Tak Ada Masalah Dinar Emas dan Dirham perak Untuk Disimpan - Timb. Menteri

Kerajaan pusat tiada masalah jika dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan kerajaan Kelantan hanya untuk disimpan bukan bagi diniaga di pasaran terbuka, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin.

Beliau berkata kerajaan pusat akan menentangnya jika kerajaan negeri cuba menggunakan kedua-duanya sebagai mata wang kerana ia menyalahi peraturan Bank Negara Malaysia dan boleh menganiyai orang ramai selain peniaga.

"Selain mudah ditipu dengan dinar emas palsu bahan logam itu juga nilai harganya turun naik setiap saat di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang zakat kepada fakir miskin di Dewan Haji Hussin, Perupuk di Bachok, hari ini.

Seramai 1,000 fakir miskin di kawasan dewan undangan negeri Perupuk masing-masing menerima wang zakat sebanyak RM70 sumbangan institusi kewangan kerajaan termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), UDA Holding Sdn.Bhd dan Bank Rakyat.

Sebelum ini kerajaan negeri memperkenalkan dinar dan dirham itu sebagai transaksi yang akan digunakan lebih 100 peniaga termasuk sebagai gaji kepada kakitangan kerajaan Kelantan.

Awang Adek yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan mengakui beliau pernah menerbitkan dinar emas menerusi sebuah syarikat yang diterajui sebagai simpanan bukan untuk diniaga seperti yang didakwa.

Beliau mencabar kerajaan negeri agar menunjukkan bukti jumlah penggunaan dalam tempoh empat bulan akan datang jika benar dakwaan ia mendapat sambutan daripada pelbagai pihak selepas diperkenalkan.

"Saya tidak fikir penggunaannya melebihi RM1 bilion dalam tempoh berkenaan," katanya.

- Bernama

MP Serdang Memohon Maaf Atas Lawatan Ikhlas Ke Surau Al Huda

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai 'tazkirah' di surau, hari ini memohon maaf.

Katanya, beliau menyesal kerana lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan
politik mereka.

“Saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pada Ahad, 22hb Ogos, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.,” katanya.

Ikhlas dan murni

Teo menegaskan lawatannya itu adalah “secara ikhlas dan murni serta tidak berniat politik” dan “tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan”.

Beliau yang kesal dengan tindakan pihak yang berkepentingan yang cuba mempolitikkan lawatannya itu berkata akan lebih berhati-hati pada masa depan.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

Semalam, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor dilaporkan amat murka dan dukacita terhadap laporan akhbar berhubung 'tazkirah' Teo di surau berkenaan.

Sehubungan itu, katanya Mais dititahkan bertindak tegas, termasuk mengambil alih surau itu dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta.

Mohamad Adzib juga berkata, surat amaran akan juga diberikan kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulanginya lagi.

Thank You MB Kedah : RM3 juta Untuk Kakitangan Kerajaan Negeri, Masuk Seminggu Sebelum Raya

YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

"Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidan kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.

Takziah: Bekas Penyerang Bolasepak Kebangsaan Bersama Mokhtar Dahari Meninggal Dunia Pagi Ini... Al Fatihah

Isa Bakar

GEORGE TOWN: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Isa Bakar, 58, meninggal dunia pada pukul 10.15 pagi tadi di Hospital George Town, Pulau Pinang.

Sepupunya, Roslan Meah Mohd Meah berkata, allahyarham telah dimasukkan ke hospital sejak semalam selepas mengalami batuk berdarah.

"Selepas dimasukkan ke hospital dia ok dan dapat bercakap dengan abangnya, Osman. Tiba-tiba pagi ini kami diberitahu dia telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

ERA KEGEMILANGAN... Allahyarham, Isa Bakar (kiri) tersenyum gembira apabila rakan sepasukannya, Mokhtar Dahari berjaya menjaringkan gol ketika menentang Thailand, pada perlawanan peringkat kumpulan, kejohanan Piala Dunia. Malaysia menang 6-4.

