Bekas Pengerusi Petronas Tersangat Kecewa



PASIR PUTEH: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan "dimarahi" disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan Pas Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ehsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai "peminta sedekah".
"Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang, Kelantan patut mendapat royalti minyak," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini. Tengku Razaleigh berkata, beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya, Abdul Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya, hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara. - Bernama

Anwar Bakal Diheret Ke Jawatankuasa Khas


Jemaah menteri akan bermesyuarat esok untuk memutuskan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diheret ke jawatankuasa mengenai hak dan keistimewaan Parlimen.

Tindakan berkenaan berhubung dengan dakwaan ketua umum PKR itu yang 1Malaysia adalah diciplak daripada 'One Israel'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata: “Saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan kabinet berhubung dakwaan itu kerana kami berpendapat ia adalah keterlaluan.

"Jawatankuasa khas itu kemudiannya akan memutuskan sama ada tindakan perlu diambil ke atas ketua pembangkang kerana meluahkan kenyataan palsu di dalam Dewan, khusus berhubung perkara yang tidak benar mengenai perdana menteri,” katanya.

Ditanya mengenai hukuman yang bakal dikenakan ke atas Anwar jika beliau didapati bersalah, Nazri berkata beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi.

"Bagi seorang pemimpin Islam untuk dikaitkan dengan Zionis adalah perkara yang serius. Seperti yang diketahui, kita menyokong Palestin dan kita menentang Zionis dan juga pentadbiran Israel, jadi untuk mengaitkan dengan Zionis Israel adalah serius," katanya.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.

"Di Dewan Rakyat, mereka ada imuniti, tetapi masih ada peraturan dan ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Sebab itu ada jawatankuasa khas, ia badan yang paling sesuai untuk menentukan perkara seumpama itu," terang Nazri.
Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, semalam, Anwar mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Bagaimanapun, Apco dalam satu kenyataan hari ini menafikan pembabitan pihaknya dengan konsep "One Israel' itu.

Laporan Washington: Zahrain bidas Malaysiakini

.


Ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim membidas Malaysiakini berhubung laporan sebuah seminar berprofail tinggi mengenai kehakiman dan kerajaan Malaysia di Washington DC yang turut dihadirinya.

Seminar itu anjuran sebuah badan pemikir terkemuka - Pusat bagi Strategi dan Pengajian Antarabangsa (CSIS) dan dihadiri oleh pegawai kerajaan Amerika, aktivis, diplomat dan rakyat Malaysia di sana.

Zahrain mendakwa Malaysiakini membekalkan maklumat berhubung seminar itu kepada blogger Raja Petra Kamaruddin, yang kemudiannya memutar-belitkan fakta menjadiakan majlis itu sesuatu yang negatif.

Ketika ucapan penggulungan terima kasih terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Zahrain menuduh Malaysiakini bersekongkol dengan Raja Petra bagi menyerang Barisan Nasional untuk kepentingan Pakatan Rakyat.

Bekas ahli parlimen PKR itu merujuk kepada seminar yang bertajuk 'Urustadbir dan Keluhuran Undang-Undang di Malaysia' yang disiarkan pada 25 Februari lalu.

Dalam pengumuman CSIS yang dikeluarkan seminggu sebelum majlis itu, ia menyatakan bahawa seminar dua jam itu adalah program terbuka. Tetapi penganjurnya kemudian telah mengubah fikiran dan menjadikannya program tertutup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Aziz (kanan) merupakan satu-satunya wakil Malaysia.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pengerusi penal penasihat SPRM, Datuk Abdul Hamid Mohamad turut dijemput untuk berucap tetapi tidak hadir.

Selain Zahrain, seorang lagi MP, Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) juga dikesan turut bersama rombongan Nazri.

Pendedahan 'hubungan baik' antara Zahrain, Wee dan Nazri berlaku dua minggu selepas beberapa MP PKR berpaling tadah.

Ia memperhebatkan khabar angin bahawa BN cuba memancing MP pembagkang bagi membolehkan mereka memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Zahrain juga membidas seorang penyumbang Malaysiakini - Terence Netto - yang disifatkannya sebagai penulis upahan.

Berikutan itu, beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat Malaysiakini, Raja Petra dan kumpulan yang beliau gelarkan sebagai “penulis hantu” serta “pengampu” Pakatan Rakyat.

