Apa Salahnya Jika KPN Memohon Maaf Kepada Keluarga Aminulrasyid Demi Imej Polis, Tapi Dalam Kes Ini Polis Tak Salah...



KPN sedia arah anggota polis undur

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

"Jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, beritahu sahaja.

“Saya boleh arahkan anggota saya supaya tidak bertindak, - termasuk tidak memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang menunggang tanpa lesen,” katanya yang dipetik The Star Online ketika kempen menderma darah sempena sambutan Hari Polis 203 di Kuala Lumpur hari ini.

Musa mengulas kenyataaan pelbagai pihak berhubung kematian Aminulrasyid, apabila polis melepaskan empat tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu kerana didakwa cuba berundur dan merempuh ke arah polis.

Kejadian itu berlaku di Seksyen 11, Shah Alam apabila Aminulrasyid dikatakan memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah tanpa berhenti meskipun diarahkan berbuat demikian.

Menurut Musa, beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi mengenai perkara itu.

"Ia berlaku sekitar jam 2 pagi dan kenderaan itu dibawa dalam keadaan yang mencurigakan. Anggota saya tidak tahu sama ada pemandu kereta itu orang dewasa ataupun tidak kerana keadaan adalah gelap.

"Apabila seseorang enggan berhenti dan terus memandu apabila diarahkan oleh polis supaya berhenti, maka kenderaan berkenaan boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada anggota penguatkuasa,” kata Musa.

'SANTA KLAUS' BERPINDAH KE SIBU PULA: PRK SIBU



Setelah puas membahagikan dan menjanjikan bermacam-macam benda kepada pengundi di Hulu Selangor ini tumpuan 'Santa Klaus' terarah ke Sibu pula. Entah apa pula yang akan difaraidkan oleh gerombolan 'Santa Klaus' kepada rakyat Sibu.

Mintalah apa sahaja kecuali emak dan ayah sudah tentu BN akan cuba sedaya upaya untuk tunaikan, yang penting BN menang. Kalau mereka tidak dapat menunaikannya 'on the spot' sudah pasti mereka akan menabur janji. Itu dah jadi standar operating procedure (SOP) kempen BN. Tidak kira cara itu HALAL atau HARAM di sisi ISlam, undang-undang mereka langgar sahaja sebab undang-undang yang ada hanyalah untuk PR dan rakyat, BN dan pemimpinnya 'imune' dan kebal.

Saya yakin limpahan projek, wang dan pelbagai benda akan dihamburkan kepada pengundi di Sibu tanpa mengira jumlahnya. 'By hook or by crook' BN mesti menang, kalau kalah malulah BN sebab kawasan ini adalah kubu BN.

Lantaran itu marilah semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran supaya berjuang semaksimum mungkin untuk memberikan peringatan kepada BN yang bongkak dan sombong ini dengan itu sama-sama mengalahkan BN pada PRK di Sibu ini nanti.

oleh SOFI WAHAB

Kerajaan Kedah Berusaha Bantu Bayar Hutang Rumah


Kerajaan Kedah memberi jaminan akan membantu penduduk perumahan awam di negeri itu termasuk di Taman Wira Mergong bagi meringankan beban penghuni melangsaikan hutang kediaman mereka.

Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata kerajaan negeri melalui bahagian perumahan sedang mengenal pasti jumlah penghuni yang tidak membuat bayaran setelah menduduki perumahan tersebut sejak lebih 10 tahun lalu.

"Kita sedang membuat kaji selidik, adakah mereka ini tidak mampu atau sengaja tidak mahu bayar. Sekiranya mereka tidak mampu kerana kesusahan, kita boleh berunding.

"Kalau mampu, langkah yang ada, kita panggil mereka untuk membuat penjadualan semula pembayaran. Itu tindakan kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tegasnya, berdasarkan perjanjian sewa beli rumah, kerajaan negeri boleh merampas rumah tersebut sekiranya gagal mendapat kerjasama daripada penghuni rumah awam tersebut.

