyiaran rancangan tersebut dibatalkan kerana pertimbangan kepentingan pihak tertentu. Perkhidmatan Chou Z Lam ditamatkan pada 13 Mei 2010, atas alasan "menjimatkan kos".

Kira-kira 50 orang penduduk Rawang yang diketuai ADUN Rawang-PKR, Gan Pei Nei turut hadir untuk memberi sokongan kepada Chou Z Lam. Bagaimanapun, polis hanya membenarkan lima orang wakil untuk masuk ke Angkasapuri, menyerahkan memorandum yang ditujukan kepada Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ibrahim Yahya. Ibrahim Yahya tidak tampil untuk menemui wakil tersebut, sebaliknya memorandum ini diserah kepada penolongnya, Hafizal.



Jawab dalam tempoh seminggu



Dalam sidang media yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, ADUN Rawang, Gan Pei Nei memberi had masa seminggu kepada Ibrahim Yahya untuk memberi jawapan lisan terhadap persoalan yang dibangkitkan dalam memorandum.

"Kos perbelanjaan RTM ditanggung oleh rakyat, rakyat berhak mengetahui kebenaran," kata Gan Pei Nei (gambar kanan).



Chou Z Lam pula tidak menerima penamatan perkhidmatannya dengan alasan "mengurangkan kos". Menurut Chou Z Lam, peruntukan kepada RTM mencecah RM1 bilion setahun, malah beliau yakin Yap Shy Cuan yang dilantik untuk memantau rancangan Mandarin, menikmati gaji yang lebih tinggi daripadanya.



Beliau menganggap Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Heng Sai Kee harus mengkaji semula pembatalan siaran dokumentari Empangan Bakun dan pembinaan menara elektrik Rawang, dan bukan melantik Yap Shy Cuan untuk memantau rancangan Mandarin di sebaliknya.



Malah, Chou Z Lam dan wakil Kumpulan Media Bertindak, Ng Yap Hwa menyeru agar orang awam menyahut kempen "Tak Nak Potong", dengan memadamkan televisyen antara jam 8 hingga 9 malam, pada 28 Mei yang akan datang. Satu persembahan akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor pada malam tersebut, antaranya penyiaran dokumentari terbitan Chou Z Lam yang "dipotong" oleh RTM.



Pencabulan hak rakyat


Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, Kumpulan Media Bertindak 528, WAMI dan CIJ menggesa agar RTM mendukung hak mengetahui dan menyampaikan pandangan (expression) oleh pihak awam, serta tidak menghukum wartawan yang menjalankan tugasnya.



Mereka menganggap pembatalan siaran rancangan dokumentari tersebut telah mencabul hak rakyat Malaysia untuk terdedah kepada maklumat yang melibatkan kepentingan awam. Malah, penamatan perkhidmatan Chou Z Lam dilihat sebagai hukuman kepada seseorang wartawan yang menjalankan tugasnya.



Menurut kenyataan, setakat ini tiada penjelasan daripada pihak RTM walaupun didesak masyarakat sivil. Sikap acuh tak acuh sedemikian menunjukkan kesetiaan yang tersasar salah pada tempatnya, iaitu kuasa eksekutif, biarpun sepatutnya RTM harus taat kepada orang awam yang membiayai RTM dengan cukai mereka.



Mereka juga mentafsirkan tindakan pembatalan penyiaran dokumentari untuk melindungi pemegang kuasa adalah penyalahgunaan kuasa, kerana menggunakan kuasa awam untuk kepentingan peribadi. "Menghukum seorang wartawan yang membuat pendedahan adalah satu tamparan besar kepada kerajaan persekutuan BN yang mendakwa dirinya akan melindungi whistle-blower dan kempen untuk memerangi rasuah."



Tuntutan memorandum


Selain daripada itu, kumpulan yang berprihatin terhadap kebebasan media ini menuntut agar RTM:-



1. Menyiarkan kesemua episod dokumentari yang diterbitkan oleh Chou Z Lam, iaitu isu Empangan Bakun yang menggambarkan kehidupan kaum asli dan pembinaan menara elektrik bervoltan tinggi di Rawang.



2. Meyakinkan rakyat Malaysia bahawa RTM berpegang kepada kayu ukur etika dan profesional yang menekankan kesaksamaan.



3. Menamatkan perkhidmatan Yap Shy Cuan, ahli MCA yang dilantik untuk memantau rancangan Mandarin selepas pendedahan Chou Z Lam.



4. Parlimen mereformasikan RTM kepada stesen penyiaran awam.




*Chee Chin Ming ialah wartawan MerdekaReview, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

Kekalahan Berganda Buat PM Najib Dalam Tempoh 48 Jam

2 kekalahan dalam masa 48 jam....

