Akhirnya SPRM Terima Afidavit Bala Setelah Puas Berdalih

Oleh Sidiqin Omar

PUTRAJAYA 23 Julai - Setelah drama yang dimainkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Jaya yang membatalkan sesi mengambil keterangan dari bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam di London awal Julai lalu, akhirnya agensi kontroversi tersebut terpaksa akur dan menerima respons kepada 52 soalan yang dikemukakan kepada Bala berhubung kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Semalam tiga peguam kepada Bala - Americk Sidhu, Manjeet Singh Dhillon dan Amerjit Singh - tiba di SPRM kira-kira pukul 2.45 petang dengan diiringi seorang pengawal peribadi untuk menyerahkan afidavit tersebut yang telah diakui dihadapan notari di London dan di bawa pulang oleh Manjeet malam Isnin lalu.

Americk bersama dua orang rakannya dilihat keluar daripada ibu pejabat SPRM hampir sejam kemudian.

"Kita telah hantar dokumen berkenaan dan mereka telah pun menerimanya. Ia merupakan satu pertemuan yang santai dan mereka kelihatan sangat berminat dan memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan memberikan komitmen untuk menyelesaikan kes tersebut dengan secepat mungkin," kata Americk yang ditemui di perkarangan ibu pejabat SPRM.

Dokumen tersebut merupakan jawapan dalam bentuk afidavit kepada soalan yang dikemukakan kepada Bala yang dihantar melalui perkhidmatan kurier, selepas SPRM membatalkan rancangannya untuk ke London bagi menyiasat secara langsung penyiasat persendirian yang dijadual pada 5 hingga 7 Julai lalu.

Americk berkata semua saksi berkaitan kes tersebut telah disoal siasat, dan Bala merupakan saksi yang terakhir.
Beliau menjelaskan afidavit ini tidak ada kaitan dengan perjalanan kes siasatan komisyen pembelian kapal selam Scorpene di Perancis, tetapi pada masa yang sama mampu membantu SPRM dalam penyiasatan kes berkenaan.

"Kita ambil masa tiga hari untuk jawab soalan itu. Ia telah dijawab dan kita bahkan memberikan sedikit maklumat tambahan, berkenaan bayaran kepada Balasubramaniam," tambah Americk tanpa memberi butiran.

Ketika ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula oleh SPRM bagi membantu perjalanan siasatan, Americk berkata kemungkinan susulan dari jawapan yang diberikan, Bala akan dihubungi melaluinya untuk memberikan butiran lanjut.

"Sebelum ini pun, SPRM ada menyimpan dokumen dan maklumat dari keterangan Bala, jadi ia terpulang kepada SPRM untuk tindakan lanjut. Kita tunggu dan lihat," kata Americk.

Ditanya samada Bala akan kembali ke Malaysia, Americk tidak menolak kemungkinan tersebut, namun anak guam beliau akan hanya kembali sekiranya keselamatan diri dan keluarganya terjamin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.