Isa meninggalkan seorang balu, Mazlina Ismail dan empat cahaya mata, tiga perempuan dan seorang lelaki.

Jenazah beliau akan dibawa ke rumahnya di Sungai Ara untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Jalan Perak, Pulau Pinang petang ini.

Isa dan allahyarham abangnya, Ali mewakili negara sementara adiknya Omar menjadi pemain Pulau Pinang.

Pada era kegemilangannya, allahyarham bertindak sebagai pemain penyerang yang berbisa ketika berpasangan dengan pemain legenda, Mokhtar Dahari.

Bukan itu sahaja, pasukan negara ketika itu turut dikuatkan dengan ketangkasan penjaga gol, R. Arumugam, pemain pertahanan, Santokh Singh dan Soh Chin Aun serta pemain tengah, Reduan Abdullah dan Shukor Salleh yang melengkapkan era kegemilangan bola sepak negara pada tahun 1970 an.

Isa pernah bermain untuk pasukan Malayawata ketika zaman remaja dan selepas itu beliau menyertai pasukan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Telekom Utara.

Mengapa PAS Bekerjasama Dengan DAP Yang Tolak Hudud?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Sebenarnya tidaklah susah sangat untuk menjelaskan mengapa PAS mahu bekerjasama dengan DAP yang menolak negara Islam serta pelaksanaan hukum Hudud. Namun akibat kurang faham kadangkala pemimpin parti peringkat tertinggi pun boleh tersasul, apabila diprovoke oleh pihak musuh terutama Umno berhubung isu tersebut.

Penolakan DAP terhadap pelaksanaan Hudud bukan penolakan peribadi Pengerusinya Karpal Singh tetapi sikap rasmi parti itu sejak dahulu. Bukan sekali DAP menegaskan bahawa ‘negara Islam dan hukum hudud’ tidak termasuk dalam agenda kerjasama antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Sekian lama kita mengupas isu strategi dalam dakwah dan politik; bahawa dalam mengendalikan kedua urusan tersebut, jamaah Islam mestilah menggambilkira ‘waqi dan biah’ ataupun realiti dan suasana.

Realiti politik di Malaysia ialah, tidak ada mana-mana parti politik pun (yang berasaskan kaum atau agama) boleh membentuk kerajaan secara bersendirian. Pola komposisi kaum yang diwujudkan oleh penjajah, menyebabkan mana-mana parti yang didominasi oleh orang Melayu memerlukan sokongan parti kaum minoriti untuk membentuk kerajaan. Sejak sistem demokrasi berparlimen diperkenalkan di negara ini, Umno dianggap sebagai parti yang terkuat yang sehingga kini ia belum mampu dicabar dalam mana-mana pilihanraya umum.

Umno adalah parti yang berasaskan kaum Melayu dan perjuangannya pun berteraskan asobiyyah Melayu sempit. Sekuat-kuat Umno pun, jika ia memilih untuk menyertai pilihanraya secara bersendirian, bertanding di kesemua kerusi Parlimen; Umno masih tidak mampu untuk membentuk kerajaan.

Tanpa kerjasama dengan bukan Melayu, ditambah dengan persaingan parti politik Melayu/Islam atau individu Melayu/Islam dari parti multi racial, maka Umno tidak berupaya memenangi kesemua kerusi.

Apatah lagi jika PAS yang buat masa ini belum lebih kuat dari Umno, jika bercadang untuk bertanding di kesemua kerusi Parlimen maka jawapannya tetap sama. Ia adalah realiti politik yang sangat mudah untuk difahami.