Malang buat PM Najib! Minggu ini dua perkara malang berlaku atas PM Najib dan Rosmah. Pertamanya kekalahan skuad badminton Malaysia dalam Piala Thomas. Kemudian 48 jam selepas itu kekalahan BN dalam PRK Sibu.

Ibarat nasib Najib dan Rosmah umpama sudah jatuh di timpa tangga!

Kekalahan Malaysia dalam Piala Thomas dan Hoki Azlan Cup penanda amaran awal terjunamnya Malaysia dalam arena sukan.

Mengapa? Kerana judi sukan sudah dihalalkan. Selepas ini kita tunggulah berderet-deret acara sukan kita bergelumang dengan judi. Sebelum itu arak juga sudah menguasai kejohanan golf dan ragbi.

Tiada lagi keberkatan dalam sukan akibat duit judi digunakan dalam pembangunan sukan.

Syukur kita tewas dalam Thomas Cup! Jika tidak berpeluk-peluk lah Si Rosmah dengan pemain badminton !

Keputusan PRK Sibu menunjukan pujukan rasuah UMNo gagal di Sarawak. Lebih malang lagi inilah kali kedua orang Cina menolak BN/UMNO dalam masa 3 minggu selepas PRK Hulu Selangor.

Mengapa? Isu terbesarnya ialah kematian Teoh Beng Hock. Masyarakat Cina melihat kematian Beng Hock perlu dibela. Begitu juga skandal PKZ dan kepimpinan MCA yang terpalit dengan skandal seks.

Najib perlu tahu harga diri masyarakat Cina di Sibu bukannya bernilai RM5 juta sepertimana tawaran rasuah Najib sehari sebelum PRK Sibu.

Alangkah berbezanya nilai umat Melayu yang sekadar bernilai sehelai kain pelikat dan RM 1,000 untuk undi MIC di PRK Hulu Selangor!

Implikasi kekurangan undi Cina terhadap UMNO/BN setelah ditawarkan jutaan RM, ialah UMNO bermungkinan tukar taktik kepada perkauman untuk ugut orang Cina. Dalam masa yang sama "menghidupkan" kembali "bara 13 Mei" untuk di"panas" darah orang Melayu.

Buktinya perancangan program 13 Mei di Terengganu. Walaupun dibatalkan, tetapi ianya adalah mesej dari UMNO buat orang Cina yang menolak UMNO/BN!

Ingat! talihayat UMNO adalah perkauman. Tanpanya, UMNO sedia ditalkinkan.

SUMBER: http://tokpepijat.blogspot.com/

SPR: Kami Tiada Kuasa Siasat, Najib Berhak Buat Janji


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar (kanan) berkata SPR tiada kuasa untuk menyiasat dakwaan DAP ke atas Datuk Najib — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Mei — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk menyiasat dakwaan DAP bahawa Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan peruntukan wang, yang disifatkan bertujuan mempengaruhi pengundi Sibu pada malam menjelang hari pengundian Ahad lalu. Sebaliknya SPR berkata, dakwaan ke atas Najib itu, yang janji-janji pilihan raya kecil dibuat atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan.

Selain itu SPR berpendapat, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang secara umum menjurus kepada kesalahan dilakukan oleh calon atau ejen mereka, pihak-pihak lain yang membuat janji pilihan raya termasuk anggota Kabinet tidak boleh didakwa telah melakukan kesalahan menyogok atau melakukan rasuah pilihan raya.
“Kalau ada pihak hendak mengemukakan aduan kepada kami boleh, kami akan terima dan akan memanjangkan kepada pihak berkaitan iaitu dalam kes ini SPRM,” Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

“Kami tidak boleh melakukan siasatan sebagaimana perkara-perkara lain diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya... kami tiada kuasa (menyiasat).

“Ada perkara yang polis boleh siasat dan ada perkara yang kami boleh siasat.

“Tetapi perkara ini perlu disiasat oleh SPRM... terserah kepada SPRM menentukan tindakan susulan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada SPRM untuk menyiasat perkara yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh Isnin lalu berhubung janji yang Najib pada kempen malam terakhir di Sibu Sabtu lalu.

“Itu pandangan Karpal, tetapi isu ini memang tertakluk kepada bidang tugas SPRM... perkara ini memang di bawah bidang kuasa SPRM, SPRM yang boleh menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berkaitan,” katanya.

Sehari selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu, peguam terkemuka itu mendakwa mendakwa Najib telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan menawarkan ganjaran bagi mendapatkan undi.

