S. Shamsudin Kritikal Selepas Jatuh Bilik Air

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bergambar kenangan bersama keluarga pelakon komedi terkenal filem Melayu S. Shamsudin (duduk, dua kiri) ketika berkunjung ke rumah pelakon komedi itu di Singapura Sabtu lalu. Turut hadir rakan seniman pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Datuk Aziz Satar (berdiri, dua kiri). - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pelawak veteran terkenal S. Shamsudin, 81, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Alexandra di sini hari ini selepas terjatuh di bilik air pada malam Sabtu lalu.

Ketika mStar Online menghubungi rakan baiknya, pelawak veteran tersohor Datuk Aziz Sattar, dia berkata Shamsudin terjatuh daripada bilik air sehingga menyebabkan tulangnya retak.

“Waktu dia (Shamsudin) jatuh tulang dia dah retak. Lagipun, faktor usianya juga menyebabkan dia kritikal.

“Anaknya juga beritahu ayahnya itu akan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Aziz, dia baru sahaja menziarahi sahabatnya itu bersama-sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok, Singapura pada Sabtu lalu.

Rais menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Shamsudin daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas.

“Saya baru sahaja melawat dia pada Sabtu lalu. Tetapi dia jatuh pada malam selepas kami datang ke rumahnya.

“Doktor ada maklumkan kepada anaknya, kalau dia tak stabil dalam satu hingga dua jam ini, pihak hospital akan minta isteri dan anak-anaknya datang ke hospital,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dia akan memaklumkan perkembangan lanjut tentang Shamsudin selepas ini.

Shamsudin adalah pelakon komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham A. R Tompel dan Datuk Aziz Satar. Dia telah berlakon dalam lebih 30 buah filem.

Anak kelahiran Singapura ini mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama P.Ramlee dan Aziz dalam filem Bujang Lapok.

Kisah Shahidan Baba dan 40 orang ulamak

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA



Ahli Majlis Tertinggi Umno, Shahidan Kasim agaknya tersilap kerana menggunakan angka 40 untuk menggambarkan jumlah ulamak muda yang kononnya menyertai Umno. Ia menjadi bahan gelak ketawa satu Malaysia kerana bunyinya hampir sama dengan ‘Kisah Ali Baba dan 40 Orang Penyamun’.

Sukar untuk dipercayai bagaimana 40 orang ulamak berkelulusan PhD dan Master di bidang agama boleh tersesat haluan untuk menyertai parti sekular berteraskan asobiyah, sedangkan Rasulullah SAW mengisytiharkan bahawa orang yang berjuang atas dasar asobiyah “Bukan dari golonganku.”

Bagaimanapun sebagai rakyat yang cerdik setelah berpuluh tahun dipermainkan oleh media-media talibarut BN, kita janganlah begitu mudah mempercayai propaganda yang dilakukan mereka. Ternyata dalam isu 40 ulamak muda sertai Umno ini, ia tidak lebih dari sebuah lagi babak pembohongan untuk terus memperbodohkan rakyat.

Sebenarnya ‘kumpulan’ yang menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan minggu lalu hanya terdiri dari 16 orang. Antara yang ada profail dalam kumpulan itu ialah ketuanya, Dr. Fadlan Mohd Othman serta dua anak bekas Mufti Perlis. Itu sahaja. Selain dari itu (di kalangan 16 orang) mereka adalah terdiri dari ahli Persatuan Al-Islah Perlis yang pergi untuk berjumpa Najib bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

Salah seorang dari mereka yang mukanya terpampang dalam semua media kononnya menyertai Umno ialah Ustaz Wahab Abdullah. Dia adalah orang PAS tulen yang mengajar di sekolah PAS di Jejawi. Dia sama sekali bukan pergi untuk serah borang Umno, tapi untuk membersihkan nama persatuannya dari dilabel sebagai pengganas. Begitulah nasib semua rakan-rakannya yang lain yang menyertai rombongan bertemu Najib itu. Saya tidak tahu untuk mencari apa istilah untuk menggambarkan betapa busuknya permainan Umno dan media tali barut mereka.

Taktik inilah yang digunakan sejak berpuluh tahun. Jika seorang ahli PAS sertai Umno, maka media mereka akan melaporkan berpuluh-puluh orang. Jika dua orang masuk Umno, maka angka itu akan berganda menjadi beratus-ratus.

