Mashitah Rasmi Mesyuarat Wanita UMNO Jerlun Ulas Jakim akan teliti semula program ESQ

JERLUN, 9 Julai —Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dahulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu.

"Kita akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga, jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak, jika benar ada penyelewengan yang berlaku, kita terpaksa ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Katanya, Jakim juga mempunyai rekod berhubung program yang dikendalikan ESQ.

"Program itu masih diteruskan dan hari ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada ia sah atau halal kerana selepas ini, kita tidak tahu apa yang mereka buat, jadi kita akan memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Mashitah berkata beliau percaya keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul ESQ bagi membimbing atau mengelakkan pemesongan akidah.

"Masyarakat kita memang mudah sangat terikut dengan sesuatu perkara, tambahan pula perkara yang melibatkan kesedaran akidah. Tetapi kita perlu menjaga supaya ia tidak terseleweng daripada akidah.

"Kita akan ambil langkah awal untuk mengelakkan perkara itu berlaku kerana ia boleh melibatkan penyelewengan akidah yang lebih dahsyat jika dibiarkan," katanya. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.