Justeru itu, PAS perlu jalinan kerjasama dengan parti bukan Melayu untuk membentuk kerajaan di Pusat. DAP bukan parti Cina, tapi imej DAP adalah ‘parti Cina’. DAP adalah ‘parti Cina’ yang berpengaruh setanding dengan MCA dan Gerakan. Sebagai pembangkang, pilihan yang ada bagi PAS ialah DAP, bukan MCA atau Gerakan. Kerjasama PAS dan DAP dijalin atas banyak persetujuan bersama. Antaranya penentangan berterusan terhadap rasuah, kronisme, ISA, ketidakadilan sosial, beberapa akta Parlimen yang merampas hak rakyat, hedonisme yang keterlaluan, kepincangan sistem kehakiman, penyalahgunaan kuasa polis, penyalahgunaan instrument kerajaan untuk politik dan macam-macam lagi.

Segala kebejatan itu berakar umbi dalam kerajaan tanpa dapat dibendung lagi. Sehebat-hebat PAS sekalipun, tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk membetulkan segala kepincangan itu seandainya bersama dalam BN (Wal’yazubillah, itu cuma andaian). Satu-satu cara untuk ‘membunuh’ semua kebejatan itu ialah dengan menumbangkan BN di Pusat.

Di peringkat negeri kerjasama seperti itu terbukti dapat mengalahkan BN di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Maknanya dengan kerjasama yang serupa BN boleh dikalahkan di Pusat. Umno cukup sedar bahawa dengan kerjasama antara PAS, DAP dan KeADILan adalah satu- satunya cara BN boleh ditumbangkan di Pusat. Maka satu-satunya cara untuk menghalang perkara tersebut ialah dengan memecahkan kerjasama PAS, DAP dan KeADILan. Umno juga tahu bahawa isu besar yang boleh (dianggap) memecahkan PAS dan DAP ialah isu ‘Hudud atau Negara Islam’. Maka soalan cepu emas yang sering diajukan Umno di kalangan umat Islam ialah, mengapa PAS sanggup bersama DAP yang menolak hudud? Manakala di kalangan
bukan Islam pula, mengapa DAP nak bekerjasama dengan PAS yang nak laksanakan hudud?

Seperti yang dijelaskan tanggungjawab dan kewajipan menumbangkan BN sangatlah besar tuntutannya. Jika PAS perlu memilih parti politik bukan Islam yang kuat, dan sedia terima hudud (sebagai syarat), baru hendak dijadikan rakan kerjasama menumbangkan BN maka PAS tidak akan menjumpainya. Maka Umno/BN akan terus berkuasa.

Apabila DAP menolak peraksanaan hudud, tidak bermakna PAS memadam terus cita-cita tersebut. Apa yang berlaku ialah PAS mahu tetapi tidak mampu. Terdapat berbezaan yang jelas antara ‘tidak mahu’ dan ‘tidak mampu’.

Pindaan perlembagaan ke arah pelaksanaan hudud perlukan sokongan dua pertiga di Parlimen. Khusus untuk mengizinkan pelaksanaan hudud di negeri, Parlimen perlu meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terlebih dahulu. Tanpa sokongan dua pertiga maka PAS bersendirian ‘tidak mampu’ melakukannya. Tidak berdosa seorang miskin yang tidak mampu menunaikan haji di Mekah lantaran tiada wang, sedangkan dia memang menyimpan cita-cita dan berusaha untuk menunaikannya.

Hudud adalah satu juzuk dari tuntutan Islam yang diwajibkan ke atas pemerintah, bukan kewajipan individu. Bagi individu Muslim, tanggungjawab mengembelingkan kekuatan ummah serta menjana kebangkitan rakyat untuk menumbangkan kerajaan yang tersenarai 1001 kebejatan tadi adalah kewajipan yang lebih utama.

