KUALA LUMPUR, 12 April — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed masih percaya penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) itu, yang ditemui mati di premis SPRM Rabu lalu, bukannya membunuh diri dan oleh itu, mahu individu menyebabkan kematian bapa kepada lima anak itu dibawa ke muka pengadilan.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, sepupu Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, pihaknya masih percaya tidak mungkin pegawai kastam itu sanggup “membunuh diri” seperti yang didakwa pihak tertentu termasuk media.
“Kami cukup tertekan, kenapa boleh kata macam itu? Saya nak pegawai yang bunuh abang saya didakwa, siapa yang panggil dia (ke pejabat SPRM)? Siapa yang buat mesti bertanggungjawab dan mengaku, biar mahkamah yang buat keputusan nanti.
“Kami juga mahukan siasatan terperinci yang dibuat, kami tidak mahu keputusan yang akhirnya kata bukan bunuh diri atau dibunuh, kami mahukan keputusan tepat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wilayah Persekutuan di sini, Rabu lalu.
Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam. yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
Tambah Ismail, tuduhan mengatakan Ahmad Sarbaini “membunuh diri” telah menyebabkan keluarga Allahyarham tertekan dan tidak boleh menerimanya.
Malah menurut Ismail, keluarga mereka juga menafikan dengan keras Ahmad Sarbaini telah “membunuh diri”.
“Saya nak beritahu, keluarga tertekan bila kata dia bunuh diri, saya nafikan dia bunuh diri, malah sehingga hari ini keluarga masih tidak boleh terima dakwaan yang mengatakan dia bunuh diri . . . keluarga kami tidak boleh terima.
“Jadi jangan buat andaian yang bukan-bukan, jangan buat tuduhan tidak berasas . . . tuduhan kata bunuh diri itu saya dan keluarga tidak boleh terima, saya rasa macam nak pukul siapa yang buat,” katanya.
Seolah-olah kesal dengan cara siasatan SPRM, Ismail membangkitkan pelbagai persoalan berhubung tragedi itu.
“Saya nak tanya, abang saya jumpa dengan siapa di sana? Dia pergi ke sana awal pagi, jadi siapa yang dia jumpa? Siapa yang bawa dia masuk (dalam pejabat SPRM)? Siapa yang sahkan kematian dia?
“Bila sudah mati, siapa yang ambil pakaian dia? Polis atau pegawai SPRM? Ini satu kemusykilan, siapa yang ambil? Siapa yang sampai di sana dulu? Polis atau ambulans? Kami mahu semua ini diperjelaskan, kami mahu nama keluarga kami dibersihkan . . . kami mahu siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini didakwa.
“Kami mahu individu yang sebabkan kematian Ahmad Sarbaini didakwa, siasatan perlu diadakan segera. Saya juga tidak bersetuju dengan cara siasatan SPRM, kami tidak boleh terima semua ini,” katanya.
Ahmad Sarbaini meninggalkan balu Maziah Manap, 50 dan lima orang anak.
The Malaysian Insider yang turut mengunjungi rumah Ahmad Sarbaini di kawasan kuarters Kastam, Kelana Jaya juga mendapati ramai ahli keluarga masih menemani keluarga Allahyarham.
Bagaimanapun, Maziah enggan memberikan sebarang komen berhubung tragedi yang menimpa suaminya.