SIASAT SEGERA AHLI PARLIMEN DI SABAH: FOMCA



SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran menjalankan siasatan segera terhadap semua Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah yang telah menyalahguna kuasa membelanjakan dan melesapkan peruntukan kerajaan untuk kepentingan peribadi mereka sendiri.

Naib Presiden FOMCA, Datuk Patrick Sindu, mendedahkan bahawa banyak peruntukan yang disalurkan terus oleh beberapa kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri ke akaun Ahli Parlimen berkenaan tidak dibelanjakan untuk tujuan peruntukan berkenaan.

“Sebaliknya mereka mengguna wang tersebut untuk kepentingan peribadi membeli kereta mewah, rumah serta untuk makan angin; sedangkan tujuan utama disalurkan terus bantuan berkenaan adalah untuk memastikan bantuan disalurkan serta merta kepada masyarakat yang memerlukan tanpa karenah birokrasi,” ujar Patrick yang kesal kerana SPRM masih belum memulakan sebarang siasatan terhadap Ahli Parlimen BN yang telah melakukan jenayah ‘menelan’ peruntukan kerajaan.

Sewajarnya, kata Patrick, kementerian berkenaan tidak lagi menyalurkan peruntukan antara RM30,000 sehingga RM100,000 melalui Ahli Parlimen BN kerana mereka lebih cenderung melakukan pembaziran dan menggunakan peruntukan tersebut dengan hanya mengemukakan laporan palsu yang tidak langsung diaudit Jabatan Audit Negara.

“Bukankah lebih baik jika semua peruntukan berkenaan diserahkan kepada Pejabat Daerah atau agensi kementerian terbabit untuk ditadbir urus dengan sempurna,” ujar Patrick yang kesal kerana ada ahli parlimen tidak membayar sewa pejabat dan gaji pegawai sekalipun Jabatan Perdana Menteri memberi peruntukan RM100,000 sebulan untuk belanja sewa pejabat dan urusan pentadbiran kepada setiap Ahli Parlimen BN.

Tambah Patrick, Jabatan Alam Sekitar juga turut menyalurkan RM30,000 setahun kepada setiap Ahli Parlimen, namun ianya tidak digunakan mengikut tujuan dana berkenaan disalurkan.

Penubuhan unit khas SPRM untuk menyiasat salah laku Ahli Parlimen dan Adun BN kata Patrick hanya kelihatan seperti kegiatan 'mencurah air di daun keladi' kerana Ahli Politik BN kelihatan kebal daripada tindakan SPRM yang kelihatan lebih berminat untuk mengganyang ahli politik pembangkang.

Dalam pada itu, Patrick turut menggesa SPRM menjalankan siasatan khusus terhadap beberapa Ahli Parlimen yang melantik proksi untuk menjalankan projek kecil yang dianugerahkan kepada kontraktor kelas F secara pukal.

“Walaupun pada dasarnya ianya diberikan kepada kontraktor bumiputera Kelas F, namun ianya dijalankan secara monopoli oleh satu atau dua kontraktor bukan bumiputera yang menjadi proksi Ahli Parlimen berkenaan,” tegas Patrick yang kesal kerana kebanyakan kerja kontrak dijalankan sambil lewa dan tidak bermutu kerana ditawarkan semula dengan yang murah kepada sub kontraktor atau dipotong komisyen untuk Ahli Parlimen berkenaan.

Tegas Patrick, ianya bukan rahsia lagi kerana kontraktor berkenaan sering kelihatan bersama Ahli Parlimen tertentu dan membiayai semua kos politik dan digelar sebagai ‘Macai’ yang bertindak sebagai ‘Menteri Kewangan’ Ahli Parlimen yang kaya sekelip mata, walaupun tidak memegang sebarang potfolio dalam Kabinet Malaysia.

www.sabahkini.net

Tidak Perkenan Hadiri AGM PERKASA: Sultan S'gor



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (bawah, tanpa songkok) tidak akan berangkat menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan (AGM) Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) pada 27 Mac ini.

Menurut Bernama, setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Banir berkata pembatalan itu bagi mengelakkan salah tanggapan dan manipulasi pihak-pihak tertentu terutamanya dalam keadaan politik sekarang.

