GMI : Isu JI untuk kekalkan ISA

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mensyaki isu Jemaah Islamiah (JI) yang dibangkitkan pada waktu ini adalah usaha kerajaan Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran perbahasan rang undang-undang pindaannya di parlimen pada Julai ini.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kekeliruan mula timbul apabila isu 10 yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Januari lalu atas tuduhan pengganas antarabangsa dibangkitkan semula kini dengan tuduhan terlibat dengan JI.

Sembilan daripada yang ditahan enam bulan lalu itu, katanya telahpun dihantar pulang ke negara masing-masing tiga bulan lalu namun isu berkenaan kini dibangkitkan kembali.

"Banyak pihak termasuh GMI menimbulkan kecurigaan terhadap pendedahannya sekarang.

"Kita yakin ini adalah usaha pre-emptive kerajaan untuk menjustifikasi penggunaan dan pengekalan ISA," katanya pada sidang media GMI bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di parlimen hari ini.

Turut diserahkan kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakayat, memorandum tuntutan agar kerajaan memansuhkan ISA bukan melakukan pindaan kosmetik semata-mata.

ISA, kata Syed Ibrahim, sudah menjadi akta pilihan dan jalan mudah kerajaan menggantikan amalan profesionalisme polis seperti risikan dan penyiasatan.

Mangsanya kini, ujarnya semakin luas bukan sahaja kepada kumpulan-kumpulan yang didakwa pengganas, aktivis politik dan aktivis hak asasi, malah turut dikenakan kepada pemalsu kad pengenalan, pengklon telefon, pemalsu wang syiling dan pelindung pendatang tanpa izin.

Sedangkan, katanya undang-undang sedia ada, khusus untuk kesalahan-kesalahan tersebut diketepikan.

"Undang-undang dalam Kanun Keseksaan sudah cukup. Seksyen 489B Penal Code berkaitan pemalsuan duit, seksyen 56 Immigration Act berkaitan pemalsuan pasport, seksyen 298A Penal Code berkaitan menyebar isu atau khabar angin melibatkan agama, seksyen 499 Penal Code melibatkan isu perkauman dan Chapter VIA of Penal Code yang berkaitan isu pengganas," katanya lagi.

Selain ISA,ujarnya Emergency Ordinance (EO, Dangerous Drugs Act (DDA) dan Restricted Residence Act (RRA) juga perlu dimansuhkan.

Katanya, Working Group on Arbitrary Detention dari PBB, dalam lawatan ke Malaysia melahirkan rasa kebimbangan terhadap penggunaan akta-akta tersebut.

"Jawatan kuasa tersebut menjelaskan bahawa kesemua akta-akta ini adalah usang dan ianya harus dimansuhkan kerana melanggar undang-undang dan hak asasi antarabangsa," katanya.

Kerajaan Kelantan Cadang Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Red Carpet

Kerajaan negeri sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Red Carpet Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat itu yang menjejaskan nama baik kerajaan negeri dalam isu Kelantan Fiesta 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata kenyataan Red Carpet di dalam media yang didapati telah menjejaskan imej kerajaan negeri kerana memboikot acara Kelantan Fiesta itu.

"Hakikatnya menurut perjanjian yang dimeterai antara Red Cerpet dan kerajaan negeri pada 24 Ogos 2009 di Kuala Lumpur menetapkan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sebagai penganjur manakala Red Carpet sebagai pengurus acara Fiesta Kelantan 2010," katanya semasa mengulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri penggal ketiga, di sini hari ini.

Beliau berkata disebabkan perasmian acara besar yang akan dirasmikan Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, maka kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengambil alih acara itu daripada PMBK.

Beliau berkata pihak Red Carpet telah menolak permintaan kerajaan negeri supaya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat ucapan pada majlis perasmian acara itu dan tindakan itu bertentangan dengan perjanjian awal yang dimeterai kerana kerajaan negeri sebagai penganjur dan juga hos kepada acara itu.

