Pimpinan PR Akan Hadir Diperhimpunan BERSIH 2.0 Esok Petang. Abaikan Segala Larangan... Stadium Merdeka Tetap Jadi Venue Himpunan....

Pemimpin PAS tetap turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai (jam 2 petang esok) meskipun terdapat larangan berada di Kuala Lumpur seperti perintah mahkamah yang dikeluarkan semalam.

Dalam keputusan berdasarkan permohonan sebelah pihak polis kepada mahkamah itu, hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu yang dihalang berada di ibu negara pada esok hari.

Naib Presiden PAS, Haji Salahudin Ayub menegaskan pemimpin dan ahli PAS tetap akan hadir ke perhimpunan rakyat di Stadium Merdeka dalam usaha menuntut pilihan raya bersih dan telus dalam negara.

Beliau menyifatkan tindakan BN menggunakan mahkamah untuk keluarkan larangan menghalang 91 individu berada di KL esok hari sebagai tidak demokratik.

Jelasnya, tindakan menghalang dan mengugut itu jelas bertentangan dengan titah khas Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan yang mahu semua pihak berunding.

"Tindakan menghalang itu jelas bertentangan dengan ruh dan semangat titah baginda," tambahnya yang juga termasuk dalam senarai 91 individu yang dihalang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli pula berkata, pimpinan Pakatan Rakyat kekal mantap untuk jayakan himpunan Bersih itu meskipun terdapat berbagai halangan.

Dalam satu kenyataannya, beliau yang juga dihalang berkata, setakat ini belum menerima sebarang surat secara hitam putih tentang keputusan mahkamah majestrit itu.

"Jika benar, ini merupakan satu bentuk pencabulan hak saya untuk bergerak secara bebas dalam negara sendiri.

"Pemerintah semakin tenggelam punca dalam menghadapi kebangkitan rakyat," tegasnya.

Penegasan sama turut dibuat ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Gerakan Pilihan Raya Adil dan Telus di Seksyen 18, dekat sini, malam tadi.

Sementara itu dalam jawapan ringkasnya. AJK PAS Pusat, Haji Khalid Samad berkata, tindakan ini membuktikan pemimpin BN sudah tidak siuman.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula hanya ketawa geli hati dengan tindakan ini sambil menyatakan akan terus hadir. -HD


Pemimpin Pakatan tak akan hirau larangan ke KL

Di sebalik larangan polis ke atas 91 individu berada di Kuala Lumpur, pemimpin Pakatan Rakyat akan tetap turun bersama orang ramai yang akan berhimpun di Stadium Merdeka esok.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya di laman sosial tweeter sama ada mereka akan ke Kuala Lumpur esok, menjawab, “Pemimpin Pakatan Rakyat akan hadiri”.

Semalam, polis mengeluarkan senarai beberapa individu yang dilarang memasuki ibu negara termasuk Anwar, Mursiyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan antara 91 individu berkenaan, mempersoal kenapa beliau dihalang untuk ke pejabatnya sendiri di bangunan PAS Jalan Raja Laut esok.

Katanya, adalah tidak kena, perintah larangan daripada majistret yang diperolehi polis, turut menghalangnya ke tempat kerja.

"Saya tak kisah kalau tidak dibenar ke tempat lain, tapi takkan pejabat sendiri pun tak boleh," katanya kepada Harakahdaily.

Turut mempersoalkan tindakan kerajaan itu adalah ahli exco kerajaan Selangor, Teresa Kok.

Dalam satu kenyataan, Kok berkata perintah larangan mahkamah itu adalah ultra vires dan melampaui kuasa yang termaktub dalam Artikel 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan polis tersebut jelas dibuat demi menjaga kepentingan politik kerajaan BN.

“Berikutan dengan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan telahpun mengumumkan bahawa jawatankuasa BERSIH 2.0 sudi menerima tawaran Perdana Menteri Najib Razak supaya mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

“Namun begitu, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dan polis masih lagi menghambat BERSIH 2.0 dengan tindakan kuku besi, dan mereka masih lagi mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram,” katanya.

Menurut Teresa tindakan polis menekan demokrasi, mengaibkan hak perlembagaan dan mengadakan sekatan jalan menunjukkan mereka tidak menghormati institusi diraja dan titah Seri Paduka.

“Bagi diri saya selaku ahli parlimen Seputeh, perintah mahkamah yang melarang saya hadir di pusat bandar Kuala Lumpur merupakan halangan bagi saya untuk menjalankan tugas untuk mengawasi perhimpunan BERSIH 2.0 selaku ahli parlimen Seputeh.

“Lebih-lebih lagi, saya bekerja dan tinggal berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur. Tidakkah perintah mahkamah ini juga telah menjadikan saya seolah-olah di bawah tahanan rumah (house arrest)?” soalnya.
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula berkata akan tetap menghadiri himpunan aman BERSIH 2.0 walaupun namanya disenaraihitamkan daripada memasuki Kuala Lumpur esok.