Bagaimanapun, Phahrolrazi yang juga ADUN PAS dari Pengkalan Kundor berkata tindakan tersebut adalah jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri.

Phahrolrazi mengulas kebimbangan penduduk di Taman Wira Mergong berhubung ura-ura kerajaan negeri akan menyerahkan kuasa menuntut hutang perumahan awam kepada pihak bank.

Taman tersebut dibina lebih 20 tahun lalu yang terdiri daripada kira-kira 2,500 rumah melibatkan sekitar 10,000 penghuni.

Phahrolrazi berkata terdapat sebahagian penghuni di taman tersebut ada membayar kadar sewa yang ditentukan sebanyak RM124 kepada dan terdapat sebahagian tidak membayarnya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memastikan jumlah sebenar bilangan yang membayar dan tidak membayar hutang tersebut.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang untuk memberi kuasa kepada pihak bank untuk menuntut hutang tersebut.

"Tindakan terrsebut akan merupakan langkah terakhir kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Kita hendak tahu kumpulan yang mampu bayar (atau tidak). Pegawai perumahan di bawah kerajaan negeri sedang mengkaji latar belakang mereka yang tidak membayar termasuk

(menentukan) tindakan yang diambil," katanya sambil menambah tindakan tersebut bermula sejak bulan lalu.

Phahrolrazi berkata hutang sebanyak RM27 juta yang dikenalpasti adalah meliputi keseluruhan perumahan awam di negeri itu antaranya di Langkawi, Baling, Sik, Kuala Kedah dan di Paya Nahu dalam parlimen Sungai Petani.

Beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah mendakwa kerajaan dahulu gagal bertindak untuk menuntut tunggakan hutang daripada penghuni perumahan awam sejak lebih 10 tahun dahulu.

Ditanya mengapa kutipan itu dibuat pada masa sekarang, Phahrolrazi berkata, ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutip segala hutang yang tertunggak untuk memperbaiki rekod pentadbiran kerajaan negeri.

Dilaporkan Februari lalu, kira-kira 200 wakil penduduk taman berkenaan berhimpun bagi membantah tindakan kerajaan negeri menyerahkan kuasa kepada pihak bank untuk menuntut hutang perumahan awam.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tertangga (RT) kawasan perumahan itu, Ahmad Mashan Mat Isa memberitahu Malaysiakini bahawa RT di situ akan melancarkan kempen bulan depan untuk menggalakkan penghuninya membayar hutang perumahan mereka kepada kerajaan negeri.

Ia ekoran penduduknya bimbang rumah mereka akan dirampas sekiranya kerajaan negeri meneruskan hasratnya untuk menyerahkan kuasa kepada pihak bank untuk menuntut hutang mereka.

Ahmad Mashan berkata, butiran lanjut mengenai kempen itu masih belum diputuskan oleh RT taman berkenaan.

"Kita akan bayar (tunggakan) supaya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan terhadap kami," katanya.

Abai 'UMPAN' RM3 Juta BN - Pengundi Rasa di Puji

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini memuji pengundi dari perkampungan Rasa yang menolak Barisan Nasional meskipun diumpan dengan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada SRJK (C) Rasa, Hulu Selangor.

"Pujian kepada pengundi di Rasa yang membuktikan mereka perintis baru politik Malaysia bagi memperjuangkan keadilan, kebebasan dan kemakmuran untuk semua tanpa mengira kaum, agama atau daerah dan pada masa yang sama menuntut hak mereka untuk pembangunan sebagai rakyat dan juga pembayar cukai,” kata Lim.

Lim pada kenyataan medianya itu merujuk kepada janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi RM3 juta kepada sekolah Cina di Rasa dengan syarat BN memenangi kerusi Hulu Selangor.

Bagaimanapun pada hari pengundian, Ahad lalu, 82 peratus pengundi Rasa menyokong calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, tetapi Najib tetap mengotakan janjinya itu.