Takiyuddin berkata semasa acara perasmian itu diteruskan pada 16 Jun, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, bekalan elektrik terputus di stadium menyebabkan acara itu tidak dapat dilangsungkan secara sempurna.

"Bagaimanapun setelah beberapa hari, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan media bahawa kerajaan negeri telah sabotaj acara itu hasil daripada post-mortem mereka," katanya.
Beliau menjelaskan, laporan Jabatan Kerja Raya mendapati peralatan yang digunakan pada acara itu melebihi bekalan kuasa yang mampu ditanggung oleh stadium.

Katanya beliau turut menjelaskan kerajaan negeri tidak merampas kain rentang acara itu yang diletakkan di sekitar bandar Kota Baharu sebaliknya ia dikutip oleh majlis perbandaran Kota Baharu kerana ia terjatuh di atas tanah akibat ribut dan hujan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bio-Teknologi Negeri Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan kini berhasrat untuk membangunkan sebuah makmal bagi penyelidikan bio-teknologi untuk pertanian bernilai RM300,000.

Katanya kerajaan negeri telah menjalankan kajian dengan sebuah universiti tempatan bagi menggunakan sisa buangan ladang dan menjadikan bahan buangan seperti hampas padi dan kelapa sawit sebagai baja organik.

"Baja organik ini merupakan elemen yang bersih daripada elemen kimia dan boleh dimajukan kepada tahap yang lebih untuk memberi manfaat kepada pendapatan kerajaan negeri dan sektor pertanian," katanya.
-Bernama-

Tian Chua Kemukakan Rayuan Untuk Buktikan Beliau Tidak Bersalah, Bukannya Status MP

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua akan memfailkan permohonan bagi membolehkan beliau membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu depan.

“Kami sudah mengadakan perbincangan semalam dan beliau (Tian Chua) sudah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan,” kata peguam Chua Amer Hamzah Arshad ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Amer berkata Chua akan mengemukakan kebenaran untuk merayu berhubung sabitan kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Khamis lalu.

Walaupun awalnya mengatakan tidak akan membuat rayuan, lewat malam tadi Chua berkata beliau kemungkinan akan membuat rayuan peringkat kedua berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

Semalam Chua berkata, sekiranya beliau membuat rayuan ia hanya bertujuan untuk membuktikannya tidak bersalah, bukannya untuk meleraikan pertikaian kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.

Polemik pertikaian tentang status beliau yang bermula Khamis berterusan sehingga ke hari ini.

Beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan. Selain beliau, pihak pendakwa juga mempunyai hak untuk membuat rayuan.

Pada sidang media lewat malam tadi Chua menegaskan, beliau masih seorang Ahli Parlimen Batu yang sah.

“Bagaimanapun saya masih mempertahankan, meskipun tidak dilucutkan kelayakan, bahawa ia adalah penghakiman tidak adil kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata beliau.

Wakil rakyat penggal pertama itu memberitahu isunya bukan status beliau sebagai Ahli Parlimen tetapi Mahkamah Tinggi tidak melihat pada bukti bahawa beliau tidak menggigit sebagaiman didakwa.

Sambil mengulangi dirinya tidak bersalah, Chua berkata: “Saya tidak melakukan apa-apa jenayah.”

Pagi semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengekalkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Chua bertujuan supaya tiada pilihan raya kecil diadakan.

Ghazali mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Ketika menyampaikan keputusannya, Ghazali berkata seandainya hukuman yang dikenakan boleh menjadikan Chua tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara pelbagai bangsa.

“Atas alasan ini saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil,” katanya dalam penghakiman.

Speaker lawan speaker: Rayuan Sivakumar Ditolak

Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri.

Justeru, unda
ng-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan berkenaan - demikian keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar.

Panel tiga hakim - Abdul Malik Ishak, KN Segara dan Abdul Wahab Patail sebulat suara menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap speaker lantikan BN, R Ganesan.

Keputusan berkenaan disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.

Panel tiga hakimjuga memerintahkan Sivakumar supaya membayar RM20,000 sebagai kos perbicaraan.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi daripada Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.

