Kawasan Penemuan Baru Lembah Bujang Dicalon Tapak Warisan Dunia

KUALA LUMPUR: Kawasan penemuan baru tamadun Lembah Bujang di Kedah, bukti tamadun terawal di Asia Tenggara, akan dicalonkan sebagai tapak warisan dunia dalam setahun dua akan datang.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Mohd Mokhtar Saidin berkata, usaha pihaknya dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu perlu dibangunkan dengan teratur.

Katanya, ia supaya bahan-bahan yang ditemui di Sungai Batu di situ dapat dipamerkan dengan menggunakan teknologi terkini selain mampu menarik minat orang ramai.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Lembah Bujang dan Tamadun Awal di Asia Tenggara di sini, Selasa, katanya, masyarakat perlu berbangga dengan penemuan baru itu kerana ia menggambarkan satu tamadun asal yang cukup kuat dengan struktur sosial yang tersusun dan berteknologi tinggi.

Menurut beliau, berdasarkan 10 daripada 87 tapak yang telah dibuka, pihaknya telah menemui dua pusat peleburan besi, tiga jeti yang dibina di tepi sungai dan sebuah bangunan ritual yang masih lengkap, di samping beberapa struktur yang tidak lengkap seperti dewan dan stor. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.