PENULIS begitu bangga kerana akhirnya sesuatu yang besar dan gempar berjaya juga dizahirkan hasil kerja keras pimpinan Pakatan Rakyat lanjutan dari Laporan Audit 2010 berhubung dengan National Fedlot Center (NFC) ini.
Walaupun Laporan Audit tersebut tidak menyatakan sebarang penyelewengan, tetapi sekurang-kurangnya dengan pendedahan pelbagai kelemahan berhubung pengurusan projek tersebut, tanggapan rakyat terhadap kewibaan kerajaan BN jelas semakin menunjukkan penyusutan.
Jika selepas ini trio Pakatan Rakyat (YB Saifudin, Sdra Rafizi dan YB Zuraidah) berjaya mengukuhkan dakwaan ke atas Shahrizat dan NFC berhubung dengan pembelian kondo di Bangsar itu dengan menyertakan bukti yang lebih kukuh dibanding sekarang (hanya bergantung kepada sehelai kertas biasa), penulis yakin UMNO akan berada pada tahap terendahnya sejak PM Najib mengambil alih.
Walaupun begitu, penulis lihat, Pakatan Rakyat terlalu bergantung kepada kenyataan yang diberikan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin untuk mengukuhkan dakwaan-dakwaan yang dikenakan ke atas NFC dan Shahrizat. Kebanyakkan media pro Pakatan Rakyat seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider juga menggunakan kenyataan Khairy sebelum diulas kemudiannya oleh ketiga trio yang disebutkan di atas.
Sebagai contoh mengesahkan pembelian kondo oleh NFC tapi atas tujuan pelaburan. Memang diakui ia punya nilai berita tersendiri, tapi soalnya siapa Khairy untuk memberi pengesahan sedemikian?
Walaupun setakat ini pendekatan itu nampak berjaya tapi perlu diingat Khairy bukan jurucakap kementerian terbabit mahupun NFC. Justeru kenyataannya ini bukanlah kenyataan rasmi tapi lebih kepada menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen BN sahaja.
Bahkan dia juga mengakui di dalam akhbar Utusan Malaysia bahawa kenyataannya di Parlimen berkenaan isu ini hanyalah berdasarkan siasatan dan pembacaan yang dilakukannya sendiri!!!
Tidak kurang juga yang melihat, Khairy begitu vokal kerana Ladang NFC di Gemas terletak dalam kawasan parlimen sepupunya sendiri, Dato Shaziman Mansor merangkap Menteri Kerja Raya dalam pentadbiran Najib.
Jadi kenapa pula Pakatan Rakyat terlalu memberikan liputan kepada kenyataan Khairy sedangkan ia diketahui kurang kredibiliti dengan itu maklumat yang disebutkan itu boleh dipertikaikan. Kalau dalam UMNO/BN pun peranan dan cakap Khairy kurang diberi perhatian, kenapa kita pula kelihatan bersungguh menggunakan kenyataannya?
Seolahnya pemimpin Pakatan Rakyat kurang inisiatif sendiri untuk mendedahkan isu ini kepada rakyat sedangkan kitalah yang mula-mula sekali meledakkan isu ini sehingga menggegar kepimpinan kerajaan BN, jangan sesekali kita lupakan itu.
Penulis berharap, kepimpinan Pakatan Rakyat lebih memberi kepercayaan dan ruang kepada pemimpin kita sendiri untuk tampil dengan pendedahan-pendedahan yang lebih berani lagi dalam isu NFC ini. Jangan ada sedikit ruang dan peluang pun untuk anasir luar seperti Khairy ini merosakkan kegemilangan kita.