Hishammuddin: Kematian Altantuya - Bekas Pegawai PM Tak Terbabit

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan terdapat nama atau suspek Datuk Nasir Safar - bekas pegawai khas perdana menteri - dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Hasil daripada siasatan polis, tidak terdapat nama atau suspek yang dimaksudkan terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya,” katanya dalam jawapan bertulis kepada R Sivarasa (PKR-Subang).

Dalam pertanyaan lisannya, Sivarasa meminta Hishamuddin menyatakan adakah benar atau tidak Nasir adalah lelaki dalam kereta Proton berwarna biru yang sampai di hadapan rumah Razak Baginda pada malam 19 Oktober 2006.

Ia berikutan dakwaan seorang penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang kini melarikan diri di luar negara bahawa belia melihat Nasir di kenderaan berkenaan sebelum Altantuya dibawa oleh polis.

Menurut Balasubramaniam, pada mulanya, beliau tidak mengenali Nasir tetapi berjaya mengecamnya melalui laporan media berhubung kenyataan pegawai khas Perdana Menteri itu yang dikatakan berbaur perkauman.

Berikutan peristiwa itu, Nasir meletakkan jawatannya sebagai pegawai khas Najib.

Jawapan yang dikemukakan oleh Hishamuddin di Dewan Rakyat, hari ini, bagaimanapun tidak menjawap soalan utama - benar atau tidak Nasir adalah lelaki dalam kereta yang berada di hadapan rumah Razak.

Bercakap kepada pemberita di lobi parlimen, Sivarasa melahirkan rasa dukacitanya yang kerajaan memilih untuk tidak menjawap soalan yang dikemukakannya.

"Jawapan yang diberikan tidak menyatakan sama ada Nasir berada di kereta itu ataupun tidak tetapi sebaliknya perkara lain diceritakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas banduan, warden antara saksi tembok Penjara Pudu diroboh

Kerja-kerja roboh tembok Penjara Pudu dijalankan bermula pukul 10 malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 22 Jun — Walaupun hanya sebahagian sahaja dirobohkan namun bagi seorang bekas banduan Penjara Pudu, Suharto Abdul Wahab pengalaman sepanjang berada dalam penjara tersebut pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dia antara ratusan orang yang membanjiri kawasan Penjara Pudu di sini malam tadi.

Katanya, sepanjang tiga tahun menjadi banduan banyak pengalaman dan pengajaran diperoleh dalam penjara tersebut.

“Saya ditahan kerana mengedar dadah dan saya dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta tiga sebatan.

“Sepanjang berada dalam penjara banyak saya peroleh termasuk didikan agama. Selain itu saya juga ada melihat beberapa banduan yang bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui semasa kerja-kerja roboh tembok Penjara Pudu malam tadi.

Tembok Penjara Pudu berukuran 394 meter di sepanjang Jalan Pudu dirobohkan dan ia akan mengambil masa sehingga 23 Jun ini bagi membolehkan kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu dilakukan.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892.

Bagi bekas warden, Mohamad Simin, 54, berkata pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika berlaku penawanan dua orang doktor iaitu Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid oleh enam orang banduan reman yang diketuai oleh Jimmy Chuah pada tahun 1985.

“Saya masih ingat bagaimana dua orang doktor telah dijadikan tawanan oleh enam orang banduan yang mahu melepaskan diri daripada penjara.

“Mereka (banduan) menggunakan gunting dan peralatan doktor sebagai senjata. Kalau tidak silap saya kejadian itu terjadi di bilik rawatan tetapi akhirnya banduan tersebut menyerah diri selepas enam hari,” katanya.

Penjara yang banyak menceritakan kisah suka duka kepada jabatan ini telah mencatat rekod kerana muralnya yang menghadap Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah merupakan mural terpanjang di dunia iaitu sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 meter telah dilukis oleh banduan dengan menggunakan 2,000 liter cat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Siti Saffur Mansor berkata kerja-kerja perobohan tembok Penjara Pudu itu akan mengambil masa selama tiga hari.

