Sekitar Demo RUM: Kesatuan desak presiden KTMB berhenti, ETS dimansuh



Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTMB Abdul Razak Md Hassan (kanan) mengetuai tunjuk perasaan yang diadakan di pekarangan ibu pejabat KTMB, Jalan Sultan Hishamuddin petang tadi. —Gambar Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 7 Julai —Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) hari ini mendesak Dr Aminuddin Adnan meletakkan jawatan sebagai Presiden KTMB kerana didakwa gagal mencari jalan penyelesaian dalam isu penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS). Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata sepanjang tempoh 11 bulan berkhidmat dengan KTMB Aminuddin gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang presiden terutamanya dalam hal yang berkaitan KTMB.

“Dalam tempoh tersebut beliau (Aminuddin) telah menyebabkan berlaku penurunan produktiviti KTMB kerana sikap lepas tanganya yang tidak melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik.

“Selain itu beliau gagal menjaga hubungan keharmonian dalam RUM... jadi hari ini kita desak beliau meletakkan jawatan,” katanya kepada wartawan ketika piket di pekarangan ibu pejabat KTMB di sini.

Piket yang bermula pada pukul 5.30 disertai kira-kira 300 pekerja KTMB dari seluruh negara yang membantah penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai pengendali ETS.

Beliau berkata sikap Aminuddin yang enggan berbincang dengan kesatuan itu menyebabkan tiada kata sepakat dapat dicapai.

“Bila kita ajak berbincang mengenai isu ini beliau enggan duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian dengan memberikan pelbagai alasan.

“Kita mahu supaya ETS dibatalkan tapi beliau tetap enggan memberikan kerjasama. Malah kita telah memberikan satu surat kepadanya pada 2 Jun lalu dan kini selepas 30 hari tiada sebarang jawapan daripadanya.

“Jadi beliau tidak layak untuk memegang jawatan sebagai presiden. Ingin saya tegaskan di sini bahawa pintu rundingan sudah ditutup,” kataya.

Difahamkan langkah menjadikan ET sebagai anak syarikat untuk mengendalikan ETS akan menyebabkan faedah kesihatan pekerja dikurangkan, kehilangan elaun-elaun, jumlah cuti berkurangan dan sewa kuarters dinaikkan.

Pekerja-pekerja yang menyertai piket itu turut membawa poster seperti “Mendesak Presiden KTMB letak jawatan”, “Presiden KTMB ego dan degil”, Presiden KTMB dapat kebaikan atas kesusahan orang lain” dan “Presiden KTMB buat kerja ambil mudah”.

Walaupun hujan renyai-renyai piket diteruskan, malah pekerja-pekerja turut melaungkan “Presiden KTMB letak jawatan”.

Abdul Razak berkata sekiranya Aminuddin enggan meletak jawatan RUM mahu Kementerian Kewangan campur tangan dengan menilai kedudukan beliau melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Kami mahu pihak kementerian campur tangan dalam hal ini kerana RUM melihat Aminuddin tidak berkemampuan menjalankan tugas sebagai presiden.

“Beliau juga telah membazirkan wang KTMB dengan membuat banyak lawatan ke luar negara selain banyak menerima rungutan awam mengenai kelemahan operasi KTMB.

“Sejak beliau mengambil alih KTMB tida berlaku sebarang peningkatan dan kebaikan kepada KTMB, malah beliau sendiri tidak ‘punch card’ seperti mana yang dipraktikkan oleh pekerja,” katanya.

Piket tersebut berakhir kira-kira pukul 6.30 petang.

RUM yang mempunyai 3,600 ahli dijangka akan mengadakan satu lagi piket 21 Julai ini.

Aminuddin sebelum ini memberitahu bahawa penubuhan ET dilihat antara pelan transformasi dalam memastikan KTMB lebih berdaya saing, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, budaya kerja dan disiplin yang lebih cemerlang.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.