Isu memancing undi dengan peruntukan kewangan dan projek juga menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor tiga minggu lalu tetapi ia menjadi ketara apabila Najib menggunakan perkataan “jika”.

Karpal yang juga Ahli Parlimen mendakwa Najib melakukan kesalahan ketika kempen pilihan raya kecil Sibu apabila pada Sabtu lalu mengatakan “saya membantu, anda membantu saya.”

Karpal berkata kenyataan Najib itu sesuatu yang tidak wajar dan harus disiasat oleh SPRM.
Ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, dakwa Karpal sambil mendakwa ia telah mendorong pengundi pada malam menjelang hari pengundian, membuat perjanjian dengan mereka.
Najib membuat janji itu saat-saat akhir sebelum kempen berakhir di kubu kuat DAP bahawa akan menyediakan peruntukan RM5 juta bagi projek mitigasi banjir di Rejang Park jika calon Barisan Nasional (BN) menang.

“Jika Robert Lau menjadi Ahli Parlimen pada hari Ahad, pada Isnin saya akan meminta supaya cek disediakan. Boleh kita buat perjanjian? Kita buat! Anda mahukan RM5 juta, saya mahukan Robert Lau menang,” kata Najib yang juga Pengerusi BN ketika kempen ceramahnya itu.

Karpal mendakwa kenyataan Najib itu sesuatu yang “memalukan” dan “tidak pernah berlaku” sebelum ini.

“Saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat Perdana Menteri. Ia satu kesalahan yang serius. Ia sangat jelas. Beliau berkata ‘kita adakan perjanjian, jika Robert Lau menang, kami akan memberi anda RM5 juta’,” kata beliau dengan merujuk kepada peruntukan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Ketika mengulas lanjut mengenai Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, Wan Ahmad berkata, peruntukan itu lebih bersifat umum yang mana ia menjurus kepada calon yang bertanding atau ejen-ejen calon, tetapi bukannya mana-mana individu lain termasuk dalam kes semasa yang merujuk kepada Najib yang merupakan Menteri Kewangan.

“Ini bererti berkemungkinan tidak bermaksud bidang kuasa Menteri Kewangan, yang mempunyai kuasa untuk menjanjikan, mengagihkan sesuatu projek pembangunan, bajet pembangunan yang skopnya luas melibatkan pelbagai, sebagai contoh projek saliran (mitigasi banjir) dalam kes di Sibu,” katanya.
Kata beliau, selaku Menteri Kewangan Najib mempunyai kuasa untuk membuat pengumuman projek pembanguan dan peruntukan bagi projek-projek berkenaan.

“Saya rasa itu yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Seksyen 10 undang-undang itu secara khusus merujuk kepada elemen penyogokan.

Ia mempunyai sembilan subseksyen. Subseksyen 10(a) berbunyi: “tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.”
Seterusnya Wan Ahmad merujuk kepada kes rujukan yang diputuskan pada 1981 yang memutuskan bahawa bukan menjadi satu perbuatan rasuah dalam definisi Akta Kesalahan Pilihan Raya, sebaliknya selaras dengan tugas kerajaan semasa untuk membawa pembangunan, memberi peruntukkan tambahan dan sebagainya kepada setiap rakyat tidak kira waktunya.

Nas undang-undang yang dimaksudkan adalah kes membabitkan pilihan raya kecil Pengkalan Kota, melibatkan kes antara Teoh Teik Huat melawan Lim Kean Siew & Anor pada 1981.

Kes itu dibawa ekoran kenyataan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaeligh Hamzah yang didakwa mengeluarkan kenyataan jika BN menang, beliau secara peribadi akan memberikan lebih banyak wang untuk pembangunan Pengkalan Kota.

Insiden lebih tiga dekad lalu dilihat mirip situasi yang disaksikan di Sibu Sabtu lalu.

[This is ini English: Tengku Razaleigh to the effect that if Barisan Nasional wins, he would personally give more money for the improvement of Pengkalan kota].

Dalam tulisa blognya dua hari sebelum pengundi Sibu keluar mengundi, penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, janji-janji pembangunan, peruntukkan tambahan dan projek pembangunan bukan merupakan “perbuatan rasuah.” “Itu adalah tugas kerajaan BN sebagai kerajaan persekutuan dan tidak melanggar mana-mana peruntukkan undang-undang pilihan raya.
“Justeru itu, adalah diharapkan dengan penjelasan yang tidak seberapa ini, segala polemik yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang adalah hanya polemik yang tidak tepat dan menyimpang dan berbentuk memperlekehkan kebijaksanaan pengundi-pengundi terutamanya Hulu Selangor, Sibu dan pembaca-pembaca blog saya amnya,” katanya.