“Kita sasarkan ia akan selesai dalam tempoh tiga hari bermula malam tadi dan kerja-kerja ini akan dijalankan dari pukul 10 malam hingga 5 pagi.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mengambil gambar di kawasan Penjara Pudu yang temboknya dirobohkan semalam. — Gambar oleh Choo Choy May
“Kita menjalankan kerja-kerja ini pada waktu malam kerana ketika itu jalan raya tidak sibuk jadi ia akan memudahkan perjalanan tugas kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lin meminta supaya kerajaan menimbang semula cadangan untuk merobohkan Penjara Pudu yang berusia 120 tahun kerana berpendapat bangunan tersebut merupakan sejarah yang perlu dikekalkan, bukannya dimusnahkan.

“Saya agak terkilan apabila kerajaan mahu merobohkan Penjara Pudu ini kerana bagi saya ia adalah satu sejarah negara yang harus dikekalkan dan dijaga dengan sebaik mungkin.

“Sebagai sebuah penjara yang lama ia perlu dijadikan sebagai warisan negara. Bagi saya ia bukan hanya penjara semata-mata tetapi ia mempunyai nilai sejarah yang penting kepada rakyat,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati ramai yang mahu Penjara Pudu dikekalkan kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri dan mempunyai banyak nostalgia kepada rakyat.

“Bagi saya adalah lebih baik ia dikekalkan sebagai satu sejarah dan warisan negara yang boleh ditatapi generasi akan datang.

“Jika bangunan ini dibaik pulih dan dibuka kepada umum saya rasa ia boleh memberikan hasil kepada negara,” kata seorang pesara, Yusof Isa, 60.

Bagi Piroz Ahmad Zulkathar, 60, langkah kerajaan merobohkan Penjara Pudu akan menyebabkan generasi akan datang tidak dapat melihat wajah sebenar bangunan itu.

“Banyak nostalgia pernah berlaku jadi bukankah lebih baik jika ia dikekalkan sebagai warisan sejarah negara?” katanya.

Seorang kakitangan awam, Siti Zaleha Sheikh Mohamad, 45, berkata, kerja merobohkan ini amat menyedihkan memandangkan bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah dan seharusnya dijadikan tapak warisan di tengah-tengah bandar raya ini.

Orang ramai turut mengutip serpihan tembok Penjara Pudu yang dirobohkan. — Gambar oleh Choo Choy May
“Kalau di luar negara contohnya di China, England dan beberapa negara Eropah lain bangunan bersejarah seperti ini akan disimpan dan dipulihara dan dijadikan sebagai warisan untuk tarikan pelancong,” katanya.

Menurut Mohd Ali Jalil, 55, walaupun bangunan tersebut pernah ‘menyimpan’ mereka yang melakukan jenayah, namun ia wajar dipulihara kerana mempunyai nilai yang tersendiri.

“Penjara ini pernah menempatkan ramai penjenayah terkenal sejak dari dulu, jadi sehingga hari ini masih ramai yang datang untuk melihat dan mengambil gambar bangunan ini.

“Lagipun lukisan-lukisan yang terdapat di sepanjang tembok mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini ia sudah tidak bererti lagi,” katanya.


- TMI

Komisyen 100 Juta Euro Diselindungi Sebagai Latihan Kapal Selam Scorpene? Ada Betulll Ka....

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan membelanjakan 100 juta euro yang didakwa kos latihan kepada 500 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Saya ingin tahu 500 anggota ini dilatih untuk apa? Adakah untuk menyelenggara atau mengendalikan kapal selam Scorpene sedangkan menurut spesifikasinya ianya hanya memerlukan 20 orang untuk mengendalikannya.

"Jumlah tersebut tidak munasabah dan kita juga ingin tahu di mana dan mengapa dan yang begitu besar perlu untuk tujuan latihan itu?," soal Tian Chua.