Pada asalnya baginda telah berkenan berangkat dan menyampaikan titah perasmian selepas mengambil kira perjuangan PERKASA yang mempertahankan institusi raja, hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kemuliaan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Baginda bercadang untuk menasihatkan Perkasa agar tidak terlalu ekstrem dan tidak terlalu perkauman dan harus berusaha mencapai objektif menerusi saluran dan undang-undang sedia ada, katanya pada sidang media, di Shah Alam hari ini.

Namun kata Mohamad Munir, selepas mengambil kira nasihat beberapa anggota dewan Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin membatalkan hasrat kerana berpandangan walaupun Perkasa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi ia diterajui seorang ahli politik.

Perkasa dipimpin oleh ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali (kiri, bersongkok), yang kini adalah ahli bebas walaupun memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu dengan bekerjasama dengan PAS.

Dia juga pernah bersama Umno dan bertanding di bawah tiket Barisan Nasional.

"Baginda khuatir keberangkatan baginda akan disalahtafsir oleh pihak-pihak tertentu sebagai memihak kepada ahli politik berkenaan," katanya.

Mohamad Munir berkata baginda turut berharap pihak yang terlibat tidak menyalahkan Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali kerana beliau tidak berniat untuk menggunakan nama Sultan Selangor semasa menghantar jemputan ke mesyuarat tersebut.

Surat mengenai pembatalan hasrat baginda bertarikh 12 Mac lepas itu telah dihantar ke pejabat PERKASA dan menjelaskan sendiri maksud pembatalan keberangkatan Baginda itu, katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Sultan Sharafuddin tetap berharap mesyuarat agung pertama PERKASA itu dapat berjalan lancar dan pertubuhan itu akan menjadi sebuah NGO bumiputera yang beintegriti.

Zambri Pun Takleh Selesai Isu Tanah Kuala Sepetang


Zambry berang isu tanah Kuala Sepetang tak selesai

Perang mulut antara kerajaan negeri Perak dan Perbadanan Pengurusan Aset Kereta Api (RAC) berhubung tuntutan harga RM37 juta untuk tanah keretapi seluas 94.5 hektar di Kuala Sepetang berhampiran Taiping masih tidak ada kesudahan.

Kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Bukit gantang tahun lalu, berjanji akan memberikan geran individu kepada 643 keluarga setinggan di situ jika mereka menang.

Bagaiamanapun, BN gagal merampas kerusi itu yang dipertahankan oleh menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Di sebalik kegagalan itu, menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir cuba memenuhi janji BN itu untuk memberikan hak milik tanah kepada keluarga setinggan yang kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Cina.

Bagaimanapun Zambry berpendapat harga RM37 juta untuk tanah jalan keretapi yang dituntut oleh RAC adalah keterlaluan.

Beliau sebelum ini pernah meminta RAC yang merupakan anak syarikat Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan harga berkenaan kerana tanah berkenaan bukan untuk tujuan komersial tetapi sebaliknya akan digazetkan semula untuk kediaman.

Namun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat dilaporkan berkata tanah itu mesti dijual pada harga pasaran berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Seksyen 85 (3) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana tanah yang disimpan khas untuk kegunaan persekutuan, Kerajaan Persekutuan boleh melepaskan tanah berkenaan kepada Negeri dengan syarat Negeri membayar kepada Persekutuan pada harga pasaran.

Menurut Tee Keat, kementeriannya mengikut harga yang ditetapkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Beliau juga mencadangkan kementeriannya, kerajaan negeri dan pejabat AG supaya berunding bagi mencari jalan penyelesaian.

Pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat exco, wartawan Utusan Malaysia bertanyakan kepada Zambry berhubung dakwaan bahawa KTM tidak menghantar surat tuntutan RM37 juta untuk tanah di Kuala Sepetang itu.

Zambry yang berang itu berkata: ”Ya, kami menerima surat RAC - minta mereka semak dengan rekod - salah siapa, saya tidak tahu. Adakah anda bermaksud terdapat dua pentadbiran di KTM yang mengeluarkan kenyataan yang berbeza.”

“Kenapa pejabat AG perlu diheret dalam isu ini?” soalnya.

