Datuk Sharifah Aini
SHAH ALAM: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini menyifatkan pengalaman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan kuman pada paru-paru seperti hendak menemui ajal.
Sharifah Aini atau Kak Pah berkata, penyakit yang telah pun merebak ke seluruh paru-parunya itu menyebabkan beliau sukar untuk bernafas sehingga beliau beranggapan ajalnya semakin hampir.
"Pada ketika itu, saya hanya fikir sudah sampai masanya untuk Allah mengambil nyawa ini dan pada masa sama saya berdoa agar sempat menemui anak lelaki saya iaitu Aliff Omar yang hendak pulang ke tanah air dari Madinah.
"Dan kalau boleh, biarlah Aliff yang menjadi imam untuk jenazah saya nanti. Alhamdulillah semua ini tidak berlaku seperti yang disangka kerana Allah ingin melanjutkan lagi usia saya.
"Biasalah, pada usia sebegini, kita akan pergi bila-bila masa dan saya reda tentang hal itu," katanya.
Kak Pah yang dibenarkan keluar dari Hospital Pakar Damansara, di sini, pada petang Ahad lalu telah dimasukkan ke ICU pada 21 Mei lalu dan lima hari selepas itu, beliau dipindahkan ke wad biasa dan diberi rawatan selama 10 hari.
Tambah Kak Pah, beliau akui kehidupan sehariannya yang terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti sejak tiga tahun lalu membuatkannya jatuh sakit.