Sime Darby Terus Menjunam Catat Penurunan 43% Untung

KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Kerugian dalam unit minyak dan gas dan kejuruteraan menyebabkan konglomerat Sime Darby Bhd mencatatkan penurunan 43 peratus dalam keuntungan sebelum cukainya kepada RM1.74 bilion bagi tahun yang berakhir pada 30 Jun, 2010, berbanding RM3.07 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat menjunam sebanyak 98 peratus kepada RM25.04 juta berbanding RM1.107 bilion pada suku yang sama 2009, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian selepas cukai RM53.3 juta dalam suku keempat berbanding keuntungan RM1.009 bilion sebelumnya.

Pendapatan tahun penuh meningkat kepada RM32.95 bilion daripada RM31.013 bilion manakala pendapatan bagi suku keempat naik kepada RM9.21 bilion daripada RM7.53 bilion.

Mengumumkan keputusan itu di sini, hari ini, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Bakke Salleh berkata kumpulan itu telah mengenal pasti masalah dalam perniagaan minyak dan gas dan menanganinya bagi memulihkan perniagaan.

Beliau berkata kumpulan itu akan menumpukan untuk memulihkan bahagian Tenaga dan Utiliti di mana perniagaan minyak dan gas berada di bawahnya, memaksimumkan potensi dalam semua perniagaan teras, menyemai budaya prestasi tinggi dan mengkaji semula campuran portfolio.

“Banyak lagi yang kami boleh lakukan dalam perniagaan perladangan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.

“Bagi perniagaan hartanah kami akan menumpukan kepada bagaimana kami boleh meningkatkan margin bagi projek pembangunan hartanah di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kumpulan itu juga mencadangkan dividen akhir tiga sen sesaham menjadikan jumlah dividen bagi tahun itu kepada 10 sen sesaham.

Bahagian tenaga dan utiliti di mana minyak dan gas dan kejuruteraan merupakan perniagaan utama, mencatatkan kerugian operasi RM1.752 bilion bagi tahun kewangan 2010 selepas membuat peruntukan tambahan RM777.3 juta bagi suku keempat.

Termasuk peruntukan RM1,308.4 juta sehingga suku ketiga, jumlah peruntukan bagi kerugian dan susut nilai dapat dijangka bagi tahun penuh berjumlah RM2,085.7 juta.

Peruntukan tambahan berjumlah RM777.3 juta berkait dengan tiga projek minyak dan gas iaitu Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan Marine dan termasuk peruntukan dan susut nilai aset-aset lain. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.