Kata Tian Chua lagi, pada pandangannya 100 juta euro itu sebenarnya kemungkinan besar adalah komisen yang telah dibayar kepada pihak terbabit termasuk bayaran kepada ahli politik di Perancis yang terlibat dalam proses jual beli kapal selam tersebut.

"Kes kapal selam ini sekarang di bawah siasatan pendakwaraya Perancis dan kita juga dimaklumkan oleh pihak Perancis tiga minggu yang lalu, satu tindakan tergempar merampas dokumen mengenai kapal selam Scorpene ini daripada pengilangnya, DCN di Paris," tegas beliau.

Tambah Tian Chua lagi, kertas siasatan tersebut telah dibuka dan dimulakan dan beliau berharap kerajaan Umno-Barisan Nasional telus untuk menjawab isu ini dan bagaimana wang itu diagihkan sebagai komisyen.

Penduduk Kg Baru ‘BERMINAT’ Lihat Pelan Alternatif MB Selangor


KUALA LUMPUR, 22 Jun — Meskipun kerajaan pusat meminta Menteri Besar Selangor agar tidak ‘mengganggu’ pelan pembangunan semula Kampung Baru, penduduk kawsan berkenaan menyambut baik langkah Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu menawarkan syor alternatif.
Bagaimanapun tegas mereka, keputusan sama ada akan menerima ataupun tidak ia bergantung kepada pengisian cadangan tersebut.

Majoriti penduduk mahu mendengar dahulu cadangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia penting kepada mereka dan juga demi masa depan Kampung Baru.

Hasil tinjauan The Malaysian Insider mendapati 90 peratus penduduk bersedia untuk mendengar terlebih dahulu cadangan itu berbanding 10 peratus penduduk tidak kisah, kerana yang penting cadangan itu dapat menyelesaikan masalah pembangunan Kampung Baru.

Mereka yang ditemui berkata mana-mana cadangan yang dianggap boleh menyelesaikan masalah pembangunan Kampung Baru akan diterima, tidak kisah sama ada ia datang daripada kerajaan pusat atau kerajaan negeri Selangor.

Kelmarin, Khalid berkata akan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Baru bulan depan untuk menawarkan pelan alternatif kepada rancangan yang telah dikemukakan oleh kerajaan pusat.

Bagaimanapun Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin mengingatkan Khalid agar tidak mengganggu pelan pembangunan semula Kampung Baru diusahakan kerajaan pusat.

Raja Nong Chik mendakwa Khalid tidak pernah menunjukkan sebarang minat terhadap usaha pembangunan semula kawasan tersebut ketika menerajui syarikat pengurusan dana PNB.

“Saya terkejut apabila mendengar Menteri Selangor Khalid Ibrahim mahu menemui penduduk Kampung Baru,” kata Raja Nong Chik .

Oleh itu, Raja Nong Chik menasihatkan Khalid agar memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah-masalah di Selangor.

Melalui pertemuan itu, Khalid bercadang penduduk Kampung Baru agar menilai syor-syornya sebagai pilihan kepada pelan yang dikemukakan Putrajaya baru-baru ini.

Dalam hal ini, salah seorang penduduk yang ditemui Abdul Jalil Samad adalah lebih baik mendengar dahulu cadangan tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya mahu mendengar cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Ini penting kerana tanpa mengetahui cadangan tersebut bagaimana untuk penduduk membuat keputusan,” kata Jalil, 55.

Rohani Sideq, 48, berkata, selagi tidak tahu apa cadangan itu “saya tidak boleh cakap setuju dengan pelan pembangunan itu.”

“Apa-apa keputusan akan dibuat selepas mendengar cadangan itu,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.

Azizan Ahmad, 49, berkata penduduk perlu tahu apa cadangan yang hendak dibawa Menteri Besar kerana ia melibatkan masa depan Kampung Baru.

“Sebagai penduduk kami mesti nak tahu apa cadangan pembangunan oleh Khalid kerana tanpa mengetahuinya sukar untuk kami bersetuju apatah lagi membuat keputusan.

