Kisah Sebenar Bagaimana Jamaludin Mahu Jadi MB Perak
Saya tidak fikir rakyat Perak boleh percaya Jamaluddin ditawarkan menjadi Menteri Besar Perak oleh Datuk Seri Anwar Ibarahim. Pimpinan PKR Perak dan Pusat sangat tahu latar belakang Jamaluddin. Usahkan Menteri Besar, menjadi wakil rakyat dan EXCO yang baik pun tidak ada pada batang tubuh Jamaluddin.
Peringkat awal semua parti ada calon MB Negeri Perak, DAP pun ada calonnya. Tetapi Undang-undang Tubuh Negeri Perak tidak membolehkan orang bukan Melayu dilantik MB Perak. DAP akur dengan peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Nama Jamaluddin juga disebut bakal MB Perak dari PKR kerana dalam PKR dialah yang agak senior dalam parti berbanding adun yang lain.
Saya masih ingat lagi, malam menyambut kemenangan di Ipoh, semua pimpinan tertinggi ketiga-ketiga parti berkumpul di Ipoh, mesyuarat diadakan di pejabat PAS, beberapa nama dikemukakan oleh parti untuk dipilih sebagai Menteri Besar. 6 orang Adun PAS yang menang masing-masing menuding orang lain menjadi Menteri Besar, bermula dengan nama Hj Nizar, beliau tolak kepada YB Zainuddin, YB Zainuddin menuding pula orang lain sehinggalah pusingan itu sampai pula ke YB Hj Nizar. Akhirnya mesyuarat Harian PAS pagi itu bersetuju Hj Nizar adalah calon MB dari PAS berdasarkan hiraki kepimpinan. Beliau Setiausaha Perhubungan PAS Perak ketika itu. Walau bagaimanapun PAS menyerahkan kepada DAP dan PKR untuk membuat keputusan.
Dalam mesyuarat bersama DAP dan PKR, DAP sendiri bersetuju MB Perak dipilih dari kalangan Adun PAS. Pimpinan PKR negeri tidak nampak adanya wakil rakyat mereka yang menang mempunyai kelayakan memegang jawatan no 1 di Perak. Akhirnya subuh 8hb Feb semua setuju Hj Nizar adalah MB Perak kerajaan baru Perak.
Di DUN Behrang, saya mendapat maklumat kononnya rakyat Behrang mahukan adun Behrang dari PKR menjadi MB atas dasar kerusi PKR lebih banyak berbanding dengan PAS. Dan yang terbaik dari PKR tidak lain melainkan Jamaluddin berbanding dengan dua adun Melayu yang lain. Sayangnya pimpinan PR negeri sendiri tidak mencalonkan namanya. Pimpinan PR Perak tentu sangat tahu sebabnya mengapa Jamaluddin tidak ada kelayakan untuk dicalonkan sebagai MB.
Apabila nama Hj Nizar dicadangkan sebagai MB , Jamaluddin dan beberapa rakannya dari PKR sangat tidak puas hati. Ada juga kebimbangan di kalangan pimpinan PR pusat penerimaan kaum masyarakat Cina terhadap MB dari PAS, gambarannya sudah tentulah imej Islam yang akan dibawa oleh MB Perak nanti. Tidak kurang juga ada yang berpandangan, kemungkinan Jamaluddin tidak puas hati yang memungkinkan beliau akan keluar parti dan menyokong BN.