GRO Melayu Punyai Pendapatan Seminggu RM3 Ribu.. Mahu Jual Bayi Dengan Bayaran RM22 Ribu Kepada Pasangan Bukan Islam.. Kini Mulai Insaf..

Saya nak berubah, tapi sukar


BIASA MEWAH...Suzie (kiri) menerima bimbingan isteri pengasas Kewaja, Ruzitah Baharum.
BIASA MEWAH...Suzie (kiri) menerima bimbingan isteri pengasas Kewaja, Ruzitah Baharum.

KUALA LUMPUR: “Saya hanya tahu layan lelaki. Saya tak minta untuk menjual tubuh, tetapi itu saja pekerjaan mampu saya lakukan kerana saya tak bersekolah tinggi,” kata Suzie kepada Harian Metro ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Gombak, di sini, semalam.

Pelayan pelanggan (GRO) berusia 22 tahun itu diselamatkan wartawan Harian Metro Rabu lalu apabila dia yang sarat mengandung sembilan bulan mahu menjual bayinya kepada satu pasangan bukan Islam yang menawarkan bayaran RM22,000.


Bagaimanapun, dia dapat dipujuk wartawan supaya tidak meneruskan niat itu dan bersetuju memasuki Kewaja untuk mendapatkan perlindungan dan bimbingan sebelum melahirkan bayinya.

Suzie berkata, sejak berusia 17 tahun dia sudah terjebak dengan kancah maksiat dan mampu hidup selesa, namun mungkin ada hikmah di sebalik kejadian dia hamil anak luar nikah kerana kini hatinya lebih terbuka untuk mengingati Tuhan dan mendalami Islam.


“Sebenarnya saya nak berubah, tapi kehadiran anak ini mengubah fikiran saya. Bagaimana saya mahu menyara anak ini nanti, jadi pilihan yang ada hanya kembali ke pekerjaan asal sebagai GRO,” katanya.

Ketika ditemui semalam Suzie tidak dapat menggambarkan bagaimana kehidupannya kelak jika anak yang bakal lahir itu mengetahui pekerjaannya.

Katanya, dia tidak mahu terus bergelumang maksiat dan dosa, tetapi tidak tahu bagaimana cara mahu menyara anaknya kerana hanya pekerjaan sebagai GRO mampu memberi pendapatan lumayan.

“Bayangkan dalam seminggu saya mampu mendapat RM3,000 hanya dengan melayan beberapa lelaki. Jika saya mencari pekerjaan lain, saya takut anak ini akan menderita tak cukup makan,” katanya.
Anak bongsu daripada dua beradik dari Selayang di sini, tidak tahu bagaimana cara untuk kembali ke pangkal jalan kerana sudah selesa hidup mewah dengan bergelumang maksiat.

“Setiap kali melihat wanita bertudung, terdetik hati untuk berubah, tapi sukar mengenangkan pekerjaan saya lakukan ini, malah kebanyakan rakan saya juga GRO dan hidup kami sudah sebati dengan dosa.

“Saya akan cuba menipu anak ini nanti dengan mengatakan saya kerja kilang atau apa-apa saja, asalkan dia tak tahu pekerjaan sebenar saya,” katanya.

Suzie juga berharap ada pihak sudi membantunya keluar dari kancah hina itu. Katanya, di Kewaja dia digalak memperbanyakkan amal ibadat dan mengingati Tuhan memandangkan rasa sakit untuk bersalin diibaratkan seperti bertarung dengan maut.

“Saya lebih tenang di sini, tidak lagi diganggu panggilan daripada 'ibu ayam' yang minta saya melayan pelanggan yang ketandusan kasih sayang itu, malah saya berharap hidup akan lebih bererti apabila anak ini lahir kelak,” katanya. Dia yang masih menyimpan hasrat untuk kembali menjadi GRO masih dipujuk pihak Kewaja supaya tidak mengulangi dosa silamnya selain memberi dorongan agar mencari pekerjaan lebih baik.

Ini berikutan dia malu dan menganggap masyarakat tidak dapat menerimanya lagi walaupun jauh di lubuk hatinya ingin memulakan kehidupan baru bersama bayi yang bakal dilahirkan.

Oleh Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.