Setenang-tenang air di lautan, jangan disangka tiada buaya.
Begitulah boleh diibaratkan tentang keadaan kempen dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau yang sudah masuk hari keempat.
Walaupun sekali imbas, kempen kedua-dua calon bertanding - Syed Ibrahim Syed Ahmad daripada BN dan Hassanuddin Salim daripada PAS - nampak tidak terlalu agresif, perkara sebaliknya berlaku dalam perang psikologi sesama mereka.
Dalam pusingan pertama ini, nampaknya BN lebih berjaya menarik perhatian dan memancing emosi sejumlah 8,999 pengundi di kawasan DUN itu melalui risalah tertentu.
Selain tabloid
Suara Kerdau, Debat Rakyat, Khabar Pahang yang memuatkan penjelasan tentang isu yang dibangkitkan lawannya, terdapat juga majalah yang memaparkan 105 kejayaan Felda dan bahan kempen yang menghentam Hassanuddin dan pemimpin Pakatan Rakyat.
Debat Rakyat misalnya memfokuskan tentang
trend sokongan pada BN dalam 14 pilihan raya kecil sebelum ini dan menjawab hujah dalam dasar bersama Pakatan melalui "Buku Jingga" yang dipersetujui PKR, DAP dan PAS.
20 takrifan PASBagaimanapun terdapat juga ruangan nakal dalamnya, seperti teka silangkata yang secara tak langsung mempermain-mainkan dan sinis kepada pembangkang dan pemimpinnya.
Akhbar 28 halaman itu antaranya meminta pembaca meneka jawapan dan mengisi tempat kosong bagi beberapa kenyataan seperti:
- Anwar bijak ______ pengikutnya walaupun kebenaran terbongkar.
- PKR janji ______ kuasa tetapi berebut kuasa.
- Parti perkauman paling teruk di Pulau Pinang.
- Dulunya PAS guna ______ untuk kempen parti. Sekarang PAS untuk sewa.
- PARTI KELENTONG RAKYAT.
Tabloid tanpa nama penerbit dan pencetak itu juga memberikan 20 takrifan kepada PAS dengan menggandingkannya dengan gambar pemimpin Pakatan.
Antaranya Putar Alam Semulajadi (dengan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim), Pemimpin Ajaran Sesat (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), Puas Aku Sekarang (Lim Guan Eng), Perosak Akhlak Saja (Elizabeth Wong) dan Pelawak Ala Senario (Mohamad Sabu).
Suara Kerdau pula mengambil pendekatan memperkenalkan calon BN dan melaporkan aktiviti mereka sekitar pilihan raya kecil ke-15 itu dan menjawab kritikan PAS.
Manakala
Khabar Pahang lebih untuk menceritakan usaha pembangunan oleh kerajaan BN di negeri Datuk Bahaman itu.
Sementara itu, di pihak PAS pula kelihatan tidak begitu rancak dengan risalahnya berbanding BN. Bagaimanapun bahan yang diedarkannya kelihatan lebih ilmiah dan kurang beremosi.
Timbulnya 'buaya' dalam lautan tenangBermula dengan pengedaran Buku Jingga dan ringkasannya pada hari pertama kempen, PAS juga mengambil inisiatif mengeluarkan bertajuk
Gerhana dalam Pemerintahan Umno/BN Negeri Pahang.
Buku setebal 53 halaman itu, yang juga dikenali sebagai "Buku Kuning" di kalangan petugas PAS bagaimanapun menghimpunkan semula Laporan Audit Negara terhadap agensi kerajaan di Pahang yang didakwa berlaku banyak kelemahan.
Menyedari betapa getirnya undi Melayu di kawasan di mana 88.79 peratus pengundinya daripada kaum itu, PAS juga menerbitkan risalah menjelaskan 15 peristiwa yang menempelak Umno dan BN sebagai "memperlihatkan seolah-olah mereka tidak belajar adab dan tatasusila Melayu".Ia antaranya menyenaraikan 15 'insiden' pemimpin Umno dan Raja-raja Melayu semenjak tahun 1920 lagi apabila pengasas Umno Datuk Onn Jaafar didakwa dibuang dari Istana Johor kerana mengkritik Sultan dalam isu harta.
Belum ada tabloid kelihatan dikeluarkan oleh pihak PAS, mungkin kerana mereka lebih bergantung kepaada ceramah yang diadakan saban malam bermula 26 Februari lalu apabila kedua-dua calon disahkan bertanding.
Bagaimanapun, memasuki hari keempat berkempen, 'kepanasan' itu dilihat mula naik ke permukaan apabila BN mula mendirikan lebih banyak papan besar ala papan iklan di pelbagai tempat strategik di jalan-jalan dalam kawasan seluas 273 km persegi itu.
Manakala PAS pula mula menyaingi lautan biru bendera BN dengan kehijauaan benderanya. Banyak lagi 'buaya' dalam lautan tenang timbul keluar ke permukaannya apabila tempoh berkempen masuk pusingan kedua tidak lama lagi.