Bekas Pengerusi Petronas Tersangat Kecewa



PASIR PUTEH: Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan "dimarahi" disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan Pas Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ehsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai "peminta sedekah".
"Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang, Kelantan patut mendapat royalti minyak," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini. Tengku Razaleigh berkata, beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya, Abdul Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya, hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara. - Bernama

1 comments:

  1. lumrah dunia ni macam tu lah..tak perlu nk salah atau kalahkan sesiapa.kalau org PAS masuk UMNO pon korg cerca caci gak..sama lah kes ni..takkan kes zulkifli noordin disenyapkan,kes Ku Li dimarahi dibangkitkan?aiyoo kwn..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.