Selebriti Fahrin Ahmad Adalah Bekas Pelajar SM(A) Maahad Segamat Mencari Petunjuk Jodoh Di Makkah, Terlalu Ramai Sangat Peminat Yang Mahukannya....

pix_gal0
Fahrin elak cari teman wanita di laman sosial

PADA usia 32 tahun, pelakon Fahrin Ahmad menganggap pelbagai peluang yang diterimanya ketika ini dalam dunia lakonan dan pengacaraan sebagai waktu terbaik untuk mengumpulkan rezeki demi masa depan. Menyedari tidak selamanya nama menjadi rebutan produser ataupun penganjur acara, maka ketika inilah dia harus bekerja keras demi mencari sesuap nasi buat bekalan pada hari muka.

Pada ketika jejaka lain seusianya mungkin sudah mendirikan rumah tangga, namun Fahrin nyata masih bersendirian. Bukan enggan mempunyai keluarganya sendiri, tetapi empunya diri seakan lebih selesa memikirkan soal karier yang semakin berkembang. Lalu, tiada perancangan untuk menaiki pelamin buat pemuda ini, dalam masa terdekat.


Malah dia melihat segala gosip mengaitkan dirinya dengan beberapa selebriti sebelum ini sebagai rencah ratus dunia hiburan yang sukar dielakkan. Tidak kurang pihak yang mengambil kesempatan untuk mencari sedikit publisiti. Baginya kini, tumpuan lebih terarah kepada usaha memajukan diri dalam bidang yang diceburi kini dan meneroka peluang baru bagi mempelbagai kebolehan yang ada.

“Buat masa sekarang saya masih lagi solo dan belum berpunya. Ada khabar angin yang mengatakan saya dengan orang itu, dengan orang ini, padahal semua itu cerita tidak benar sama sekali.

“Bagi saya, kalau ada jodoh nanti, ia tak ke mana. Tetapi saat dan ketikanya masih belum diketahui. Kita cuma mampu merancang tapi Tuhan yang menentukan,” katanya sebaik saja selesai menghadiri sidang akhbar olok-olok bersama wartawan pelatih Harian Metro di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.


Diusik pertanyaan apakah dia tidak berkenan dengan mana-mana rakan Facebook (FB) wanitanya yang dikatakan mencecah 700,000 orang, sambil ketawa Fahrin berkata, dia tidak pernah menjadikan laman terbabit sebagai tempat mencari jodoh walaupun 80 peratus kenalannya itu ialah wanita.


Baginya, laman sosial berkenaan hanya sekadar tempat untuk berkongsi pendapat dan cerita dengan teman-teman, serta tempat untuk beramah-mesra bersama peminat.

“FB tempat untuk berhubung rapat dengan peminat, malah setiap kali saya kemas kini status di FB, mereka akan beri komen. Itu tandanya peminat ambil berat mengenai kita dan nak berkongsi pandangan.


“Kalau betul nak kenal lebih rapat dengan saya, lebih baik kenal secara bersemuka daripada di Internet,” katanya berseloroh.


Bukan hanya paras rupa yang sedap dipandang mata, malah Fahrin mengaku, gadis yang sederhana dan solehah menjadi pilihan hatinya. Paling penting perhubungan itu mendapat restu ibu bapa.


Sementara itu, Fahrin yang berangkat ke Makkah pada 28 Mac lalu bagi menjalani penggambaran drama Dia Bukan Maryam berkata, peluang ke tanah suci untuk kali kelima itu tidak akan dilepaskan bagi menunaikan ibadat umrah.


Malah, kesempatan itu juga diambilnya bagi memohon petunjuk dan doa semoga ditemukan jodoh serta dimurahkan rezeki.


Siapa juga pilihan Fahrin, baginya restu ibu bapa sangat penting dalam mencari kebahagiaan rumah tangganya.


Tiada tawaran daripada Imam Muda 2


MUNGKIN kerana perwatakan dan ciri ketimuran yang ada pada dirinya, membuatkan pelakon ini dipilih sebagai pengacara program keagamaan. Biarpun hanya tampil sekali dalam sebulan dalam program Forum Perdana Ehwal Islam, nampaknya kemunculannya mengendalikan rancangan itu menarik minat beberapa pihak.


Tidak lama dulu, timbul khabar angin mengatakan Fahrin antara nama yang diintai produser Imam Muda musim kedua sebagai hos barunya. Peluang bertemu dengannya itu turut digunakan untuk bertanyakan hal berkenaan.


Namun kata Fahrin, sehingga kini dia tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak terbabit.


Sebelum ini jejaka itu pernah menerima panggilan telefon daripada pihak berkenaan, tetapi tidak dinyatakan tujuan dan sebab sebenar mahupun mengemukakan sebarang tawaran kepadanya.


Apa pun tawaran yang datang, Fahrin tidak pernah mensia-siakannya, bahkan menganggap ia satu penghormatan dan cabaran buat dirinya yang sudah bergiat hampir sedekad dalam bidang seni.


“Saya ada menerima panggilan telefon daripada pihak berkenaan tetapi tidak dimaklumkan sebarang tawaran, tetapi hanya bertanyakan saya sama ada saya sibuk atau tidak hujung bulan ini (Mac).


“Saya ada dengar ura-ura mengenai perkara ini tetapi saya tidak dapat memberikan sebarang komen kerana saya tak terima apa-apa tawaran lagi daripada pihak terbabit,” katanya.


Meskipun begitu, Fahrin bersedia menggalas tanggungjawab mengendalikan rancangan terbabit jika benar dirinya dipilih menjayakan program itu. Baginya ia peluang untuk dirinya terus mengasah bakat dalam bidang pengacaraan program sedemikian.


“Stigma masyarakat kini sering memandang pelakon hanya sekadar mampu berlakon saja tetapi sebaliknya pelakon juga mampu menceburi pelbagai bidang termasuk pengacaraan.


“Bukan bermaksud sudah tidak laku, tetapi pengacaraan juga satu cabang dalam industri seni,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Ma’ahad Segamat, Johor ini.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.