BN: Kerajaan Selangor cipta kerja untuk kawan-kawan...

Peruntukan di dalam Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 dikhuatiri akan memberi peluang kepada anggota kerajaan negeri itu melantik kroni mereka ke jawatan pegawai maklumat dan ahli lembaga rayuan, kata wakil pembangkang dalam sesi perbahasan rang undang-undang itu hari ini.

Ismail Sani (BN-Dusun Tua) berkata beliau bersama wakil BN lain cenderung menyimpulkan demikian memandangkan pelantikan ke jawatan berkenaan dibuat melalui pihak berkuasa negeri.

"Cuba kita lihat Bahagian II, Perlantikan Pegawai Maklumat (3) menyebut 'Pihak Berkuasa Negeri bolehlah melalui Warta melantik Pegawai Maklumat bagi setiap jabatan.' Sudah tentu pegawai maklumat dilantik akan dibayar gaji oleh kerajaan negeri, jabatan atau agensi kerajan berkaitan.

"Kemudian kita lihat pula Perkara (16) menyebutkan 'ahli Lembaga Rayuan hendaklah dibayar, daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri, elaun yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.'

"Ini membuktikan ”sudah terang lagi bersuluh”, enakmen ini hanyalah satu lagi daripada sekian banyak mekanisme kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk beri kerja pada kawan-kawan dalam parti," katanya.

Beliau juga mencabar kerajaan negeri supaya memberi jaminan bahawa pelantikan pegawai berkenaan bebas daripada pengaruh politik.

"Mungkin kerajaan negeri pun tak tahu hendak beri peluang kepada rakan-rakan politik mereka. Nak beri lombong pasir asyik kena serbu dan berebut-rebut sesama sendiri. Nak beri kerja kontrak pun terhad. Maka ciptalah pelbagai badan dan mekanisme untuk memberi ruang dan peluang kepada pendukung-pendukung parti bekerja dan mendapat ganti habuan politik," katanya.

Katanya lagi, undang-undang tersebut bakal memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan sesuatu maklumat sulit kerajaan bagi tujuan politik.

"Cuba bayangkan menteri besar ”mengkelaskan semula” sesuatu maklumat secara senyap-senyap, kemudian meminta mana-mana pihak (rakyat) dari parti politik dukungan beliau datang meminta maklumat tersebut.

"Maka dia dapat maklumat tersebut yang seolah-olahnya telah dikelaskan dan mudah diperolehi dek kerana adanya ”Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010” ini.

"M
alah beliau boleh pula berpakat dengan mana-mana pihak untuk mencungkil maklumat tertentu dan untuk memburukkan tentang sesuatu perkara demi matlamat politik parti beliau," katanya ketika membahaskan rang undang-undang tersebut hari ini.

Katanya lagi, menteri besar juga mungkin boleh menggunakan bidang kuasanya untuk menolak permohonan daripada penyokong pembangkang daripada mendapatkan maklumat tertentu.

"Cuba bayangkan pula ada rakyat dari parti politik yang bertentangan dengan menteri besar meminta suatu maklumat yang diklasifikasikan berhubung dengan tindak tanduk kerajaan sekarang, maka tentulah kurang cerdik kalau menteri besar mengklasifikasikannya.

"Lagipun jelas dalam enakmen bahawa ”pegawai maklumat” boleh menolak mana-mana permohonan dengan apabila (a) pemohon tidak berhak untuk mengakses maklumat” yang nyata boleh membuat alasan tersebut mengikut budi bicara untuk menolak sebarang permohonan," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.