Kebanyakan penduduk yang tinggal di tanah berkenaan yang sebelum itu dibina landasan kereta api menghubungkan Port Weld (kini Kuala Sepetang) dengan bandar Taiping bekerja sebagai nelayan.

Ada antara penduduk yang menghuni tanah tersebut selama empat generasi dan membayar sewa tahunan kepada KTMB dan RAC.

Isu KPN: KDN puas hati dengan China Press


Kementerian Dalam Negeri berpuas hati dengan penjelasan China Press mengenai laporan peletakkan jawatan Tan Sri Musa Hassan (bawah) sebagai Ketua Polis Negara.

Akhbar itu juga bersedia memohon maaf kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz hari ini.

"Ketua Editor mengaku silap kerana memuatkan berita tersebut tanpa disahkan kebenarannya.

"China Press dan Ketua Editornya bersedia memohon maaf kepada Menteri Dalam Negeri. Mereka berharap bertemu dengan Menteri bagi tujuan ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, menurut Ahmad Fuad, KDN menyerahkan kepada China Press untuk mengambil tindakan dalaman terhadap pengarang yang bertanggung jawab.

“China Press juga secara serius bersedia mengambil tindakan disiplin dalaman ke atas Ketua Editornya di atas kelalaian dan salahlaku sehingga menjejaskan kredibiliti syarikat dan integriti Kerajaan.

“KDN menyerahkan kepada budi bicara pengurusan China Press menentukan bentuk tindakan disiplin yang perlu dikenakan kepada Ketua Editornya," katanya.

Sabtu lalu, akhbar harian Cina itu menyiarkan laporan bahawa Musa telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Hishamuddin dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas berita itu disiarkan, Musa dan Hishamuddin segera menafikannya.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada China Press menuntut penjelasan mengapa berita itu disiarkan sedangkan kerajaan menganggapnya sebagai tidak tepat dan belum disahkan lagi.

Bagaimanapun keesokannya, Hishamuddin (kanan) selepas perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, mendedahkan bahawa rombakan barisan pimpinan tertinggi pasukan polis akan dilakukan.

Katanya lagi, rombakan berkenaan bukan sahaja akan membabitkan KPN tetapi juga pegawai kanan yang lain, termasuk empat pengarahnya.

Jom Ikuti Lawatan Dagang Ke Negara China

.


Kedah Communication & Events Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah akan menganjurkan satu program Lawatan Dagang Ke Negara China, yang akan diadakan pada :

Tarikh : 01 Mei 2010 – 05 Mei 2010
Destinasi : Guangzhou, Shenzhen dan Hong Kong
Yuran : RM 3888.00/seorang

Lawatan ini bakal diketuai oleh YB Dato’ Ir. Amiruddin Hj. Hamzah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.


Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai delegasi Lawatan Dagang Ke Negara China ini, layari laman web rasmi Kedah Sejahtera di www.kedahsejahtera.com.my untuk dapatkan maklumat lanjut atau boleh terus hubungi Cik Nor Anis Suhimi di talian 04-7355169/04-7355170.

Borang penyertaan hendaklah dihantar sebelum atau pada 25 Mac 2010 dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM 1000/seorang. Tempat adalah terhad.

Untuk Dapatkan maklumat dan aturcara program
http://www.kedahsejahtera.com.my/form/proposal-china.pdf

KEDAH COMMUNICATION & EVENTS SDN. BHD.

GMI tetap mahu ISA dimansuh

.

[Orang ramai menghadiri protes anti-ISA di Kuala Lumpur tahun lalu. — Gambar fail]

Orang ramai menghadiri protes anti-ISA di Kuala Lumpur tahun lalu. — Gambar fail
KUALA LUMPUR, 17 Mac — Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), dianggotai lebih 83 organisasi terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, parti poliltik dan badan hak asasi manusia, terus menggesa kerajaan agar menggugurkan cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi sebaliknya menegaskan ia mesti dimansuhkan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, GMI berkata dalam kerajaan ingin meminda akta ini, satu penangkapan ISA terbaru telah diberi liputan besar-besaran oleh media milik kerajaan bahawa kerajaan telah menahan sekumpulan pelajar yang majoritinya dari luar negara yang sedang menuntut di beberapa universiti di Malaysia dan menuduh mereka sebagai pengganas antarabangsa.