Dana RM3 juta itu adalah untuk pembinaan bangunan baru SRJK (C) Rasa, sebuah sekolah berusia 81 tahun yang berada dalam keadaan yang usang.

Di sebalik umpan Najib, Lim berkata daerah mengundi Rasa menunjukkan sebahagian besar penduduknya menyokong calon PKR berbanding sokongan 56.74 peratus yang diperolehi mereka pada 2008.

"Ini membuktikan kematangan dan kesederan berpolitik yang tinggi di kalangan pengundi Rasa,” kata Lim.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor itu menyaksikan BN yang diwakili P Kamalanathan menang dengan majoriti kurang 2,000 undi dalam pertandingan yang sengit.

Majlis Peguam : Tubuh Inkues Siasat Pembunuhan Aminulrasyid

Inkues di bawah kuasa kehakiman perlu ditubuhkan bagi menyiasat remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati polis di Seksyen 11, Shah Alam, Isnin lalu.

Presiden, Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan berkata Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah harus digunakan bagi membolehkan inkues dijalankan setiap kali berlakunya kematian ketika polis menjalankan operasi.

“Mengambilkira kepentingan rakyat, punca kematian sedemikian hendaklah dikendalikan mengikut prosedur mahkamah dan satu inkues di bawah kuasa kehakiman ditubuhkan,” katanya dalam satu kenyataaan media, hari ini.

Katanya, insiden itu amat menggemparkan dan lebih mendukacitakan lagi apabila polis melabel remaja berkenaan sebagai “penjenayah” untuk menepis kelemahan mereka.

“Sikap ini amat mengecewakan dan tidak adil terhadap keluarga mangsa dan tidak ada kaitan dengan pembunuhan remaja tersebut.

“Jumlah kematian yang semakin meningkat akibat ditembak polis menimbulkan prasangka masyarakat bahawa anggota polis amat cuai dan tidak mengikut prosedur ketika menjalankan tugas,” kata Kesavan.

Menurut bel
iau, Majlis Peguam, menyambut baik tindakan pihak berkuasa yang mengklasifikasikan insiden itu sebagai kes bunuh dan penubuhan panel khas yang akan diketuai oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk menyiasatnya.

Kesavan juga menggesa pihak polis dan kerajaan bertindak segera untuk memastikan keadilan ditegakan dan hukuman yang setimpal dikenakan terhadap anggota-anggota yang terbabit.

Sultan Selangor : Hampa Jangan Mai Kalau Tak Setuju Dengan Peraturan...


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini bertitah sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan larangan berpolitik di masjid dan surau supaya tidak perlu datang ke negeri itu.

Jelas baginda, tujuan larangan masjid daripada digunakan sebagai pentas politik adalah untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadah itu.

"Ini adalah kerana masjid dan surau merupakan tempat umat Islam berkumpul bagi melaksanakan amal ibadat dan mengeratkan silaturahim sesama mereka.

"Sekiranya masjid dan surau dibiarkan sebagai pentas kempen politik adalah dikhuatiri ia akan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan melakukan perbuatan yang boleh mencemari kesuciannya seperti caci mencaci, fitnah memfitnah, tohmahan yang tidak berasas dan memburukkan keperibadian seseorang," titah baginda ketika merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di Jalan Kota, Klang.

Baginda berititah, jika ingin datang ke Selangor, mereka yang terbabit hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

"Jika sekiranya seorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri ini."

Sultan Sharafuddin memberikan penjelasan itu memandangkan ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah baginda dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 23 April lalu menempelak Jabatan Agama Islam (JAIS) yang melarang pemimpin politik berceramah di masjid untuk kepentingan politik.

"Siapa ajar tak boleh cakap politik dalam masjid. Allah memerintah manusia dengan keadilan. Keadilan ada urusan politik, dibaca dalam al-Quran, dalam masjid," katanya sambil membaca sepotong ayat al-Quran.

