PM Najib: Umno tidak perlukan PAS

Najib berkata bahawa Umno mempunyai kekuatan sendiri. — gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Julai — Datuk Seri Najib Razak berkata Umno mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.

Perdana Menteri dan Presdien Umno itu berkata PAS harus menghormati Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang merupakan satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.

Beliau berkata tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan Umno dalam hal tersebut.

“Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan lagi sebab Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telahpun membuat kenyataan. Saya rasa cukuplah dengan kenyataan tersebut.

“Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan komitmen serta kesediaan Umno untuk bertemu dan menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara Umno dan PAS dapati dicapai.

Mengulas lanjut, Najib berkata sama ada kerjasama antara Umno dan PAS itu menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.