“Seramai 12 orang telah ditahan pada 21 Jan lalu.

“Mereka telah dinafikan hak untuk bertemu peguam walaupun telah beberapa kali dipohon.

“Mereka telah memfailkan permohonan habeas corpus sehingga hari perbicaraan iaitu pada 11 Mac, mereka masih tidak dibenarkan berjumpa peguam,” kata kenyataan itu.

Kabinet dijadual meneliti rang undang-undang itu Jumaat ini sebelum dibawa ke Parlimen.

Kenyataan itu menambah, kerajaan dengan ini jelas mencabul hak mereka.

“Apakah ini yang dikatakan pindaan yang menambah baik ISA?

“Tiba-tiba mereka yang dituduh pengganas itu dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang ke negara masing-masing dan beberapa orang masih menunggu di Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang tanpa memaklumkan kepada isteri dan ahli keluarga mereka dan tanpa membenarkan berjumpa ahli keluarga mereka sebelum dihantar pulang,” katanya.

Kenyataan itu menambah, isteri-isteri tersebut adalah Bashirah isteri kepada Luqman Abdul Salam yang dihantar pulang pada 13 Mac dan Khalidah isteri kepada Abdul Alhi Bolajoko Uthman yang dihantar pada 14 Mac.

Kedua-duanya dihantar pulang ke Nigeria. Ummu Huzaifah isteri kepada Sheikh Aiman warganegara Syria, seorang pelajar PhD Universiti Putra Malaysia hanya dapat bercakap dengan suaminya melalui telefon sejurus sebelum suaminya berlepas semalam.

“Tindakan kerajaan Malaysia yang mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mangsa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, Cedaw yang mengehendaki setiap negara di dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA(PSK-GMI) mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis dan jabatan imigresen Malaysia yang membiarkan ahli keluarga mereka yang ditahan bersendirian terumbang-ambing di Malaysia.

“Mereka tidak mempunyai keluarga di sini bahkan mereka datang kerana menemani suami mereka untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Alangkah terkejutnya mereka apabila tiba-tiba suami mereka ditahan tanpa dibenarkan membela diri terus dihantar pulang dan meninggalkan mereka bersendirian dengan anak-anak di sini.

“Mereka adalah wanita yang mempunyai hak untuk dilayan seperti manusia dan bukan dibuat sesuka hati oleh Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Kenyataan itu menambah pihaknya memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri bahawa kes penangkapan ini akan menjadi bebanan dan memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

“Malaysia yang selama ini mempromosikan bahawa negara kita adalah destinasi pelancongan dan sebagai hub pendidikan pelajar luar negara khususnya dari negara timur tengah telah tercemar dan menakutkan mereka kerana adanya undang-undang drakonian iaitu ISA,” katanya.

Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA(PSK-GMI) yang selama ini menjadi tempat mengadu nasib bagi kaum wanita dan kanak-kanak mangsa ISA, tetap dengan pendirian bahawa ISA telah menzalimi golongan wanita, tambah kenyataan itu.

“Hasrat kerajaan yang kononnya membela wanita adalah ternyata kenyataan hipokrat apabila menggunakan ISA terhadap rakyat dan sesiapa sahaja dan sekaligus menganiaya golongan wanita dan kanak-kanak yang menjadi keluarga tahanan,” kata kenyataan itu sambil menambah, sejak tahun 1960 hingga kini lebih 20,000 orang ditahan tanpa bicara di bawah ISA.

Kesan penangkapan ISA, lebih 50,000 orang terdiri dari wanita dan kanak-kanak yang telah kehilangan ketua keluarga yang mencari rezeki dan tempat bergantung pendidikan dan kasih sayang seorang bapa, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu disokong Ahli Parlimen Ampang dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin; Chong Eng (Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Ketua Wanita DAP); Nuridah Salleh (Ketua Muslimat PAS); Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja); Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng); Tian Chua (Ahli Parlimen Batu); Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai); Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa); Haniza Talha (Adun Taman Medan, Timbalan Speaker DUN Selangor); Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga dan Exco Wanita Kerajaan Negeri Selangor); Siti Aishah Ghazali (Adun Merbau Pulas dan Exco Wanita Kerajaan Negeri Kedah); Saari Sungib (Adun Hulu Kelang); Mumtaz Md Nawi (Senator, Kelantan); Siti Zailah Mohd Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang); Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan); dan Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang).

