Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
ANTARA kisah yang turut menjadi santapan penonton pada malam persembahan Najwa Mahiaddin di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur baru-baru ini adalah bagaimana dia jatuh cinta dengan muzik jazz.
Kata Najwa, minatnya yang mendalam terhadap genre itu terbit apabila sering kali mencuri dengar lagu-lagu daripada koleksi cakera muzik ayahnya.
"Sewaktu saya kecil ayah sering memasang lagu-lagu berentak jazz. Saya suka mendengarnya dan mula mengenali muzik tersebut," katanya.
Masih bergelar penuntut di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat, ternyata kehadiran penyanyi berbakat di pentas berprestij itu sememangnya dinantikan peminat.
Buktinya apabila kesemua 14 lagu yang dipersembah Najwa mendapat tepukan gemuruh daripada setiap penonton yang hadir pada malam itu.
Membuai perasaan penonton dengan persembahan lebih sejam, ia turut dihiasi dengan lagu hitsnya, Got To Go yang ditunggu-tunggu peminat.