Jika waqi’ dan biah yang ada; menuntut kerjasama dengan DAP sebagai pra syarat mencapai cita-cita tersebut maka tentu ia menjadi keutamaan. Tidak betul untuk membiarkan pihak yang zalim terus berkuasa hanya kerana merasakan satu juzuk dari ajaran Islam (hudud) tidak dapat dilaksanakan jika berkongsi kuasa. Kita tidak boleh menunggu mampu buat semua perkara, baru hendak memulakan semua perkara. Kaedah feqah sangat jelas, ‘tak boleh buat semua jangan tinggal semua.’ Tidak boleh buat hudud (untuk sementara) sekurang-kurangnya PAS boleh memegang tampuk kuasa. Banyak perkara yang boleh dilakukan dengan kuasa untuk kebaikan. Rakyat boleh difahamkan dengan Islam sama ada dengan lisan atau suri teladan yang baik bila parti Islam mentadbir. Sebab itu tidak perlu kenyataan, “Kita akan kaji kerjasama dengan DAP jika tolak hudud.”

Hal yang jelas ialah rakan kerjasama adalah parti yang tidak berteraskan Islam. Kalau kita mahu 100 peratus jadi macam kita baru boleh kerjasama, tidak wujud lagi DAP dan tiada lagi istilah kerjasama. Mestilah terdapat berbezaan, walaupun banyak aspek bersama yang diperjuangkan. Umno, MCA, Gerakan dan MIC pun berbeza dalam banyak perkara. Tetapi akibat permuafakatan mereka dapat berkuasa lebih separuh abad. PAS dan DAP kena begitu. Kita cuma beberapa langkah saja lagi dengan Putrajaya.

Jadi jangan cepat sangat melatah dengan paluan gendang musuh.

M Rojali Makin Menderita Sakitnya.... Tiada Berkata2 Lagi...



SETELAH 15 minit memerhati beliau, seniman M. Rajoli akhirnya membuka mata dan memandang rombongan wartawan hiburan Utusan Malaysia ke rumahnya baru-baru ini.


KEDATANGAN kami di pangsapuri mereka tengah hari Isnin lalu disambut mesra oleh isteri pertama seniman tersohor, M. Rajoli, iaitu Hashimah Mohd. Din.

Walaupun sebelum melangkah masuk ke rumah mereka hati sentiasa berharap agar ada perubahan kepada seniman itu, namun apa yang nyata dia masih seperti dulu.

Sebaik sahaja melangkah masuk, pandangan tetumpu di sudut kanan pangsapuri tiga bilik itu.

Di atas katil besi terbaring sekujur tubuh kurus dengan mata layunya terbuka sesekali tanpa kata-kata.

Ucapan salam kami tidak mendapat jawapan daripadanya hanya sekadar pandangan mata layunya yang menyimpan 1,001 rahsia yang hanya Allah SWT yang tahu.

Malah jika lima bulan lalu ketika penulis menziarahnya, M. Rajoli atau Mohd. Rajoli Mohd. Zin, 65, masih mahu bercakap sepatah dua kata, namun kini dia lebih senang menyepikan diri.

Jika isteri tercinta bertanya makan minumnya, M. Rajoli akan menunjukkan isyarat bagus jika lapar dan menggoyangkan tangan jika dia enggan makan.

“Macam itulah abang sejak dua bulan lalu. Dia tak mahu bercakap dan makan minum pun dia tidak pernah minta.

“Mulanya saya tunggu juga apabila dia mahu makan tapi lama-lama dia diamkan diri dan tidak pernah minta apa pun walaupun setitik air.

“Akhirnya saya buat keputusan memberi abang makan ikut waktu tertentu iaitu pukul 10 pagi beri sarapan, pukul 2 petang makan tengahari dan pukul 8 malam suapkan makan malam,” cerita Hashimah sambil memandang penuh kasih pada suami tercinta.

Bukan itu sahaja, malah kini Hashimah juga memastikan M. Rajoli memberi reaksi terhadap apa saja pertanyaannya terutama dalam memastikan makan minumnya terjaga.

“Memang abang semakin ‘malas’ mahu bercakap atau memberi sebarang reaksi. Tetapi akhirnya, kalau lapar abang akan tunjukkan jari tanda bagus tetapi kalau dia tidak mahu dia akan menggoyangkan tangannya.