Warna-Warni Demostrasi Orang2 Asli Di Putrajaya

.











(Ambilan blog sahabat2)

Ucapan Bebal sulung MP Lompat Zahrain serang Anwar




DARI PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Sidang Dewan Rakyat yang masuk hari ketiga hari ini hangat apabila Ahli Parlimen Bebas Datuk Seri Zahrain Hashim mengecam bekas ketuanya sambil meluahkan rasa kecewa beliau dan mendakwa PKR menjadi “hamba” kepada DAP.

Dalam ucapan sulungnya selaku wakil rakyat Bebas, Ahli Parlimen Bebas menggunakan peluangnya untuk mengecam Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengatakan bahawa beliau telah menipu peristiwa 16 September akan benar-benar berlaku.

Zahrain (kiri) juga mendakwa ketika itu beliau diyakini bahawa Penasihat PKR itu telah memperoleh perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Kami telah ditipu dengan cerita bahawa Agong menunggu di istana... menunggu untuk mendapatkan pengesahan bahawa sudah ada sejumlah Ahli Parlimen menyertai pembangkang dan kami ada cukup bilangan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Agong juga dikatakan telah memberi perkenan untuk membolehkan Anwar dilantik sebagai perdana menteri,” kata beliau dengan diiringi suara “ooh” dari kalangan anggota Dewan Rakyat.

Suara menyokong dan membantah kedengaran apabila Zahrain meneruskan ucapannya.

Penyokong-penyokong pembangkang pula mengambil peluang untuk mendakwa Zahrain dibeli oleh BN manakala Anwar pula memberitahu Dewan Rakyat bahawa bekas ketua PKR Pulau Pinang itu hanya berminat untuk mendapatkan jawatan dan kedudukan.

Zahrain membalas dengan memberitahu Anwar, “anda jangan berbohong”.

Ketika itu Anwar keluar dari Dewan Rakyat.

Beberapa Ahli Parlimen BN mendakwa Anwar tidak boleh bertahan dengan bahang serangan Zahrain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kemudian memberitahu, “takut, takut, takut, takut, takut.”

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen sejurus selepas sidang Dewan Rakyat ditangguhkan, Zahrain mempertahankan kecamannya terhadap Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Zahrain yang meninggalkan PKR bulan lalu berkata, beliau berhak untuk mengeluarkan pendirian sedemikian.

“Saya hanya memberitahu sebab-sebab saya keluar parti, kekecewaan saya dengan Keadilan dan janji-janji yang dibuat oleh Ketua Umum yang mana semuanya adalah pembohongan,” katanya.

Ketika ditanya bilangan Ahli Parlimen yang didakwa dimiliki Anwar untuk Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan persekutuan pada 16 Sept 2008, wakil rakyat Bayan Baru ini enggan memberikan jawapan.

“Saya tidak kisah pasal soal angka, saya hanya menceritakan perkara sebenar, kebenaran, Apa yang saya lalui... Bagi saya itu (angka) tidak relevan,” katanya.

Sambil mempertahankan pendiriannya meninggalkan PKR, Zahrain berkata keputusan beliau dipercepatkan dengan cara Ketua Menteri Lim Guan Eng menguruskan negeri Pulau Pinang.

Zahrain menambah, apabila isu diktator dan chauvinis muncul beliau tidak dipertahankan.

“Itu menjadi sebab terakhir (saya keluar),” kata Zahrain yang lantang mengkritik Lim.

Terdahulu Anwar, yang tergesa-gesa meninggalkan sesi Parlimen sejurus selepas Zahrain berucap, mengkritik balas bekas ketua PKR Pulau Pinang itu sambil berkata beliau berbohong apabila bercakap mengenai isu 16 Sept.

“Ahli Parlimen mana yang datang ketika pengambilalihan kuasa? Tiada siapa yang datang,” kata Anwar.

“Tiada siapapun di sini. Ia tidak benar sama sekali... dia digunakan oleh Umno dengan harga yang murah, untuk apa?

“Dia hanya marah kerana orang ramai (mula) menuduh dia kerana syarikat dua ringgit. Itu isu sebenarnya,” kata beliau.

