Program Jelajah Anjuran UMNO Selangor Bakal disertai MP Bebas (Bekas PKR)

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Ahli-ahli Parlimen Bebas khususnya mereka yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal tahun ini akan menyertai program jelajah yang bakal dianjurkan Umno Selangor untuk mendedahkan “sandiwara” Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abd Shukor Idrus berkata, kehadiran wakil rakyat terbabit dapat memberi penerangan jelas kepada rakyat berhubung apa yang berlaku terutama membabitkan isu politik di Selangor.

“Hanya mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku, mereka ini pernah berada dalam parti terbabit seperti Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim (gambar) dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin,” kata beliau dipetik Umno Online hari ini.

Kedua-dua mereka sebahagian daripada anggota Konsensus Bebas yang ditubuhkan oleh lima wakil rakyat yang dahulunya merupakan pemimpin PKR.

Tiga yang lain ialah Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Shukor berkata melalui program ini Umno Selangor yakin dapat memberi penjelasan terutama membabitkan pembohongan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat Selangor supaya “rakyat tidak terus ditiipu dengan permainan mereka.”

Shukor berkata, program yang diadakan itu dijalankan secara berterusan sehingga pilihan raya umum ke-13.

Ia akan bermula di Selayang minggu ini.

Selain mengenai politik Selangor, kata beliau, penceramah terbabit akan menjelasakan tipu muslihat dan pembohongan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan cita-cita peribadinya.

“Ini adalah antara gerak kerja berterusan Umno Selangor dalam usaha memastikan Selangor berjaya ditawan semula oleh Barisan Nasional,” katanya.

Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata Umno Selangor akan mengadakan program jelajah seluruh Selangor mulai minggu ini bagi menjelaskan mengenai pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat terhadap rakyat di negeri itu.

Noh berkata, program itu diadakan rentetan kemelut terkini yang berlaku dalam PKR membabitkan Naib Presidennya Azmin Ali dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Apa juga masalah yang berlaku dalam PKR bagi kita itu sandiwara mereka. Kita tidak payah campur tangan supaya kita tidak akan terperangkap dengan taktik dan cara mereka.

“Yang penting kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa perkara itu berlaku semata-semata kerana nak tarik perhatian rakyat kepada PKR, supaya rakyat tidak lupa PKR.

“Ini kerana rakyat dah mula lupa mereka sebab mereka tidak dapat menunaikan janji kepada rakyat dan bangunkan Selangor,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak diumumkan sebagai Pengerusi PKR Selangor menggantikan Khalid berkuat kuasa serta merta oleh Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR.

1 comments:

  1. puak-puak yg tak ada parti...kalau buat roadshou sendiri, hanya depa lima orang saja yg dengar ceramah...bila katak bayan buat ucapan yg lain tepuk tangan....dan seterusnya....pemekiran depa ni tahap pak mat kedai kopi...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.