Siapakah Fadlan ketua kumpulan ulamak muda Umno itu? Media talibarut BN melaporkan kononnya dia pensyarah UKM. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad telah menghubungi rakannya pensyarah senior UKM, untuk bertanya siapakah Fadlan? Malangnya rakannya yang sudah lama bertugas tidak kenal ‘rakan sefakulti’nya itu. Tidak mustahil jika dia sebenarnya baru diberi jawatan pensyarah kerana menjadi pak sanggup mengepalai ulamak muda mengisytiharkan diri menyertai Umno.

Seorang dua ulamak menyertai Umno bukanlah pelik sangat. Umno sentiasa ada stok ulamak, walaupun segelintir. Alim atau berilmu adalah satu sifat manusia. Namun lurus bendul, takut, jahat, hubbudunya (gila dunia) adalah satu sifat yang lain. Maka alim dan campuran mana-mana salah satu watak kedua boleh terangkum dalam satu personaliti ulamak. Sebab itulah lahirnya ulamak ussuk, sebagaimana yang diberitahu oleh Rasulullah SAW, iaitu ulamak yang sanggup menjual kebenaran demi untuk habuan dunia. Apabila Rasulullah SAW mengakui akan kewujudan golongan tersebut, maka yang hendak dihairankan.

Di peringkat permulaan isu ini dimainkan, kononnya bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin akan turut serta bersama rakan-rakan yang sealiran dengannya. Maka tercetuslah andaian bahawa mereka mahu ‘menyelamatkan diri’ selepas dicop pengganas oleh pihak keselamatan. Tidak semena-mena tiba-tiba aliran yang sepandangan dengan Wahabi dianggap pengganas. Dalam satu taklimat tertutup anjuran Kementerian Dalam Negeri beberapa individu dan kumpulan dicop sebagai pengganas. Antaranya kumpulan (yang dinamakan) Wahabi yang dikaitkan dengan Dr. Mohd Asri.

Dicop pengganas bukan sesuatu yang menakutkan. Tapi yang ditakuti oleh kebanyakan rakyat Malaysia apabila dicop pengganas ialah Akta Mat Isa yang mengizinkan seseorang dipenjara tanpa bicara.

Jika kumpulan ini adalah antara yang menyertai Umno, maka mereka bertindak bukan kerana benarnya perjuangan Umno tetapi kerana muslihat tertentu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut tersenarai sebagai pengganas JI, tetapi tuduhan itu tidak menjadi kudis kerana beliau mempunyai organisasi yang besar dan kuat untuk mematahkan segala fitnah jahat yang dilemparkan oleh kerajaan Najib. Malang bagi kumpulan yang sealiran dengan Dr. Mohd Asri yang turut dicop pengganas kerana mereka tiada kekuatan seperti PAS untuk menangkis serangan. Pergi menyondol Umno mungkin strategi yang difikirkan baik bagi mereka. Namun tidak semua yang menyondol itu terus menjadi penganut perjuangan Umno.

Sewaktu pertubuhan Al-Arqam diharamkan, para pemimpin dan ahli-ahlinya diburu; orang kanan Ustaz Ashaari Muhammad iaitu Abdul Halim Abbas mengisytiharkan diri menyertai Umno. Dia mendapat perlindungan politik dalam Umno, sekalipun dia tidak pernah mempercayai aqidah perjuangan Umno.

Apa hal sekalipun, selepas ini Umno akan terus menjaja ke seantero dunia bahawa kononnya parti asobiyah sekular tua itu mendapat sokongan dari alim ulamak. Cuma kesukaran yang akan dihadapi oleh Umno ialah membawa golongan ulamak ini berkempen di atas pentas politik Umno dalam pilihanraya. Masa itu baru mereka menerima hakikat bahawa tiada orang alim sejati yang mahu ikhlas bersama Umno.

Bagi Shahidan Kassim yang mempelopori cerita 40 ulamak sertai Umno, hanyalah tindakan politik yang beragenda di saat beliau sudah tidak diterima lagi dalam arus perdana Umno.

Seronok juga kalau P. Ramlee ada. Dia boleh bikin satu filem baru kisah ‘Shahidan Baba Dan 40 Orang Ulamak’.

Jerman tundukkan England 4-1

Thomas Mueller (R) of Germany celebrates scoring with team mate Mesut Oezil (L)
BLOEMFONTEIN 27 Jun - Jerman melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya selepas menundukkan England 4-1 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Free State, sebentar tadi.

Thomas Mueller muncul wira Jerman apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-67 dan 70 sementara Miroslav Klose dan Lukas Podolski masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-20 dan ke-32.

Gol tunggal England disumbangkan Matthew Upson pada minit ke-37.

Jerman akan bertemu pemenang antara Argentina dan Mexico pada peringkat suku akhir. - Agensi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.