Pertemuan itu sebagai usaha berterusan mereka mengangkat isu salahurus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga mahu kepada penubuhan kaukus khas membawa isu Felda ke Parlimen.
Pengerusi Anak, Mazlan Aliman (gambar) berkata, pertemuan hampir sejam di kediaman Ahli Parlimen Guang Musang di ibu negara itu antara lain memperlihatkan respons positif Tengku Razaleigh untuk bersama memperjuangkan dan mengangkat isu tersebut.
"Respons sangat positif. Dia (Tengku Razaleigh) bersetuju bahawa, Felda sudah tersasar dari matlamat asal dan bersedia menyuarakan isu tersebut ke Parlimen," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Menurutnya, Tengku Razaleigh juga mahu melihat Felda dipacu mengikut hasrat asal penubuhannya dengan memberikan hak sepatutnya kepada peneroka.
Ianya termasuk isu hak milik, pemberian pendapatan dan beberapa perjanjian antara agensi kerajaan itu dengan peneroka yang dilihat selama ini seperti menekan warga peneroka.
Selain itu, Tengku Razaleigh juga membangkitkan isu pelaburan yang dibuat Felda tanpa pengetahuan peneroka yang sepatutnya tidak berlaku sedemikian.
Veteran Umno itu juga didakwa bersetuju bahawa Akta Penempatan Kawasan Berkelompok (GSA) 1960 perlu dipinda dalam usaha memberi hak tanah kepada peneroka.
Dalam pertemuan itu juga menurut Mazlan, Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib peneroka jika kerajaan tidak dapat menangani isu tersebut dengan baik.
"Menurutnya, jika kerajaan tidak dapat tangani isu ini dengan baik, ia bukan sahaja memberi kesan kepada orang Melayu di Felda, malah masyarakat Felda itu sendiri," katanya yang juga AJK PAS Pusat.
Menurut Mazlan, pertemuan peringkat kedua dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk membincangkan perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan dalam mengenengahkan isu Felda tersebut.
Anak sebelum ini mengumumkan mahu berbincang dengan Tengku Razaleigh ke arah pembentukan kaukus khas di Parlimen berhubung isu Felda.
Mazlan juga sebelum ini telah membuat laporan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam urus tadbir Felda sehingga menyebabkan kemerosotan rizab tunai agensi kerajaan itu.