Oleh Shazwan Mustafa Kamal dan Clara Chooi (the malaysian insider)

Pengerusi UMNO Kedah Hina Orang Asli - DEMO



Shafie Apdal, Menyatakan Mereka Bukan Protes Tapi Jalan-jalan Di Putra Jaya

Penerangan dari pihak kerajaan berkaitan pindaan ke atas Akta Orang Asli setakat ini masih belum memadai, malah tidak menjelaskan isu sebenar, kata seorang pembentang kertas kerja dalam satu konvensyen semalam.

Wakil masyarakat ini juga melihat penerangan dari pihak kerajaan dalam cadangan pindaan akta berkenaan tidak lebih daripada cubaan untuk membendung sentimen di kalangan Orang Asli yang nampaknya tidak sabar lagi untuk menduduki tanah milik mereka sendiri.

Aturcara program sehari itu memperuntukkan satu sesi pembentangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk menerangkan cadangan pindaan Akta 134 yang dirancang untuk dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya pada Jun ini.


Disogok data lama

Namun, JHEOA tidak menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan dasar berkenaan tetapi masih mengemukakan data-data lama, kata Suki Mee ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar pemberimilikan tanah Orang Asli -- Satu tinjauan'.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh hendak beri penerangan, mereka akan bentangkan cadangan pindaan akta itu kepada kita di sini, barulah boleh mendapat maklum balas yang jelas daripada Orang Asli," kata anggota Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu.

Katanya lagi, pengumuman peruntukan sebanyak RM150 juta yang dibuat oleh menteri berkaitan hal ehwal Orang Asli, Datuk Seri Shafie Apdal semalam juga bukanlah satu cara yang konkrit untuk merungkai permasalahan sedia ada.

"Kami datang ke konvensyen ini untuk bercakap soal tanah, bagaimana RM150 juta ini dapat menyelesaikan masalah tanah ini?," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini pada sidang berkenaan.

Dalam sesi pembentangan kertas kerjanya sebelum itu, Suki berkata situasi yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kini semakin meruncing kerana lebih 60% daripada tanah mereka masih belum mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

"Agensi-agensi seperti Risda tidak akan dapat memberi bantuan sekiranya tanah yang diusahakan (Orang Asli) belum diwartakan dan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Tanah dirampas

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof Madya Dr Bahari Belaton berkata keadaan inilah yang memangsakan masyarakat Orang Asli kerana kerajaan negeri berkuasa merampas tanah Orang Asli sewenang-wenangnya kerana tiadak bukti pemilikan tanah berkenaan.

"Kalau betul mereka sedang berusaha untuk memberi milik tanah kepada Orang Asli, kenapa tidak ada kerja-kerja mengukur tanah-tanah ini diadakan?" katanya dalam sesi pembentangan.

Dalam kertas kerjanya itu, Bahari mengupas 19 seksyen utama dalam akta berkenaan yang perlu ditambahbaik dari segi perlindungan dan kesejahteraan warga berkenaan.

"Kupasan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa maklumat awal berkenaan kerangka pindaan ini, sama ada secara bertulis atau menerusi penglibatan beberapa ahli PSOA dalam bengkel dan program berkaitan akta 134," kata Bahari dalam kertas kerja tersebut.

Tambahnya, pindaan yang dicadangkan itu perlu mengambil tujuan untuk mengutamakan kepentingan Orang Asli dan memperkukuh hak keistimewaan masyarakat itu.

Jelasnya, ini perlu dilakukan dengan memperhalusi klausa-klausa sedia ada dengan istilah perundangan yang memberi lebih perlindungan kepada kepentingan golongan itu bagi mengelakkan mereka ditindas.

Usir orang tak diingini

Beliau memberi contoh peruntukan dalam Seksyen 14 dan 15 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah JHEOA dan polis untuk mengusir dan menghalang orang-orang yang tidak diingini dan berniat jahat daripada memasuki kawasan Orang Asli.

"Perkataan 'tidak bermoral' atau 'berniat jahat' perlukan penjelasan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

"Perkataan 'tidak diingini' juga perlu diperjelaskan supaya isu ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan," katanya dalam pembentangan tersebut.

Jelasnya, peruntukan sedia ada menyebut, pihak berkuasa berkenaan 'boleh' berbuat demikian, tetapi ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih proaktif seperti 'perlu' atau 'wajib.'