"Allahu Akbar, kita azan, ini politik. Mengajak orang ramai pergi ke masjid, ini politik... Ini kerja-kerja saki baki ajaran penjajah barat yang mengasingkan ajaran agama dan politik... Ini adalah ajaran karut yang ditinggalkan oleh Inggeris yang diterima oleh manusia Muslim. (Saya) rasa dukacita," katanya.

Dirujuk Ke Jawatankuasa Pendamai Permohonan Cerai Zakiah Anas


Zakiah Anas di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 28 April - Permohonan cerai secara baik pengacara televisyen, Zakiah Anas dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad memutuskan demikian selepas suami pengacara itu tidak bersetuju dengan permohonan Zakiah ketika kes berkenaan disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Zakiah hanya memandang suaminya ketika lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut.

Pada prosiding hari ini juga, hakim syarie mengarahkan pasangan tersebut melantik wakil masing-masing yang akan menganggotai jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan serta perbincangan bagi mencari jalan perdamaian antara kedua-dua pihak.

Kes itu akan disebut semula pada 9 Jun ini.

Zakiah yang hadir dengan ditemani dua rakannya diwakili peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof, seorang ahli perniagaan hadir tanpa peguam.

Dia juga enggan wajahnya dirakam oleh jurugambar sebaliknya meminta media mengambil gambar isterinya kerana 'dia (Zakiah) selebriti bukan saya'.

Permohonan untuk bercerai secara baik itu difailkan sendiri oleh personaliti TV3 itu pada Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sebelum ini, Zakiah pernah memfailkan pengesahan permohonan cerai secara fasakh sebelum menukarnya kepada pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Shah Alam tetapi menarik balik kes itu pada 1 September tahun lalu.

Zakiah dan suaminya berkahwin sejak 17 tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14.

Takkan RM4juta sahaja Kut... Boleh Lemah Dan Burukkan Pak Lah... Sikit Sangat La Bro..


Operasi RM4 juta: Pak Lah tak hairan pendedahan Kickdefella

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 29 April — Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak terkejut dengan pendedahan blogger Kickdefella bahawa kira-kira RM4 juta pernah dibelanjakan untuk memburuk-burukkan era kepimpinan beliau, sekali gus membolehkkan PAS kekal berkuasa di Kelantan.

Sambil menyifatkan ia sebagai lumrah politik, bekas presiden Umno itu memberitahu beliau tidak bercadang mengambil tindakan tindakan terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang pernah berkhidmat untuk pentadbiran PAS Kelantan selama tiga sehingga akhir 2009.

Abdullah berkata, beliau cuma meminta supaya Syed Azidi berjumpa dengannya dan menjelaskan segala yang berlaku.

“Saya tidak bercadang untuk selidik perkara ini tapi beliau (Syed Azidi) boleh datang berjumpa saya dan menceritakan segalanya apa yang berlaku, saya akan menerimanya,” katanya.

Bekas perdana menteri itu menambah beliau tidak tahu apa maksud “memburukkan” seperti yang dinyatakan Syed Azidi yang mendakwa menerima RM4 juta untuk memburukkan kepimpinan beliau ketika menjadi perdana menteri.

“Sebenarnya saya tidak tahu apa maksud memburukkan seperti yang dinyatakan jadi saya tidak boleh membuat sebarang andaian mengenai perkara ini.

“Saya juga tidak tahu sama ada betul ataupun tidak apa yang dikatakan, cuma PAS dan mereka yang terlibat sahaja mengetahui kebenarannya,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah “Pendekatan Islam Hadhari: Satu Tinjauan” di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini.

Abdullah memberitahu, beliau tidak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan Syed Azidi kerana ini semua adalah lumrah dalam kehidupan sebagai ahli politik.

“Saya tidak terkejut kerana ini semua adalah permainan politik semata-mata dan setiap ahli politik pasti akan menghadapi pelbagai yang dilakukan tindakan kumpulan yang mahu menghentam ataupun memburukkan mereka.

