Ada pihak menunjukkan kepada saya satu rakaman fitnah yang sedang disebarkan, yang dibuat oleh Dato’ Badaruddin Mufti Negeri Kedah. Walaupun pada asasnya beliau bercakap tentang nama satu pihak dan isu wahabi namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama saya.
Bagi mengulas hal ini, saya menyebut beberapa perkara berikut;
1. Adapun tuduhan beliau kepada aliran wahabi, itu urusan beliau dengan mereka. Pun begitu, saya katakan bahawa walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pandangan ulama Saudi, tapi menuduh puak yang berbeza dengan sewenang-wenang perlulah berhati-hati. Ada kiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Saya fikir sebodoh mana pun muslim tidak akan berkata bahawa ‘Allah memegang najis’, ‘Allah macam kera’.
Tiada siapa yang dapat menerima perkara yang seperti itu. Apakah mungkin untuk kita berkata kepada mereka yang menjadi imam-imam di Masjidil Haram dan Masjid Nabi ada kepercayaan yang seperti itu. Walaupun mungkin ada beberapa perkara yang kita tidak setuju dengan mereka, tidak wajar membuat ‘tembakan rambang’ kepada mereka.