Ali Yahaya: 'Mereka Tidak Dapat Terima Kekalahan' Perebutan Jawatan UMNO Bahagian Sg. Petani

Ketua Umno Sungai Petani, Ali Yahaya berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli di peringkat umbi di bahagian berkenaan.

Sebaliknya, beliau mendakwa, masalah tersebut ditimbulkan oleh pihak dalam Umno itu yang kalah dalam pemilihan kepimpinan peringkat bahagian pada 2008.

"Mereka yang kalah itu tidak dapat menerima kekalahan, mungkin kerana sudah terlalu lama duduk di atas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dalam pemilihan tersebut, Ali yang tidak memegang sebarang jawatan di peringkat bahagian itu, berjaya merebut jawatan ketua bahagian daripada penyandangnya, Abu Bakar Ahmad.

Keputusan tersebut dikatakan tidak disenangi oleh beberapa pihak di peringkat akar umbi di bahagian itu.

Persidangan perwakilan bahagian itu pada 11 Julai lalu, kecoh apabila sebahagian besar perwakilan tidak membenarkan Ali berucap di majlis perasmian.

Kekecohan hampir 45 minit itu bermula kira-kira pukul 9.30 pagi selepas bacaan doa dan nyanyian Negaraku, apabila seorang anggota jawatankuasa bahagian, Mohd Yusuf Lazim bangun menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Ali dan mahu beliau melepaskan jawatan.

Keadaan bertambah kecoh apabila lebih ramai perwakilan bangun termasuk anggota Wanita meminta Ali berundur sehingga menyebabkan pertikaman lidah antara perwakilan dengan penyokong Ali.

Menurut Mohd Yusof, Ali tidak layak menjadi ketua bahagian kerana menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kepimpinan parti termasuk tindakannya tidak disenangi banyak pihak dan agensi kerajaan.

Malah naib ketua bahagian, Datuk Firdaus Zakaria dan ketua Puteri Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang berada di atas pentas turut turun menyertai perwakilan meminta Ali berundur.

Bekas setiausaha Umno bahagian Sungai Petani, Mohd Akhir Shafie mendakwa lebih 60 peratus daripada perwakilan yang hadir mahu Ali melepaskan jawatan.

Ekoran itu, mesyuarat Majlis Tertinggi Umno memutuskan supaya pengurusan bahagian Sungai Petani diambil alih badan perhubungan negeri.

Mengulas lanjut, Ali berkata mereka sepatutnya menerima keputusan pemilihan tersebut.

"Peraturan kata dah menang... menanglah. Apa pun tunggulah pemilihan yang akan datang.

"Saya juga tiada masalah dengan ahli-ahli di peringkat umbi," katanya.

Ali juga berkata, pihaknya juga telah menangguhkan cadangan untuk mengadakan majlis perpaduan antara seluruh kepimpinan dan ahli di bahagian tersebut.

"Kami menangguhkan majlis tersebut sebagai menghormati keputusan Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.

"Kami sedang menunggu arahan terkini daripada badan perhubungan Umno negeri. Kami tak mahu timbulkan kontroversi," katanya.

Ali juga menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang majlis tersebut dirancang bertujuan untuk menjelaskan berhubung kekecohan yang berlaku di mesyuarat perwakilan bahagian itu pada 11 Julai lalu.

1 comments:

  1. Apa yang dinyatakan oleh Ali kepada pihak Media semuanya bohong belaka. Untuk makluman semua pihak Puan Shahanim dan Encik Mohd Yusuf Lazim adalah penyokong kuat Ali Yahya sebelum ini semasa pemilihan yang lepas. Mereka adalah orang yang kuat bekerja membantu rakyat. Disebabkan oleh kecemburuan Ali Yahya terhadap mereka berdua ini maka Ali Yahya telah melucutkan jawatan Pengerusi Biro Kebajikan drp En Yusof Lazim (tanpa sebarang alasan) yang telah bekerja utk parti UMNO Sg Petani tanpa meminta sebarang imbuhan. Begitu juga Pn Shahanim telah berkorban membantu ramai masyarakat Sg Petani. Begitu juga Timbalan dan Naib Ketua dan juga Ketua Wanita (pada dasarnya tidak menyukai Ali Yahaya) dan Ketua Pemuda (nasib baik orang kampong, kalau tidak mmg beliau juga tidak mahu Ali Yahya). Kini hanya yang hanya menyokong Ali Yahya dari kalangan jawatankuasa UMNO Bhg adalah kaki pembodek yang mengharapkan projek pemberian terus drp Ali Yahya, pemfitnah dan kakitangan Kemas, Jasa, Tekun yang terpaksa menyokong pasal hendak mengekalkan jawatan mereka di agensi2 tersebut. Boleh dikatakan hampir 90% agensi kerajaan persekutuan di Negeri Kedah tidak mehu Ketua penyombong dan ego seperti Ali Yahya. En Abu Bakar Ahmad bukannya Ketua Bahagian sebelum Ali Yahya (sblm itu Dato Mahadhir Khir). Oleh itu diistiharkan statement Ali Yahya adalah satu pembohongan.....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.