“Jadi setiap orang termasuk ahli politik mempunyai pandangan mahupun persepsi masing-masing dan ia terserah kepada mereka untuk menguruskannya,” katanya.

Dalam tulisan terbarunya, blogger Kickdefella yang sebelum ini menjadi tumpuan kontroverasi Menteri Besar Kelantan dan menantunya, mendakwa telah dibiayai RM4 juta untuk memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah ketika menjadi perdana menteri.

Usaha memburuk-burukkan Abdullah yang menjadi perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009 dikenali sebagai Operasi Gerak Saraf, kata Syed Azidi.

Beliau menambah usaha berkenaan dijalankan bagi membolehkan PAS mudah mengatasi Barisan Nasional untuk kekal berkuasa di Kelantan.

MB Selangor: RM10 ribu Untuk Keluarga Allahyarham Aminulrashid, juga Bantuan Khidmat Peguam


SHAH ALAM 28 Apr - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menawarkan untuk menyediakan perkhidmatan guaman kepada keluarga remaja yang mati ditembak polis, Aminulrashid Amzah.

Sambil menyampaikan takziah beliau, Khalid juga berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan dan bersedia membantu sekiranya keluarga mangsa memerlukan.

"Kita juga akan menyediakan khidmat peguam sekiranya keluarga mangsa mahukan demikian," katanya kepada sidang media selepas mengakhiri lawatan ke rumah mangsa dekat sini.

Khalid juga menyampaikan cek bantuan berjumlah RM10,000 kepada keluarga mangsa.
Beliau juga mengarahkan Exco berkenaan untuk bertemu Ketua Polis Negeri untuk berbincang mengenai tragedi ini dan mencari jalan agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

"Kita boleh belajar dari kejadian ini supaya pada masa akan datang dapat memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada orang awam berkeyakinan bahawa keselamatan mereka terjamin. Semuanya akan dilakukan dengan teliti," katanya lagi.

Khalid berkata beliau tidak mahu memberi sebarang ulasan mengenai kejadian tersebut sehingga pihak polis selesai menjalankan siasatan.

Beliau juga berharap agar siasatan dilakukan dengan telus dan pihak terbabit tidak diganggu semasa siasatan.

Aminulrasyid ditembak mati oleh peronda polis kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 Shah Alam, sekitar 100 meter dari rumah mangsa.

Mangsa dikatakan sedang memandu Proton Iswara berdaftar di bawah nombor BET 5023 bersama rakan sebayanya ketika kejadian.

"Tahniah Pejuang Melayu Tulen".. Bang Brahim Nak Saman The Sun Kerana Fitnah Terhadapnya

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali hari ini memfailkan saman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Sun, ketua pengarang dan wartawan yang didakwa menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya dan Sultan Selangor.

Samannya itu difailkan oleh peguamnya, Datuk Salehudin Saidin di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Ditemui pemberita, Salahudin berkata anak guamnya menuntut gantirugi yang akan ditentukan mahkamah, permohonan maaf secara terbuka dan perintah injuksi bagi melarang pihak tersebut daripada terus menyiarkan berita seumpama itu.

Katanya, akhbar The Sun pada 17 Mac menyiarkan laporan yang didakwa berunsur fitnah bahawa Ibrahim dan PERKASA tidak mendapat perkenan Sultan Selangor bagi merasmikan mesyuarat agung NGO itu pada hujung bulan lalu.

"Tulisan itu juga menggambarkan anak guam saya chauvinis Melayu dan kuat perkauman," katanya.

Selain laporan berita itu, Ibrahim sebelum ini juga pernah mendakwa satu lagi laporan dalam akhbar yang sama, mendakwa Sultan Selangor telah menasihatkan presiden PERKASA itu supaya jangan bersikap melampau.

Dalam laporan tersebut, The Sun memetik sumber-sumber yang menyatakan bahawa Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah tidak komited sama ada baginda akan merasmikan AGM PERKASA selepas menerima mengadap Ibrahim selama 40 minit di Istana Mastika.

