Siapa Mohd Azhar Ibrahim Calon BN Bagi PRK Tenang? Hanya Ahli Biasa... Tetapi Kenapa PM Najib Pilih Dia?



Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan calonnya dari Umno sebagai calon bagi pilihanraya umum Tenang apabila memilih bekas bendahari Pemuda Umno Bahagian Labis, Mohd Azhar Ibrahim (gambar tengah dengan kalungan bunga) sebagai calon. Pengumuman dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 500 penyokong BN di pejabat Umno Bahagian Labis petang tadi.


BN telah mengumumkan calon muda dan berwibawa berumur 39 tahun, seorang profesional yang sebelum ini bertugas sebagai penolong pegawai daerah di Rengit...


Beliau yang merupakan anak kepada tok penghulu Ibrahim seorang tokoh politik UMNO dan Barisan Nasional yang pernah menjadi wakil rakyat lewat 80an dulu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN pada 17 Dis tahun lepas. Penamaan calon pula ialah pada Sabtu ini.


Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan kelebihan 2,492 undi.


Tenang mempunyai 14,753 pengundi berdaftar terdiri 7,014 Melayu, 5,766 Cina, 1,780 India dan selebihnya kaum lain.


Surat DS Anwar Kepada PM Najib - Bincang Ekonomi Negara ....





Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" pembangkang sebaliknya hanya mahu berbincang.

Katanya ia adalah perbincangan terbuka secara baik melibatkan pihak Perdana Menteri dan pihaknya yang mewakili Pakatan Pembangkang.

" Ia perbincangan secara baik...kita tengahkan pandangan kita, mereka jawab dan kemukakan pandangan mereka. Tapi mereka tak setuju. Sebelum ini kita ajak menerusi media. Semalam surat menyusul. Respons tak begitu baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Program Bicara Tokoh bertajuk "Maqosid Syariah dan Masyarakat Majmuk" di Kolej Universiti Insaniah di sini hari ini.

Anggota panel yang lain adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Presiden Wadah Pencerdasan Ummah Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Anwar berkata menerusi perbincangan itu, pihak beliau dan pihak Najib akan mengemukakan alasan masing-masing untuk rakyat menilainya.

Katanya beliau memilih untuk berbincang dengan Najib kerana Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada ekonomi.

"Sewaktu perbincangan dia boleh kemukakan program ekonominya seperti ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang membuang masa kerana ia bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat tentang program ekonomi.

--Bernama

Penyanyi Lagu "Hatiku Kau Guris Luka" Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Antonio Vincent masih aktif menyanyi pada usia 50-an.

GEORGE TOWN: Penyanyi utama kumpulan Sweet September, Antonio Vincent,57, yang popular pada era 70-an meninggal dunia di rumahnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dipercayai akibat sakit jantung.




Antonio yang popular dengan lagu Hatiku Kau Guris Luka dan Nak Kahwin Duit Tak Ada ditemui mati oleh isterinya, Annie Ooi kira-kira pukul 4.05 petang, Selasa, di dalam bilik air rumah mereka.


Menurut Annie, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap suaminya apabila mendiang berada terlalu lama di dalam bilik air selain tidak menjawab sahutannya.



“Saya mengesyaki dia mungkin tergelincir atau menghadapi serangan jantung,” katanya.



Gambar kenangan Kumpulan Sweet September.

Selain isteri, Antonio turut meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Rina yang berusia 30 tahun.



Sweet September dianggotai oleh lima ahli kumpulan tetapi sekarang hanya mempunyai dua anggota iaitu Ignatius James dan Dean Yusof masing-masing bermain piano dan drum.



Ignatus berkata, kumpulan itu merakamkan lapan album sejak tahun 1982 hingga 1986 termasuk beberapa album kompilasi.



Selain Antonio, dua anggota lain kumpulan tersebut iaitu Adrian James dan Ronnie Ng Lian Seng telah meninggal dunia masing-masing pada tahun 1996 dan 2009.



Penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam yang mengenali Antonio pada tahun 1969 semasa sedang belajar memberitahu mendiang merupakan individu yang baik, rendah diri dan juga kelakar.



Majlis pengebumian dijangka akan di adakan di Tanjung Bungah, Rabu.


