Kudus, MPAJ cuba selesai isu 'pecat' luar mahkamah

Pengarah penguatkuasa yang dipecat Kapt (B) Abdul Kudus Ahmad dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang berusaha untuk menyelesaikan isu pemecatan beliau di luar mahkamah dalam tempoh dua minggu.

Jika mereka gagal, Mahkamah Tinggi pada 19 dan 20 Ogos akan mendengar saman yang difailkan oleh Abdul Kudus terhadap MPAJ, kata peguam Abdul Kudus, M Manoharan.

Peguam kedua-dua pihak bertemu dengan Hakim Noor Azian Shaari untuk pengurusan kes hari ini.

Pada 7 Jun 2006 Abdul Kudus menfail saman terhadap pemecatan beliau oleh lembaga disiplin MPAJ pada 11 Jun 2003, dengan mengatakan bahawa ia tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.

Katanya, beliau dan MPAJ menyetujui perjanjian supaya beliau menjadi pegawai penguatkuasa selama tiga tahun mulai 15 Januari 2001, namun lembaga disiplin itu menamatkan perkhidmatannya berdasarkan kepada bukti dengar cakap, dan mendakwa bahawa seorang menteri menfitnah beliau menerusi akhbar tempatan.

Abdul Kudus yang mengatakan bahawa beliau tidak diberi peluang untuk membuat rayuan, meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau masih seorang pegawai penguatkuasa dan berhak untuk mendapat gaji tertunggak serta faedah dan ganti rugi am.

MPAJ dalam pembelaannya berkata bahawa pemecatan itu dibuat mengikut undang-undang.
Pada 30 Jun lalu Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhi hukuman terhadap Abdul Kudus, 47, penjara selama tempoh 11 tahun dan 10 bulan serta denda RM370,000 terhadap 24 kesalahan menerima rasuah berjumlah RM59,000.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dijangka mendengar rayuannya pada 23 Julai.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.