“Begitulah keadaan abang. Masuk tahun ini sudah empat kali puasa abang hanya di katil. Kalau dulu pada puasa pertama pada tahun 2007 selepas pembedahan membuang ketumbuhan di kepalanya, abang masih boleh bercakap dan makan.

“Malah sejak tahun 2007 hingga 2009, abang masih puasa penuh. Tapi... kali ini saya tak bagi abang puasa sebab dia nak bercakap pun tak larat,” kata Hashimah sambil membetulkan kedudukan kaki suaminya.

M. Rajoli menjalani pembedahan penyakit limfoma (kanser kelenjar di otak) pada 11 November 2007. Selepas pembedahan itu, M.Rajoli menjalani kimoterapi sebanyak empat kali.

M. Rajoli asalnya boleh berjalan seperti biasa selepas pembedahan. Bagaimanapun, kata Hashimah, selepas darah dan air tulang belakang diambil untuk tujuan uji kaji, dia terus terbaring.

“Enam bulan abang menjalani fisioterapi tetapi apabila melihat tidak ada perubahan, saya dan anak-anak mengambil keputusan untuk menghentikannya.

“Tetapi kini setiap petang Selasa dan Rabu ada dua orang jururuawat dari syarikat swasta akan datang ke rumah untuk membuat fisioterapi.

“Selama sejam itu, mereka mengurut dan menggerakkan kaki dan tangan abang agar tidak kejang tanpa mengenakan apa-apa bayaran.

“Di samping itu sebulan sekali, saya akan ke Intistitut Jantung Negara (IJN) untuk mengambil ubat jantung abang,” cerita Hashimah.

Hashimah yang mempunyai empat orang anak hasil perkahwinannya dengan M. Rajoli - Siti Zaleha, 34, Nur Muhammad, 33, Siti Nazirah, 27, dan Mohd. Ariff, 23, ketika ditanya penjagaan terhadap suaminya, sambil membetulkan selimut suaminya, berkata: “Syukur benar saya ada anak-anak yang tidak merungut menjaga bapa mereka.

“Selalunya, saya yang jaga tetapi bila hari cuti anak-anak akan ambil alih tugas menjaga keperluan ayah mereka.

“Anak-anak sangat sayang ayah mereka dan begitu mengambil berat soal makan minum, buang air dan sebagainya kerana semuanya dilakukan di katil.

“Saya lega kerana mereka tidak ada perasaan jijik untuk menguruskan semua itu. Mungkin ini berkat didikan abang terhadap anak-anak sewaktu dia sihat dulu,” luah Hashimah.

Ditanya andai sesuatu terjadi kepada suami tercinta, Hashimah dengan tenang menjawab: “Sebenarnya sejak abang terbaring begini, kakak reda menerima apa juga kemungkinan yang akan berlaku.

“Jika suatu hari nanti ditakdirkan abang akan pergi meninggalkan kami anak beranak, kami reda.

“Tidak sampai hati saya melihat abang menderita begitu dan sudah kering air mata kakak menangis melihat abang begini.

“Namun sebagai isteri, saya sentiasa berdoa kesihatan dan kesejahteraan abang dan adalah tanggungjawab kakak menjaga abang dengan baik dalam sihat dan sakitnya.”

Itulah luahan hati dan semangat Hashimah yang tidak pernah padam terhadap suami tercinta.

Ketika kami memandang wajah kosong seniman tersohor itu, hati tiba-tiba tersentuh tatkala Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa mengucapkan Selamat Hari Raya, dengan pantas M. Rajoli menyambut dan menggenggam salam itu penuh erat.