Wan Ahmad juga menjelaskan, beliau juga pasti Najib menyedari risiko dan implikasi undang-undang jika membuat kenyataan sedemikian.

“Saya secara peribadi beliau (Najib) telah menerima nasihat daripada penasihat undang-undangnya sebelum membuat kenyataan itu,” katanya lagi.

Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada Karpal jika mahu membawa kes ini sama ada merujuk kepada SPR ataupun SPRM terus ataupun membawa terus ke mahkamah.

“Saya juga merasakan Karpal sebagai pakar undang-undang melihat kes ini dari perspektif beliau.
Dan, pakar undang-undang yang lain melihat dari sudut yang lain... ini tafsiran undang-undang,” katanya.

Daerahku Pesat Membangun ... Jom Pakat-Pakat Pi Melancong Kat Peranginan Gunung Jerai... SEJUKKK...



Peranginan Gunung Jerai lonjak ekonomi penduduk

Oleh: YAN, 18 Mei - Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika berucap di majlis itu berkata, kepesatan industri pelancongan di Gunung Jerai akan melonjak ekonomi penduduk sekitar terutama aktiviti perniagaan di kaki Gunung Jerai, Guar Chempedak dan Gurun.

“Sebagai sebuah kerajaan kita yakin dapat bersaing sihat dalam sektor pelancongan dan kita akan mamastikan projek-projek agro-tourism di negeri ini akan bergerak dengan jayanya.

“Pusat peranginan ini terletak antara dua daerah iaitu Kuala Muda dan Yan seperti mana umum mengetahui kawasan ini memang tersedia dengan aset pelancongan sejarah termasuklah Muzium Arkeologi Lembah Bujang, pusat peranginan Batu Pahat, Sungai Titi Hayun, Sungai Merbok yang kaya dengan hutan pokok bakau dan yang terbaru adalah penemuan batu-batu karang yang cantik di Pulau Songsong.

“Sebagai rakyat Kedah kita harus bersyukur kerana negeri kita kaya dengan aset yang boleh dijadikan produk pelancongan yang tidak ternilai seperti puncak Gunung Jerai ini,” katanya.

Beliau menyingkap sejarah tamadun Kesultanan Melayu Kedah pada era abad ke 13 di mana Kedah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan Timur Barat yang berpusat di Pengkalan Bujang di mana puncak Gunung Jerai memain peranan penting sebagai penanda arah bagi para pedagang.

Sejarah juga, katanya, telah membuktikan bahawa berlakunya pertembungan agama sehingga ajaran Islam tersebar dengan meluas seluruh Kedah bermula di sekitar Gunung Jerai ini termasuklah kawasan Merbok, Pantai Merdeka dengan penemuan artfak-artifak dari negara Islam seperti Parsi yang diguna pada zaman itu.

Malah di sekitar kawasan Stesen Pemancar Telekom terdapat kesan-kesan sejarah pra-Islam iaitu Nabagraha (Gunung Jerai Tapak 9) selain batu granit dan bata ditemui juga gelang granit yang dipercayai digunakan sebagai pengikat tiang bendera rumah api berfungsi sebagai mercu tanda pelayaran.

Dalam Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah disebut Sultan Mudzafar Shah adalah Sultan Kedah pertama memelok Islam pada abad 113 yang makamnya ditemui di kampung Langgar Bujang. Tetapi Islam mula tersebar di Kedah dipercayai seawal abad ke 6 dan 7 lagi di kalangan rakyat serentak dengan kedatangan Islam di negara-negara Nusantara.

Ini telah dibuktikan dengan penemuan batu bersurat Ibn Sirdan bertarikh abad 215 di Tupah Merbok. Malah di Lembah Bujang sendiri telah ditemui enam batu bersurat bertulisan Palavaa.

“Di sini berkembangnya Islam yang menguasai pemerintahan kerajaan Lembah Bujang pra Islam seterusnya kerajaan Islam. Dua perkara sebelum itu ialah zaman pra dan era proto pada abad sebelum kemunculan kerajaan dan Kesultatan Melayu Islam dimaksudkan Islam oleh pedagang-pedagang Islam.

“Lanjutan daripada itu beliau berharap Gunung Jerai akan mengembalikan kegemilangannya sebagai pusat peranginan yang dikunjungi ramai apabila tersedia kemudahan penginapan serba lengkap iaitu Gunung Jerai Hill Resort ini,” ujarnya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah berkenan berangkat ke pusat peranginan Gunung Jerai bagi merasmikan The Regency Gunung Jerai Hill Resort.

Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Laksamana Kedah dan YTM Tunku Panglima Besar Dato’ Seri Tunku Puteri Intan Safinaz

Hadir sama di majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah YB Dato’ Dr Abdul Isa Ismail, Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah YB Dato’ Wira Rasli Basir, Pegawai Daerah Yan Abdul Rahman Zainol dan Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Dato’ Abdul Rahman Ibrahim. [wartakedah.net]

Gambar2 Pengebumian Jenazah Ramli, Pengawal Istana Kelantan Yang DiTembak.. Al-Fatihah



jenazah arwah ramli di bawa dari kota bharu dengan menggunakan van jenazah masjid muhammadi kota bharu.
diiringi dengan kenderaan polis.



suasana di depan rumah arwah. orang ramai memenuhi rumah arwah dari petang lagi.



suasana di tanah perkuburan kok keli. orang ramai memenuhi tanah perkuburan
kerana mereka ingin melihat suasana secara lansung majlis pengebumian.



liang lahad. salah seorang anak arwah di dalam liang untuk menguruskan
mayat arwah untuk di masukan ke dalam liang lahad.




suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan. mayat arwah di masukan ke dalam liang.

Dakwaan Chong Itt Chew KARUT! Ini Dia Fakta Pelaburan KHTP



Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR: Pekerja syarikat perisian Intel Corporation di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) tidak ditamatkan perkhidmatan meskipun tiga unit firma itu ditutup.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah berkata, berikutan penutupan itu, mereka hanya ditukarkan ke unit lain.

“Jaminan tidak akan ada pekerja yang akan diberhentikan dibuat sendiri oleh Intel Corporation kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, tiga unit ditutup kerana syarikat itu mahu memindahkan unit berkenaan ke Amerika Syarikat dan ini perkara biasa dalam bidang perniagaan, terutama berkaitan teknologi.

Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang berkata, Kedah mungkin kehilangan pelaburan ratusan juta ringgit kerana kegagalan Kerajaan Negeri menguruskan KHTP.

“Kenyataan Dato’ Chong Itt Chew tidak benar kerana pelabur di KHTP semakin meningkat dan sehingga Februari tahun 2010, KHTP berjaya memperoleh pelaburan sebanyak RM1.529 bilion,” katanya.

Jelasnya, nilai bagi dua bulan itu sudah melebihi daripada pelaburan tahun 2009 iaitu sebanyak RM961.4 juta yang mampu menawarkan 970 peluang pekerjaan.

“Mustahil Kerajaan Negeri gagal menguruskan KHTP kerana sehingga kini tiada kilang yang ditutup atau keluar dari KHTP kerana masih terdapat 50 kilang beroperasi dan trend pelaburan juga menunjukkan terdapat pelabur baru,” tambahnya.

Isu KHTP: Fuji Turut Kesal Kenyataan Tidak Betul Bekas Exco Terhadapnya



Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 19 Mei: Pada tahun 2008, terdapat lima pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di mana terdapat sebanyak 599 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.075 bilion.

Pada tahun 2009, terdapat tujuh pelaburan di KHTP di mana terdapat sebanyak 970 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM0.961 bilion.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, pada dua bulan pertama tahun 2010, terdapat dua pelaburan baru di KHTP di mana terdapat sebanyak 1,382 peluang pekerjaan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.529 bilion.

Amiruddin menafikan kebimbangan Pengerusi MCA Kedah, Dato’ Chong Itt Chew yang menyifatkan beliau sebagai ‘syok sendiri’ apabila mendakwa jumlah pelaburan di taman perindustrian itu terus meningkat dan tiada kilang yang ditutup.
“Tentang Fuji, pada mula ekonomi gawat iaitu pada tahun 2008, memang Fuji ada menawarkan pilihan berhenti kerja sebanyak 500 orang sehingga tinggal sebanyak 1,100 orang tetapi sekarang, Fuji telah menambah sebanyak 900 orang dan menjadi sebanyak 2,000 orang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ini bermakna pekerja pada masa ini sudah meningkat berbanding sebelum ini.

“Fuji Electric antara pelabur utama di KHTP kononnya telah memindahkan operasinya ke Filipina sehingga menyebabkan 2,000 pekerja kehilangan pekerjaan adalah satu benda yang tidak betul,” katanya.

Tambahnya, Fuji merasa kesal terhadap apa yang diperkatakan oleh Dato’ Chong Itt Chew berhubung perkara itu.

“Saya akan berhubung dengan Fuji dan menyerahkan kepada mereka (Fuji) untuk mengambil tindakan terhadap Dato’ Chong Itt Chew sekiranya beliau terus memburuk-burukkan Fuji,” ujarnya. ¬
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.