“Ini bukan soal main-main, ia melibatkan masa depan penduduk dan juga Kampung Baru. Jadi segala keputusan hanya akan dibuat selepas mendengar cadangan itu,” katanya.

Sharuddin Abu Bakar, 42, berkata jika cadangan itu akan memberikan kebaikan kepadanya dan juga penduduk sudah pasti ia tidak akan ditolak.

“Kalau cadangan itu menepati apa yang penduduk mahu sudah pasti kami akan terima.

“Walau bagaimanapun, Khalid perlu membentangkan terlebih dahulu cadangan itu kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Rahimah Abu Bakar, 50, berkata tidak kisah sama ada kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri yang penting masalah pembangunan Kampung Baru dapat diselesaikan.

“Saya tidak kisah yang penting masalah pembangunan yang selama ini tidak dapat dijalankan dapat diselesaikan dengan baik.

“Mana-mana cadangan yang beri matfaat kepada penduduk saya akan terima,” katanya.

MP WANGSA MAJU BODOH KERANA TIDAK MAKAN UBAT LAGI?


Dzulfikar & Nazri

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dilihat menyerlahkan kebodohan diri sendiri apabila mendakwa Pakatan Rakyat termasuk PAS, hipokrit berhubung bantahan isu lesen judi tetapi membenarkan penjualan arak.

Beliau memberi contoh Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwanya membenarkan penjualan arak yang juga diharamkan oleh Islam.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azzamuddin Mohd Taib ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Choo Keong sewajarnya membuat rujukan terlebih dahulu sebelum menyinggung mana-mana pihak dengan kenyataan dangkalnya.

Dalam pensyariatan hukum Islam, judi dan arak, katanya dua perkara berbeza.

Judi, jelasnya diharamkan oleh semua agama manakala arak tidak semua agama mengharamkannya.

Katanya, Kelantan menghadkan penjualan arak kepada bukan Islam di premis-premis tertentu sahaja dan bukannya secara terbuka.

"Kalau dia (Chee Keong) tak cakap, dia takut orang kata dia bodoh, bila dia cakap, jelas memang dia bodoh," katanya.

Dalam pada itu, Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata, contoh yang digunakan Choo Keong, salah dan langsung tidak tepat.

"Contoh yang digunakan itu salah, saya cadangkan dia belajar lagi dan kaji juga agama-agama lain," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Dr Mujahid Yusof (PAS-Parit Buntar) berkata, tindakan Choo Keong itu seolah-olah beliau lebih hebat dari ulama.

"Hanya 'agama' (fahaman) Umno sahaja Yang menghalalkan judi di dunia, (sedangkan) agama Islam haram judi, begitu juga Kristian, Hindu, Buddha dan pelbagai lagi agama budaya yang lain di Malaysia," kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Menurut beliau, kelulusan lesen arak tersebut sebenarnya sekadar untuk tidak menafikan hak masyarakat bukan Islam dari meminum minuman keras itu.

"Arak ini macam babi lah, walaupun umat Islam diharamkan makan babi atau arak, kerajaan (Kelantan) tidak boleh menghalang penganut agama-agama lain dari makan dan minum kedua-duanya.

"Ianya kerana Islam agama yang adil (dan) keadilan Islam tidak boleh menghalang hak penganut agama lain, sebab arak ini kalau ikut fekah seperti harta mereka," ujarnya.

Disebabkan itu, sekiranya umat Islam terjebak dalam meminum arak, menurut beliau, mereka tetap akan dikenakan tindakan syarak.

Maka, katanya lagi, tidak salah sekiranya kerajaan menggunakan duit dari cukai judi untuk membangunkan prasarana di negeri Kelantan.

Ini kerana, beliau berkata, Sheikh Dr. Yusof Abdullah al-Qardhawi, Pengerusi Majmak Fiqh al-Islami al-'Alami (Ikatan Fiqh Islam Sedunia) pernah berfatwa bahawa kerajaan diharuskan menggunakan duit dari cukai arak untuk pembangunan prasarana awam daripada membakar duit cukai itu.