-UM

Kemelut UMNO Kedah Makin Hangat... PR Terus Menguasai Kedah Dalam PRU 13

Kemelut yang dihadapi oleh UMNO Negeri Kedah sehingga hari ini masih belum selesai. Persidangan Agung UMNO yang telah diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan memilih barisan kepimpinan untuk memimpin bahagian masing-masing - turut menjadi medan perebutan kuasa sehingga mencetuskan perbalahan.
Sungei Petani: Ali Yahya "direhatkan"

Dalam mesyuarat agung UMNO bahagian Sungei Petani pada 11 Julai yang lalu, kumpulan yang diterajui oleh Ali Yahaya terpaksa menjadikan platform tersebut untuk mencantas musuh politik yang akan menjadi halangan dalam perebutan jawatan.

TimbalanPengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah (gambar kanan) berkata, walaupun UMNO bahagian Sungei Petani sudah diambil-alih pentadbirannya oleh Majlis Tertinggi, ketuanya, Ali Yahaya masih lagi menghadiri semua aktiviti parti termasuk mesyuarat di peringkat negeri.

Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa Ali telah "direhatkan" ekoran perbalahan yang berlaku semasa Persidangan Agung UMNO bahagian Sungei Petani, baru-baru ini. Ahmad juga menyatakan pentadbiran UMNO Sungei Petani hanya akan diserahkan kembali kepada kepimpinan bahagian setelah kedua-dua pihak yang bertelagah kembali berdamai dan tidak mempunyai masalah untuk menerima Ali sebagai ketua mereka.
Malahan ini semua adalah bergantung kepada keadaan supaya penyelesaian yang terbaik dapat dicapai antara kedua-dua pihak.

Alor Setar: Hilang percaya terhadap Shafie Afdal

Sementara itu, isu yang hangat menjadi topik perbincangan ialah perletakan jawatan 11 Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Alor Setar pada 7 Ogos yang lalu. Kesemua mereka didakwa bertindak meletakkan jawatan melalui satu notis dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pemuda UMNO bahagian dan UMNO bahagian sendiri yang diterajui oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Mohd Shafie Afdal (gambar kiri bawah).

Kepimpinan UMNO bahagian dan Pemuda bahagian didakwa meminggirkan peranan pergerakan itu selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu. Kewujudan mereka seolah-olah tidak dipedulikan dalam kepimpinan sedia ada.

Namun begitu Ketua UMNO bahagian, Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan bahawa konflik yang berlaku membabitkan kepimpinan beliau. Sebaliknya, beliau mendakwa masalah yang timbul disebabkan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zubir Zabidi dan bukannya terhadap kepimpinan tertinggi UMNO bahagian Alor Setar yang diterajui oleh beliau.

Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kemungkinan ada antara mereka yang tidak berpuas hati dengan pihak lain dan mengaitkan isu ini hingga memperbesar-besarkan perkara yang tidak sepatutnya.

Kumpulan 11 yang diketuai oleh bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO bahagian, Mohd Azreen Azizan nekad tidak ingin bersemuka dengan Ahmad Bashah lantaran perbincangan sebelum ini tidak membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, setiap Pemuda bahagian mempunyai 24 ahli jawatankuasa termasuk Ketua, Naib Ketua, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari, Ketua Penerangan serta tiga orang AJK yang dilantik dan 15 yang dipilih.

Tidak laksanakan dasar UMNO

Dalam konflik yang melanda pemuda UMNO bahagian Alor Setar kini kumpulan 11 AJK yang meletakkan jawatan menyaksikan 3 daripadanya telah menarik diri dan meninggalkan 8 lagi untuk berjuang bagi mendapat keadilan yang dituntut dari kepimpinan Pemuda dan UMNO bahagian.

Selepas penarikan 3 AJK tersebut, yang masih kekal dengan keputusan meletakkan jawatan selain Mohd Azreen Azizan ialah Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Ellias Mohamed Roshidi Marzuki, Wira Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Shaharudin Manaf dan Mohd Zahir Abu Bakar.

Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata pula amat mengharapkan isu peletakan jawatan ini dapat diselesaikan segera memandangkan ianya adalah berpunca dari masalah dalaman.

