Majlis fatwa: Kursus ESQ boleh dilaksanakan

Muzakarah khas jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam Malaysia memutuskan kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Datuk Abdul Shukor Husin berkata, bagaimanapun ia harus dilaksanakan di bawah pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah ESQ yang direstui Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

Katanya, keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur keraguan dalam kursus itu boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Berita Harian pada 9 Julai lalu melaporkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menandatangani warta yang mengharamkan program motivasi ESQ mengikut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan 1953), selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Mengikut warta yang dikeluarkan, ia diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami dan mentafsir nas agama dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama.

Bagaimanapun, Ketua Panel Syariah ESQ Datuk Mustafa Abdul Rahman yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula dilaporkan menyangkal dakwaan wujud unsur penyelewengan dan kesesatan dalam program syarikatnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.