Ini kerana, beliau berkata, Dr. Yusuf berpendapat membakar duit hasil dari cukai arak tidak ubah seperti melakukan pembaziran yang nyata ditegah di sisi Islam juga.

Berbeza dengan isu judi, beliau berkata, semua agama mengakui bahawa aktiviti itu memunahkan keharmonian rumah tangga.

Sehubungan itu, beliau menganggap kenyataan Choo Keong mengelirukan Dewan Rakyat dan wajar dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Bercakap pada suatu kenyataan lain, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, dengan meluluskan lesen judi mencerminkan kerajaan tidak mempunyai aras tanda utama (KPI) tersendiri.

"Perdana Menteri ini dalam semua perkara ada KPI lah, NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) lah, tetapi dalam isu judi ini nampaknya Najib cukup bebas tidak kira sensitiviti agama dan bangsa kita," katanya.

Melihat pada tindak tanduk Najib, beliau menyeru rakyat supaya menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak demi menyelamatkan Malaysia dan rakyat daripada terus punah.

Sementara itu, Choo Keong ketika diterjah Harakahdaily semasa keluar dewan, enggan mengulas.

"Saya nak makan ubat," ujarnya./Harakahdaily

Jom Malam Nie... Lepas Solat Maghrib - Tahlil Perdana Almarhum Ust. Fadzil Noor



TERKINI: Keputusan FIFA Piala Dunia 2010 (22 jun), Sepanyol hidupkan peluang

Sepanyol kembali ke landasan sebenar mereka yang dipilih oleh pemerhati bola sepak sebagai pasukan bakal penentu kejuaraan Piala Dunia musim 2010.

Juara Eropah itu dilihat mencerahkan peluangnya untuk merebut tempat ke pusingan seterusnya apabila David Villa(Gambar kanan, jersi no. 7) dinobat sebagai wira apabila meledakkan dua gol menewaskan Honduras 2-0.

Sepanyol menerusi David Villa telah menjaringkan gol pertamanya pada minit ke 17’. Sejurus sepak mula separuh masa kedua dibunyi pengadil, Yuichi Nishimura dari Jepun, Villa terus menambah derita Honduras apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke 51’.

Kemenangan itu menarik sedikit nafas lega peminat Sepanyol dan berkongsi mata dengan Switzerland di kedudukan kedua dan ketiga kumpulan H. Walaupun begitu, masih ketinggalan tiga mata dari peneraju kumpulan H Chile, iaitu lawan terakhir mereka pada hari Jumaat ini.

Sementara Honduras sekarang perlu untuk memenangi perlawanan terakhir mereka menentang Switzerland, dan berharap Chile menang ke atas Sepanyol, bagi menghidupkan peluang beraksi dalam pusingan seterusnya.

Dalam perkembangan berasingan, separuh masa kedua menjadi pemusnah harapan Korea Utara untuk terus mara ke pusingan seterusnya apabila Portugal membelasah Korea Utara 7-0 di Stadium Green Point.

Antara penjaring gol pasukan Portugal ialah Raul Meireles, Simao, Hugo Almeida, Tiago, Liedson dan pemain termahal dunia yang menyertai kelab Real Madrid, Cristiano Ronaldo.



Keputusan terkini (lain-lain)

Sepanyol

* DAVID VILLA (17', 51')



Chile

* Mark GONZALEZ (75')



Portugal

* RAUL MEIRELES (29')

* SIMAO (53')

* HUGO ALMEIDA (56')

* TIAGO (60', 89')

* LIEDSON (81')

* CRISTIANO RONALDO (87')


2 - 0




1 - 0




7 - 0








Honduras




Switzerland




Korea Utara










Jadual perlawanan akan datang

Mexico

Perancis

Nigeria

Greece

vs

vs

vs

vs

Uruguay

Afrika Selatan

Korea Selatan

Argentina

- (22 Jun - 10.00 malam)

- (22 Jun - 10:0 malam)

- (23 Jun - 2:30 pagi)

- (23 Jun - 2.30 pagi)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.