"Maksudnya, apabila ia dikuatkuasakan, orang politik yang hendak masuk untuk berkempen contohnya tidak boleh dibenarkan masuk ke kawasan Orang Asli. Orang yang tidak digemari ini boleh diusir setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada masyarakat Orang Asli," katanya.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk merombak pentadbiran JHEOA supaya dapat mengambil peranan lebih pro-aktif, manakala satu badan lain perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan dalam jabatan berkenaan.

Bahari berkata, penubuhan itu perlu memandangkan JHEOA dikatakan akan distruktur semula menjadi sebuah agensi perbadanan.

"Setakat ini, menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) mempunyai kuasa mutlak ke atas JHEOA," katanya lagi yang juga mahu JHEOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli sendiri secara majoriti, khususnya bagi jawatan tertinggi dalam jabatan tersebut," katanya.

Konvesyen disanjung

Datuk Seri Shafie Apdal pada ucapannya semasa merasmikan penganjuran konvensyen itu semalam bagaimanapun menyanjung tinggi usaha menjayakan sidang berkenaan.

Katanya, usaha untuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai dasar tanah dan perundangan itu adalah satu usaha yang lebih baik berbanding daripada membuat "rusuhan ataupun demonstrasi."

Katanya, usaha melalui perhimpunan seperti itu tidak memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli.

Ucapan ini jelas ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab menganjurkan satu demonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gombak bulan lalu.

Bercakap kepada kira-kira 500 orang wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara, beliau juga berkata resolusi yang dicapai melalui konvensyen berkenaan akan disusuli dengan tindakan mengikut kehendak Orang Asli

Katanya lagi, resolusi berkenaan juga akan diteliti oleh satu kumpulan tumpuan yang turut dianggotai wakil masyarakat Orang Asli.

Salah seorang yang akan menganggotai kumpulan berkenaan ialah Rashid Ka', presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) yang juga penganjur kepada sidang berkenaan. -mk

SMS pun boleh heret pasangan kekasih ke penjara


DUBAI 18 Mac - Rangkaian pesanan teks mengghairahkan yang dihantar sepasang kekasih India, mengheret mereka ke penjara di Dubai.

Dalam sabitan yang dilaporkan semalam, kandungan pesanan seksual berkenaan menggambarkan pasangan yang namanya tidak didedahkan itu dilihat bercadang melakukan hubungan luar nikah yang mana diharamkan di bawah undang-undang negara.

Kedua-dua individu yang bertugas sebagai krew kabin untuk syarikat penerbangan Amiriah Arab Bersatu (EAU) itu, dijatuhi hukuman penjara tiga bulan, kata pihak berkuasa.

Teks itu dikemukakan suami kepada wanita berkenaan dalam tuntutan mahkamah bagi kes perceraiannya.

Ia adalah contoh terbaru kes keghairahan sehingga melanggar undang-undang Dubai, yang mana di situ, penduduknya dibenarkan menjalani kehidupan yang tidak terlalu ketat tetapi perlu melaksanakan kod sosial tradisionalnya.

Awal minggu ini, sepasang kekasih Britain mengatakan mereka akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara satu bulan yang dikenakan terhadap mereka kerana melakukan ciuman menggairahkan di sebuah restoran. - AP

Serah Memo kepada Agong Pun Polis bagi AMARAN




Polis larang perhimpunan serah memo pada Agong


Polis Terengganu hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu.

Ketua polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan memberi amaran itu ketika mengulas rancangan dua NGO untuk mengadakan perhimpunan bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Sabtu ini.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada Seri Paduka di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Satu lagi ialah program ceramah dan dialog yang juga dianjurkan oleh Mampat dan Gegar di Terengganu Ekuestrian Resort esok.

"Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu,” kata Mohd Shukri kepada pemberita di Kuala Terengganu..

"Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak Istana," katanya sambil menambah polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di LTSM pada hari berkenaan.

Sebaliknya, Mohd Shukri mencadangkan kepada mereka supaya menggunakan saluran lain untuk menyampaikan bantahan dan memorandum tersebut.

Mengenai program ceramah dan dialog di Terengganu Ekuestrian Resort esok, beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.

"Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan," katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.