Yusof Nor Didesak Dedah Pendapatan Terajui Felda

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Selepas cubaan pertamanya gagal, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah sekali lagi mendesak Tan Sri Mohd Yusof Nor agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Bagaimanapun Sivarasa menegaskan beliau tidak akan membuat pendedahan itu terlebih dahulu, tetapi mahu Yusof sendiri menjelaskan jumlah sebenar pendapatannya.

Sivarasa berkata, Yusof (gambar) sepatutnya mendedahkan ganjaran yang diterima kerana beliau bekerja dengan sebuah agensi ditubuhkan dengan menggunakan dana rakyat.

“Felda adalah badan berkanun yang ditubuhkan dengan menggunakan wang rakyat, jadi sebagai seorang pengerusi beliau (Yusof) patut dedahkan pendapatan tahunannya kepada umum terutamanya kepada peneroka.

“Lagipun ia sudah menjadi amalan biasa seorang pengerusi yang bekerja dengan badan berkanun dedahkan pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata pendedahan itu penting kepada peneroka untuk mengetahu ganjaran sebenar yang diterima Yusof selaku pengerusi Felda.

“Jumlah ganjaran yang saya nak tahu termasuk gaji, elaun dan faedah yang diperoleh beliau setiap tahun.

“Saya cuma nak tahu jumlah sebenarnya yang saya pasti bukan hanya saya tapi rakyat lain juga ingin mengetahuinya.

“Jadi saya harap beliau dapat memberikan jumlah tepat tersebut bukan kata jumlah lebih kecil daripada RM2 juta,” katanya.

Pada Sabtu lalu Sivarasa mencabar Yusof agar mendedahkan kepada umum jumlah ganjaran yang diterima beliau selaku Pengerusi Felda.

Sivarasa mendakwa maklumat diterima pihaknya menunjukkan Yusof memperoleh pendapatan mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan juga elaun.

Namun Yusof yang dihubungi The Malaysian Insider menafikan jumlah tersebut dan mengatakan pendapatan tahunannya selaku Pengerusi Felda adalah jauh lebih kecil berbanding jumlah didakwa Sivarasa.

Yusof bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar pendapatan beliau.

“Beliau (Yusof) seolah-olah nampak marah apabila ditanya soal pendapatan tahunannya. Jadi saya minta beliau supaya tidak terlalu sensitif.

“Sebelum ini beliau tuduh kita paksa peneroka bayar RM500 kepada peguam sebagai kos khidmat.

“Tapi kita telah pun menjawab tuduhan itu jadi mengapa beliau juga tidak boleh berikan jawapan kepada soalan yang saya ajukan kepadanya?,” kata Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang.

Perkara ini ditimbulkan di sebalik dakwaan PKR bahawa Felda akan muflis manakala lebih 700 peneroka dari dua Felda menyaman agensi persekutuan RM200 juta berhubung isu penipuan dalam kiraan perahan minyak sawit.

Dua bulan lalu Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa aliran wang tunai semasa Felda telah merosot berbanding lima tahun lalu.

“Jadi saya harap Yusof dapat memberikan jumlah tepat tersebut bukan hanya kata jumlah lebih kecil daripada RM2 juta.

“Saya nak dengar jawapan daripada beliau bukan orang lain. Saya akan terima jumlah yang dikatakan beliau,” tegas Sivarasa lagi.

1 comments:

  1. buah yg cantik diluar tak semestinya baik isi didlm. nampak macam bagus, baik, lembut tapi.... ramai yg tertipu oleh penampilan dan rupa paras. hanya yg menggunakan akal dapat membezakannya. berhati2 supaya tidak terpalit dgn dosa yg tidak kita lakukan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.