PM Najib tak wajar ketuai Perbendaraan, urusan dana lemah : Ku Li

Ku Li berkata Perdana Menteri tidak wajar memegang portfolio berasingan. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Masalah pengurusan kewangan membabitkan kerajaan dan beberapa agensi utama sejak kebelakangan ini berpunca daripada kelemahan elemen “check-and-balance” dan perdana menteri tidak wajar turut menyandang portfolio kewangan, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan berkata, perdana menteri sewajarnya memfokus tanggungjawab sebagai ketua barisan Kabinet, tanpa memegang portfolio lain dalam jemaah menteri demi memastikan keseimbangan fokus.

Beliau khuatir kedudukan semasa di mana perdana menteri turut mengetuai Perbendaharaan, yang diamalkan sejak lebih sedekad lalu, boleh membuka laluan kepada elemen lemahnya elemen sekatan dan imbangan dalam pengurusan dana awam.

Menjawab soalan yang dirujuk kepada kontroversi yang timbul berkaitan dengan Felda baru-baru ini, Razaleigh berkata, ia sepatutnya boleh dielakkan jika agens-agensi kerajaan seperti Felda diletakkan di bawah penyeliaan rapi Kementerian Kewangan.

“Pada masa-masa lalu, Kementerian Kewangan mengamalkan prosedur ketat dalam soal pelaburan. Keputusan pelaburan dilakukan oleh kami (Kementerian Kewangan)... tetapi kini dilakukan oleh agensi masing-masing,” katanya.

Amalan seorang perdana menteri turut memegang portfolio menjadi tradisi sejak selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 dan diwujudkan dua kerusi menteri kewangan.

Di bawah pendekatan ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Razak turut memegang portfolio Kementerian Kewangan.

Jelas Razaleigh, Felda yang sepatutnya berada di bawah penyeliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, tetapi diketuai oleh Perdana Menteri.

“Perdana Menteri memutuskan apa yang perlu dilakukan di Felda,” kata beliau dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.

Kelmarin, Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) mahu Parlimen menyiasat penyalahgunaan dana oleh Felda yang dikaitkan dengan kemerosotan rezab tunai lembaga itu.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, Anak juga akan bertemu dengan Razaleigh supaya mengetuai perkara ini di Parlimen.

“Kita akan menemui Tengku Razaleigh dan memintanya untuk memimpin perkara berkaitan Felda di Parlimen kerana berliau adalah seorang ahli politik veteran dalam Kabinet dan juga terlibat dalam pembangunan Felda,” kata Mazlan.

Pada 16 Jun lalu, kerajaan pusat secara terbuka mengakui simpanan tunai Felda telah merosot sehingga RM1.35 bilion tahun lalu berbanding paras RM4.08 bilion dimiliki pada 2004.

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa penurunan simpanan tunai bukan kerana salah urus Felda.

Kini, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan meneliti pihak pengurusan Sime Darby dan Pos Malaysia Berhad bagi memberi penjelasan berhubung kerugian kedua-dua syarikat itu.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM964 juta akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 Nov ini, telah diminta bercuti.

Pos Malaysia pula dilaporkan mengalami kerugian RM227 juta sejak beberapa tahun lalu.

PAC tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dengan Pos Malaysia.

Bagaimanapun minggu ini, Najib yang juga Menteri Kewangan mempertahankan Sime Darby dan Pos Malaysia berhadapan dengan masalah kewangan.

Mengulas pendiriannya, Razaleigh berpandangan bahawa perdana menteri tidak seharusnya memegang sebarang jawatan selain sebagai ketua Kabinet.

“... ini bukan amalan yang baik, perlu ada unsur sekatan dan imbangan,” kata Razaleigh.

Razaleigh juga berpendapat banyak agensi kerajaan seperti Felda dan syarikat-syarikat lain seperti Sime Darby kini berhadapan dengan krisis kewangan sebab tidak berada di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan.

Pengasas Petronas ini berkata, pentadbiran Najib seharusnya mengkaji semula amalan ini bagi membolehkan Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab penuh ke atas penggunaan dana kerajaan.

“Ketika masa saya (sebagai Menteri Kewangan), saya mengawal (penggunaan) wang, kesemua kontrak.

“Ketika itu, kesemua ketua (jabatan dan agensi awam) memberi saya taklimat apa yang mereka hendak lakukan dengan wang di pelbagai kementerian,” kata Razaleigh sambil menambah walaupun ia kelihatan birokrasi tetapi penyeliaan dapat dilakukan dengan baik.

Menurut pemimpin politk veteran ini, ketika era kepimpinan Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir, Kementerian Kewangan mempunyai kawalan ke atas perbelanjaan kesemua kementerian.

Jelas beliau, jika sesebuah kementerian hendak melantik kontraktor bagi sesuatu projek, mereka perlu berunding dengan Kementerian Kewangan dan kementerian akan memastikan sistem tender terbuka diamalkan sebelum projek diluluskan.

“Dan, apa sahaja diputuskan oleh Kementerian Kewangan perlu melalui Parlimen... sudah pasti dulu lebih terbuka kerana menteri kena melaporkan kepada Parlimen, kepada Kabinet,” katanya lagi.

Bagaimanapun menurut beliau, kini setiap kementerian boleh membelanjakan apa yang mereka mahukan.

“Tiada mekanisme yang betul untuk memastikan sekatan dan imbangan,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang ini ketika beliau menjadi menteri kewangan negara tidak berhadapan dengan masalah hutang.

“Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa kita tidak membazirkan wang rakyat,” kata beliau lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.