Beliau juga mendakwa tindakan meletakkan jawatan oleh kumpulan tersebut tidak akan menyelesaikan masalah yang berbangkit kecuali dilakukan dengan pertemuan dan perbincangan dari hati ke hati.

Mohd Azreen selaku ketua kumpulan 11 tersebut juga mendesak supaya kepimpinan peringkat tertinggi bahagian memikul tanggungjawab bagi menyelesaikan segala pertelagahan yang berlaku. Menurutnya lagi, pertelagahan dalaman tersebut perlu diselesaikan segera dengan cara mengadaptasinya dalam bentuk tindakan dan bukannya sekadar sokongan retorik semata-mata.

Kumpulan 11 tersebut juga mendesak supaya suara akar umbi didengari oleh kepimpinan peringkat tertinggi UMNO bahagian Alor Setar yang diterajui oleh Shafie Afdal dan Ahmad Bashah. Malah mereka juga mahu supaya program yang dijalankan oleh bahagian haruslah berorientasikan kepada kehendak anak muda kerana kejayaan UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu adalah berkait rapat dengan mereka.

UMNO bahagian juga didakwa tidak melaksanakan idea dan dasar yang telah ditetapkan oleh pimpinan tertinggi parti seperti turun padang sehingga ke akar umbi bagi membantu rakyat kerana berlakunya pertelagahan dan tidak persefahaman dalam bahagian.

Pemuda PAS Kedah lebarkan tangan

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria turut melebarkan tangan dengan mempelawa kumpulan 11 untuk menyertai PAS bagi berjuang untuk menegakkan syiar Islam demi rakyat Kedah.

Mohd Nasir (gambar kiri) juga mengalu-alukan kumpulan yang tidak sehaluan dengan UMNO untuk bersama PAS atau mana-mana komponen Pakatan Rakyat bagi meneruskan perjuangan untuk membela nasib rakyat.

"Sekiranya UMNO tidak menghargai mereka, maka kita membuka pintu kepada kumpulan ini. Suara mereka akan diberi perhatian dan cadangan bernas akan diberi pertimbangan jika ia membawa kebaikan kepada rakyat."

Dilema yang dihadapi oleh UMNO Kedah bukan saja diselubungi oleh kumpulan 11 Pemuda UMNO bahagian Alor Setar. Tetapi sebelum ini juga ia dikejutkan dengan dakwaan ADUN Kuala Nerang, Syed Sobrie Syed Hashim yang berhasrat untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti UMNO kerana merasakan beliau tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Syed Sobrie (gambar kanan) sebelum ini turut berteka-teki dengan kedudukan beliau sebagai ADUN Kuala Nerang setelah mendakwa terpaksa menggunakan peruntukan sendiri bagi membela nasib rakyat dalam kawasan yang diwakilinya.
Isu peruntukan ini menjadikan beliau sebagai salah seorang calon yang diintai untuk turut sama menyertai PAS seandainya UMNO sudah tidak mampu untuk memberi pembelaan kepada wakilnya sendiri.

Kini rakyat negeri Kedah khususnya masih lagi menanti apakah isu Ali Yahaya sebagai Ketua UMNO Sungei Petani masih relevan setelah berlakunya kecelaruan dalam persidangan UMNO bahagian tersebut pada 11 Julai yang lalu.
Begitu juga dengan kumpulan 11 dalam UMNO bahagian Alor Setar yang kini tinggal lapan orang. Apakah kehendak mereka untuk diberi pengiktirafan serta tidak dipinggirkan oleh kepimpinan bahagian dan Pemuda bahagian akan menjadi realiti, setelah ianya berlarutan sehingga sekian lama?

Mampukah Shafie Afdal selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Timbalan Pengerusi UMNO Negeri merangkap Ketua UMNO bahagian Alor Setar melaksanakan reformasi yang menjadi impian dan hasrat barisan kepimpinan Pemuda dalam bahagian beliau sendiri, iaitu peranan pemuda harus turut dihargai?

*Nazar Hashim
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.