Harakah Jawab Surat Tunjuk Sebab KDN Petang Tadi

Lidah rasmi PAS, Harakah hari ini menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaafar yang juga ahli parlimen Tumpat berkata surat itu diserahkan oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran di KDN, Abdul Razak Abdul Latif di Putrajaya pada jam 3.30 petang.

"Surat jawapan itu ditandatangani saya memandangkan ia ditujukan kepada saya semalam. Dalam jawapan itu, kami menjawab semua isu yang dibangkitkan," katanya.

Semalam, KDN menghantar surat tunjuk sebab berhubung tiga perkara iaitu lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan iaitu di pejabat dan markas PAS sahaja.

Mengenai permit penerbitan Harakah yang tamat dua hari lalu, Kamaruddin berkata akhbar berkenaan masih dicetak dan diedarkan hari ini memandangkan pihaknya telah membuat permohonan memperbaharui permit.

"Biasanya, sementara menunggu keputusan KDN mengenai pembaharuan permit sepertimana penerbitan lain, kami dibenarkan membuat penerbitan sehingga keputusan permohonan diperolehi," katanya.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.