JAKIM hantar 'hadhari' ke negeri-negeri

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menempatkan pegawai perhubungan atau "hadhari" di seluruh negara bagi menyelaraskan urusan pentadbiran berkaitan agama Islam antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata ketika ini pegawai berkenaan hanya ditempatkan di beberapa negeri dan Kelantan adalah antara negeri terawal menerima penempatan itu.

Menurutnya, pegawai berkenaan ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di negeri masing-masing bertujuan menyelaraskan tugas-tugas berkaitan dengan agama Islam antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Antara negeri yang sudah mempunyai pegawai terbabit selain Kelantan ialah Terengganu, Perlis dan Melaka.

"Kita bercadang untuk mewujudkan pegawai terbabit di semua negeri di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan makan malam sempena Persidangan Ketua-ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia ke-83, di Kota Bharu, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Wan Mohamad, status penempatan Pegawai Hadhari di Pejabat SUK di semua negeri itu turut dibincangkan dalam kertas kerja berkaitan penyelarasan antara negeri sempena mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-51 pada 25 Mei lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat itu juga membentangkan kertas kerja mengenai beberapa isu berkaitan agama, termasuk memperkasa program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pelaksanaan mekanisme penyeragaman pensijilan Halal antara JAKIM dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

"Ia juga merangka rancangan Lima Tahun Menangani Ajaran Sesat Keempat (2010-2014) dan laporan Keberkesanan Pelaksanaan bagi tahun 2008," katanya.

Katanya, semua isu-isu ini amat memerlukan penelitian dan pandangan negeri-negeri dalam meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia agar ia seragam dan tidak mengelirukan rakyat.

Wan Mohamad berkata, persidangan Ketua-ketua Jabatan/Majlis Agama Islam ini dianjurkan jabatannya sejak 1975 membabitkan pembentangan 560 kertas kerja.

"Kali ini Kelantan menjadi tuan rumah bagi kali kelima selepas 1979, 1985, 2002 dan 2006," katanya.

Menurutnya, antara isu-isu penting yang disepakati dan diguna pakai oleh negeri-negeri hasil persidangan itu ialah penyelarasan isu halal, penyelarasan isu pendidikan Islam iaitu Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) dan penyelarasan isu ajaran sesat.

--Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.