Giatkan Kempen Penyatuan Melayu - Apa Akan Jadi Dengan 1Malaysia?? Sepatutnya Islam For All



Gambar yang dipaparkan pada halaman 9 Utusan Malaysia semalam begitu menyentuh perhatian saya dan mudah-mudahan orang Melayu amnya. Gambar yang diberikan judul “SENADA” itu memperlihatkan perbincangan mesra tanpa mengira batas politik di antara Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, yang juga Ketua Pemuda MCA dengan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta dua wakil rakyat DAP yang lain.

Sejak akhir-akhir ini banyak yang telah diperkatakan tentang isu perpaduan dan kerjasama orang Melayu.

Tanpa mengira fahaman dan pegangan politik masing-masing, orang Melayu sedar dan yakin bahawa untuk kuat dan mengekalkan kuasa politik, satu-satunya kuasa yang masih dimiliki tetapi semakin terlucut, orang Melayu tiada pilihan melainkan bersatu.
Namun demikian hasrat itu masih belum menjadi realiti. Susah sangatkah untuk bersatu demi bangsa dan juga pastinya agama?

Peri sukarnya orang Melayu untuk bersatu sehinggakan terpaksa mewujudkan puluhan badan bukan kerajaan (NGO) dengan yang terbaru dan paling kontroversi, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hasil inisiatif Datuk Ibrahim Ali.

Malangnya, Perkasa bukan sahaja amat dicemburi dan digeruni oleh kaum lain terutama Cina, akhir-akhir ini orang Melayu pun sudah mulai membenci pertubuhan itu. Apa nak jadi dengan orang Melayu?

Banyak NGO yang diasaskan oleh kaum lain tetapi tidak pula dilihat menerima cemuhan terbuka daripada kaum masing-masing.

Tidak cemburukah kita menatap gambar yang tersebut tadi? Apa pun pegangan politik mereka, masyarakat Cina harus dicemburui kerana mereka mempunyai matlamat yang sama dan tidak salah untuk mengesyaki bahawa di belakang tabir, mereka sebenarnya cukup mesra dan matang berpolitik.
Kesukaran untuk mengamalkan prinsip “biduk lalu kiambang bertaut” ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu sudah jauh terpisah daripada akar hati budi warisan nenek moyang.

Semenjak dahulu kala lagi telah dipesan supaya orang Melayu bersatu dan jangan berpecah-belah kerana “bersatu teguh bercerai roboh”.

Dalam hubungan kemasyarakatan, jika sesuatu bangsa itu mahu terus relevan dan mengekalkanstatus quo masing-masing, prinsip-prinsip yang berasaskan kosmologi tradisi itu tidak boleh dilanggar sama sekali.

Orang Cina faham hal itu tetapi orang Melayu masih tidak sedar-sedar. Benarlah seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, “Melayu mudah lupa.”

Rakyat Melayu yang melata di bawah ini tidak tahu apa sebenarnya yang masih membelenggu para pemimpin Melayu daripada usaha untuk bersatu.

Tidak cukup dengan pesanan warisan tradisi, beberapa kegawatan dan keruntuhan yang berlaku di negara luar ketika ini juga sepatutnya dijadikan iktibar.

Lihat sahaja Palestin yang terus diganyang Israel. Bersusah payah kita menghantar bantuan hingga menjejaskan nyawa rakyat kita sendiri, Israel masih berani kerana mereka tahu Palestin berpecah-belah kepada Hamas dan Fatah.

Negara-negara Arab di sekeliling Palestin pun dilihat seperti tidak mahu campur tangan lagi kerana bosan dengan tingkah laku para pemimpin Palestin sendiri.

Iraq dan Afghanistan juga contoh terbaik untuk melihat bagaimana permusuhan sesama bangsa menyebabkan negara dengan sewenang-wenang diperlakukan oleh tentera kuasa-kuasa besar kononnya atas misi membanteras keganasan atau sebagai tentera pengaman.
Perkara yang harus diinsafi setiap pemimpin ialah apabila “gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah”.

Rakyat yang menerima bahananya, negara hancur dan maruah agama tercalar.
Sudah sampai waktunya, kempen penyatuan umat Melayu ini digiatkan. Biarlah para pemimpin Melayu yang masih mabuk kuasa itu fana dalam dunia mereka.

Media terutamanya seperti Utusan Malaysia yang berperanan sebagai penyebar fikiran rakyat wajib memainkan peranan utama dalam kempen ini.

Lebih banyak pandangan orang Melayu wajar dipaparkan sama ada dalam bentuk tulisan atau visual dengan harapan para pemimpin tegar jumud itu akan sedar diri akhirnya.
Jika mereka tidak mahu sedar juga, tunggulah satu undi rakyat yang akan menentukan kedudukan mereka. Segeralah bersatu sebelum “nasi menjadi bubur”.

— Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.