Mufti Perak Nak Satukan UMNO Dan PAS... Apa Yang Terjadi Di Perak Suatu Masa Lalu, Ada Campurtangan Si Mufti Ini????

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.

"Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.

"Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak anjuran Gagasan Melayu Perak di Ipoh hari ini.

Harussani berkata terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Bagaimanapun katanya, beliau telah menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Bagi mencapai perpaduan, beliau berkata pemimpin yang beragama akan memahami erti perpaduan yang akan membawa ke arah kebaikan.

"Adakah agama menganjurkan kita mengamalkan sikap degil. Sifat degil merupakan satu perbuatan keji dalam agama kerana ia tidak menguntungkan rakyat. Mereka perlu sedar perkara ini," katanya.

Semasa merasmikan majlis tersebut, Harussani berkata sekiranya umat Islam hanya setakat berbeza pendapat, ia merupakan rahmat kerana perbezaan itu boleh membawa kepada kemajuan.

"Namun kini umat Islam bukan sahaja berbeza pendapat malah berpecah belah yang akhirnya boleh membawa kepada kehancuran mereka," katanya.

Beliau berkata umat Islam kini, termasuk golongan akar umbi, pertengahan, pemimpin malah kumpulan agama telah tersalah menilai dan tidak tahu meletakkan keutamaan dan kepentingan mereka.

"Contohnya, bangsa lain mengutamakan pendidikan tetapi kita (umat Islam) mengutamakan hiburan. Dalam pendidikan pula, kita lebih mengutamakan akademik daripada agama Islam.

"Agama diutamakan sebagai pelajaran dan bukan sebagai didikan. Kalau dari segi pelajaran agama, orang Yahudi dan Barat sebenarnya lebih pandai mengenai agama Islam daripada kita sendiri," tegas beliau.

--Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.