AGM PERKASA berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu dengan dirasmikan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

'PERKASA lebih semangat'

Sementara itu, Ibrahim yang hadir sama di Mahkamah Tinggi Shah Alam mendakwa akhbar berkenaan mungkin berniat jahat dengan menyiarkan laporan itu memandangkan tiada media lain yang melaporkan berita sebegitu.

Beliau juga mengesyaki terdapat pihak-pihak tertentu di belakang media terbabit yang mahu menggagalkan AGM PERKASA.

"Laporan itu amat serius kerana membabitkan Sultan Selangor dan nama baik PERKASA.

"Kita tak pernah pun bersifat perkauman dan ultra Melayu," katanya.

Ditanya tentang tindakan sesetengah media baru yang didakwa menggambarkan PERKASA sebagai perkauman, Ibrahim menegaskan pihaknya hanya memperjuangkan kepentingan Melayu berdasarkan ruang lingkup perlembagaan negara.

"Dong Ziong, suatu masa Su Qiu juga membuat pelbagai tuntutan kepada kerajaan. Tak ada siapa pula sebut mereka perkauman," katanya.

Justeru tambahnya, label yang diberikan kepada PERKASA tidak adil.

"'Kita tidak tertekan, bahkan kita jadi lebih bersemangat," katanya.

Beberapa pemimpin kanan PERKASA turut hadir menemani Ibrahim memfailkan tuntutan hari ini.

Curi Enjin Jet: Bekas Jeneral & 4 Pegawai Kanan Saman ATM RM5juta


Seorang bekas jeneral dan empat pegawai kanan lain telah menyaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana pemberhentian salah atas kes kecurian dua enjin jet pejuang yang hilang, kata peguam mereka hari ini.

Pada bulan Januari lalu, seorang sarjan Tentera Udara DiRaja Malaysia dan seorang peniaga telah dituduh menyebabkan kehilangan enjin yang bernilai $ 29 juta dollar Amerika (RM93 juta), pada masa yang sama Peguam Negara berkata tiada pegawai tentera kanan yang terlibat.

Namun, Brigadier-Genl Abdul Hadi Abdul Khatab dan empat pegawai senior lain - Mej Rusli Ibrahim, Mej Noor Zeelan Draman, Leftenan Kolonel Mohamed Ariff Mohd Daud dan Kolonel Mohamad Sani Sumarnak telah mengadu, mereka dipaksa supaya bersara berkait isu tersebut, kata peguam Mohammad Zalil.

"Majlis tersebut telah meminta mereka memberikan keterangan untuk menjawab tuduhan salah laku dan kelalaian atas kecurian yang berlaku pada tahun 2007, mereka memberikan keterangan dan menafikan segala tuduhan tetapi kemudian mereka dipaksa bersara," kata Zalil.

Menurut Zalil, kelima-lima pegawai ATM menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta kerana mereka merasakan pemberhentian mereka membawa maksud tersirat, bahawa mereka telah menipu kerajaan

Kes saman tersebut akan didengar di mahkamah pada 21 April, katanya.

Kerajaan Malaysia menghadapi pelbagai kritikan dan tuduhan amalan rasuah selepas dua enjin F-5E jet Northrop dilaporkan dicuri dari sebuah pengkalan udara tentera pada tahun 2007 dan dijual di pasaran gelap untuk sebuah syarikat Amerika Selatan.

Kedua-dua enjin tersebut dikesan, dihantar ke Uruguay pada bulan Februari dan pihak berwajib berkata mereka sedang mengusahakan untuk membawanya pulang ke Malaysia

Beberapa Negara yang menghadapi sekatan senjata AS termasuk Iran, Sudan dan Venezuela, memiliki pesawat pejuang F-5 yang menggunakan enjin lama.

Jet pejuang tersebut terbang buat pertama kalinya pada tahun 1963 dan syarikat pengeluarnya Northrop telah menghentikan pengeluaran sejak tahun 1989.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.