Ini kerana beliau belum mendapat apa-apa dokumen rasmi dari Polis di-Raja Malaysia (PDRM).

Menurut Khalid, beliau tidak faham mengapa larangan tersebut dikeluarkan walhal pihak penganjur berkali- kali memberi jaminan bahawa himpunan itu akan berlangsung secara aman.

"Saya pun tak faham di mana logiknya, seperti yang diulang berkali-kali, BERSIH ini bukan bertujuan mahu mencetuskan huru-hara tetapi kita ni perhimpunan aman, jadi jangan samakan BERSIH dengan Israel."

"BERSIH ni bukan pertubuhan haram, ia satu program anjuran 62 NGO yang sah yang berdaftar. Ia merupakan program dan bukan pertubuhan, lalu saya takk faham apa alasan dan hujah pihak polis dalam perkara ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Shaharin berkata beliau masih tidak menerima apa-apa dokumen rasmi dari polis dan tetap akan menghadiri himpunan BERISH 2.0 esok.

Menurut Badrul, dokumen rasmi menghalang beliau dan 90 individu lagi daripada memasuki kawasan Kuala Lumpur esok, sepatutnya dikeluarkan lebih awal bagi membolehkannya memberikan maklum balas.

"Secara undang-undang teknikalnya saya tak pasti saya dapat ke tidak, kalau ada perintah mahkamah dia (polis) harus hantar kepada saya, perintah mahkamah tak boleh beritahu melalui media, saya pun sibuk dan saya tak tahu apa yang dilaporkan oleh media." katanya kepada TV Selangor.

Menurut beliau, kerajaan tidak pernah mengiystihar Kuala Lumpur dengan perintah berkurung, darurat dan sebagainya, justeru tidak ada alasan untuk polis menghalang 91 individu daripada menghampiri ibu negara.

"Itu terpulang kepada pihak polis atau penguatkuasaan undang-undang menyebut negara ini ada hukum dan saya perlu dimaklumkan secara rasmi mengenai perintah tersebut, saya setakat waktu ini, saya tidak dapat sebarang makluman," katanya. -mk


Mulai Tengah Malam Ini, Inilah Senarai Jalan-jalan Sekitar KL Bakal Ditutup



PETALING JAYA: Polis akan mula membuat penutupan dan lencongan jalan di sekitar Kuala Lumpur bermula 12.01 tengah malam ini.

Sumber ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur berkata, jalan-jalan yang terlibat adalah sepanjang Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.

Ia juga membabitkan sepanjang Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Lain-lain termasuk kawasan sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran.

Semua pihak diminta memberi kerjasama untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan semasa oleh anggota polis trafik yang membuat kawalan.

Orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di pusat bandar dinasihatkan agar tidak memasuki kawasan berkenaan pada tarikh tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

BERSIH 2.0 Mohon Semakan Kehakiman Cabar Arahan Menteri Haramkan Bersih

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) pagi ini mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar arahan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengisytiharkannya sebagai pertubuhan haram.

Pemohonan itu difailkan di bahagian pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi peguam mereka, Tetuan Azzat & Izzat.

azlanSeramai 14 ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 yang diketuai oleh pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan, menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara dan kerajaan sebagai reponden dalam permohonan semakan kehakiman setebal 46 halaman itu.

Awal bulan ini, Hishammuddin mengisytiharkan BERSIH sebagai sebuah pertubuhan haram tetapi Ambiga menafikan perkara itu.

Ssemua anggota berkenaan antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai yang mengisytiharkan gerakan Bersih sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuatkuasa serta merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

johor dap arrested by police bersih 030711 05Para anggota itu juga memohon perintah mandamus yang mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan KPN untuk memulangkan semula baju-t, pelekat, surat khabar, sepanduk dan apa-apa dokumen lain atau objek kepunyaan mereka yang dirampas.

Mereka mendakwa perintah yang mengisytiharkan gerakan BERSIH sebagai pertubuhan haram kerana ia didakwa "digunakan untuk tujuan memudaratkan kepentingan keselamatan Malaysia dan ketenteraman awam".

Mereka menegaskan bahawa BERSIH 2.0 adalah secara substantif berlainan dengan gerakan yang dikenali sebagai Bersih, yang dilancarkan pada 2007 dan dianggotai parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat.

kedah pkr arrested by police bersih 020711 02Sedangkan BERSIH 2.0 adalah hanya terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat tanpa disertai parti-parti politik sama sekali dan dilancarkan pada November 2010, kata mereka.

"Dengan yang demikian, perintah itu daripada segi undang-undang tidak boleh digunakan untuk menghadkan atau menjadikan aktiviti BERSIH 2.0 haram dan dengan itu, pengumuman yang dilakukan oleh responden pertama (Menteri Dalam Negeri) adalah tidak sah kerana ia salah daripada segi undang-undang," kata mereka.

Mereka juga mendakwa tidak diberi peluang untuk menjelaskan kedudukan mereka sebelum Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah berkenaan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.