'Ingat, Ini Satu Peringatan Teo Nie Ching! Tentera Jihad' - Ugutan Kepada MP Serdang, Siapa Dalang?

KAJANG, 19 Jan: Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching tengah hari ini akan membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Kajang selepas menerima sepucuk surat ugutan terhadapnya.

Pembantu peribadinya, Chen Fan Dao yang dihubungi
Harakahdaily memberitahu, seorang kakitangan yang bertugas di pejabat DAP cawangan Kajang Baru menemui seekor ayam yang dipenuhi darah digantung pada pintu masuk pejabat mereka.

Ayam tersebut diletakkan bersama sekeping nota yang dilekatkan pada pintu tersebut bertulis 'Ingat, ini satu peringatan Teo Nie Ching! Tentera Jihad'.

"Kita jumpa benda itu lebih kurang jam 8.30 pagi ini.


"Darah masih lagi keluar dari ayam ini, dan kita rasa ia baru disembelih," katanya.


Ekoran itu, beliau bersama Teo akan membuat laporan polis berhubung perkara itu jam 11.30 pagi ini.


Teo Nie Ching sebelum ini pernah menjadi sasaran kecaman oleh akhbar Utusan yang mendakwa beliau memakai baju kebaya ketat dan tidak memakai tudung ketika hadir di sebuah surau di Kajang Ogos tahun lalu.


Manakala serangan kedua pula pada Disember lalu apabila Teo sekali lagi didakwa tidak menutup aurat ketika menyertai senamrobik anjuran sebuah masjid di Cheras.

Imam Tinggalkan Urusan & Solat Jenazah SU Umno Di Tenang Demi Arahan Meraikan Kedatangan PM Najib

LABIS, 19 Jan: Para petugas PAS dari Pahang terpaksa mengurus dan mengimamkan solat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia hari ini apabila imam yang bertugas terpaksa meraikan kedatangan
Perdana Menteri ke tanah rancangan Felda itu.


(Gambar: Cikgu Normala Sudirman mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham ketika menziarahi jenazah Setiausaha Umno cawangan Felda Tenang, Abdul Latif Subhi, di masjid pagi Selasa lepas.)


Abdul Latif Subhi bin Mohd Din, 61, meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau kerana risau menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.


Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.



"Jenazah itu berada di masjid sejak jam 10 pagi. Ia tidak diziarahi apatah lagi disembahyangkan oleh Presiden Umno yang datang ke situ,"kata seorang saksi kejadian itu pagi Selasa lepas.


Allahyarham Abdul Latif adalah bekas MP Tentera Darat dan pagawai Pertahanan Awam adalah pewaris Felda. Beliau meningalkan empat anak dan seorang cucu di samping balunya, Puan Maimunah Hindun.



"Suasana pilu dan terkilan menyelubungi keluarga Allahyarham apabila imam bertugas ada bersama meraikan Najib dan akhirnya jenazah disolatkan oleh sukarelawan PAS daripada Pahang selepas Zohor di masjid itu.


"Inilah akhlak kepimpinan Umno kepada ahlinya sendiri," kata saksi itu ketika menceritakan peristiwa ini.



Najib tiba di Labis dengan helikopter pada 9.30 pagi Selasa lepas. Sejak jam 10 pagi, jenazah Allahyarham ditempatkan di masjid itu untuk membolehkan Perdana Menteri menziarahinya kalau-kalau sempat.


Najib telah melawat Felda Chemplak Barat dan menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti dan merasmikan gelanggang futsal di situ sebelum meluangkan masa bersarapan dengan warga peneroka.



Walaupun beliau dan rombongannya melintasi masjid Felda Tenang, tempat jenazah itu ditempatkan sejak jam 10 pagi, ia tidak langsung dipeduli, jauh sekali untuk disolatkan, dijenguk pun tidak sempat.



Sementara itu, Cikgu Normala Sudirman, yang diumumkan oleh PAS akan menjadi calonnya dalam pilihan raya kecil Tenang ini telah menziarahi jenazah Allahyarham jam 1.30 tengahari sebaik sahaja selesai solat Zohor.



Beliau mengucapkan takziah kepada balu Allahyarham dan meminta semua keluarganya bersabar dengan dugaan dari Allah itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.